Thursday, November 26, 2009

Malaysia (0) Maldives (1)

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan yang menggunakan jersi di atas ini telah tewas 0-1 pada perlawanan ujian menentang skuad kebangsaan Maldives di Stadium UiTM, Shah Alam petang tadi.

Perlawanan bermula pukul 4.40 petang dengan cuaca yang panas terik.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal meletakkan kesebelasan utama seperti berikut:

-------------------------------- 22-Sharbinee --------------------------
2-Sabre ------ 7-Aidil (c) ------------- 24-Muslim ------------- 11-Azmi
13-Fakri ----- 10-Safiq ------------- 12-Amar ------------ 21-Baddrol
--------------- 9-Norshahrul -------- 8-Zaquan ----------------------

Skuad B-23 negara jelas menguasai permainan dengan memperolehi beberapa peluang terbaik menerusi percubaan Safiq Rahim, Baddrol Bakhtiar dan Zaquan Adha Radzak.

Pada masa rehat, Rajagobal menukar kesemua pemain dan memasukkan kesebelasan utama yang baru untuk memulakan separuh masa kedua seperti berikut:

-------------------------------- 1-Adney -----------------------------
18-Nasriq ------ 15-Faizal --------- 17-Mazlizam ------- 3-Asraruddin
5-Amirulhadi (c) ----- 14-Gurusamy ----- 4-Mahali ------16-Kunanlan
--------------- 20-Shakir -------- 23-Razali -----------------------

Baru lima minit babak kedua bermula, Maldives dihadiahkan sepakan penalti setelah bola lambungan dari sebelah kiri oleh pemain Maldives terkena tangan pemain pertahanan skuad B-23 negara, Faizal Muhammad di dalam kotak penalti.

Kapten Maldives, Ali Asafaq mudah menyempurkan sepakan penalti itu menewaskan Syed Adney.

Selepas gol itu, skuad B-23 negara memiliki deretan peluang keemasan yang sepatutnya menghasilkan gol menerusi percubaan S. Kunanlan, Razali Umar Kandasamy dan Amirulhadi Zainal, namun semuanya tidak menepati sasaran.

Selepas menggunakan 22 pemain, Rajagobal memasukkan pemain ke-23 iaitu Farderin Kadir menggantikan Mahali Jasuli pada minit ke-70.

Pada minit ke-80, Rajagobal memasukkan semula dua pemain yang beraksi pada babak pertama iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Baddrol Bakhtiar bagi menggantikan K. Gurusamy dan S. Kunanlan.

Daripada senarai 25 orang pelatih skuad negara ketika ini, 23 daripadanya beraksi pada perlawanan petang tadi kecuali Farizal Marlias yang direhatkan dan Abd. Manaf Mamat yang mengalami demam panas.

Rajagobal hanya akan mengumumkan senarai terakhir 20 pemain untuk ke Sukan SEA di Laos selepas sesi latihan terakhir pada Ahad ini sebelum mereka berlepas ke Vientiane pada Isnin.

Mengikut ramalan peribadi penulis, lima pemain yang bakal diketepikan daripada senarai 20 pemain itu ialah Sharbinee Allawee Ramli, K. Gurusamy, Faizal Muhammad, Farderin Kadir dan Abd. Manaf Mamat.

Sekadar ramalan saja.......

0 comments: