Saturday, March 13, 2010

Futsal: Maizal panggil 18 pemain



SKUAD futsal kebangsaan kembali berkumpul hari ini bagi persiapan menghadapi Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 di Ho Chi Minh, Vietnam dari 5 hingga 11 April depan.

Jurulatih futsal kebangsaan, Maizal Hairi Marzuki berkata, memandangkan tempoh persiapan hanya dua minggu, dia memanggil 18 pelatih saja berbanding 20 pelatih seperti kebiasaannya.

"Saya hanya panggil 18 pemain kerana masa agak suntuk. Kita akan terus memberi tumpuan sepenuhnya terhadap latihan kerana tidak sempat membuat pemilihan pemain lagi.

"Pemain-pemain akan berkumpul esok (hari ini) dan turun menjalani latihan di Real Sports Arena, Klang bermula Ahad ini (esok)," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelas Maizal, 37, kesemua 14 pemain negara yang dibawa ke Jakarta, Indonesia bagi Kelayakan Futsal Asia 2010 pada bulan lalu dikekalkan.

Mereka ialah Firdaus Razali, S. Devandran, Hafis Awang, Mohd. Fairuz Mohd. Noor, Addie Azwan Zainal, Ruzaley Abd. Aziz, Qaiser Heshaam Abdul Kadir.

Muizzudin Haris, Safar Mohammad, Khairul Rizuan Harif Pagilah, Fadzil Ab. Karnim, Khairul Effendy Bahrin, Akhmall Abdullah dan Afandi Bonyamin.

"Baki empat lagi pemain yang dipanggil ialah dua bekas pelatih sebelum ini iaitu Samsul Abd. Latif dan Ahmad Ridzuan Abd. Halim serta dua pemain baru dari pasukan Selangor dan Felda United.

"Sepanjang tempoh latihan ini, kami akan memperbaiki semula segala kelemahan di Jakarta bulan lalu dan bertekad menebus semula kegagalan apabila beraksi di Vietnam nanti," jelas Maizal.

Menurut laporan akhbar Vietnam, Nhan Dan Online, Kejuaraan Futsal AFF 2010 akan disertai lima pasukan iaitu Vietnam, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Myanmar tanpa kehadiran juara bertahan, Thailand.

Lima pasukan itu akan bersaing secara liga satu pusingan dan dua pasukan teratas akan layak ke final.

0 comments: