Saturday, June 4, 2011

Persahabatan: Hong Kong 1 Malaysia 1


HASRAT Hong Kong untuk membalas dendam kekalahan terhadap Malaysia tidak kesampaian apabila kedua-dua pasukan seri 1-1 pada aksi persahabatan di Stadium Siu Sai Wan, Hong Kong malam tadi.

Pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam pada 9 Februari lalu, skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal berjaya menewaskan Hong Kong 2-0 hasil jaringan Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal.

Namun pada aksi malam tadi, Hong Kong terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-60 menerusi penyudah Chan Siu Ki.

Malaysia hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya yang masuk sebagai pemain gantian pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Hanya lima pemain ketika Malaysia menundukkan Hong Kong di Shah Alam kekal dalam kesebelasan utama malam tadi.

Mereka ialah ketua pasukan, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Radzak, Asraruddin Putra Omar, S. Kunanlan dan Safee Sali.

Baki enam pemain dalam kesebelasan Malaysia malam tadi ialah penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, Hisyamudin Shaari, Helmi Remeli, Amar Rohidan, Amirulhadi Zainal dan Norshahrul Idlan Talaha.

Manakala Hong Kong tampil dengan skuad berbeza apabila hanya tiga pemain dalam kesebelasan ketika aksi di Shah Alam iaitu Wong Chin Hung, Lo Kwan Yee dan Lam Ka Wai berada dalam kesebelasan kali ini.

Lima tonggak utama skuad kebangsaan iaitu penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, K. Gurusamy dan Ahmad Fakri Saarani tidak ke Hong Kong kerana sedang menjalani latihan pusat bersama skuad Olimpik negara.

Pada aksi persahabatan seterusnya, Malaysia akan bertemu Myanmar pada 18 Jun ini di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

0 comments: