'Manfaat peluang di Slovakia'


SKUAD bawah 21 tahun (B-21) kebangsaan, Harimau Muda A yang bakal berlepas ke Slovakia malam esok harus memanfaatkan sepenuhnya latihan selama tiga bulan di negara Eropah Timur itu.

Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, beliau mahu menggunakan sepenuhnya 16 perlawanan persahabatan sepanjang tempoh tersebut sebagai persiapan terbaik menjelang saingan kelayakan Sukan Olimpik 2012 awal tahun depan.

"Sepanjang tiga bulan di Slovakia, saya mahu semua pemain mempamerkan prestasi terbaik mereka. Mana tahu ada kelab di sana yang berhasrat mengambil mereka.

"Pengisian program juga akan kita susun dengan baik supaya peluang sebegini tidak dipersiakan begitu saja," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Menurut Kim Swee, mereka akan pulang semula ke tanah air pada 20 November depan sebelum menyambung persiapan terakhir menjelang aksi pusingan pertama kelayakan Olimpik 2012 secara timbal balik pada 23 Februari dan 9 Mac tahun depan.

"Kita akan beraksi dalam 12 perlawa- nan persahabatan menentang kelab-kelab Liga 1 Slovakia dan empat perlawanan menentang skuad B-21 Slovakia, Republik Czech, Austria dan Hungary.

"Buat masa ini jadual penuh masih disusun tetapi untuk perlawanan pertama, kita akan menentang pasukan Ruzomberok B pada Ahad ini," ujarnya.

Namun, Kim Swee hanya memiliki 19 pemain untuk menghadapi perlawanan pertama itu kerana enam tonggak utama, K. Gurusamy, Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Gary Steven Robbat, Izzaq Faris Ramlan dan Fadhli Shas ada tugas penting bersama skuad kebangsaan ketika ini.

"Enam pemain ini akan terus terbang dari Doha, Qatar ke Slovakia selepas mereka selesai mengharungi aksi persahabatan bersama skuad kebangsaan menentang Oman pada Jumaat ini.

"Tetapi selepas itu kami akan sekali lagi kehilangan khidmat enam pemain ini apabila mereka menyertai skuad kebangsaan ke Piala Millenium Thang Long di Vietnam pada penghujung September.

"Jadi untuk aksi persahabatan menentang skuad B-21 Slovakia, Republik Czech, Austria dan Hungary, kami akan aturkan ketika semua 25 pemain Harimau Muda A ini berada di Slovakia," jelas Kim Swee.
Read More

Hishan mahu futsal lebih kompetitif

NAIB Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim bertekad untuk menjadikan futsal dan bola sepak pantai sebagai sukan yang lebih kompetitif di negara ini.

Abdullah Hishan yang baru dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM pada Isnin lalu untuk menggantikan Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, dua sukan tersebut memerlukan satu lonjakan transformasi.

“Saya telah bertemu ahli-ahli jawatankuasa ini di Wisma FAM beberapa hari lalu untuk mendapat maklum balas mereka dan juga taklimat tentang perjalanan jawatankuasa sebelum ini.

“Jadi saya telah mendapat idea untuk melakukan lonjakan terhadap futsal dan bola sepak pantai ini untuk menjadi sukan kompetitif.

“Ini selaras dengan matlamat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjadikan futsal sebagai sukan indoor yang paling kompetitif di dunia berbanding sukan-sukan lain,” katanya kepada pemberita di Bukit Damansara, Jumaat lalu.

Skuad futsal negara yang ketika ini menduduki ranking ke-58 dunia perlu memperbaiki prestasi mereka menjelang Sukan SEA 2011 untuk sekurang-kurangnya mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.



Selain itu, Abdullah Hishan turut bercadang untuk mengasingkan pasukan-pasukan negeri dan kelab yang ketika ini dicampur beraksi pada Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM.

