Tuesday, June 7, 2011

MUPC: Lima pasukan rebut tempat ke pusingan akhir


SRIRACHA, Thailand - Lima pasukan memulakan cabaran hari ini bagi merebut satu slot ke pusingan akhir Piala Premier Manchester United (MUPC) 2011 di Manchester, England pada Ogos depan.

Pusingan akhir Asia Tenggara berlangsung selama dua hari di Stadium Suzuki, Sriracha, Chon Buri menampilkan barisan juara kebangsaan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, India dan tuan rumah, Thailand.

Malaysia yang diwakili SMK Anderson, Ipoh, Perak bersaing dengan SSB Kabupaten Bogor (Indonesia), Singapore Sports School (Singapura), Salgaocar Sports Club (India) dan Bangkok Christian College (Thailand).

Jurulatih SMK Anderson, Ma'amal Hajri Abd. Wahab berkata, semua lima pasukan sama-sama memiliki satu tujuan untuk muncul juara Asia Tenggara bagi melayakkan diri ke pusingan akhir di Manchester.

"Semua pasukan mahu jadi juara. Kami pun mahukan perkara yang sama. Saya yakin, jika para pemain mengikut arahan dan strategi yang telah dibuat, kami mampu melakukannya.

"Lagipun pasukan ini sudah kami bentuk sejak tiga tahun lalu," katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis perasmian kejohanan itu malam tadi.

Pada majlis perasmian yang berlangsung di Stadium Suzuki, Sriracha itu, kelima-lima ketua pasukan diberi penghormatan mencabut undi termasuk kapten SMK Anderson, Fariszuan Majid.

SMK Anderson bakal membuka tirai saingan pada pagi ini bertemu wakil tuan rumah, Bangkok Christian College.

Pusingan awal berlangsung sepanjang hari ini manakala separuh akhir dijadual pada pagi esok dan final akan berlangsung malam esok.

Kejohanan melibatkan pasukan-pasukan bawah 15 tahun ini ditaja oleh pengeluar barangan sukan terkemuka, Nike.











0 comments: