Pandelela menang anugerah SAM-100Plus
ATLET terjun kebangsaan, Pandelela Rinong Pamg dipilih sebagai pemenang Anugerah Atlet Terbaik Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus.
Pandelela mengenepikan cabaran Datuk Nicol Ann David (skuasy), Datuk Lee Chong Wei (badminton), Mohd. Azizulhasni Awang (lumba basikal) dan Nur Suryani Taibi (menembak) yang turut disenaraikan bagi memenangi anugerah itu.
Selaku pemenang, dia membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
“Saya tidak sangka nama saya diumumkan sebagai penerima anugerah ini kerana saingan untuk anugerah ini semuanya atlet yang hebat-hebat belaka.
“Kemenangan ini akan saya jadikan motivasi untuk meningkatkan prestasi saya,” kata penerjun dari Kuching, Sarawak yang baru menyambut ulang tahun ke-18, Rabu lepas.
Pandelela menyerlah sepanjang 2010 dengan meraih dua pingat perak pada temasya sulung Sukan Olimpik Remaja di Singapura.
Dia kemudian mencipta sejarah buat Malaysia apabila meraih pingat emas dalam acara terjun 10m platform serta memenangi pingat perak dalam acara 10m platform serentak wanita di Sukan Komanwel, New Delhi, India tahun lepas.
Pada Sukan Asia di Guangzhou, China, dia meraih pingat perak dalam acara 10m platform serentak dan pingat gangsa dalam acara 10m platfrom individu.
Sementara itu, atlet wushu negara Yeap Wai Kin dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Harapan 2010 manakala Datuk Lee Chong Wei menerima Anugerah Khas daripada Persatuan Sukan Kebangsaan.
Pasukan bola sepak kebangsaan yang memenangi Piala Suzuki AFF 2010 telah menerima Anugerah ”Out Do Yourself 100Plus”.
Sementara itu, wartawan sukan Kosmo!, Wan Fakhrul Wan Bakar berjaya memenangi Anugerah Laporan Terbaik kategori media cetak menerusi laporan bertajuk ‘Misi menebus aib Doha 2006’ keluaran 19 Ogos 2010.
Anugerah Laporan Terbaik kategori media elektonik pula dimenangi Ku Mohd Lufti Ku Yahya dari Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Anugerah Ulasan Sukan kategori media cetak dimenangi oleh Rajes Paul (The Star) manakala kategori media elektronik menjadi milik Rozihan Mohd Raji (RTM).
Anugerah Laporan Khas dimenangi wartawan penyiaran Astro Awani, Mohd Zulhelmi Zainal Azam manakala Anugerah Jurugambar Sukan Terbaik dimenangi Mazlan Samion dari Bernama.
Juara setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi manakala lima calon terbaik bagi setiap kategori turut membawa pulang wang tunai RM500.
Dua lagi wartawan sukan Kosmo!, Shahril Nizam Abdullah dan Helmi Talkah masing-masing turut tersenarai dalam lima calon terbaik bagi kategori Anugerah Ulasan Sukan kategori media cetak dan Anugerah Laporan Khas.
Secara keseluruhannya, Anugerah Wartawan Terbaik berjaya dimenangi Mohd Zulhelmi yang menerima hadiah wang tunai RM7,000 dan trofi.
2 comments:
Saudara Wan Fakhrul,tahniah diatas kemenangan saudara untuk Anugerah Laporan Terbaik kategori media cetak.
March 8, 2011 at 11:12 AMangsana: okay...terima kasih.. :)
March 8, 2011 at 10:37 PMPost a Comment