Friday, September 11, 2009

11 September & Skuad B-23

Kapten Malaysia, Hairuddin Omar (kiri) bersaing dengan pemain Vietnam pada perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada tarikh 11 September 2001

PADA tarikh ini lapan tahun yang lalu (11 September 2001), seluruh dunia telah dikejutkan dengan kejadian pesawat penumpang merempuh Menara WTC di Amerika Syarikat. Satu tragedi yang cukup dahsyat.

Ketika itu, aku merupakan pelajar tahun satu di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan baru berusia 19 tahun.

Sewaktu menerima berita kejadian itu menerusi kiriman SMS daripada rakan, aku sedang berada di Stadium Nasional, Bukit Jalil, menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia bertemu Vietnam untuk aksi terakhir Kumpulan B bagi saingan Sukan SEA 2001.

Walaupun dikejutkan dengan kejadian WTC itu, skuad B-23 kebangsaan tetap cemerlang apabila berjaya menewaskan Vietnam 2-0 untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Pada separuh akhir dua hari kemudian, Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 tetapi gagal juga menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA sejak 1989 apabila tewas 0-1 kepada Thailand pada final di Stadium Shah Alam, hasil jaringan sendiri penjaga gol, Kamaruzzaman Hassan pada minit terakhir perlawanan.

Hari ini, selepas lapan tahun berlalu, tarikh 11 September muncul lagi dan sekali lagi aku akan pergi menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan skuad B-23 kebangsaan.

Tapi kali ini bukan untuk saingan Sukan SEA , hanya sekadar perlawanan persahabatan menjelang saingan sebenar Sukan SEA 2009 di Laos, Disember depan.

Semoga skuad B-23 bimbingan K. Rajagobal berjaya mengulangi kemenangan yang dicatat skuad B-23 negara ketika tarikh yang sama pada 2001 apabila mereka turun menentang skuad kebangsaan Lesotho di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 10 malam ini.

0 comments: