Skuad Harimau Muda A ketepi isu di luar padang
JURULATIH skuad Bawah 21 (B-21) kebangsaan, Azraai Khor Abdullah meminta para pemainnya supaya kembali fokus menjelang pertemuan menentang MFK Zemplin Michalovce di Slovakia esok.
Dalam beberapa hari lalu, suasana harmoni dalam skuad Harimau Muda A itu dilaporkan sedikit terganggu ekoran laporan sebuah akhbar tempatan Selasa lalu.
Menurut Azraai, biar apa pun tanggapan pihak luar tentang status skuad bimbingannya itu, mereka tetap akan meneruskan misi selama tiga bulan di Slovakia.
"Kami tetap dengan misi kami. Kami mahu menimba sebanyak mungkin pengalaman apabila dapat bersaing dengan pasukan liga di sini (Slovakia) yang rata-rata dibarisi pemain-pemain senior.
"Matlamat kami pada akhir kunjungan selama tiga bulan ini nanti ialah untuk memastikan pemain-pemain muda kita telah berjaya mempelajari aspek kemajuan bola sepak dari segi fizikal dan mental," kata Azraai kepada Kosmo! semalam.
Sejak tiba di Zlate Moravce, Slovakia pada 21 Februari lalu, skuad Harimau Muda A telah menghadapi empat perlawanan tetapi masih belum mencipta kemenangan.
Dalam dua perlawanan awal menentang kelab Liga 1 Slovakia, mereka tewas 1-4 kepada pasukan tercorot, Slovan Duslo Sala sebelum tewas 0-2 kepada pasukan tangga kedua tercorot, MFK Ruzomberok B.
Selain itu, semasa tempoh senggang antara kedua-dua perlawanan tersebut, Harimau Muda A turut sempat mengadakan dua lagi aksi persahabatan menentang skuad simpanan kelab Liga Corgon Slovakia, MSK Zilina (seri 2-2) dan kelab Liga 2 Slovakia, FK Topolocany (tewas 0-1).
Menjelang pertemuan ketiga menentang Zemplin yang kini menduduki tangga keenam Liga 1 Slovakia, Azraai berkata, mereka akan diperkuat semula dengan kehadiran Ahmad Shakir Md. Ali dan K. Gurusamy yang telah pulih daripada kecederaan.
"Kami akan cuba untuk mempamerkan peningkatan berbanding perlawanan-perlawanan yang lalu dan tidak sesekali akan melupakan harapan peminat Malaysia," tambahnya.
0 comments:
Post a Comment