Sunday, September 6, 2009

Skuad Rajagobal pakar seri?


BARU sebentar tadi, skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal yang dibarisi pemain-pemain bawah 23 tahun (B-23) telah berjaya mengikat skuad kebangsaan Jordan 0-0 di Stadium Raja Abdullah, Amman, Jordan.

Tahniah diucapkan kepada skuad muda negara itu kerana berjaya menamatkan siri jelajah ke Asia Barat dengan satu keputusan seri setelah tewas 1-2 kepada skuad kebangsaan Arab Saudi (Ahad lalu) dan tewas 0-1 kepada kelab Arab Saudi, Al-Qadisyah.

Jelas skuad kebangsaan kini sudah berjaya menghindarkan diri mereka daripada imej budak belasahan setiap kali berdepan pasukan-pasukan kuat seperti kebiasaan yang berlaku sebelum Rajagobal mula mengambil alih tugas jurulatih kebangsaan pada 20 April 2009.

Tapi, timbul pula imej baru apabila skuad B-23 kebangsaan ini boleh dianggap 'pakar seri' kerana daripada 17 perlawanan persahabatan yang diharungi sejak Rajagobal menjadi jurulatih, mereka menang 7 kali, seri 4 kali dan tewas 6 kali.

Paling ketara, skuad B-23 ini telah seri 0-0 dengan skuad Liga Super Selangor pada aksi sulung mereka pada 9 Mei lalu, Kenya (12 Ogos), China (15 Ogos) dan terbaru Jordan (5 September).

Dari satu sudut, ia membuktikan benteng pertahanan skuad B-23 negara ini cukup mantap tetapi dari satu segi yang lain, ia menampakkan betapa jentera serangan kita masih belum cukup tajam.

Jadi, bertemu skuad kebangsaan Lesotho yang lebih rendah rankingnya berbanding Malaysia pada Jumaat ini (11 September) di Stadium KLFA, Cheras, pukul 9 malam, tiada apa yang perlu dibuktikan skuad bimbingan Rajagobal ini kecuali berjaya menjaringkan gol.

Itu lebih penting kerana jika kita mahu memenangi pingat emas di Sukan SEA di Laos, Disember depan, kita tidak boleh bergantung dengan keputusan seri saja dan wajib mencapai kemenangan. Jika mahu menang, mestilah kena jaringkan gol.

Walaupun Zaquan Adha Radzak bolehlah dianggap penggempur utama skuad B-23, tapi sentuhan pemusnah yang dimiliki penyerang Negeri Sembilan ini masih belum cukup tajam.

Selain itu Malaysia turut belum memiliki gandingan penyerang yang betul-betul 'steady' kerana peluang dilihat masih sama rata buat Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Shakir Md. Ali, Ahmad Fakri Saarani, Abdul Manaf Mamat dan Farderin Kadir untuk bergandingan dengan Zaquan.

Tapi mungkin juga mereka mampu meledak ketika berdepan lawan serantau pada Sukan SEA nanti dengan anggapan kebuntuan ketika berdepan Kenya, China dan Jordan berpunca daripada status atau tahap pasukan lawan itu yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.

PERLAWANAN-PERLAWANAN PERSAHABATAN SKUAD B-23 KEBANGSAAN:

9 Mei 2009 - Malaysia 0-0 Selangor (SERI)
21 Mei 2009- Malaysia 3-0 Singapura B-23 (MENANG)
26 Mei 2009 - Malaysia 1-0 Negeri Sembilan (MENANG)
3 Jun 2009 - Malaysia 2-3 Nan Chang 81 FC (KALAH)
6 Jun 2009 - Malaysia 1-4 Shanghai Shenhua (KALAH)
8 Jun 2009 - Malaysia 2-1 Shanghai Zhong Bang (MENANG)
13 Jun 2009 - Malaysia 1-0 Indonesia B-23 (MENANG)

12 Julai 2009- Malaysia 4-0 Zimbabwe (MENANG)
14 Julai 2009- Malaysia 1-0 Zimbabwe (MENANG)
18 Julai 2009- Malaysia 2-3 Manchester United (KALAH)
20 Julai 2009- Malaysia 0-2 Manchester United (KALAH)
9 Ogos 2009 - Malaysia 3-1 Kedah (MENANG)
12 Ogos 2009- Malaysia 0-0 Kenya (SERI)
15 Ogos 2009- Malaysia 0-0 China (SERI)
30 Ogos 2009- Malaysia 1-2 Arab Saudi (KALAH)
1 Sept 2009 - Malaysia 0-1 Al-Qadisyah (KALAH)
5 Sept 2009 - Malaysia 0-0 Jordan (SERI)

11 Sept 2009 - Malaysia lwn Lesotho

2 comments:

rizal hashim said...

Nampak gayanya harus ada tindakan penyudah lebih tajam...

September 7, 2009 at 7:54 PM
Wan Fakhrul Wan Bakar said...

takpe.nnt lwn bdk2 sebaya diorg taraf team2 asean ni,sure leh makan punya..hehe

September 7, 2009 at 9:33 PM