‘Jangan perlekeh Slovakia’
“KAMI tidak mahu bola sepak Slovakia dipandang rendah.
“Kami adalah antara pasukan yang layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010, pertama kali sejak kami menjadi sebuah negara yang merdeka pada 1993.”
Demikian penjelasan Pengarah Liga I, ULK Slovakia, Peter Dedik dalam satu kenyataan yang diedakan kepada media oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.
Kenyataan tersebut bertarikh 16 Mac 2010.
Dedik mengeluarkan kenyataan tersebut kerana mereka merasakan turut terkena tempias ekoran dakwaan pihak tertentu berhubung isu skuad Bawah 21 tahun (B-21 negara, Harimau Muda.
Menurutnya, mereka berasa kecewa dengan tindakan sesetengah pihak media di Malaysia yang mempersoalkan status penyertaan skuad B-21 negara dalam baki saingan Liga I bagi musim 2009/10.
“Biarpun secara dasarnya ia adalah isu dalaman antara FAM dan pihak media Malaysia, kami juga tidak terlepas dalam hal ini kerana ia melibatkan tahap Liga Slovakia yang turut dipersoalkan.”
Jelas Dedik, meskipun mereka tidak berhasrat untuk terseret sama dalam kontroversi yang berlaku, kenyataan ULK Slovakia itu adalah semata-mata untuk memberi penjelasan tentang isu tersebut.
“Kami mahu jelaskan bahawa semua kelab di bawah ULK Slovakia adalah bertanggungjawab sepenuhnya serta mengambil pendekatan profesional dalam setiap perlawanan menentang skuad B-21 Malaysia ini.
“Tidak kira sama ada ia dianggap sebagai perlawanan kompetitif atau perlawanan persahabatan.
“Kami tidak akan mengambil sikap mempersendakan perlawanan tersebut dan ia jelas dilihat dengan kelab yang telah menentang skuad B-21 Malaysia apabila mereka tampil dengan aksi terbaik dan bukannya sambil lewa,” kata Dedik.
Selepas mengharungi tiga perlawanan sejak 27 Februari lalu, Harimau Muda A masih mencari kemenangan sulung setelah tewas 1-4 kepada Slovan Duslo Sala, tewas 0-2 kepada MFK Ruzomberok B dan tewas 0-3 kepada MFK Zemplin Michalovce, Sabtu lalu.
Perlawanan keempat Sabtu ini bakal menyaksikan anak-anak buah Azraai Khor Abdullah itu menentang MFK Zemplin Michalovce di gelanggang lawan.
Kenyataan Dedik itu seharusnya dipandang serius oleh pihak tertentu.
Andai penjelasan FAM Isnin lalu masih belum memuaskan hati, kenyataan daripada Kesatuan Kelab-Kelab Liga (ULK) Slovakia diharpaan dapat membuka mata semua dan pengakuan ULK membuktikan bahawa misi skuad B-21 ke sana bukanlah ‘makan angin’ seperti yang didakwa.
0 comments:
Post a Comment