“Saya rasa kita perlu asingkan pasukan negeri dan pasukan kelab ke dalam dua kejohanan yang berbeza. Dengan cara ini, saingan peringkat kebangsaan itu akan menjadi lebih kompetitif.

“Bagi memantapkan liga futsal kebangsaan ini juga, kami akan berbincang lanjut berhubung soal penajaan bagi memastikan ia lebih menarik kerana ketika ini ia hanya dianjurkan secara beberapa pusingan,” jelasnya.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) itu juga memberitahu, dia sudah membuat penyelidikan tentang pusat-pusat futsal di negara ini yang didapati tidak mengikut spesifikasi saiz gelanggang FIFA.

“Hanya empat atau lima saja pusat futsal yang mempunyai gelanggang mengikut saiz FIFA. Jadi saya akan cuba bincang perkara ini lebih lanjut dengan para pemilik pusat futsal terbabit,” ujarnya.
Read More

Tugas saya lebih daripada memadai - Annuar



SETELAH empat hari mendiamkan diri, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa akhirnya tampil memberikan penjelasan semalam.

"Saya menganggap dua tugas (jawatankuasa) yang telah diberikan ini sebagai tugas yang lebih daripada memadai," kata Annuar pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Ia bagi menjelaskan isu yang mengatakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu telah diberikan jawatankuasa yang tidak sepadan dengan kredibilitinya serta menjadi mangsa politik dalaman FAM.

Menurut Annuar, dia tiada sebarang masalah malah gembira dengan tanggungjawab yang diberi iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita dan Pengerusi Jawatankuasa Liga Super Malaysia (MSL).

"Saya nak hapuskan pandangan bahawa saya menerima jawatan bola sepak wanita ini secara paksa rela.

"Saya suka sebenarnya untuk mengambil jawatankuasa yang dianggap lemah dan belum ada asas. Ini cabaran kerja dan saya akan laksanakan dengan baik.

"Malah, pada mesyuarat Isnin lalu juga telah memutuskan supaya Jawatankuasa Undang-Undang dan Peraturan mengkaji untuk meminda Statut FAM.

"Ia bagi membolehkan seorang wakil wanita (Persatuan Bola Sepak Wanita Malaysia) menjadi ahli ke-16 dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM.

"Jadi saya terima ini sebagai tugas yang penting biarpun saya akui ia bukan jawatankuasa yang glamor. Jawatan Presiden Kafa dulu pun tak glamor semasa saya ambil dua tahun lalu," jelasnya.

Berhubung portfolio Pengerusi Jawatankuasa MSL pula, Annuar berkata, ia merupakan satu lagi amanah dan tugas berat yang terpaksa dipikulnya iaitu bukan saja mencari penajaan malah memasarkan produk liga bola sepak tempatan itu.

"Sudah sampai masanya kita menjadikan Liga Malaysia sebagai liga terbaik di rantau ini selain dapat menarik pasukan luar dan melahirkan pemain bertaraf Asia.

"Saya berhasrat mencadangkan kepada Jawatankuasa Eksekutif supaya kita berani melakukan lonjakan terhadap liga kita kerana kadang-kadang perubahan itu dipandang negatif.

"Buat masa ini, saja berjanji bahawa saingan Liga Malaysia musim depan akan lebih menarik," ujarnya.

Annuar turut menjelaskan kedudukannya dalam Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

"Memang termaktub dalam statut FAM yang jawatankuasa ini pengerusinya mestilah presiden. Tapi Tuanku Sultan menyatakan baginda hanya menjadi pengerusi bagi pasukan pelapis negara iaitu skuad B-23, B-21 dan B-19.

"Saya pula dilantik pengerusi untuk pasukan kebangsaan. Memang buat masa ini kita tiada pasukan senior, tapi menjelang 2011, beberapa pemain skuad B-23 yang sudah lebih umur akan jadi asas kepada skuad kebangsaan ini," jelas Annuar.
Read More

'Tak perlu timbul isu'


SEGALA pelantikan bagi jawatan pengerusi jawatankuasa-jawatankuasa tetap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) oleh Sultan Ahmad Shah pada Isnin lalu sepatutnya tidak dijadikan isu.

Terdahulu, terdapat suara-suara sumbang mendakwa Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa seolah-olah tidak diberikan jawatankuasa sepadan dengan kredibilitinya yang telah terbukti berjaya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Bagaimanapun, seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kesemua 15 anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat itu telah pun bersetuju dengan semua pelantikan tersebut tanpa sebarang bantahan.

"Saya rasa tidak menjadi isu kerana saya sendiri pun sepatutnya pegang tiga jawatankuasa tetapi saya lepaskan satu dan kini hanya pegang Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa.

"Bagi Tan Sri Annuar pula, beliau dilantik Pengerusi Jawatankuasa MSL (Liga Super Malaysia). MSL satu badan korporat yang penting. Banyak kerja perlu diuruskan, banyak masa dan tenaga digunakan perlu digunakan.

"Beliau juga dilantik Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pun kini memberi ruang buat bola sepak wanita dan berdasarkan potensi itu, kita tidak harus ketinggalan.

"Selain itu, beliau turut dilantik sebagai timbalan pengurus skuad kebangsaan dan itu juga satu tanggungjawab yang berat.

"Jadi memandangkan Tan Sri Annuar telah setuju dan terima pelantikan tersebut, maka sekarang ini tiba masa untuk kami semua buat kerja," kata Tengku Abdullah pada majlis pengumuman Jelajah Pra Musim Chelsea 2011/2012 ke Malaysia di Hotel One World, Bandar Utama semalam.

Annuar yang turut ditemui pada majlis sama enggan ditemu ramah, sebaliknya hanya memberitahu, beliau akan mengadakan satu sidang media khas dalam beberapa hari lagi.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Hoki Malaysia (PHM) berkata, beliau hanya akan mengekalkan jawatan dalam badan hoki kebangsaan itu jika khidmatnya masih diperlukan para perwakilan.

"Tetapi saya rasa pihak PHM sedang berusaha untuk tidak melepaskan saya. Dalam mesyuarat akan datang ini, mereka bakal bincang untuk menukar perlembagaan persatuan dengan tempoh pemilihan setiap tiga atau empat tahun berbanding dua tahun ketika ini.

"Mungkin mereka rasa saya boleh beri sumbangan kepada hoki tetapi bola sepak tetap dekat di hati saya manakala hoki merupakan sukan yang baru saya libat- kan diri dan masih mencari kestabilan," jelas Tengku Abdullah lagi.
Read More

Chelsea kembali singgah Malaysia

KELAB bola sepak England, Chelsea akan kembali berada di Malaysia.

Juara Liga Perdana England itu dijadualkan menentang skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Julai tahun depan bersempena dengan Jelajah Pra Musim 2011/12.

Ia kunjungan ketiga Chelsea ke negara ini setelah mereka menewaskan Malaysia 4-1 pada Piala Liga Perdana Asia 2003 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan menang 2-0 ke atas skuad negara pada Jelajah Pra Musim 2008/09.

Pada aksi di Stadium Shah Alam pada 29 Julai 2008 itu, skuad negara yang ketika itu dibimbing B. Sathianathan tewas menerusi jaringan jaringan Nicolas Anelka (m-26) dan Ashley Cole (m-52) dengan Chelsea dibimbing Luiz Felipe Scolari.

Skuad Malaysia ketika itu dibarisi rata-rata pemain senior diketuai Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz Zamani Misbah, Hardi Jaafar, Hairuddin Omar, Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Helmi Eliza Elias serta kembar, Aidil Zafuan Radzak dan Zaquan Adha Radzak.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kerjasama tersebut diharap dapat berterusan pada masa akan datang supaya Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan Chelsea.

