Tuesday, March 30, 2010

Gergasi Merah dapat suntikan semangat


JUARA bertahan, Selangor mendapat beberapa suntikan semangat menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam ini.

Pertamanya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan turun menyaksikan perlawanan tersebut manakala pemain-pemain Selangor pula bakal memakai jersi yang tertera logo penaja baru mereka.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, kehadiran Menteri Besar yang juga Presiden FAS itu diharap dapat mencetuskan semangat di kalangan para pemain skuad Gergasi Merah.

"Tan Sri (Khalid) telah menyatakan bahawa beliau akan hadir pada perlawanan itu. Beliau begitu berharap yang kita dapat mengulangi kejayaan layak ke final seperti pada musim lalu dan seterusnya mempertahankan kejuaraan.

"Jadi saya harap penyokong Selangor dapat turun beramai-ramai supaya kita mencatat kemenangan selesa di sini sebagai bekalan ke Paroi pada Sabtu ini," kata Hamidin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Hamidin turut mengesahkan Selangor kini telah mendapat penaja baru untuk musim ini iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI) bagi menggantikan penaja sebelum ini, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

"Dengan penajaan baru ini, logo MBI akan tertera di bahagian hadapan jersi pasukan Selangor menggantikan logo KDEB bermula pada perlawanan esok (malam ini)," ujarnya.

Satu lagi elemen menarik untuk pertemuan Selangor dan Negeri Sembilan malam ini ialah bola edisi khas berwarna merah, NIKE RED T90 Ascente bakal digunakan sebagai bola perlawanan.

"Pihak Nike memaklumkan kepada kami bahawa perlawanan ini telah dipilih untuk kempen ‘Nike (RED) - Lace Up, Save Lives’ bagi membendung penularan jangkitan HIV dan Aids di seluruh dunia," kata Hamidin.

Rekod pertemuan terakhir Selangor-Negeri Sembilan berpihak kepada skuad Gergasi Merah apabila mereka berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Paroi pada 9 Januari lalu.

0 comments: