Friday, June 10, 2011

MUPC: Malaysia perlu lebih bersedia


SRIRACHA, Thailand - Pusingan akhir Asia Tenggara selama dua hari di Stadium Suzuki, Sriracha, Chon Buri yang berakhir kelmarin telah menyaksikan wakil Thailand, Bangkok Christian College (BCC) muncul juara.

BCC seterusnya layak ke pusingan akhir Piala Premier Manchester United (MUPC) 2011 di Manchester, England pada Ogos depan sebagai wakil tunggal Asia Tenggara.

Ternyata BCC memang layak untuk bersaing dengan pasukan-pasukan bawah 15 tahun handalan lain dari seluruh dunia pada pusingan akhir di Manchester nanti.

Kehebatan BCC terserlah apabila mereka kekal tanpa dibolosi sebarang gol pada pusingan akhir Thailand dan juga sepanjang enam perlawanan pada pusingan akhir Asia Tenggara.

BCC menang kesemua empat perlawanan liga sepusingan pada Selasa lalu dengan menewaskan wakil Malaysia, SMK Anderson, Ipoh 1-0, Salgaocar Sports Club (India) 5-0, SSB Kabupaten Bogor (Indonesia) 2-0 dan Singapore Sports School (Singapura) 3-0.

Pada separuh akhir pagi kelmarin, BCC mudah membelasah Salgaocar Sports Club 5-0 sebelum menang mudah 3-0 ke atas Singapore Sports School pada aksi final sebelah malamnya.

"Saya rasa pada kejohanan kali ini, sebuah pasukan terbaik telah muncul juara dan mereka sememangnya layak untuk menang.

"Tapi buat empat pasukan lain, pengalaman beraksi tahun ini yang lebih penting supaya mereka pulang dengan inspirasi baru," kata Pengurus Pemasaran Nike Asia Tenggara, Siva Shanker Jayaraj ketika ditemui selepas tamat kejohanan.

Namun satu usaha atau perubahan perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia memiliki wakil yang mampu memberikan cabaran lebih hebat pada edisi tahun depan yang akan berlangsung di Indonesia.

Menurut Siva, sistem pemilihan dan format pertandingan di peringkat kebangsaan akan cuba diperbaiki pada masa akan datang bagi mendapatkan sebuah pasukan yang lebih kuat bagi mewakili Malaysia.

"Dari segi pertandingan peringkat zon dan kebangsaan, kita harap lebih banyak pasukan yang masuk bertanding supaya Malaysia dapat menghantar wakil yang lebih kuat," ujarnya.

Wakil Malaysia kali ini, SMK Anderson dilihat mampu bersaing dari segi kawalan permainan yang baik tetapi kekurangan ketara mereka dalah di barisan serangan apabila banyak gerakan yang terhasil gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Buktinya, biarpun SMK Anderson menduduki tangga tercorot daripada lima pasukan bertanding dan gagal layak ke separuh akhir, mereka bukanlah menjadi pasukan belasahan.

SMK Anderson hanya tewas tipis 0-1 kepada wakil Thailand dan Indonesia pada dua perlawanan awal sebelum tewas 1-2 kepada Singapura dan seri 0-0 dengan India.

Jika dibandingkan dengan tiga pasukan lain, SMK Anderson tewas kepada BCC menerusi jaringan paling sedikit iaitu 0-1 manakala wakil India tewas 0-5 sebanyak dua kali, Singapura tewas 0-3 sebanyak dua kali dan Indonesia tewas 0-2.

Diharap wakil Malaysia tampil lebih mantap di Indonesia tahun depan untuk mengulangi kejayaan MSS Kedah yang muncul juara Asia Tenggara dan beraksi di Manchester pada tahun lalu.

Kejohanan melibatkan pasukan-pasukan bawah 15 tahun ini ditaja oleh pengeluar barangan sukan terkemuka, Nike.

0 comments: