Selamat menyambut Aidilfitri 1430H

Dari kiri: Wan Fakhrul, Azizul Fahmi, Radiah Saori, Mustapa Lakawa dan Shahril Nizam

UMAT Islam di Malaysia insyaallah bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1430 Hijrah pada esok hari (Ahad). Jadi menjelang 1 Syawal ini, saya ingin memohon maaf zahir dan batin jika ada salah dan silap kepada mana-mana individu sama ada yang mengenali aku secara langsung atau tidak langsung.

Insyaallah aku akan bermalam raya di Bandar Baru Bangi bersama isteri dan anak aku yang baru berusia 11 bulan serta mak, abang, kakak, abang ipar, kakak ipar serta anak-anak saudara aku selepas selesai berkerja petang nanti.

Esok pagi, seperti biasa Solat Sunat Aidilfitri di Surau As-Sobah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi diikuti menziarahi pusara arwah 'Bah' di Sungai Tangkas sebelum pulang ke kampung isteri di Benut, Pontian, Johor.

Tapi raya kali ini tak boleh lama di kampung sebab aku kena kerja di Hari Raya Kedua. Jadi pagi-pagi raya kedua dah kena bertolak ke Kuala Lumpur untuk meneruskan tugas sehingga Hari Raya Kelima.

Jadi bersempena hari raya ini, gambar pagi raya hanya akan dikemaskini pada Hari Raya Pertama nanti. Jadi buat sementara, gambar di atas ialah Gambar Raya Wartawan Sukan Kosmo! yang bakal dimuatkan dalam akhbar Kosmo! keluaran esok (Ahad). Begitu juga gambar di bawah ini, semua warga Kosmo!.

Jangan lupa, esok (Ahad) akhbar Kosmo! akan dijual seperti biasa. Cuma Isnin akhbar Kosmo! tidak dijual. Hari Selasa dan seterusnya, Kosmo! kembali berada di pasaran seperti biasa. (macam iklan promosi je,hehe)

Read More

Hanya 17 pemain pinjaman untuk saingan Piala Malaysia 2009

Penulis sempat bergambar dengan trofi Piala Malaysia selepas Selangor menjuarainya pada tahun 2005

DARIPADA 20 pasukan yang bertanding dalam saingan Piala Malaysia 2009 bermula 26 September depan, hanya sembilan pasukan yang akan menampilkan pemain berstatus pinjaman daripada beberapa pasukan yang tidak layak beraksi.

Seramai 19 pemain sepatutnya menjadi pemain pinjaman tetapi dua permohonan terpaksa ditolak FAM memandangkan pasukan yang mahu meminjam pemain itu gagal mengemukakan bukti pembayaran gaji pemain terbabit sepanjang tempoh pinjaman tersebut.

Pasukan yang dimaksudkan ialah Melaka yang gagal dalam usaha mereka untuk meminjam P. Rajes dari Shahzan Muda dan Mohd Saiful Mustafa dari PKNS.

Berikut ialah senarai sembilan pasukan yang berjaya meminjam pemain untuk saingan Piala Malaysia musim ini dan nama-nama pemain pinjaman mereka yang telah pun diluluskan oleh FAM.

KL PLUS:
MD HARIS SAFWAN MD KAMAL (T-Team)
ROSDI TALIB (T-Team)
MUHD FAKHRURAZI MUSA (T-Team)

KUALA LUMPUR:
AHMAD NURFAIZAL PATRICK ABDULLAH (Felda United)
FAROUK HASHIM (Felda United)
NORISMAIDHAM ISMAIL (Felda United)

PAHANG:
JALALLUDIN ABU JAAFAR (Shahzan Muda)
SHAHRIL FAIZAL AHMAD SHARIFFUDDIN (Shahzan Muda)
ABDUL RAHMAN ABD KADIR (Shahzan Muda)

PERAK:
AZRUL HAZRAN AMILUDIN BAKI (T-Team)
SHAFUAN ADLI SHAARI (T-Team)

KELANTAN:
MOHD NORHISHAM HASSAN (T-Team)
NAZRUL ERWAN MAKMOR (Felda United)

TERENGGANU:
KHAIRUL IZWAN KHALID (Felda United)

NEGERI SEMBILAN:
HAIRUDDIN OMAR (T-Team)

SABAH:
G. MAHATHEVAN (Shahzan Muda)

PERLIS:
MOHD ZAMRI HASSAN (Proton FC)
Read More

Malaysia 5 Lesotho 0


MALAM tadi (11 September), aku sempat ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya untuk menyaksikan perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa menemukan Malaysia dan Lesotho.

Malaysia bimbingan K. Rajagobal dibarisi 100 peratus pemain B-23 manakala Lesotho yang baru diambil alih penolong jurulatih, Leslie Notsi menggabungkan pemain B-23 dan pemain senior mereka.

Malaysia kini di ranking ke-152 dunia sementara Lesotho ranking ke-160 dunia.

Keputusan perlawanan, Malaysia berjaya membelasah Lesotho 5-0 dengan dua gol terhasil pada penghujung separuh masa pertama dan baki tiga gol pada tujuh minit terakhir permainan.

Gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Zaquan Adha Radzak minit ke-40, Norshahrul Idlan Talaha (44), Abdul Manaf Mamat (83 & 90) dan Amirulhadi Zainal (87).

Berikut ialah kesebelasan utama Malaysia pada separuh masa pertama:

1-Farizal Marlias
2-Mat Sabre Abu
7-Aidil Zafuan Radzak (C)
24-Muslim Ahmad
11-Azmi Muslim
21-Amirulhadi Zainal
10-Safiq Rahim
12-Amar Rohidan
23-Baddrol Bakhtiar
8-Zaquan Adha Radzak
9-Norshahrul Idlan Talaha

AKSI MINIT KE MINIT:

Minit 7 - Zaquan sekadar menanduk tinggi hantaran lintang Amirulhadi dari sebelah kanan

Minit 12 - Bokang Mothoana nyaris menemui sasaran tetapi rembatannya sipi ke sebelah kanan gawang Malaysia

Minit 24 - Norshahrul menyepak tepat menuju tiang kanan gawang Lesotho selepas menerima tolakan Zaquan.

Minit 40 - GOL: Zaquan merembat ke pintu gol terbuka selepas pertahanan kanan Lesotho, Thabo Masualle tersalah hantar bola ke arahnya selepas mendapat bola daripada sepakan gol oleh penjaga gol Lesotho, Samuel Ketsekile.

Minit 44 - GOL: Norshahrul berjaya memperdaya Ketsekile yang terkeluar posisi selepas dia berjaya menampan percubaan awal Norshahrul yang menerima hantaran jauh Safiq Rahim.

Minit 67 - Bushy Moletsane menanduk bola sepakan sudut tetapi mujur Safiq berjaya menanduk bola keluar ketika di atas garisan gol.

Minit 72 - Moletsane sekali lagi berpeluang menjaringkan gol selepas dia memperdaya Farizal Marlias. Ketika cuma hanya perlu menolak bola ke dalam gawang, Muslim Ahmad berjaya memintas Moletsane dan menyepak bola keluar.

Minit 83 - GOL: Abdul Manaf Mamat yang baru masuk dua minit dengan mudah menolak masuk bola lorongan Baddrol Bakhtiar dari sebelah kiri.

Minit 87 - GOL: Giliran Amirulhadi pula menolak masuk bola lorongan Abdul Manaf dari sebelah kanan.

Minit 90+2 - GOL: Abdul Manaf menjaringkan gol kedua peribadinya selepas secara solo berjaya memperdaya penjaga gol gantian Lesotho, Lekunutu Tsoeunyane.


PERTUKARAN PEMAIN MALAYSIA:

17-Bunyamin Umar menggantikan 12-Amar Rohidan (M-57)
13-Ahmad Fakri Saarani menggantikan 2-Mat Sabre Abu (M-66)
4-Asraruddin Putra Omar menggantikan 11-Azmi Muslim (M-69)
18-Abdul Manaf Mamat menggantikan 8-Zaquan Adha (M-81)
20-Ahmad Shakir Md Ali menggantikan 9-Norshahrul Idlan (M-81)
22-Syed Adney menggantikan 1-Farizal Marlias (M-82)

SIMPANAN TIDAK DIGUNAKAN:

3-Mahali Jasuli, 5-Mazlizam Mohamad, 6-Faizal Muhammad, 14-Khairul Helmi Johari, 15-K.Gurusamy, 16-S.Kunanlan, 19-Farderin Kadir.
Read More

11 September & Skuad B-23

Kapten Malaysia, Hairuddin Omar (kiri) bersaing dengan pemain Vietnam pada perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada tarikh 11 September 2001

PADA tarikh ini lapan tahun yang lalu (11 September 2001), seluruh dunia telah dikejutkan dengan kejadian pesawat penumpang merempuh Menara WTC di Amerika Syarikat. Satu tragedi yang cukup dahsyat.

Ketika itu, aku merupakan pelajar tahun satu di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan baru berusia 19 tahun.

Sewaktu menerima berita kejadian itu menerusi kiriman SMS daripada rakan, aku sedang berada di Stadium Nasional, Bukit Jalil, menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia bertemu Vietnam untuk aksi terakhir Kumpulan B bagi saingan Sukan SEA 2001.

Walaupun dikejutkan dengan kejadian WTC itu, skuad B-23 kebangsaan tetap cemerlang apabila berjaya menewaskan Vietnam 2-0 untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Pada separuh akhir dua hari kemudian, Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 tetapi gagal juga menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA sejak 1989 apabila tewas 0-1 kepada Thailand pada final di Stadium Shah Alam, hasil jaringan sendiri penjaga gol, Kamaruzzaman Hassan pada minit terakhir perlawanan.

Hari ini, selepas lapan tahun berlalu, tarikh 11 September muncul lagi dan sekali lagi aku akan pergi menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan skuad B-23 kebangsaan.

Tapi kali ini bukan untuk saingan Sukan SEA , hanya sekadar perlawanan persahabatan menjelang saingan sebenar Sukan SEA 2009 di Laos, Disember depan.

Semoga skuad B-23 bimbingan K. Rajagobal berjaya mengulangi kemenangan yang dicatat skuad B-23 negara ketika tarikh yang sama pada 2001 apabila mereka turun menentang skuad kebangsaan Lesotho di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 10 malam ini.
Read More

09-09-09 - Hanya tarikh tumbuh gigi

Tarikh 9 September 2009 (09-09-09) telah berlalu begitu saja selepas 24 jam ia singgah dalam kehidupan aku ini.

Tiada apa-apa kejutan, tiada sebarang durian runtuh (contohnya tiba-tiba ada orang call beritahu anda menang RM1 juta ke, anda menang peraduan bla bla bla) atau tiada juga malapetaka yang menimpa (alhamdulillah).

Semuanya seperti biasa kecualilah apabila aku pulang ke rumah kira-kira pukul 11 malam tadi.

Isteriku memberitahu yang anak kami, Wan Adriana (gambar) sudah tumbuh gigi. Hehehe,boleh la, kira ada jugalah peristiwa yang boleh dikenang sempena 09-09-09 ni.

Wan Adriana memang patut dah tumbuh gigi pun sebab 13 September nanti (Ahad ini), dia dah genap 11 bulan pun. Lagi sebulan je nak cukup setahun umur dia.

Tapi bak kata mak aku, Wan Adriana mungkin ikut jejak ayah dia yang masa zaman bayinya dulu pun lambat tumbuh gigi. Tak mengapalah, bukan jadi masalah besar pun tumbuh gigi awal ke tak, yang penting gigi tu tumbuh kan.

Kepada Wan Adriana, semoga cepat tumbuh banyak gigi. Nanti senang ayah nak sumbat macam-macam makanan.

Yang pasti, tarikh 09-09-09 bagi aku bolehlah dikenang sebagai hari anak sulung aku tumbuh gigi. Kira okaylah daripada tak ada apa-apa langsung.





Read More

Digantung sekolah 10 tahun yang lalu

PADA tarikh hari ini 10 tahun yang lalu, aku masih ingat aku hanya 'bercuti' di rumah aku di Bandar Baru Bangi biarpun aku masih bersekolah di tingkatan lima di MRSM Jasin, Melaka dan ketika itu bukanlah cuti persekolahan.

Nak tahu kenapa? Baca sajalah isi kandungan surat yang ditulis oleh Penolong Pengetua MRSM Jasin ketika itu, Cikgu Mohd. Halim Bin Redzwan pada September 1999 seperti di bawah ini.

Sila klik surat di bawah ini untuk membaca isi kandungannya.





Tapi itu kisahnya 10 tahun yang lalu ketika darah muda sedang panas. Kini setelah berusia 27 tahun, aku lebih matang dalam membuat keputusan dan tindakan.
Read More

Skuad Rajagobal pakar seri?


BARU sebentar tadi, skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal yang dibarisi pemain-pemain bawah 23 tahun (B-23) telah berjaya mengikat skuad kebangsaan Jordan 0-0 di Stadium Raja Abdullah, Amman, Jordan.

Tahniah diucapkan kepada skuad muda negara itu kerana berjaya menamatkan siri jelajah ke Asia Barat dengan satu keputusan seri setelah tewas 1-2 kepada skuad kebangsaan Arab Saudi (Ahad lalu) dan tewas 0-1 kepada kelab Arab Saudi, Al-Qadisyah.

Jelas skuad kebangsaan kini sudah berjaya menghindarkan diri mereka daripada imej budak belasahan setiap kali berdepan pasukan-pasukan kuat seperti kebiasaan yang berlaku sebelum Rajagobal mula mengambil alih tugas jurulatih kebangsaan pada 20 April 2009.

Tapi, timbul pula imej baru apabila skuad B-23 kebangsaan ini boleh dianggap 'pakar seri' kerana daripada 17 perlawanan persahabatan yang diharungi sejak Rajagobal menjadi jurulatih, mereka menang 7 kali, seri 4 kali dan tewas 6 kali.

Paling ketara, skuad B-23 ini telah seri 0-0 dengan skuad Liga Super Selangor pada aksi sulung mereka pada 9 Mei lalu, Kenya (12 Ogos), China (15 Ogos) dan terbaru Jordan (5 September).

Dari satu sudut, ia membuktikan benteng pertahanan skuad B-23 negara ini cukup mantap tetapi dari satu segi yang lain, ia menampakkan betapa jentera serangan kita masih belum cukup tajam.

Jadi, bertemu skuad kebangsaan Lesotho yang lebih rendah rankingnya berbanding Malaysia pada Jumaat ini (11 September) di Stadium KLFA, Cheras, pukul 9 malam, tiada apa yang perlu dibuktikan skuad bimbingan Rajagobal ini kecuali berjaya menjaringkan gol.

Itu lebih penting kerana jika kita mahu memenangi pingat emas di Sukan SEA di Laos, Disember depan, kita tidak boleh bergantung dengan keputusan seri saja dan wajib mencapai kemenangan. Jika mahu menang, mestilah kena jaringkan gol.

Walaupun Zaquan Adha Radzak bolehlah dianggap penggempur utama skuad B-23, tapi sentuhan pemusnah yang dimiliki penyerang Negeri Sembilan ini masih belum cukup tajam.

Selain itu Malaysia turut belum memiliki gandingan penyerang yang betul-betul 'steady' kerana peluang dilihat masih sama rata buat Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Shakir Md. Ali, Ahmad Fakri Saarani, Abdul Manaf Mamat dan Farderin Kadir untuk bergandingan dengan Zaquan.

Tapi mungkin juga mereka mampu meledak ketika berdepan lawan serantau pada Sukan SEA nanti dengan anggapan kebuntuan ketika berdepan Kenya, China dan Jordan berpunca daripada status atau tahap pasukan lawan itu yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.

PERLAWANAN-PERLAWANAN PERSAHABATAN SKUAD B-23 KEBANGSAAN:

9 Mei 2009 - Malaysia 0-0 Selangor (SERI)
21 Mei 2009- Malaysia 3-0 Singapura B-23 (MENANG)
26 Mei 2009 - Malaysia 1-0 Negeri Sembilan (MENANG)
3 Jun 2009 - Malaysia 2-3 Nan Chang 81 FC (KALAH)
6 Jun 2009 - Malaysia 1-4 Shanghai Shenhua (KALAH)
8 Jun 2009 - Malaysia 2-1 Shanghai Zhong Bang (MENANG)
13 Jun 2009 - Malaysia 1-0 Indonesia B-23 (MENANG)

12 Julai 2009- Malaysia 4-0 Zimbabwe (MENANG)
14 Julai 2009- Malaysia 1-0 Zimbabwe (MENANG)
18 Julai 2009- Malaysia 2-3 Manchester United (KALAH)
20 Julai 2009- Malaysia 0-2 Manchester United (KALAH)
9 Ogos 2009 - Malaysia 3-1 Kedah (MENANG)
12 Ogos 2009- Malaysia 0-0 Kenya (SERI)
15 Ogos 2009- Malaysia 0-0 China (SERI)
30 Ogos 2009- Malaysia 1-2 Arab Saudi (KALAH)
1 Sept 2009 - Malaysia 0-1 Al-Qadisyah (KALAH)
5 Sept 2009 - Malaysia 0-0 Jordan (SERI)

11 Sept 2009 - Malaysia lwn Lesotho
Read More

UPB-MyTeam tetap sertai Piala Malaysia


DUA minggu lepas, aku ada terbaca satu artikel ditulis Bernama, yang mengatakan UPB-MyTeam tidak akan beraksi dalam Piala Malaysia musim ini.


Sila lihat artikel di bawah ini:

19 Ogos, 2009 21:34 PM

Kedah Tagih Khidmat Shakir, Bunyamin Bagi Pertahan Piala Malaysia

ALOR SETAR, 19 Ogos (Bernama)-- Juara bertahan Piala Malaysia, Kedah sedang berusaha mendapatkan khidmat dua pemain yang pernah mewakili pasukan itu iaitu Ahmad Shakir Mohd Ali dan Mohd Bunyamin Omar bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan bermula penghujung bulan depan.

Ketua jurulatihnya Mohd Azraai Khor Abdullah berkata rundingan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang dilakukan agar dua pemain itu dapat menyarung jersi Hijau Kuning.

bla..bla...bla...

Ahmad Shakir merupakan penyerang skuad Harimau Muda yang muncul juara Liga Perdana musim ini, manakala Bunyamin pula bermain untuk pasukan UPB-MyTeam yang tidak akan beraksi untuk Piala Malaysia.

bla...bla...bla...

Rujuk link ini untuk berita sepenuhnya

Tapi itu semua tak benar sebenarnya sebab baru saja malam tadi (Jumaat) aku pergi menjengah satu perlawanan persahabatan di antara UPB-MyTeam bertemu Felda United di Padang MSN, Bukit Jalil.

Jadi buat apa UPB-MyTeam sibuk-sibuk nak buat perlawanan persahabatan jika mereka tidak beraksi pada Piala Malaysia nanti?

Sebenarnya UPB-MyTeam tetap akan beraksi dalam Piala Malaysia bermula 26 September depan dengan barisan pemain sedia ada biarpun semua tahu yang mereka mengalami masalah kewangan.

Pada perlawanan persahabatan tadi yang bermula pukul 10.30 malam, UPB-MyTeam mencatat keputusan seri 1-1 dengan Felda United. Kedua-dua gol dijaringkan pada separuh masa pertama.

Felda United mendahului menerusi jaringan Hasmawi Hassan sebelum V. Saravanan menyamakan kedudukan untuk UPB-MyTeam hasil sepakan penalti.

UPB-MyTeam selepas ini bakal mengadakan beberapa lagi perlawanan persahabatan iaitu bertemu Negeri Sembilan di Paroi pada Selasa ini .

Ia diikuti aksi bertemu skuad B-16 kebangsaan, KM Naza dan Kelantan selepas itu.

UPB-MyTeam bakal memulakan aksi sulung saingan Kumpulan C bertemu Perak di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 26 September depan.

Dua lagi pasukan dalam kumpulan tersebut ialah Johor FC dan Kuala Lumpur.
Read More

Drama bersiri '10' di Astro Citra

MUNGKIN ada yang telah terlepas pandang dengan satu drama bersiri terbaru bertajuk '10' ini.

Ia ditayangkan sepanjang bulan September ini iaitu setiap Rabu dan Khamis (9.00-10.00pm) di saluran 131, Astro Citra. (Kena langgan pakej Mustika baru boleh layan)

'10' sebenarnya sudah bersiaran dua episod dan masih berbaki lagi enam episod.

Cerita ini sesuai untuk peminat-peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong Selangor yang pastinya ketika ini tidak tahu apa nak dibuat kerana Liga Malaysia sedang bercuti sementara menunggu sepak mula Piala Malaysia pada 26 September depan.

Jadi dengan menonton '10' ini, mungkin semangat untuk kita sama-sama membanjiri stadium-stadium berdekatan untuk menonton aksi liga bola sepak tempatan kembali melonjak.

'10' mengisahkan tentang pasukan Selangor FC ketika era 80-an yang terpaksa membina semula pasukan mereka untuk merampas kembali Piala Sultan setelah mereka tewas kepada pasukan Singapura pada final musim sebelumnya.

Pelakon-pelakonnya terdiri daripada Beto Kusyairy, Norman Hakim, Anding, Cheryl Samad, Intan Ladyana, Radhi Khalid dan ramai lagi.

Skrip '10' dihasilkan oleh Manesh Nesaratnam dan Ng Ping Ho manakala diarahkan oleh Manesh dan juga Joyce Low.

'10' merupakan sebuah produksi Popiah Pictures.

Berdasarkan jalan cerita pada dua episod awal ini, nampak macam menarik cerita ini.

Ia dibantu reputasi cemerlang Popiah Pictures yang pernah menerbitkan drama bersiri 'Ghost' dan 'Ghost 2' di 8TV, sekali gus menjanjikan drama bersiri '10' ini pasti akan menampilkan sesuatu yang menarik untuk ditonton.

Bagi yang telah terlepas menonton Episod 1 dan Episod 2, ulangannya akan disiarkan seperti jadual di bawah ini sehinggalah Episod 3 menyusul pada Rabu, 9 September, pukul 9 malam.

JADUAL TAYANGAN DRAMA BERSIRI 10 (MINGGU PERTAMA)

Rabu, 2/9/09 - Episod 1 (9.00pm)
Khamis, 3/9/09 - Episod 1 (12.15pm), Episod 2 (9.00pm)
Jumaat, 4/9/09 - Episod 2 (1.15pm)
Sabtu, 5/9/09 - Episod 1 (6.00pm)
Ahad, 6/9/09 - Episod 2 (6.00pm)
Isnin, 7/9/09 - Episod 1 (10.45pm), Episod 2 (11.45pm)
Selasa, 8/9/09 - tiada
Rabu, 9/9/09 - Episod 3 (9.00pm)
Khamis, 10/9/09 - Episod 3 (2.00pm), Episod 4 (9.00pm)
Read More

5 aksi Harimau Muda di Slovakia


SKUAD pelapis bola sepak kebangsaan atau lebih dikenali sebagai Harimau Muda kini berada di Slovakia dari 1 hingga 18 September untuk kem latihan dan siri perlawanan persahabatan.

Malam tadi, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee telah mengirimkan e-mel kepada saya untuk memaklumkan jadual perlawanan yang bakal diharungi anak-anak buahnya sepanjang berada di sana.

Berikut ialah lima perlawanan yang telah diatur untuk skuad Harimau Muda:

Khamis, 3 September 2009:
Harimau Muda 4-0 Slovan Levice B-20
Gol: A. Thamil Arasu (2), Wan Zack Haikal Wan Nor, D. Saarvindran

Selasa, 8 September 2009:
Harimau Muda 1-2 Honved Budapest B-20
Gol: Wan Zack Haikal Wan Nor

Rabu, 9 September 2009:
Harimau Muda 1-2 Spartak Trnava B-20
Gol: Khairul Izuan Rosli

Selasa, 15 September 2009:
Harimau Muda lwn Banska Bystraca B-20

Rabu, 16 September 2009:
Harimau Muda lwn skuad B-19 kebangsaan Slovakia

Skuad Harimau Muda dibarisi seramai 26 orang pemain dari kelompok umur 16 tahun hingga 20 tahun.

Bagaimanapun enam pemain yang telah membantu Harimau Muda muncul juara Liga Perdana 2009 tidak turut serta iaitu K. Gurusamy, Ahmad Shakir Md. Ali, Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fandi Othman dan Faizal Muhammad.

