Wednesday, September 2, 2009

Genap dua tahun arwah pergi



TARIKH 2 September sudah pasti akan diingati sampai bila-bila.

Pada tarikh yang sama dua tahun lalu (2007), ayahandaku, Hj. Wan Bakar Hj. Wan Dagang telah kembali ke rahmatullah di Wad CCU, Hospital Serdang pada usia 60 tahun selepas 17 hari beliau tidak sedarkan diri di hospital berkenaan akibat mengalami serangan jantung pada 17 Ogos 2007.

Agak terkilan juga kerana ketika arwah menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 8.30 pagi Ahad itu, aku tidak dapat berada di sisinya di hospital berkenaan.

Ini kerana, malam sebelum kejadian, aku telah bertolak pulang ke Kuantan (ketika itu aku bertugas di Kosmo! Biro Pahang) kerana aku perlu berkerja pada hari Ahad itu.

Ingat lagi, aku bertolak sekitar pukul 10 malam dan tiba di Bukit Sekilau, Kuantan sekitar pukul 1 pagi dan terus melayan aksi EPL antara Manchester United bertemu Sunderland bersama-sama dua rakan serumah, Rushdi Salleh (Jurufoto Kosmo! Biro Pahang) dan Hafizh Khosmat (bekas stringer Kosmo! Biro Pahang yang kini merupakan jurufoto Utusan & Kosmo! di KL).

Selepas tamat perlawanan, aku terus melenakan diri kerana letih memandu dan hanya bangun untuk solat Subuh dan kembali menyambung tidur (kerana masuk kerja pukul 10 pagi).

Namun pada pukul 8.15 pagi Ahad itu, abang aku tiba-tiba telefon dan memberitahu ayah aku sudah nazak dan kurang 20 minit kemudian, dia telefon semula lalu memaklumkan ayah aku telah pun menghembuskan nafas terakhirnya. Innalillah...

Aku terus memaklumkan perkara itu kepada bos aku, Radhuan Hussain (Ketua Kosmo! Biro Pahang ketika itu) dan mula bertolak dari Kuantan pada pukul 9 pagi dengan memecut laju sepanjang perjalanan sehinggalah berjaya tiba di Bandar Baru Bangi tepat pukul 11.30 pagi.

Mujur sempat untuk aku sama-sama memandikan jenazah dan menyertai solat jenazah sebelum menuju ke Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi di Kampung Sungai Tangkas (berdekatan Stesen Komuter UKM).

Arwah selamat dikebumikan pada tengah hari itu dalam cuaca hujan yang tiba-tiba turun mencurah seakan menangisi pemergian individu yang telah banyak berjasa kepada aku sepanjang tempoh 25 tahun (sehingga 2007).

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Insyaallah.

Al-Fatihah....

Hj. Wan Bakar Bin Hj. Wan Dagang
(25 Disember 1947 hingga 2 September 2007)

3 comments:

Yob4Ever said...

Wan, semoga roh ayahanda saudara ditempatkan dalam kalangan org2 beriman.... AMIN....

September 2, 2009 at 9:32 PM
MUSTAPA said...

Al-Fatihah buat allahyarham....

September 2, 2009 at 10:01 PM
rizal hashim said...

Semoga roh ayahanda saudara ditempatkan di kalangan orang beriman, dilepas seksa kubur dan sentiasa menerima cahaya doa daripada anak-anak yang soleh...Al Fatihah

September 4, 2009 at 1:06 PM