Sunday, April 11, 2010

Pemain negara tiada cita-cita


PEJAM celik, sudah 16 tahun sebenarnya pemain-pemain bola sepak di negara ini bergelar pemain profesional.

Sepatutnya dalam tempoh yang boleh dikatakan agak lama itu, peminat bola sepak tempatan kini sudah boleh mendengar nama-nama pemain bola sepak Malaysia beraksi di serata dunia atau paling tidak pun di peringkat Asia atau Asia Tenggara.

Bola sepak sebenarnya menawarkan gaji yang lumayan. tetapi sehingga ke hari ini, pemain negara masih tidak sedar dengan hakikat tersebut.

Di Eropah, semua pemain mempunyai cita-cita tinggi kerana ia akan menjanjikan mereka pendapatan lumayan.

Namun perkara seperti itu tidak berlaku sama sekali kepada pemain-pemain negara ini nampaknya begitu ‘sayang’ untuk meninggalkan tanah air.

Apakah sebenarnya yang menjadi batu penghalang kepada pemain profesional negara ini untuk mencapai cita-cita yang lebih tinggi.

Adakah mereka takut untuk menempuh cabaran luar atau tidak yakin dengan kemampuan diri?
Tidak mahu berjauhan dengan keluarga, tidak pandai berkomunikasi bahasa asing atau nak senang cerita tidak mempunyai cita-cita?

Bagi legenda bola sepak negara, Santokh Singh, dia berasakan bahawa pemain-pemain bola sepak profesional negara ketika ini tidak mempunyai impian untuk memajukan diri mereka.

“Saya tak tahu nak kata apa. Bagi saya, mereka ini tiada cita-cita untuk beraksi di luar negara. Sebab apa, itu saya tidak tahu. Mungkin kerana ‘homesick’, tak boleh tahan dengan budaya asing atau tak biasa dengan makanan luar.

“Lagi satu, mereka ini mempunyai mentaliti yang berasakan cukuplah sekadar dapat beraksi dalam Liga Malaysia dan meraih sebanyak mana kejuaraan tempatan,” kata Santokh kepada Kosmo! baru-baru ini.

Santokh, 58, yang beraksi untuk Selangor sebelum bersara pada tahun 1985 menambah, kualiti pemain-pemain tempatan dan liga tempatan tidak akan meningkat sekiranya semua pihak yang terlibat tidak mempunyai impian.

“Zaman saya dahulu biarpun ramai pemain kita yang bagus-bagus, mereka ini tidak mempunyai peluang. Saya sendiri, kalau ada peluang memang begitu teringin nak beraksi di England.

“Tapi hanya sesetengah pemain yang mendapat peluang beraksi contohnya Yip Chee Keong, Chow Chee Keong dan Lim Teong Kim yang beraksi di Liga Hong Kong dan Liga Jerman.

“Jadi benda ini mudah saja, kalau pemain sekarang hanya nak main dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, sampai situ sajalah tahap mereka,” jelas Santokh.

Hal yang sama turut disokong pengkritik sukan terkemuka negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang menganggap atlet tempatan sudah tidak mempunyai kegharaihan untuk mencapai mutu yang lebih tinggi termasuklah pemain bola sepak.

“Dahulu skuad bola sepak kita boleh kalahkan Korea Selatan untuk layak ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980. Tapi kini Korea Selatan sudah berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia 2010 dan di mana pula kedudukan kita?

“Memang jelas, pemain-pemain bola sepak sekarang tiada impian,” kata Kay Kim yang tidak mahu terlalu gembira dengan kejayaan skuad negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos.

Kay Kim turut berasakan generasi pemain bola sepak profesional negara ketika ini sudah tidak boleh diselamatkan lagi dan perubahan perlu dilakukan segera di peringkat sekolah bagi memastikan generasi pemain pada masa akan datang berjaya ditukar mentaliti mereka.

“Kalau betul-betul nak naikkan semula mutu bola sepak, kita kena kembali ke sekolah. Dahulu setiap sekolah ada satu atau dua padang, sekarang padang pun tiada. Lagi satu sistem persekolahan sekarang lebih tumpukan akademik,” ujarnya.

Bagi pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bola sepak di negara ini, mereka sebenarnya hanya boleh membantu pemain profesional ini menguruskan perpindahan selain menjadi ejen pemasaran bakat.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, semuanya terletak kepada pemain itu sendiri yang sepatutnya mempunyai inspirasi untuk meningkatkan karier mereka dengan beraksi di saingan liga luar negara.

“Pada peringkat awal mereka kena letak sasaran untuk main di liga sekitar Asia Tenggara seperti Singapura atau Indonesia.

“Kemudian mengorak langkah ke saingan yang lebih tinggi seperti liga di negara Timur Tengah, Jepun atau Korea Selatan dan seterusnya ke Eropah.

“Perkara ini kita kena mulakan sedikit demi sedikit. Mula-mula kena ada dua atau tiga pemain beraksi di luar, barulah rakan-rakan mereka akan ikut jejak tersebut.

“Saya pun tak tahu kenapa pemain kita susah sangat nak mencuba bakat mereka di liga luar. Itu kena tanya mereka sendiri. Kita boleh lihat, beberapa pemain Singapura kini sudah mencuba nasib beraksi di Liga Indonesia,” kata Azzuddin.

Azzuddin turut memberitahu, penghantaran skuad bawah 21 tahun (B-21) negara ke Slovakia selama tiga bulan bermula Februari lalu sudah menampakkan hasilnya.

“Salah sebuah kelab di sana yang menentang Harimau Muda telah memberi kita tawaran untuk menghantar dua atau tiga pemain bukan saja dari skuad B-21 untuk menjalani sesi pemilihan di kelab mereka.

“Perkara ini akan saya susul apabila berkunjung ke Slovakia sekali lagi selepas ini. Mungkin dari sini kita boleh lihat pemain kita menjadi pemain mana-mana kelab di Slovakia,” jelasnya.

Bagi jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal pula, pasukan negara akan tampil lebih kuat sekiranya ramai pemain-pemain kebangsaan kita mencuba untuk beraksi di saingan liga luar negara.

“Saya tak boleh nak paksa pemain, itu terpulang kepada individu itu sendiri. Tapi jika ditanya impian saya, saya mahu lihat pemain kita berani mengambil cabaran beraksi di luar negara.

“Buktikan yang anda mampu bersaing dengan pemain-pemain luar. Ini akan melahirkan satu generasi yang lebih bagus dengan pemain kita akan mendapat lebih keyakinan apabila beraksi di pentas antarabangsa,” kata Rajagobal.

Jelasnya, langkah menghantar pemain untuk berlatih dalam tempoh yang singkat di luar negara tidak mendatangkan manfaat sebaliknya seseorang pemain itu perlu beraksi sepanjang musim bersama kelab luar.

“Saya lihat di sini, pemain-pemain Harimau Muda yang sedang berada di Slovakia, mereka sepatutnya menggunakan pengalaman selama tiga bulan di sana untuk memikat mana-mana kelab.

“Jika ditawarkan peluang, terima saja kerana bagi saya ini salah satu cabaran untuk mereka bersaing di peringkat lebih tinggi dan apabila pulang mewakili negara, satu peningkatan dapat ditampilkan,” ujar Rajagobal.

Mungkin generasi Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Rudie Ramli, Fadzli Saari dan Juzaili Samion yang beraksi bersama Strasbourg (Perancis) dan SV Wehen (Jerman) kira-kira sedekad lalu merupakan individu terakhir yang beraksi di saingan liga luar.

Namun sebenarnya terdapat seorang pemain tempatan iaitu Stanley Bernard Stephen Samuel, bekas penyerang Kuala Lumpur dan UPB-MyTeam yang kini beraksi bersama Sporting Clube De Goa dalam saingan Liga India.

Stanley, 24, yang mula beraksi bersama kelab itu sejak Januari lalu berkata, keinginan untuk beraksi di peringkat lebih tinggi membuatkannya berani membawa diri ke India sebagai salah seorang pemain import kelab tersebut.

“Segalanya bermula apabila seorang jurulatih dari kelab Mohun Bagan kebetulan bercuti ke Kuala Lumpur dan menyaksikan kelibat saya beraksi dalam satu perlawanan bersama UPB-MyTeam.

“Kemudian dia mencadangkan nama saya kepada jurulatih kelab Sporting Clube De Goa dan saya dipanggil untuk menyertai sesi pemilihan pada November lalu dan setelah mereka puas hati, saya ditawarkan kontrak selama satu musim.

“Saya buat semua ini kerana cintakan bola sepak. Seminggu pertama saja ibu dan bapa saya datang menemani saya di sini dan selepas itu saya terus hidup berdikari hingga ke hari ini,” katanya ketika dihubungi di Goa baru-baru ini.

Bekas pemain skuad B-23 kebangsaan itu beraksi sepenuh masa ketika Sporting Clube De Goa bersaing di peringkat suku akhir dan separuh akhir Piala FA India sebelum dia mengalami kecederaan hamstring.

“Kini saya baru saja kembali beraksi sejak minggu lalu dan berazam membantu kelab menduduki tempat yang lebih baik dalam baki saingan liga yang akan berakhir Mei depan.

“Saya juga berpeluang meningkatkan mutu permainan kerana perlu bersaing dengan ramai pemain import yang berkualiti. Jadi saya berhajat untuk terus beraksi di sini pada musim depan,” katanya.

Stanley turut sempat mengajak mana-mana pemain bola sepak tempatan untuk mencuba nasib di Liga India kerana baginya, inilah peluang untuk mereka turut beraksi pada saingan Liga Juara-Juara Asia jika kelab yang diwakili layak beraksi di kejohanan tertinggi peringkat Asia itu.

“Setakat ini, yang saya tahu Syed Adney Syed Hussein (penjaga gol Kelantan) ada menyatakan hasrat untuk mencuba nasib di sini pada masa akan datang. Kita kena ada satu kelompok pemain yang berani untuk mencuba.

“Jika mereka mahu meningkatkan karier bola sepak, perlu ada keberanian cuba beraksi di liga luar. Gaji yang diterima juga agak tinggi dan berbaloi.

“Memang difikirkan saya sendiri rindu dengan suasana di Kuala Lumpur kerana saya membesar di kawasan bandar dan kini hanya berada di Goa yang kedai-kedainya sudah tutup seawal 9.30 malam.

“Tapi disebabkan bola sepak, saya korbankan semua itu demi mencapai cita-cita menjadi seorang pemain profesional yang berjaya,” kata Stanley.

- KOSMO! Ahad, 11 April 2010 (Page 56 & 57)

0 comments: