Amir Omar Khata mahu buktikan
NAMA Amir Omar Khata mungkin terlalu asing bagi peminat bola sepak tempatan.
Namun, penjaga gol Pulau Pinang itu sudah mula mendapat perhatian apabila dipanggil menyertai latihan pusat skuad kebangsaan kendalian K. Rajagobal.
Dia adalah antara 27 pemain dalam skuad kebangsaan yang telah memulakan latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.
Latihan pusat itu akan berakhir pada 9 April depan.
Amir, 21, berkata, peluang menyertai latihan skuad kebangsaan itu akan digunakan sepenuhnya untuk mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih penjaga gol negara, Faozi Mukhlas.
"Saya masih baru dan banyak lagi benda yang perlu saya pelajari. Saya juga mahu mengutip pengalaman daripada dua penjaga gol sedia ada iaitu Shar- binee Allawee Ramli dan Farizal Marlias.
"Saya akan berusaha meningkatkan prestasi supaya terus dipanggil menyertai skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Biarpun Pulau Pinang kini menduduki tangga kedua tercorot Liga Super, pemilihan Amir dibuat memandangkan usianya di bawah 23 tahun, sekali gus layak beraksi pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November depan.
Manakala Sharbinee dan Farizal pula sudah pasti menjadi pilihan utama Rajagobal bagi Piala AFF 2010 Disember depan tetapi untuk Sukan Asia, mungkin salah seorang atau kedua-duanya akan mengisi kuota tiga pemain lebih umur.
Ditanya perasaannya setelah dipanggil menyertai latihan pusat kali ini, Amir berkata, pada mulanya dia agak terkejut tetapi berasa bangga setelah usaha keras selama ini berbaloi juga akhirnya.
"Kali terakhir saya dipanggil mewakili negara ialah ketika Piala Hassanal Bolkiah pada 2007, juga di bawah kendalian jurulatih Rajagobal.
"Sebelum itu saya pernah beraksi pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Asia," katanya yang berasal dari Bukit Mertajam.
Biarpun gawangnya sudah dibolosi 24 kali musim ini, Amir telah mempamerkan aksi cemerlang ketika Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Selangor pada 27 Februari lalu sehingga dia dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut.
0 comments:
Post a Comment