Monday, June 6, 2011

SMK Anderson mahu jejak Manchester

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh, Perak menyimpan hajat besar untuk beraksi pada pusingan akhir Piala Premier Manchester United (MUPC) 2011 yang akan berlangsung di Manchester, England, Ogos depan.

Namun juara MUPC peringkat kebangsaan itu terlebih dahulu perlu mengungguli saingan pusingan akhir Asia Tenggara membabitkan lima pasukan yang akan berlangsung di Sriracha, Chonburi, Thailand bermula esok.

Pengurus pasukan SMK Anderson, Chuah Chong Leng berkata, barisan pemainnya yang berlepas ke Thailand hari ini akan berusaha mempamerkan persembahan terbaik bagi merealisasikan hajat besar itu.

“Kita tidak mengetahui sejauh mana kekuatan lawan untuk pusingan akhir Asia Tenggara ini. Apa pun kami akan cuba mengikut jejak pasukan MSS Kedah yang layak ke Manchester tahun lalu.

“Apabila mendengar tentang peluang beraksi di Manchester, para pemain begitu teruja. Jadi saya harap mereka terus kekal bersemangat sepanjang beraksi di Thailand nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

SMK Anderson muncul juara MUPC peringkat kebangsaan setelah menewaskan SMK Pusat Bandar Puchong 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Padang MSN, Bukit Jalil pada 28 Mei lalu.

Lima pasukan bakal bersaing secara liga satu pusingan membabitkan wakil dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura dan India dengan empat pasukan teratas akan layak ke separuh akhir seterusnya final pada Rabu.

Hanya juara pusingan akhir Asia Tenggara itu akan layak ke pusingan akhir di Manchester yang akan menemukan pasukan-pasukan bawah 15 tahun (B-15) terbaik seluruh dunia.

“Memang orang lebih mengenali SMK Anderson dengan sukan hoki. Sebenarnya kami turut cemerlang dalam sukan bola sepak dengan muncul juara kejohanan B-18 kebangsaan sebanyak dua kali (2004 dan 2008).

“Selain itu, kami juga empat kali menjuarai kejohanan sekolah-sekolah premier kebangsaan. Cuma hoki telah membayangi kami selama ini,” jelas Chong Leng.



INFO:
SKUAD SMK ANDERSON IPOH

CHUAH CHONG LENG - Pengurus
MA'AMAL HAJRI ABD WAHAB - Jurulatih 1
BADRUL ABD MAJID - Jurulatih 2
SYED NASIR SYED HASSAN - Fisioterapis

PEMAIN-PEMAIN:
(1) SHARIZ SHAHARUDDIN (14 tahun)
(2) NAJIB SHARUDIN (14 tahun)
(3) SYUKRI SALLEH (15 tahun)
(4) FARISZUAN MAJID (15 tahun)
(6) IZZAT RAMLEE (14 tahun)
(7) NUR ASRI RADY (15 tahun)
(8) KAMALJIT SINGH (15 tahun)
(9) FIRDAUS SAIYADI (15 tahun)
(10) IKMAL ABD RAHIM (15 tahun)
(11) SYAMIN BAHARUDDIN (15 tahun)
(13) HAFIZ ZULKIFLI (14 tahun)
(14) AMIRUL WAIE YAACOB (15 tahun)
(15) AZROL KHAIRUL ANUAR (15 tahun)
(16) MOHAMAD NOR ABID REDZUAN (14 tahun)
(17) SAIFUL RIZAL TERMIZE (15 tahun)
(20) ZAHIER ABU SAHIT (15 tahun)

* Nombor jersi dalam kurungan.

0 comments: