Rentap Futsal 2: Gelaran juara milik pasukan baru


KEJOHANAN Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang berakhir semalam menyaksikan tiada satu pun pasukan berjaya mempertahankan kejuaraan kategori yang mereka menangi pada edisi pertama tahun lalu.

Kategori Terbuka Lelaki menyaksikan pasukan Real bimbingan bekas pemain futsal kebangsaan, Jamhuri Zainuddin muncul juara.

Pada aksi final menentang Kesas FC, kedudukan terikat 0-0 dan Real menang 2-0 menerusi penentuan sepakan penalti hasil kecemerlangan penjaga golnya, Muhammad Syafiq Hamzah.

Real terdahulu berjaya menyingkirkan juara tahun lalu bagi kategori itu, Gelombang B pada suku akhir.

Bagi kategori Lelaki Larut Malam pula, Brabus United B muncul juara selepas menewaskan Alle FC 1-0 pada aksi final.

Mohd. Alif Heikal Samsul berjaya menjaringkan gol kemenangan Brabus United B pada babak kedua.

Ia sekali gus menebus kekecewaan Brabus United yang sekadar meraih tempat ketiga kategori Lelaki Terbuka tahun lalu serta kandas di pusingan ketiga kategori Superstar tahun ini.

Hadiah-hadiah kepada Brabus United disampaikan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong dan Ketua Perhubungan Awam Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali.

Sementara itu, Fauzio FC B berjaya mencipta kejutan apabila menjuarai kategori Lelaki Bawah 18 Tahun setelah menewaskan RSP FC 2-0 pada final.

Mohd. Muzhaffar Abd. Wahab muncul wira apabila meledak kedua-dua gol buat Fauzio FC B.

Bagi kategori Terbuka Wanita, Putra Ria A bergelar juara apabila menang tipis 1-0 ke atas Phoenix RC A pada aksi final.

Kekecewaan berganda dirasai Phoenix RC A yang turut tewas pada final tahun lalu kepada Ziemal FC ketika mereka menggunakan nama Figos Alpha.

Dalam pada itu, penyerang skuad futsal kebangsaan, Khairul Effendy Bahrin yang beraksi untuk Real bagi kategori Terbuka Lelaki dan PKNS KSR A bagi kategori Superstar dipilih sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.

Khairul, 24, menerima hadiah berupa pakej percutian mewah tajaan Star Cruises untuk dua orang dari Pulau Pinang ke Phuket dan Krabi, Thailand bernilai RM4,880. Hadiah percutian yang sama turut dimenangi oleh pemain terbaik kategori Rentap Superstar, Muhammad Aizat Zainal Ariffin.

SENARAI PEMENANG KATEGORI RENTAP SUPERSTAR

Juara: Royale Putra (RM25,000 + hadiah sampingan)
Naib juara: Belalang Pak Aby (RM10,000)
Ketiga: Dani FC B (RM3,000)
Keempat: Court Soccer (RM1,500)
Kelima-Kelapan: Dani FC A, Tempo, DJ Square, YT All Star (RM500 setiap pasukan)
Pemain terbaik: Muhammad Aizat Zainal Arifin (Royale Putra).

SENARAI PEMENANG KATEGORI TERBUKA LELAKI

JUARA: Real (RM25,000)
NAIB JUARA: Kesas FC (RM10,000)
KETIGA: Bertam Ulu (RM3,000)
KEEMPAT: Khazzanah Alam (RM1,500)
KELIMA-KELAPAN: Belalang, Kuat Perkasa FC, Gaung FC, Gelombang B (RM500 setiap pasukan)
PEMAIN TERBAIK: Muhammad Syafiq Hamzah (Real)

SENARAI PEMENANG KATEGORI LELAKI LARUT MALAM

JUARA: Brabus United B (RM20,000)
NAIB JUARA: Alle FC (RM10,000)
KETIGA: KRT Ros Merah (RM3,000)
KEEMPAT: Miniral Water (RM1,500)
KELIMA-KELAPAN: Stalwartz, MKAJ Prima, DRE FC, Smart Herbs (RM500 setiap pasukan)
PEMAIN TERBAIK: Mohd. Alif Heikal Samsul (Brabus United B)

SENARAI PEMENANG KATEGORI LELAKI BAWAH 18 TAHUN

JUARA: Fauzio FC B (RM10,000)
NAIB JUARA: RSP FC (RM2,500)
KETIGA: KFK Junior (RM1,500)
KEEMPAT: Court Soccer Jr. (RM1,000)
KELIMA-KELAPAN: BKPKA Kg. Bharu, Ajass A, Sala O Jr., DRE Junior (RM300 setiap pasukan)
PEMAIN TERBAIK:Mohd. Muzhaffar Abd. Wahab (Fauzio FC B)

SENARAI PEMENANG KATEGORI LELAKI BAWAH 12 TAHUN

Juara: Peteh (RM5,000)
Naib juara: Abyad Dani (RM1,000)
Ketiga: Penyu (RM750)
Keempat: Sri Remaja Kapar (RM500)
Kelima-Kelapan: CT Nur Nilam, Perantau, Pro Star FC (RM200 setiap pasukan)
Pemain terbaik: Mohd. Zarif Fahmi Zalani (Peteh)

SENARAI PEMENANG KATEGORI TERBUKA WANITA

JUARA: Putra Ria Tia Amelia A (RM10,000)
NAIB JUARA: Phoenix RC A (RM2,500)
KETIGA: Rebel Pahang FC (RM1,500)
KEEMPAT: Putra Ria Tia Amelia B (RM1,000)
KELIMA-KELAPAN: Berungis FC, Grab FC, OT Gurlz, Spartans Junior (RM300 setiap pasukan)
PEMAIN TERBAIK: Zawani Nisha Habib Rahman (Putra Ria Tia Amelia A)

PEMAIN TERBAIK KEJOHANAN: Khairul Effendy Bahrin (Real)
Read More

Arsenal datang Malaysia 13 Julai


ARSENAL menjadi pasukan Liga Perdana England kedua sah akan menentang skuad bola sepak kebangsaan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 13 Julai depan.

Terdahulu, naib juara musim ini, Chelsea telah pun mengesahkan akan turun bertemu skuad kebangsaan di gelanggang yang sama pada 21 Julai depan.

Tidak cukup itu, Liverpool juga dikhabarkan akan bertemu skuad kebangsaan pada 16 Julai depan tetapi sidang media pengesahannya dijangka akan dibuat awal bulan depan.

Ia menjadikan pertengahan Julai depan minggu paling sibuk dan meriah buat peminat bola sepak negara kerana tiga perlawanan itu akan berlangsung dalam tempoh seminggu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kehadiran tiga kelab dari England itu merupakan satu pengiktirafan selepas kejayaan Malaysia bergelar jagoan Asia Tenggara setelah menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan Sukan SEA 2009.

“Bagi saya ia secara tak langsung merupakan satu platform buat skuad kebangsaan kita mendapat perlawanan pendedahan yang cukup baik. Pasti ia sesuatu yang tidak dijangka para pemain kita.

“Ini satu peluang keemasan buat setiap pemain terutamanya pemain muda. Tiga perlawanan hebat dalam seminggu. Saya rasa pasukan England atau Brazil pun tak dapat peluang sebegini.

“Jadi harap pemain gunakan sepenuhnya peluang ini. Kalau masih muda, saya pun nak bermain sama,” kata Tengku Abdullah pada sidang media pengumuman tarikh Jelajah Asia Arsenal 2011 di Hotel Saujana, Subang pagi semalam.

Tiket berharga RM58, RM68, RM108 dan RM388 mula dijual pada Jumaat ini di butik Nike Mid Valley, KLCC, Pavilion, One Utama dan Sunway Pyramid serta rangkaian Ticketpro seluruh negara atau secara online di www.ticketpro.com.my.

Pembelian awal akan disertaikan pas masuk percuma menyaksikan sesi latihan pasukan Arsenal di Stadium Nasional pada 12 Julai depan.

Pesan Tengku Abdullah: “Biarpun saya penyokong Arsenal sejak kecil, saya tetap jiwa Malaysia. Harap lebih ramai hadir berjersi kuning daripada berjersi merah. Semangat negara perlu didahulukan daripada keghairahan peribadi.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Arsenal, Tom Fox yang turut hadir pada sidang media itu menyatakan bahawa China menjadi satu lagi destinasi Jelajah Asia 2011 setelah rancangan ke Jepun dibatalkan kerana tragedi tsunami.

“Ini merupakan kali keempat Arsenal ke Malaysia setelah kali pertama pada 1968 dan kali terakhir kira-kira 12 tahun lalu iaitu pada 1999.

“Sempena ulangtahun ke-125 kelab, kami mahu memulakan pra musim dengan perancangan rapi dan akan menurunkan pemain dari skuad utama untuk perlawanan di Kuala Lumpur nanti,” kata Fox.
Read More

Isu stadium selesai - Azzuddin


“SEMUA pihak akan sama-sama untung dalam hal ini.”

Demikian jelas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berhubung isu siapa perlu membayar kos ganti rugi RM500,000 bagi penangguhan kerja-kerja penggantian trek olahraga di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Menurut Azzuddin, dia telah bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kelmarin dan satu formula penyelesaian telah dipersetujui semua pihak terlibat dengan semangat kesukanan.

“Pertamanya, para peminat bola sepak tempatan akan dapat hadir menyaksikan perlawanan di stadium yang selesa ini.

“Keduanya, FAM akan membayar sewa stadium ini pada kadar biasa untuk enam perlawanan termasuk Kelayakan Olimpik dan Kelayakan Piala Dunia serta tiga pertemuan dengan kelab Liga Perdana England.

“Ketiganya, pihak Kementerian Belia dan Sukan dan Perbadanan Stadium Malaysia akan membayar kos ganti rugi itu kepada pihak kontraktor.

“Jadi ia terpulang kepada kebijaksanaan mereka berunding dengan kontraktor bagi memohon ganti rugi kurang daripada RM500,000.

“Tapi bagi saya, dengan bayaran sewa untuk enam perlawanan ini daripada FAM, ia dapat menampung pembayaran kepada kontraktor,” kata Azzuddin ketika ditemui di Hotel Saujana, Subang pagi semalam.

Azzuddin turut mengesahkan bahawa final Piala FA menemukan Kelantan dan Terengganu pada 11 Jun depan akan berlangsung di Stadium Nasional.

“Secara prinsipnya kita sudah mendapat persetujuan untuk menggunakan Stadium Nasional bagi kesemua perlawanan ini kerana kerja-kerja penurapan trek baru olahraga itu hanya akan disambung semula awal Ogos depan,” jelas Azzuddin.
Read More

Bola sepak Sukan SEA 2011 di Malaysia?


MASALAH yang melanda Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mungkin menyebabkan acara bola sepak tidak dapat dijalankan pada Sukan SEA 2011 di Jakarta dan Palembang, November depan.

Justeru, bagi memastikan acara bola sepak tidak dikeluarkan terus daripada jadual Sukan SEA 2011, ia mungkin terpaksa diadakan di negara jiran Indonesia termasuk Malaysia.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, adalah satu kehilangan besar andai acara bola sepak tidak dapat dijalankan pada saingan Sukan SEA 2011.

“Isu yang melanda PSSI mungkin menyebabkan Indonesia akan digantung daripada menyertai kejohanan antarabangsa atau menganjurkan sesuatu kejohanan. Tapi saya masih berharap penggantungan itu tidak berlaku.

“Harap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menimbang supaya Indonesia tetap dibenar menganjurkan acara bola sepak Sukan SEA.

“Kalau diizinkan, kita boleh adakan acara ini di negara jiran lain demi meneruskan semangat Asean. Tapi jika tidak, kita perlu anjur satu kejohanan lain sebagai ganti,” katanya pada sidang media di Hotel Saujana, Subang pagi semalam.

PSSI berdepan penggantungan FIFA selepas mereka gagal melantik pucuk pimpinan baru pada Jumaat lalu, melewati tarikh akhir yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak dunia itu.

Nasib PSSI akan diketahui pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FIFA pada 30 Mei ini.

Pada saingan Sukan SEA 2009 di Laos, skuad bola sepak B-23 kebangsaan berjaya menamatkan kemarau pingat emas selama 20 tahun setelah menewaskan Vietnam 1-0 pada aksi final.

Justeru, skuad B-23 negara kendalian Ong Kim Swee bakal turun pada saingan Sukan SEA 2011 dengan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi anak-akan buah K. Rajagobal itu.

Tambah Tengku Abdullah: “Isu penganjuran acara bola sepak ini akan dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat Sukan SEA pada 17 Julai depan dan selepas itu kita akan dapat mengetahui keputusannya.”
Read More

Format Liga Super 2012 diputus bulan depan


NASIB juara Liga Premier musim ini, PKNS FC dan naib juaranya, Sarawak hanya akan diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) awal bulan depan.

PKNS FC dan Sarawak sepatutnya layak untuk beraksi pada Liga Super 2012 berdasarkan kejayaan mereka menduduki dua slot teratas Liga Premier musim ini.

Namun kebimbangan dirasai kedua-dua pasukan itu berikutan cadangan ‘tiba-tiba’ Jawatankuasa Malaysia Super League (MSL) pada bulan lalu untuk mengurangkan jumlah pasukan dalam Liga Super 2012 daripada 14 kepada 12 pasukan.

Timbul pelbagai spekulasi termasuk kedua-dua pasukan itu tidak akan layak secara automatik ke Liga Super 2012 dan perlu mengharungi aksi playoff.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya masih tidak dapat membuat sebarang ketetapan berhubung perkara tersebut buat masa ini.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat mengumumkannya lagi. Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM akan membentangkan perkara ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang akan datang.

“Jadi adalah lebih baik atau adil Pengerusi JKPT FAM membentangkan terlebih dahulu perkara ini. Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dijangka berlangsung awal Jun ini,” kata Azzuddin ketika ditemui di Hotel Saujana, Subang pagi semalam.

Jawatankuasa MSL dipengerusikan Tan Sri Annuar Musa manakala JKPT dipengerusikan Datuk Hamidin Mohd. Amin yang kini sedang mengerjakan umrah.

Namun adalah sesuatu yang tidak adil andai PKNS FC dan Sarawak dinafikan tempat ke Liga Super 2012 kerana cadangan Jawatankuasa MSL itu hanya dibuat ketika saingan musim ini sedang rancak berlangsung.

Andai pengurangan kepada 12 pasukan itu tetap mahu dibuat, adalah lebih wajar ia hanya dilaksanakan pada Liga Super 2013 dan pengumumannya pula perlulah dibuat sebelum saingan Liga Malaysia 2012 bermula.
Read More

Harimau Muda A masih simpan kuku


PERSEMBAHAN Harimau Muda A ketika mengikat Kelantan 2-2 di Stadium Shah Alam malam kelmarin dianggap aksi terbaik skuad Olimpik negara itu sepanjang saingan Liga Super musim ini.

Namun jurulatihnya, Ong Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya terlalu cepat sampai ke kemuncak prestasi pada ketika ini.

Sebaliknya dia mahu para pemainnya mengekalkan rentak tersebut secara konsisten sehingga aksi pusingan kedua Kelayakan Sukan Olimpik 2012 menentang Lebanon pada 19 dan 23 Jun depan.

"Inilah persembahan terbaik kami setakat ini. Cuma saya tidak mahu para pemain mencapai kemuncak prestasi terlalu awal.

"Kita masih ada dua perlawanan Liga Super bulan ini iaitu bertemu Selangor pada Rabu ini (esok) dan Sabah pada Sabtu ini sebelum mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada 7 Jun dan Qatar pada 13 Jun.

"Saya harap kami berada pada landasan yang betul ketika ini untuk menuju ke perlawanan sebenar menentang Lebanon nanti," kata Kim Swee ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Pada aksi tersebut, Harimau Muda A mendahului dua kali menerusi dua jaringan Izzaq Faris Ramlan sebelum Kelantan menyamakan kedudukan hasil jaringan S. Chanthuru dan Norshahrul Idlan Talaha.

"Semua posisi masih perlu diperbaiki. Kami sekali lagi dibolosi pada 10 minit terakhir permainan. Tapi tak dinafikan Norshahrul sememangnya penyerang terbaik negara.

"Jadi saya anggap perlawanan menentang Selangor selepas ini sebagai titik kebangkitan kami untuk kembali mencatat kemenangan," jelas Kim Swee.

Kem latihan skuad Olimpik negara bakal bermula Ahad ini dengan 26 pelatih iaitu 20 pemain Harimau Muda A dan enam pemain luar iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani, Faizal Abu Bakar, D. Saarvindran, Fandi Ahmad dan Zubir Azmi.

Read More

Liga Super 2011: Kelantan kekal status pendahulu


KELANTAN kekal di tangga teratas Liga Super meskipun sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam malam tadi.

Izzaq Faris Ramlan meletakkan Harimau Muda A di hadapan pada minit ke-13 menerusi lambungan cantik menewaskan Khairul Fahmi Che Mat hasil hantaran jauh penjaga golnya, Izham Tarmizi Roslan.

Namun Kelantan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-31 setelah S. Chanthuru menanduk masuk sepakan sudut Badhri Radzi.

Harimau Muda A kembali di hadapan pada minit ke-69, juga hasil ledakan Izzaq Faris yang menyudahkan hantaran cantik Fandi Othman dari sebelah kiri.

Bagaimanapun, Norshahrul Idlan Talaha muncul penyelamat Kelantan apabila berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-86 hasil rembatan dari dalam kotak penalti menewaskan Izham Tarmizi.

Sementara itu, Terengganu berjaya merampas tangga kedua daripada Selangor setelah mudah menewaskan Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Abdul Manaf Mamat meledak dua gol pada minit ke-26 dan 57, manakala satu lagi gol disumbang Ashari Samsudin minit ke-64.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Selangor terus bernasib malang apabila tewas 1-2 kepada Pahang.

Pahang membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi Azamuddin Mohd. Akil yang merembat kencang bola ke gawang Selangor bagi menewaskan penjaga gol, Mohd. Iqbal Suhaimi.

Pahang kian bersemangat dan menggandakan usaha untuk menambah gol, namun keputusan 1-0 kekal sehingga berakhir babak pertama.

Di babak kedua, Pahang menambah derita Selangor apabila Mohd. Munir Ahmad meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-80.

Selangor mendapat gol sagu hati menerusi jaringan D. Surendran yang mengambil sepakan percuma pada masa kecederaan.

Berbaki lima perlawanan, Kelantan dan Terengganu kini berkongsi 44 mata tetapi Kelantan berkelebihan dari segi perbezaan gol, manakala Selangor turun ke tangga ketiga dengan kekal 42 mata.
Read More

PKNS FC sah juara Liga Premier 2011

KELAB dari Selangor, PKNS FC sah bergelar juara Liga Premier musim ini setelah berjaya menewaskan Johor 2-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi.

Biarpun masih berbaki tiga perlawanan, PKNS FC tidak mampu lagi dipintas pasukan di tangga kedua, Sarawak dengan mengumpul 51 mata hasil 16 menang, tiga seri dan masih belum tewas.

Dengan kejuaraan sulung itu selepas lapan musim mereka beraksi di Liga Premier, PKNS FC kendalian jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim akan mencipta sejarah beraksi pada saingan Liga Super 2012.

Pada aksi malam tadi, PKNS FC yang turun dengan hanya memerlukan satu mata untuk sah bergelar juara terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Namun bersambung babak kedua, PKNS FC berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-59 menerusi tandukan Ahmad Tharmini Saiban hasil sepakan percuma kapten, Fadhil Hashim.

PKNS FC semakin kukuh apabila memperolehi gol kedua pada minit ke-73 menerusi sepakan voley menarik Azrif Nasrulhaq Badrul yang gagal diselamatkan penjaga gol Johor, Syamim Othman.
Read More

Tiket Malaysia-Chelsea dijual 20 Mei


KUALA LUMPUR, 18 MEI 2011 - Berita gembira buat para peminat bola sepak di negara ini apabila anda semua berpeluang mendapatkan pas percuma menyaksikan sesi latihan skuad Chelsea.

Anda cuma perlu membeli tiket perlawanan persahabatan Malaysia bertemu Chelsea di butik Adidas terpilih seluruh negara di antara 20 Mei hingga 29 Mei ini sementara stok masih ada.

Tiket-tiket tersebut dijual pada harga RM58, RM68, RM108 dan tiket VIP pada jumlah yang terhad berharga RM388.

Perlawanan persahabatan yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula jam 8.45 malam pada Khamis, 21 Julai 2011.

Penaja rasmi perlawanan tersebut termasuklah Adidas, Astro, One World dan Naza World.
"Pada 2008, kami berjaya mengumpul 55,000 penonton untuk hadir menyaksikan pertemuan kedua-dua pasukan ini di Stadium Shah Alam.

"Jadi untuk tahun ini, kami jangka lebih ramai akan hadir terutama tambahan dari negara-negara jiran seperti Brunei, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ProEvents Group, Julian Kam.

ProEvents merupakan promoter eksklusif bagi Jelajah Asia Chelsea 2011.

Tambah Kam lagi: "Chelsea hadir ke sini bukan semata-mata untuk perlawanan ini. Kami turut menyusun pelbagai aktiviti untuk mendekatkan para peminat dengan pemain dan pegawai Chelsea.

"Ia termasuklah sesi autograf, klinik bola sepak, aktiviti amal serta perjumpaan dengan kelab penyokong rasmi Chelsea.

"Ini merupakan peluang keemasan buat semua peminat bola sepak untuk melihat lebih dekat salah sebuah pasukan terbaik di Liga Perdana England."

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengucapkan tahniah kepada ProEvents di atas kejayaan merealisasikan perlawanan ini dan juga menyambut ulangtahun ke-10 mereka di Malaysia.

"Ini peluang terbaik buat para peminat bola sepak hadir dan menyaksikan kelibat pasukan utama pada saingan Liga Perdana England ini di depan mata mereka.

"Jadi peluang seperti ini tidak sepatutnya dilepaskan para peminat di Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara untuk melihat lebih dekat pemain-pemain idola mereka.

"Saya yakin bahawa para pemain Malaysia juga sudah tidak sabar untuk berdepan bintang-bintang profesional terkemuka dunia yang beraksi untuk pasukan Chelsea," kata Azzuddin.





MAKLUMAT TIKET MALAYSIA-CHELSEA:

Tiket-tiket dijual pada harga RM58, RM68, RM108 dan tiket VIP pada jumlah yang terhad berharga RM388.

Dari 20 Mei hingga 29 Mei 2011, tiket dijual secara eksklusif di butik Adidas terpilih seluruh negara dan setiap pembelian disertakan khas dengan pas percuma untuk menonton sesi latihan pasukan Chelsea.

Bermula 30 Mei 2011, tiket boleh dibeli di butik Adidas terpilih dan juga cawangan Ticketpro di seluruh negara atau boleh dibeli secara online menerusi laman web www.ticketpro.com.my.
Untuk sebarang pertanyaan, hubungi hotline Ticketpro 03-78807999.




MAKLUMAT BUTIK ADIDAS TERPILIH SELURUH NEGARA:

Langkawi Fair, Langkawi, Kedah
Kompleks Star Parade, Alor Setar, Kedah
Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya, Prai, Pulau Pinang
Queensbay Mall, Bayan Lepas, Pulau Pinang
STUDIO R Gurney Plaza, Pulau Pinang
Jalan Teh Lean Swee 3, Off Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh
Berjaya Times Square, Kuala Lumpur
Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur
Suria KLCC, Kuala Lumpur
Pavilion KL, Kuala Lumpur
The Gardens, Mid Valley City, Kuala Lumpur
STUDIO R Midvalley Megamall, Kuala Lumpur
STADIUM KLCC, Suria KLCC, Kuala Lumpur
One Utama, Bandar Utama, Selangor
AEON Bukit Tinggi, Klang, Selangor
SACC Mall, Shah Alam, Selangor
Tropicana City Mall, Petaling Jaya, Selangor
Empire Subang Gallery, Subang Jaya, Selangor
STUDIO R Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Selangor
STUDIO R Bandar Utama Phase 2(A), Selangor
Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang
City Square, Johor Bahru, Johor
Batu Pahat Mall, Batu Pahat, Johor
Bintang Mega Mall, Miri, Sarawak
Wisma Hopoh, Kuching, Sarawak
Sarawak Plaza, Kuching, Sarawak
Centre Point, Kota Kinabalu Sabah
Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah
Fajar Complex, Tawau, Sabah
Read More

PKNS FC hampiri trofi Liga Premier


SELEPAS lapan musim beraksi dalam kancah Liga Premier, skuad PKNS FC kini hanya memerlukan satu mata lagi dari baki empat perlawanan untuk sah bergelar juara buat kali pertama.

Pasukan berstatus kelab dari Selangor itu kini mengumpul 48 mata selepas 18 perlawanan hasil 15 kali menang, tiga seri dan belum tewas untuk meninggalkan jauh Sarawak di tangga kedua dengan 36 mata.

Kapten PKNS FC, Fadhil Hashim berkata, mereka begitu teruja untuk mengesahkan kejuaraan tersebut lebih awal iaitu ketika menanti kunjungan Johor di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Jumaat ini.

"Kalau boleh kami mahu menyelesai- kannya Jumaat ini. Walaupun hanya perlu satu mata lagi, kami berhasrat untuk mencatat kemenangan ke atas Johor kerana mahu meraihkan kejayaan ini di tempat sendiri.

"Tetapi kami akan turun seperti biasa tanpa rasa gelojoh atau terlalu tertekan. Pengajaran musim lalu telah cukup memberi kesan kepada kami," kata Fadhil ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Musim lalu, PKNS FC hampir mengiringi Felda United untuk beraksi dalam kempen Liga Super tetapi kemenangan yang diharap pada aksi terakhir musnah apabila mereka tewas kepada Harimau Muda sambil Sabah berjaya menyambar slot selaku naib juara.

Namun bagi Fadhil, 28, kenangan pahit itu tidak akan berulang lagi musim ini kerana dia yakin PKNS FC kini berada pada prestasi terbaik selepas mudah membelasah PDRM 5-1 di Paroi malam kelmarin.

"Resipi kejayaan kami musim ini adalah kekuatan semangat berpasukan dalam kalangan semua pemain serta pihak pengurusan. Kesemuanya jujur dan ikhlas serta menunjukkan kesungguhan untuk muncul juara," jelas bekas pemain Selangor itu.
Read More

Izzaq, Syahrul temui sentuhan




KEBUNTUAN barisan penyerang Harimau Muda A dalam beberapa aksi Liga Super sebelum ini telah mengundang resah jurulatihnya, Ong Kim Swee menjelang aksi pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 bertemu Lebanon pada 19 dan 23 Jun depan.


Namun segalanya mulai positif setelah Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim masing-masing meledak dua gol ketika Harimau Muda A menewaskan T-Team 3-1 di Kuala Terengganu Khamis lalu dan Sabah 2-0 di Kota Kinabalu kelmarin.


Izzaq Faris, 21, sebelum ini hanya menjaringkan dua gol ketika bertemu Pahang pada 1 Februari lalu dan satu gol ketika bertemu Kedah pada 23 April lalu.


Syahrul Azwari, 18, atau lebih mesra dipanggil ‘Awa’ pula hanya berjaya menyumbat satu gol ketika bertemu Terengganu pada 9 April lalu.


"Ini satu petanda baik. Saya mahu mereka terus konsisten menjaringkan gol pada perlawanan-perlawanan selepas ini dan mencapai kemuncak prestasi ketika kita bertemu Lebanon nanti.


"Cuma saya terpaksa gilirkan pemain berdasarkan jadual padat dan keadaan pemain.


"Izzaq menerima jahitan di kening ketika bertemu T-Team manakala Syahrul mengalami kecederaan pangkal paha ketika bertemu Sabah," kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Senarai penjaring Harimau Muda A sebelum ini menyaksikan pemain posisi lain lebih menyerlah dengan pemain sayap kiri, Fandi Othman, 19, meledak enam gol manakala dua pemain tengah, Irfan Fazail (3 gol) dan Gary Steven Robbat (2 gol).


Dua lagi penyerang Harimau Muda A iaitu Ferris Danial Mat Nasir, 19, baru menjaringkan satu gol iaitu pada saingan Piala FA manakala A. Thamil Arasu, 20, masih belum menemui sentuhan.


Dalam pada itu, Harimau Muda A kini sudah melonjak naik ke tangga keempat Liga Super dengan 29 mata untuk berada di belakang tiga pasukan teratas, Selangor (42), Kelantan (40) dan Terengganu (38).


"Kami tewas berturut-turut kepada Kelantan (1-2), Selangor (1-2) dan Terengganu (1-3) pada pusingan pertama lalu. Tapi kali ini saya yakin kami mampu meraih keputusan lebih baik berdasarkan prestasi semasa," ujar Kim Swee.


Harimau Muda A akan beraksi ketiga-tiga perlawanan selepas ini di Stadium Shah Alam iaitu menentang Terengganu pada Khamis ini, Kelantan (22 Mei) dan Selangor (25 Mei).
Read More

Satu malapetaka - Devan




"KEKALAHAN teruk ini boleh dianggap satu malapetaka buat Selangor. Inilah kekalahan terbesar yang pernah kami alami. Saya memang tak sangka."


Demikian jelas jurulatih Selangor, K. Devan ketika ditemui selepas tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam kelmarin yang menyaksikan Selangor dibelasah 1-5 oleh Kelantan.


Tanpa mahu mengaitkan ia dipengaruhi unsur rasuah atau jual perlawanan, Devan berkata, punca sebenar adalah kesilapan mudah yang dilakukan penjaga gol, Saiful Amar Sudar serta barisan pertahanan diketuai Yosri Derma Raju dan Bunyamin Umar.


"Apabila sudah ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama, susah untuk kami bangkit pada babak kedua. Semua pemain sudah tidak termotivasi lagi. Malah ada yang minta ditukarkan ketika di bilik persalinan.


"Dalam peringkat separuh akhir, pemain tak sepatutnya melakukan kesilapan. Lihat Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol Kelantan) bola keluar pun dia selamatkan. Saiful Amar pula jelas gugup," ujar Devan.


Lantas Iqbal Suhaimi yang dimasukkan pada minit ke-74 selepas gawang Selangor bolos sebanyak lima kali dijangka akan kembali merampas posisi penjaga gol utama pada aksi separuh akhir kedua di Kota Bharu malam esok.


Ditanya adakah mental para pemain Selangor begitu lemah sehingga mudah dipermainkan pemain-pemain Kelantan, Devan hanya berkata: "Apabila sudah dibolosi banyak gol, pemain jadi putus asa."


Devan bagaimanapun tetap mahu anak-anak buahnya memberikan yang terbaik malam esok biarpun sedar hanya kemenangan sekurang-kurangnya 5-0 mampu membawa Selangor layak ke final Piala FA pada 11 Jun depan.


"Memang satu tugas sukar. Tapi kami tetap perlu hadapi perlawanan kedua ini biarpun terus akan turun tanpa Khairul Anuar Baharum dan Razman Roslan yang cedera panjang.


"Kalau boleh, saya cuba untuk rehatkan beberapa pemain kerana kita kini perlu beri fokus untuk baki saingan Liga Super pula," tambah Devan.
Read More

Rajagobal miliki banyak pilihan





PERSAINGAN merebut tempat dalam skuad kebangsaan kini semakin sengit.

Tiada tempat secara automatik kepada semua pemain kerana mereka perlu bersaing sesama sendiri dan yang terbaik akan mendapat tempat.

Itu senario yang berlaku dalam skuad kebangsaan sekarang apabila jurulatih, K. Rajagobal menyenaraikan 10 pemain baru untuk menyertai kem lati- han bagi menghadapi Hong Kong pada perlawanan persahabatan 3 Jun depan.

Sepuluh pemain tersebut adalah antara 24 pemain yang dipanggil oleh Rajagobal untuk menyertai kem latihan tersebut.

Mereka terdiri daripada dua penjaga gol, Nasril Nourdin dan Syed Adney Syed Hussein, lima pemain pertahanan, Nasriq Baharom, Hisyamudin Shaari, Helmi Remeli, Shahrom Kalam dan Farisham Ismail, seorang pemain tengah, Ismail Faruqi Ashari serta dua penyerang, Abdul Hadi Yahaya dan Safee Sali.

Namun Adney, Nasriq dan Safee bukan- lah asing dalam skuad kebangsaan kerana mereka sebelum ini pernah beraksi dengan skuad negara.

Peluang terbuka buat ramai pemain baru setelah tujuh pemain kebangsaan terpaksa 'diketepikan' kerana memiliki komitmen bersama skuad Olimpik kebangsaan yang turut memulakan latihan pusat pada 29 Mei ini.
Tujuh pemain itu ialah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, K. Gurusamy dan Izzaq Faris Ramlan.

"Ini peluang dan masa terbaik untuk saya melihat kemampuan pemain-pemain baru ini setelah mereka mempamerkan aksi baik dalam Liga Super.

"Hisyamudin pernah berada dalam skuad remaja negara pada 2004, begitu juga Ismail Faruqi yang pernah saya panggil untuk Sukan SEA 2009 tetapi tercedera.

"Cuma Helmi, Shahrom, Farisham dan Abdul Hadi yang baru. Jadi saya mahu melihat kemampuan mereka untuk beraksi di pentas antarabangsa," kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tiga pemain yang tidak tersenarai kali ini ialah Farizal Marlias, Sabre Mat Abu dan Rizal Fahmi Rosid.

Rajagobal turut mempertahankan tindakannya menyenaraikan semula Syed Adney biarpun ada suara-suara sumbang meragui prestasi semasa penjaga gol Sabah itu.

"Edwin van der Sar (Manchester United) dan Heurelho Gomes (Tottenham) pun buat kesilapan mudah. Orang lain boleh cakap ada penjaga gol lain lebih bagus.

"Tetapi saya akan beri peluang kepada se- siapa pun. Ketika saya menggugurkan Adney untuk Sukan SEA 2009, ramai mempersoalkan. Apabila saya senaraikan semula, dipersoalkan juga," jelas Rajagobal.
Read More

Kim Swee panggil Fandi Ahmad

NAMA penyerang muda Johor FC, Fandi Ahmad tersenarai dalam 26 pelatih yang dipanggil untuk kem latihan pusat skuad Olimpik kebangsaan bermula 29 Mei depan.

Seorang lagi pemain baru yang turut disenaraikan ialah pemain pertahanan kiri Terengganu, Zubir Azmi.

Namun tidak berada dalam senarai yang dikeluarkan semalam ialah penyerang Kedah, Ahmad Shakir Md. Ali, pemain pertahanan Harimau Muda A, Faizal Muhamad serta pemain tengah Harimau Muda B, Nazmi Faiz.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, Fandi dan Zubir yang kedua-duanya berusia 20 tahun dipilih berdasarkan kemampuan mereka berada dalam kesebelasan utama Johor FC dan Terengganu secara kerap.

“Fandi saya lihat seorang penyerang yang cukup agresif. Manakala Zubir sentiasa berada dalam kesebelasan utama dan beraksi cukup baik ketika Harimau Muda A bertemu Terengganu bulan lalu.

“Tapi kita tak boleh nilai hanya berdasarkan aksi Liga Super. Jadi saya akan cuba mereka terutama pada aksi persahabatan menentang Kemboja nanti.

“Tentang Shakir, dia tidak banyak diturunkan Kedah dan sukar untuk dia mencapai tahap kecergasan manakala Faizal perlu enam minggu lagi untuk pulih,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain Fandi dan Zubir, empat lagi ‘pemain luar’ yang turut disenaraikan ialah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Faizal Abu Bakar (Kedah) dan D. Saarvindran (Harimau Muda B).

“Fakri bagaimanapun bakal menjalani pembedahan lutut endoskopi tetapi dia dijangka pulih dalam tempoh tiga hingga empat minggu dan sempat beraksi untuk Kelayakan Olimpik nanti,” jelas Kim Swee.

Baki 20 pemain lain terdiri daripada pemain Harimau Muda A iaitu Zamir Selamat, Izham Tarmizi Roslan, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Affize Faisal Mamat, Amer Saidin, Nazirul Naim Che Hashim.

K. Gurusamy, Irfan Fazail, Abdul Shukur Jusoh, Gary Steven Robbat, S. Sivanesan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor, Fandi Othman, Izzaq Faris Ramlan, A. Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim, Ferris Danial Mat Nasir.

Skuad Olimpik negara akan beraksi dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja di Phnom Penh pada 7 Jun dan Qatar di Doha pada 13 Jun sebelum aksi sebenar pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 menentang Lebanon pada 19 dan 23 Jun depan.


Read More

FAM usaha cari RM500,000


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berusaha mencari wang RM500,000.

Ia bagi memastikan tujuh perlawanan membabitkan skuad kebangsaan dan skuad Olimpik negara sepanjang Jun dan Julai depan dapat diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Stadium tersebut ditutup sejak Januari lalu bagi kerja-kerja penukaran trek olahraga dan proses penurapan terakhir dijadual bermula minggu depan sekali gus menyebabkan ia tidak boleh digunakan untuk sebarang aktiviti sepanjang Jun dan Julai.

Namun kerja-kerja penurapan itu boleh ditangguhkan sehingga awal Ogos depan dengan syarat FAM bersedia menanggung kos ganti rugi yang dituntut oleh kontraktor iaitu berjumlah RM500,000.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya kini sedang berusaha gigih bagi mendapatkan wang RM500,000 itu dan akan mengumumkan keputusannya pada awal minggu depan.

“FAM menyambut baik kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam (kelmarin) kerana masih memberi ruang kepada FAM berusaha mencari jalan baik menggunakan juga Stadium Nasional.

“Jadi FAM tetap akan berusaha untuk mendapatkan RM500,000 wang ganti rugi yang dituntut kontraktor itu demi keselesaan dan kemudahan para peminat yang mahu hadir menyokong skuad kebangsaan.

“Apa pun saya tidak boleh dedahkan dengan pihak mana atau siapa kami berunding untuk mendapatkan wang tersebut.

“Beri sedikit masa. Saya akan buat pengumuman pada awal minggu depan, sebelum sidang media pengumuman tarikh perlawanan persahabatan menentang Liverpool Khamis depan,” kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi bulan Jun, skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal mempunyai dua perlawanan di tempat sendiri iaitu aksi persahabatan menentang Myanmar pada 18 Jun dan perlawanan pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan pada 29 Jun.

Manakala skuad Olimpik negara kendalian Ong Kim Swee pula dijadual berdepan Lebanon di laman sendiri pada perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 pada 23 Jun.

Bagi bulan Julai pula, skuad kebangsaan dijadual menentang tiga kelab Liga Perdana England iaitu Liverpool dan Arsenal (tarikh akan diumum minggu depan) serta Chelsea pada 21 Julai.

Selain itu, andai skuad kebangsaan berjaya menyingkirkan Taiwan pada pusingan pertama, perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di laman sendiri akan berlangsung pada 28 Julai.
Read More

Kami bukan suka-suka ubah - Hamidin


"JAWATANKUASA saya bukan suka-suka nak ubah jadual liga. Kita rombak jadual kerana terpaksa. Jadual padat ini untuk memberi laluan kepada pasukan kebangsaan."

Demikian penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berikutan rungutan beberapa pihak berhubung jadual padat Liga Super musim ini.

Sepanjang April, sembilan perlawanan telah berlangsung selang tiga atau empat hari dan keadaan sama berterusan bulan ini apabila tujuh lagi perlawanan dijadualkan berlangsung.

Bagaimanapun Hamidin berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan lagi kerana ruang masa diperlukan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal dan jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee bagi persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2014 dan Kelayakan Sukan Olimpik 2012.

"Buat masa ini, tiada lagi perubahan akan dibuat tetapi kita tak tahu apa perkembangan yang akan berlaku selepas ini.

"Apa pun segalanya akan saya jelaskan lebih lanjut pada sesi taklimat JKPT, 11 Mei ini," jelas Hamidin.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata demikian pada sesi taklimat bersama media yang diadakan Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM, Datuk Subahan Kamal di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Rajagobal dan Kim Swee.

Pada sesi tersebut, Subahan yang juga Naib Presiden FAM serta pengurus skuad kebangsaan, mengumumkan jadual perlawanan persahabatan yang membabitkan skuad kebangsaan dan juga Olimpik sepanjang bulan depan.

Subahan berkata, skuad kebangsaan akan mengatur tiga perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan di laman sendiri pada 29 Jun dan tempat lawan 3 Julai depan.

"Perlawanan menentang Hong Kong di tempat lawan pada 3 Jun, menentang Myanmar di Kuala Lumpur (18 Jun) dan satu lagi perlawanan yang akan disahkan lawannya pada 24 Jun sebagai persiapan skuad kebangsaan sebelum menentang Taiwan.

"Bagi skuad Olimpik pula, mereka akan bertemu Kemboja di Phnom Penh (7 Jun) dan bertemu Qatar di Doha (13 Jun) sebagai persiapan menghadapi pusingan kedua Kelayakan Olimpik menentang Lebanon pada 19 dan 23 Jun depan," kata Subahan.

Andai skuad kebangsaan berjaya menyingkirkan Taiwan, mereka akan layak ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia bertemu Singapura pada 23 dan 28 Julai depan.
Read More

Liga Super 2011: Selangor kembali temui rentak



JUARA bertahan, Selangor kembali menemui rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan musuh setempat, Kuala Lumpur 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Dua jaringan Rudie Ramli dan satu gol daripada Safiq Rahim sudah cukup untuk membawa kebangkitan Selangor yang tewas 0-1 kepada Kelantan dan seri 1-1 dengan Terengganu pada dua aksi sebelum ini.

Namun Selangor masih kekal di tangga kedua menerusi perbezaan jaringan biarpun terikat 36 mata setelah pendahulu, Kelantan turut menewaskan Johor FC 1-0 di Pasir Gudang.

Pada aksi malam tadi, Selangor mendahului seawal minit ke-10 menerusi rembatan cantik Rudie yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali.

Kuala Lumpur berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 selepas Ahmad Hazwan Bakri pantas menyambar hantaran Fahrul Razi Kamaruddin.

Enam minit kemudian, Kuala Lumpur berpeluang menambah jaringan tetapi rembatan kencang Syafiq Johari dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar.

Sebaik babak kedua bersambung, Selangor tidak menunggu lama apabila memperoleh gol kedua hasil sepakan percuma Safiq pada minit ke-46.

Kuala Lumpur terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-60 setelah penyerangnya, Azmi Sarmin dibuang padang akibat kad kuning kedua kerana melakukan terjahan lewat terhadap Azidan Sarudin.

Kelebihan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh Selangor apabila berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-89 yang juga gol kedua peribadi Rudie menerusi satu serangan balas.

Selangor akan menanti kunjungan Johor FC pada aksi ke-18 di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.
Read More

Liga Super 2011: Kekuatan mental jadi penentu


MANA-MANA pasukan yang mempunyai kekuatan mental dan fizikal pasti akan muncul juara Liga Super musim ini.

Setelah mengharungi sembilan perlawanan sepanjang April, sesi 'tahan lasak' berterusan apabila tujuh lagi perlawanan Liga Super bakal berlangsung sepanjang Mei ini.

Bagi empat pasukan yang mara ke separuh akhir Piala FA, Kelantan, Selangor, Terengganu dan Pahang, mereka terpaksa mengharungi tambahan dua perlawanan (13 dan 16 Mei) menjadikan keseluruhan sembilan perlawanan untuk mereka harungi sepanjang bulan ini.

Apa yang pasti, ketahanan tiga pasukan teratas Liga Super - Kelantan, Selangor dan Terengganu - akan teruji apabila mereka bakal beraksi tanpa henti selang tiga hari bermula malam ini.

Dengan baki tiga aksi terakhir Liga Super hanya akan berlangsung pada 6 Jun, 14 Jun dan 6 Julai, bayangan pasukan yang bakal muncul juara mungkin terjawab selepas perlawanan ke-23 pada 28 Mei ini.

Ketika ini, Kelantan dan Selangor terikat 33 mata, manakala Terengganu di tangga ketiga dengan 32 mata, mening- galkan agak jauh pasukan di tangga keempat, Kedah dengan 27 mata.

Bagi juara bertahan Selangor, mereka perlu bangkit dengan mencatat semula kemenangan setelah tewas 0-1 kepada Kelantan dan seri 1-1 dengan Terengganu pada dua aksi terakhir.

Selangor bakal bertemu Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini dan jurulatihnya, K. Devan tidak memikirkan perkara lain kecuali kemenangan.

"Kita tak mahu melakukan kesilapan dan tercicir mata lagi. Saya akan turunkan kesebelasan terbaik dan pastinya mahu mencuri tiga mata penuh di Cheras.

"Tentang jadual padat ini, kita akan cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin terutama dengan mencorakkan sesi latihan yang bersesuaian dengan keadaan," kata Devan.

Namun kesan jadual padat telah menyebabkan tiga pemain Selangor, Khairul Anuar Baharom, Razman Roslan dan Amirulhadi Zainal dilanda kecederaan.

Fadzli Saari, Bunyamin Umar dan Fitri Shazwan pula mengalami cedera ringan dan Devan akan melihat tahap kecergasan akhir sebelum menamakan 18 pemain untuk bertemu Kuala Lumpur.
Read More

Piala Suzuki AFF: RM10,000 buat pemain Selangor


GANJARAN buat enam pemain Selangor yang membantu skuad bola sepak kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 pada Disember lalu akhirnya didedahkan kepada umum semalam.

Amri Yahyah, Safiq Rahim, Asraruddin Putra Omar, Amirul- hadi Zainal, Razman Roslan dan Safee Sali bakal mendapat wang tunai RM10,000 setiap seorang dan diskaun untuk membeli rumah yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ia pasti berita gembira buat enam pemain tersebut bersempena Hari Pekerja semalam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor berkata, ia adalah usaha pihaknya dalam memberi ganjaran dan pelaburan masa depan kepada para pemain.

"Setelah menimbang, dengan semua pemain skuad Piala Suzuki AFF ini sudah menerima ganjaran dan anugerah daripada beberapa pihak lain, kerajaan negeri akan memberi hadiah secara dua peringkat ini.

"Pertama, wang tunai RM10,000 setiap seorang dan keduanya, kita beri diskaun untuk mereka beli rumah atau apartmen yang dibangunkan oleh PKNS.

"Pemain boleh guna RM10,000 itu untuk deposit rumah dan diberi lagi diskaun harga. Tetapi ini cadangan kita, terpulang kepada pemain," kata Khalid pada sidang media selepas merasmikan bas baru FAS di Padang SUK, Shah Alam petang semalam.

Bas baru berjenama Scania yang berharga RM570,000 itu menggantikan bas lama FAS yang sudah digunakan lebih 10 tahun tetapi nombor pendaftaran lama, BGG 11 dikekalkan pada bas baru mewah berkapasiti 30 tempat duduk itu.

"Kita ambil kira kos penerbangan dan kos bas untuk ke tempat lawan. Jadi dengan adanya bas baru ini, perjalanan kurang empat jam kita akan gunakan bas saja.

"Kita telah buat satu pelaburan besar. Ini bukan saja dapat jimat- kan kos penerbangan tetapi juga memberi peluang kepada penyokong sama-sama berkonvoi ke tempat lawan," jelas Khalid.



Read More