Ini kerana mereka sedang bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan yang dalam persiapan untuk menghadapi Sukan SEA di Laos Disember depan.

Skuad Harimau Muda selepas ini akan menghadapi Kejohanan Jemputan Piala Newspaper 2009 di Vietnam bermula 8 Oktober depan.

Baki pemain yang masih berusia 18 tahun dan ke bawah pula akan membawa cabaran Malaysia pada pusingan kelayakan Kejuaraan B-19 Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2010 di China pada November depan.

SENARAI 26 ORANG PELATIH SKUAD HARIMAU MUDA KE SLOVAKIA:

K. Sasikumar, Zamir Selamat, Syamim Othman, Khairul Izzuwan Shaari, A. Thamil Arasu, Ahmad Aminuddin Shaharudin, Fadhli Saas, Haziq Zikri Elias, Muszaki Abu Bakar, Irfan Fazail, Zulhariz Mohamad Nor, Gary Steven Robat, Nazrin Baharudin, Izzaq Faris Ramlan, Wan Zack Haikal Wan Nor, D. Saarvindran, V. Kavi Chelvan, Bashahrul Abu Bakar, Yusaini Hafiz Che Saad, Affize Faisal Mamat, Khairul Izuan Rosli, S. Sivanesan, Wan Zaharulnizam Zakaria, Amer Saidin, Alif Fadhil Ismail dan Nicholas Wee Sheng Ming.
Read More

Genap dua tahun arwah pergi



TARIKH 2 September sudah pasti akan diingati sampai bila-bila.

Pada tarikh yang sama dua tahun lalu (2007), ayahandaku, Hj. Wan Bakar Hj. Wan Dagang telah kembali ke rahmatullah di Wad CCU, Hospital Serdang pada usia 60 tahun selepas 17 hari beliau tidak sedarkan diri di hospital berkenaan akibat mengalami serangan jantung pada 17 Ogos 2007.

Agak terkilan juga kerana ketika arwah menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 8.30 pagi Ahad itu, aku tidak dapat berada di sisinya di hospital berkenaan.

Ini kerana, malam sebelum kejadian, aku telah bertolak pulang ke Kuantan (ketika itu aku bertugas di Kosmo! Biro Pahang) kerana aku perlu berkerja pada hari Ahad itu.

Ingat lagi, aku bertolak sekitar pukul 10 malam dan tiba di Bukit Sekilau, Kuantan sekitar pukul 1 pagi dan terus melayan aksi EPL antara Manchester United bertemu Sunderland bersama-sama dua rakan serumah, Rushdi Salleh (Jurufoto Kosmo! Biro Pahang) dan Hafizh Khosmat (bekas stringer Kosmo! Biro Pahang yang kini merupakan jurufoto Utusan & Kosmo! di KL).

Selepas tamat perlawanan, aku terus melenakan diri kerana letih memandu dan hanya bangun untuk solat Subuh dan kembali menyambung tidur (kerana masuk kerja pukul 10 pagi).

Namun pada pukul 8.15 pagi Ahad itu, abang aku tiba-tiba telefon dan memberitahu ayah aku sudah nazak dan kurang 20 minit kemudian, dia telefon semula lalu memaklumkan ayah aku telah pun menghembuskan nafas terakhirnya. Innalillah...

Aku terus memaklumkan perkara itu kepada bos aku, Radhuan Hussain (Ketua Kosmo! Biro Pahang ketika itu) dan mula bertolak dari Kuantan pada pukul 9 pagi dengan memecut laju sepanjang perjalanan sehinggalah berjaya tiba di Bandar Baru Bangi tepat pukul 11.30 pagi.

Mujur sempat untuk aku sama-sama memandikan jenazah dan menyertai solat jenazah sebelum menuju ke Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi di Kampung Sungai Tangkas (berdekatan Stesen Komuter UKM).

Arwah selamat dikebumikan pada tengah hari itu dalam cuaca hujan yang tiba-tiba turun mencurah seakan menangisi pemergian individu yang telah banyak berjasa kepada aku sepanjang tempoh 25 tahun (sehingga 2007).

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Insyaallah.

Al-Fatihah....

Hj. Wan Bakar Bin Hj. Wan Dagang
(25 Disember 1947 hingga 2 September 2007)
Read More