“Saya harap kita akan bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran pasukan Chelsea pada Julai tahun depan dan harap semua hospitaliti termasuk padang dalam keadaan baik.

“Saya juga berharap agar Roman Abramovich (Pemilik Chelsea) bersama-sama hadir ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan itu sambil bercuti di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Hotel One World, Bandar Utama semalam.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Chelsea, Ron Gourlay pada sidang akhbar sama memberi jaminan bahawa Chelsea yang kini dibimbing Carlo Ancelotti bakal menurunkan skuad utama mereka pada perlawanan pra musim itu.

“Kami akan berada di sini (Malaysia) selama seminggu untuk kem latihan dan satu perlawanan. Kami bukan hanya semata-mata datang dan pergi, kami mahu lebih dekat dengan penyokong kami di sini,” kata Gourlay.

Antara bintang Chelsea musim ini ialah Petr Cech, Frank Lampard, Yossi Benayoun, Didier Drogba, Florent Malouda, Salomon Kalou dan John Terry.

Chelsea turut akan singgah ke Bangkok, Thailand dan sebuah lagi negara Asia yang akan diumumkan bulan depan dan segala maklumat lanjut terutama berhubung harga tiket akan diumum promoter jelajah, Pro Events.
Read More

Harimau Muda beraya di Slovakia


SKUAD bawah 21 tahun (B-21) negara, Harimau Muda A akan berlepas ke Slovakia pada Rabu atau Khamis depan untuk mengharungi 12 perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab Liga 1 Slovakia sepanjang tempoh tiga bulan.

Ini bermakna, barisan pemain negara yang akan beraksi pada Kelayakan Olimpik 2012 dan Sukan SEA 2011 itu terpaksa menyambut Aidilfitri pada 10 September depan di negara Eropah Timur itu.

Bagi 10 pemain Harimau Muda A yang kini berlatih bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian K. Rajagobal pula, mereka akan terus terbang dari Doha, Qatar ke Slovakia selepas menentang Oman pada 3 September depan.

Jurulatih baru Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang menggantikan Azraai Khor Abdullah telah menyenaraikan sembilan muka baru dari skuad B-19 negara, Harimau Muda B bagi melengkapkan barisan 25 pemain ke Zlate Moravce, pangkalan kelab Vion FC.

Mereka ialah Irfan Fazail, Amer Saidin, D. Saarvindran, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Ferris Danial Mat Nasir, Nicholas Wee Shen Ming, Izham Tarmizi Roslan serta dua pemain berusia 17 tahun, Syahrul Azwari Ibrahim dan Farhan Abu Bakar.

“Saya terpaksa tinggalkan beberapa pemain lain termasuklah Haziq Zikir Elias yang baru menjalani pembedahan kerana hanya 25 pemain yang boleh dibawa.

“Sembilan pemain lama yang digugurkan pula termasuk dua yang cedera iaitu K. Sasikumar dan Bashahrul Abu Bakar manakala Ahmad Shakir Md. Ali kini bersama Kedah,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sepanjang tempoh tiga bulan di Slovakia sehingga penghujung November depan, Harimau Muda A akan beraksi menentang 12 pasukan dalam Liga 1 Slovakia.

Mereka ialah Trencin, Liberec, Liptovsky Mikulas, Petrzalka, Michalovce, Bodva Moldava, Senec, Ruzomberok B, Dolny Kubin, Slovan Duslo Sala, Puchov dan Rimavska Saturday.

“Selain itu, kami juga mungkin akan beraksi tiga atau empat perlawanan tambahan menentang skuad B-21 Republik Czech, Hungary, Austria dan Poland.

“Jadi semua pemain harus tahu, kali ini kita bukan pergi untuk belajar atau pendedahan lagi, tapi untuk menanam mentaliti kemenangan dalam diri masing-masing.

“Jika sebelum ini mereka hanya menang tiga perlawanan, kali ini perlu dapatkan lebih kemenangan. Jika tidak, kami dianggap gagal. Ia cabaran untuk saya juga sebagai jurulatih,” tegas Kim Swee.

Pada kunjungan ke Slovakia sepanjang Februari hingga Mei lalu, Harimau Muda A menang tiga daripada 13 perlawanan iaitu menewaskan Dolny Kubin 3-2 pada aksi kelima, Lucenec 1-0 pada aksi kesembilan dan Michalovce 1-0 pada aksi terakhir.


SENARAI 25 PEMAIN HARIMAU MUDA KE SLOVAKIA (SEPTEMBER-NOVEMBER 2010)

PEMAIN LAMA DIKEKALKAN (16 orang):
Zamir Selamat, Muslim Ahmad, Faizal Muhamad, Fadhli Shas, Fandi Othman, Mahali Jasuli, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Noor, Izzaq Faris Ramlan, A. Thamil Arasu, S. Sivanesan, Affize Faisal Mamat, Shukur Jusoh, Rafiuddin Roddin dan Nazri Ahmad.

PEMAIN BARU DISENARAIKAN (9 orang):
Irfan Fazail, Amer Saidin, D. Saarvindran, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Ferris Danial Mat Nasir, Nicholas Wee Shen Ming, Izham Tarmizi Roslan, Syahrul Azwari Ibrahim, Farhan Abu Bakar.

PEMAIN LAMA DIGUGURKAN (9 orang):
K. Sasikumar, Shamim Othman, Syahid Zaidon, V. Kavichelvan, K. Ravindran, K. Shathiya, Bashahrul Abu Bakar, Muszaki Abu Bakar dan Ahmad Shakir Mohd Ali.
Read More

Skuad negara harungi dua perlawanan di Doha

SKUAD kebangsaan bimbingan K. Rajagobal akan terbang ke Doha, Qatar pada Sabtu ini untuk menghadapi dua aksi persahabatan menentang sebuah kelab Qatar dan skuad kebangsaan Oman.

Menurut Rajagobal, dia hanya akan membawa 22 pemain terbaik daripada senarai 26 pelatih skuad kebangsaan yang telah mula menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak 16 Ogos lalu.

"Kita akan berlepas pada Sabtu ini sebelum bertemu sebuah pasukan kelab Qatar pada 30 Ogos (Isnin). Ia sebagai persiapan sebelum kita bertemu skuad kebangsaan Oman pada 3 September (Jumaat).

"Tiada tekanan untuk kita memenangi kedua-dua perlawanan ini kerana bagi saya, peluang bertemu pasukan terbaik serta memberi pendedahan dan pengalaman kepada para pemain adalah lebih penting," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Oman dianggap lawan yang cukup baik buat skuad negara memandangkan negara itu menduduki ranking ke-81 dunia berbanding Malaysia di kedudukan ke-139 dunia.

Ditanya pula tentang prestasi para pemain sepanjang 10 hari mereka menjalani latihan, Rajagobal berkata, dia sudah menekankan kepada pemain bahawa fokus utama mereka ketika ini adalah saingan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November depan.

"Sepanjang latihan, saya mahu lihat sejauh mana kesungguhan dan sikap mereka selain mahu memperkukuhkan tahap persefahaman di kalangan para pemain.

"Setelah gagal mengadakan perlawanan persahabatan di Singapura, kita sempat mengadakan satu aksi persahabatan menentang KL Plus di Wisma FAM semalam (kelmarin) dan menang 3-1," ujar Rajagobal.

Selepas kem latihan skuad kebangsaan berakhir pada 7 September depan, para pemain akan kembali ke pasukan masing-masing untuk menghadapi saingan Piala Malaysia bermula 14 September depan.
Read More

Hamidin bos baru JKPT FAM

NAIB Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) bagi menggantikan Datuk Che Mat Jusoh.

Pengumuman senarai pengerusi bagi 19 jawatankuasa tetap FAM itu telah dibuat sendiri oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM 2010-2014 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

JKPT dianggap sebagai jawatankuasa paling popular dan sibuk di FAM kerana peranannya dalam menguruskan perjalanan saingan liga bola sepak tempatan yang merangkumi Liga Super, Liga Perdana, Liga FAM dan Piala Presiden.

Che Mat tidak dapat mempertahankan jawatan tersebut setelah tewas pada pemilihan 31 Julai lalu dan pemilihan Hamidin dianggap tepat berdasarkan pengalamannya sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Dengan pelantikan tersebut, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai yang dipegang Hamidin, 45, sebelum ini kini diberikan kepada seorang lagi Naib Presiden FAM, Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim.

Dua lagi Naib Presiden FAM iaitu Datuk Subahan Kamal dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Media & Perhubungan Awam manakala Datuk Afandi Hamzah mengekalkan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang & Peraturan.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah sendiri memegang dua portfolio iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan & Pengurusan.

Anakandanya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang merupakan Timbalan Presiden FAM dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa.

Seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pula diberi peranan selaku Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita dan Pengerusi Jawatankuasa Liga Super Malaysia (MSL).

Bagi lapan anggota Exco FAM pula, hanya empat daripada mereka dipilih untuk menjadi pengerusi jawatankuasa iaitu Datuk Astaman Abdul Aziz (Jawatankuasa Pengadil), Datuk Takiyuddin Hassan (Jawatankuasa Status Pemain), S. Sivasundaram (Jawatankuasa Tiket & Pintu) dan Dr. Hamdan Mohamed Khalib (Jawatankuasa Perubatan Sukan).

Baki empat lagi Exco iaitu Mejar Rani Abdul Rahim, Rosmadi Ismail, Datuk Jeferey Low Han Cha dan Datuk Osman Salleh hanya dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan mungkin juga menjadi timbalan pengerusi jawatankuasa lain yang akan ditentukan kemudian.

Tengku Abdullah pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut berkata, semua pihak diminta bersabar untuk melihat berlakunya perubahan positif dalam semua jawatankuasa tetap FAM itu.

"Beri kami masa. Ini baru hari pertama semua ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM ini diberikan tugas masing-masing. Selepas mesyuarat pertama ini, kami akan mengadakan mesyuarat kedua pada minggu pertama Oktober depan," katanya.
Read More

Senarai pengerusi baru jawatankuasa-jawatankuasa tetap FAM 2010-2014


BERIKUT ialah senarai pengerusi baru jawatankuasa-jawatankuasa tetap FAM yang telah diumumkan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM 2010-2014 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada tengah hari tadi.

Jawatankuasa Bola Sepak Wanita
Pengerusi: Tan Sri Annuar Musa
Timbalan:

Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai
Pengerusi: Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim
Timbalan:

Jawatankuasa Keselamatan *
Pengerusi: Datuk Hussin Ismail
Timbalan:

Jawatankuasa Kewangan & Pengurusan
Pengerusi: Sultan Ahmad Shah
Timbalan:

Jawatankuasa Media & Perhubungan Awam
Pengerusi: Datuk Subahan Kamal
Timbalan:

Jawatankuasa MSL
Pengerusi: Tan Sri Annuar Musa
Timbalan:

Jawatankuasa Odit Dalaman *
Pengerusi: Datuk Seri Mohamed Sulaiman
Timbalan:

Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan & Ketelusan *
Pengerusi: Tan Sri Aseh Che Mat
Timbalan:

Jawatankuasa Pengadil
Pengerusi: Datuk Astaman Abdul Aziz
Timbalan:

Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan/B23/B21/B19
Pengerusi: Sultan Ahmad Shah
Timbalan: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
Ahli: Datuk Astaman Abdul Aziz (B19), S. Sivasundaram, Mejar Rani Abdul Rahim (HM), Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Rosmadi Ismail, Datuk Jeferey Low Han Cha dan Datuk Osman Salleh.

Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa
Pengerusi: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
Timbalan: Datuk Subahan Kamal

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan
Pengerusi: Datuk Hamidin Mohd. Amin
Timbalan:

Jawatankuasa Perubatan Sukan
Pengerusi: Dr. Hamdan Mohamed Khalib
Timbalan:

Jawatankuasa Rayuan *
Pengerusi: Ganarajah C. Ayathurai
Timbalan:

Jawatankuasa Status Pemain
Pengerusi: Datuk Takiyuddin Hassan
Timbalan:

Jawatankuasa Tatatertib *
Pengerusi: Datuk Taufik Razak
Timbalan:

Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia
Pengerusi: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
Timbalan:

Jawatankuasa Tiket & Pintu
Pengerusi: S. Sivasundaram
Timbalan:

Jawatankuasa Undang-Undang & Peraturan
Pengerusi: Datuk Afandi Hamzah
Timbalan:

NOTA: Pengerusi dan Timbalan Pengerusi hendaklah terdiri dari kalangan 15 ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM kecuali jawatankuasa-jawatankuasa yang bertanda (*).
Read More

Presiden FAM umum pelantikan hari ini


TEKA-TEKI mengenai pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi 17 jawatankuasa tetap dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2010-2014 bakal terjawab hari ini.

Jawatankuasa Eksekutif FAM terdiri daripada 15 ahli yang berjaya memenangi pemilihan pada Kongres FAM ke-47, 31 Julai lalu akan bermesyuarat buat kali pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Mesyuarat itu akan dihadiri Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah; dua timbalannya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa serta empat naib presiden iaitu Datuk Subahan Kamal, Datuk Hamidin Mohd. Amin, Datuk Afandi Hamzah dan Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim.

Lapan anggota Exco pula dibarisi Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Astaman Abdul Aziz, Mejar Rani Abdul Rahim, S. Sivasundaram, Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Datuk Osman Salleh, Rosmadi Ismail dan Datuk Jeferey Low Han Chau.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, antara agenda utama mesyuarat tersebut ialah pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi setiap jawatankuasa tersebut yang akan diumum sendiri oleh Sultan Ahmad Shah.

"Tuanku Presiden akan membuat pengumuman mengenai pelantikan tersebut. Pengerusi dan timbalan pengerusi bagi jawatankuasa-jawatankuasa tetap ini mestilah dilantik dari kalangan 15 ahli jawatankuasa eksekutif.

"Bagaimanapun, Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan tidak termasuk dalam senarai jawatankuasa tetap ini kerana ia terletak di bawah Badan Kehakiman FAM," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengikut statut FAM, senarai 17 jawatankuasa tetap tersebut ialah Jawatankuasa Kewangan & Pengurusan, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Jawatankuasa Undang-Undang & Peraturan, Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa.

Jawatankuasa Pengadil, Jawatankuasa Odit Dalaman, Jawatankuasa Bola Sepak Wanita, Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia, Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai, Jawatankuasa Perubatan Sukan.

Jawatankuasa Status Pemain, Jawatankuasa Media & Perhubungan Awam, Jawatankuasa Tiket & Pintu, Jawatankuasa Keselamatan, Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan & Ketelusan serta Jawatankuasa Ad-Hoc.

Kerusi yang pasti kosong ialah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal yang sebelum ini diisi bekas timbalan presiden, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang diisi bekas naib presiden, Datuk Che Mat Jusoh.

Redzuan dan Che Mat tewas pada pemilihan 31 Julai lalu.

