Thursday, June 9, 2011

MUPC: Wakil Thailand ke Manchester‬‪


SRIRACHA, Thailand - Wakil tuan rumah, Bangkok Christian College berjaya menempah tiket ke pusingan akhir Piala Premier Manchester United (MUPC) 2011 yang akan berlangsung di Manchester, England pada Ogos depan.‬‪

Bangkok Christian College muncul juara pusingan akhir Asia Tenggara selepas mudah menewaskan wakil Singapura, Singapore Sports School 3-0 pada aksi final di Stadium Suzuki, Sriracha, Chon Buri malam tadi.‬‪

Pada separuh masa pertama, wakil Thailand itu mendahului 2-0 menerusi rembatan Veerapong Khorayok seawal minit pertama disusuli tandukan Danudet Treemongkonchok pada minit ke-15.

Bangkok Christian College menambah satu lagi gol pada babak kedua hasil jaringan Danaisab Naksomboon pada minit ke-25 dalam perlawanan yang berlangsung selama 40 minit itu.

Terdahulu pada separuh akhir yang berlangsung pagi semalam, Thailand mudah membelasah wakil India, Salgaocar Sports Club 5-0 manakala Singapore Sports School menang 6-5 menerusi sepakan penalti setelah terikat 1-1 dengan wakil Indonesia, SSB Kabupaten Bogor.‬‪

Sementara wakil Malaysia, SMK Anderson, Ipoh, Perak pula gagal layak ke separuh akhir setelah menduduki tangga tercorot pada saingan liga sepusingan membabitkan lima pasukan terbabit yang berlangsung kelmarin.‬‪

Bangkok Christian College ternyata berada pada kelas tersendiri untuk mengungguli kejohanan bawah 15 tahun ini yang ditaja pengeluar barangan sukan terkemuka, Nike.‬‪

Buktinya pada saingan liga sepusingan kelmarin, Bangkok Christian College mengutip 12 mata maksimum apabila menang kesemua empat perlawanan tanpa dibolosi sebarang gol dengan menumpaskan wakil Malaysia (1-0), India (5-0), Indonesia (2-0) dan Singapura (3-0).‬‪

Nasib malang pula dialami SMK Anderson yang terpaksa akur dengan tiga kekalahan tipis kepada wakil Thailand (0-1), Indonesia (0-1) dan Singapura (1-2) sebelum sekadar seri 0-0 dengan India pada perlawanan terakhir.‬‪

Tahun lalu, wakil Malaysia, MSS Kedah muncul juara Asia Tenggara yang berlangsung di Pulau Pinang dan mereka seterusnya layak beraksi pada pusingan akhir di Manchester.‬‪

0 comments: