Selangor tampil barisan terbaik
SELANGOR bersedia untuk melupakan episod malang dalam saingan Piala AFC 2010 menjelang aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam malam esok.
Biarpun baru saja pulang daripada Maldives dengan kekalahan 1-2 kepada Victory SC pada Rabu lalu, Selangor tetap bersemangat mencari bekalan selesa untuk dibawa ke Paroi Sabtu ini bagi memastikan mereka layak beraksi di pentas final pada 10 April depan.
Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan berkata, kekalahan kepada Victory SC itu langsung tidak menjejaskan semangat dan tumpuan para pemainnya untuk menundukkan Negeri Sembilan malam esok.
“Selepas pulang Jumaat lalu, kami tidak berehat panjang dan terus turun menjalani latihan pada Sabtu dan juga pagi tadi (semalam) bagi mempersiapkan pemain menjelang aksi separuh akhir ini.
“Memang kita kalah kepada Victory SC tetapi sebenarnya prestasi kita pada perlawanan tersebut cukup baik. Cuma penyudah sedikit tumpul manakala mutu pengadilan yang buruk telah mengakibatkan tiga pemain kita dilayangkan kad merah.
“Jadi tiada apa yang perlu dirisaukan. Lagipun Piala FA ini pertandingan yang berbeza. Kita dapat turunkan semula Amri Yahyah dan kesebelasan utama yang terbaik.
“Saya rasa, dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan juga dibantu sokongan para penyokong setia Selangor, kami boleh menang biarpun Negeri Sembilan dibarisi pemain-pemain berpengalaman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jelas Devan, hanya Farderin Kadir dan Liew Kit Kong masih tidak dapat diturunkan akibat kecederaan manakala baki pemain-pemain yang lain bersedia untuk diturunkan.
“Saya harap para pemain dapat memberi tumpuan dan fokus sepanjang perlawanan nanti dan berusaha meningkatkan prestasi masing-masing serta sentuhan penyudah.
“Negeri Sembilan juga saya kira berada pada prestasi terbaik ketika ini. Jadi sangat penting untuk kita mendapat bekalan gol yang selesa untuk perlawanan kedua di Paroi Sabtu ini,” ujarnya.
Musim lalu, Selangor berjaya menyingkirkan Perlis pada saingan separuh akhir dan muncul sebagai juara Piala FA setelah menewaskan Kelantan pada final menerusi penentuan sepakan penalti.
0 comments:
Post a Comment