SMK Anderson tiada rezeki beraksi di Manchester
SRIRACHA, Thailand - Impian wakil Malaysia, SMK Anderson, Ipoh, Perak beraksi di pusingan akhir Piala Premier Manchester United (MUPC) 2011 di Manchester, England pada Ogos depan musnah.
Ini kerana pada aksi pusingan akhir Asia Tenggara di Stadium Suzuki, Sriracha, Chon Buri semalam, SMK Anderson gagal ke separuh akhir setelah menduduki tangga tercorot saingan liga sepusingan membabitkan lima pasukan.
Bangkok Christian College (Thailand), Singapore Sports School (Singapura), SSB Kabupaten Bogor (Indonesia) dan Salgaocar Sports Club (India) mara ke separuh akhir pada pagi ini setelah berjaya menduduki empat kedudukan teratas.
SMK Anderson memulakan saingan pada sebelah pagi semalam dengan dua kekalahan tipis 0-1 kepada Thailand dan Indonesia.
Pada sebelah petang, hajat SMK Anderson untuk bangkit tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Singapura dan sekadar seri 0-0 dengan India pada perlawanan terakhir.
Jurulatih SMK Anderson, Ma'amal Hajri Abd. Wahab berkata, punca utama kegagalan disebabkan para pemainnya tidak beraksi seperti apa yang dirancang di Malaysia selain beberapa faktor sampingan.
"Kami hanya tewas 0-1 kepada Thailand berbanding pasukan lain yang tewas lebih besar. Kemudian, kami menguasai permainan ketika bertemu Indonesia, Singapura dan India tetapi penyudah tumpul.
"Ketika bertemu Singapura, kami sudah mendahului 1-0 tetapi dua kesilapan mudah menyebabkan kami dibolosi pada awal babak kedua dan penghujung perlawanan.
"Terdapat juga faktor lain seperti gemuruh, kurang keyakinan diri, fizikal lebih kecil berbanding pasukan lawan dan jadual perlawanan yang tidak memihak," kata Ma'amal ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan petang semalam.
Hanya juara pusingan akhir Asia Tenggara yang akan ditentukan pada aksi final malam ini bakal beraksi di pusingan akhir MUPC 2011 di Manchester.
Kejohanan melibatkan pasukan-pasukan bawah 15 tahun ini ditaja oleh pengeluar barangan sukan terkemuka, Nike.
0 comments:
Post a Comment