Kelayakan Olimpik: Lebanon 0 Malaysia 0
MALAYSIA berjaya mendapat bekalan terbaik apabila mengikat Lebanon 0-0 pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Sports City, Beirut semalam.
Ia keputusan yang mampu memberikan kelebihan kepada anak-anak buah Ong Kim Swee itu untuk menanti kunjungan Lebanon pada aksi kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.
Pada aksi yang berlangsung pada sebelah petang waktu Lebanon dengan cuaca panas terik itu semalam, Malaysia tampil dengan berhati-hati dan lebih bertahan pada separuh masa pertama.
Namun pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor sempat melakukan percubaan yang ditepis penjaga gol Lebanon pada minit ke-11 manakala tandukan Izzaq Faris Ramlan 10 minit kemudian sedikit tinggi.
Biarpun lebih banyak mengasak, Lebanon tidak banyak dapat melakukan percubaan berbahaya untuk menguji penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.
Bersambung babak kedua, tempo permainan berubah sama sekali apabila Malaysia dilihat mula menguasai perlawanan.
Pada minit ke-51, Izzaq terlepas peluang terbaik apabila gagal menampan kemas bola hantaran leret Irfan Fazail di dalam kotak penalti.
Wan Zack selepas itu berjaya melepaskan dua rembatan kencang pada minit ke-54 dan ke-61 tetapi berjaya ditepis penjaga gol Lebanon.
Pada masa kecederaan, penyerang gantian, Syahrul Azwari Ibrahim hampir memberikan gol kemenangan tetapi percubaannya dihadang keluar pemain pertahanan Lebanon.
MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat (c), Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Zubir Azmi, Wan Zack Haikal Wan Nor (Wan Zaharulnizam Wan Zakaria), K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman (Faizal Abu Bakar), Irfan Fazail, Izzaq Faris Ramlan (Syahrul Azwari Ibrahim).
1 comments:
banyak chance la m`sia..apapun bro team kosmo mantap time dekat real sports arena ! good job keeper !
June 20, 2011 at 11:53 PMPost a Comment