Hanya Sultan Ahmad Shah, Hamidin (Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai) dan Afandi (Jawatankuasa Undang-Undang & Peraturan) yang boleh mengekalkan jawatan mereka kerana masih berada dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Namun, terpulang kepada pengumuman Sultan Ahmad Shah hari ini sama ada mengekalkan mereka atau diberikan tugas baru mengetuai jawatankuasa yang lain untuk tempoh empat tahun akan datang.
Read More

Misi menebus aib Doha 2006

HANYA tiga pemain skuad bola sepak Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar masih kekal dalam skuad kebangsaan untuk persiapan menghadapi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China November depan.

Mereka terdiri daripada Safiq Rahim, 23, Khyril Muhymeen Zambri, 23, dan Norshahrul Idlan Talaha, 24, yang masing-masing menyimpan tekad menebus kekecewaan tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, empat tahun lalu.

Pada ketika itu, Malaysia yang dibimbing jurulatih Norizan Bakar tewas 1-3 kepada Oman dan China sebelum dibelasah 4-0 oleh Iraq pada aksi terakhir.

Safiq dan Khyril beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan itu.

Bagi Safiq, yang juga pemain tengah Selangor, dia menyifatkan skuad negara kini jauh berbeza jika dibandingkan dengan skuad empat tahun lalu kerana Malaysia kini sudah mampu mengimbangi kekuatan pasukan-pasukan lain di peringkat Asia.

"Ketika di Doha, saya baru berusia 19 tahun dan masih cetek pengalaman di pentas antarabangsa. Jadi kali ini keyakinan saya bertambah tinggi untuk bersaing dengan pasukan Asia yang lain.

"Di Guangzhou nanti, kami berazam memastikan Malaysia tidak menerima aib pada 2006 itu dan insya-Allah pasukan kali ini boleh mara lebih jauh," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas sesi latihan pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin lalu.

Khyril yang beraksi untuk Kedah pula berkata, keserasian di kalangan pemain-pemain dalam skuad kebangsaan kali ini merupakan nadi kekuatan mereka untuk mencipta kejutan di Guangzhou nanti.

"Majoriti pemain dalam skuad ini telah lama beraksi bersama. Seperti Safiq, saya juga berusia 19 tahun ketika di Doha dan hanya mengerah kudrat semata-mata. Kali ini kami sudah ada pengalaman.

"Cuma apa yang penting ialah kami perlu menang pada perlawanan pertama nanti bagi mencerahkan peluang layak ke suku akhir," kata Khyril yang beraksi di posisi sayap.

Norshahrul, penyerang Kelantan pula mahu meneruskan prestasi konsisten kerana dia perlu merebut tiga slot pemain lebih umur untuk senarai 20 pemain yang akan dibawa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal ke Guangzhou.

"Walaupun saya kerap dipanggil menyertai skuad kebangsaan, saya masih perlu berusaha keras bagi menjamin tempat. Pengalaman beraksi dalam dua perlawanan di Doha pada 2006 akan digunakan sepenuhnya.

"Tapi kali ini saya juga bertambah yakin kerana kita tidak lagi gentar ketika bertemu pasukan dari Timur Tengah seperti Jordan, Arab Saudi, Uzbekistan dan Syria sepanjang tahun lalu," kata Norshahrul.

Skuad kebangsaan yang kini sedang menjalani latihan sepanjang bulan Ramadan bakal mengadakan aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan Thailand pada 28 Ogos, Oman pada 3 September dan Yemen pada 6 September depan.

REKOD SKUAD BOLA SEPAK MALAYSIA
DI SUKAN ASIA (1951-2006)

2006 - Peringkat kumpulan (M0,S0,K3)
2002 - Peringkat kumpulan (M1,S0,K2)
1998 - Tidak menyertai
1994 - Peringkat kumpulan (M1,S1,K2)
1990 - Peringkat kumpulan (M0,S1,K1)
1986 - Peringkat kumpulan (M0,S1,K2)
1982 - Peringkat kumpulan (M0,S0,K3)
1978 - Suku akhir
1974 - Pingat gangsa
1970 - Peringkat kumpulan (M0,S0,K3)
1966 - Peringkat kumpulan (M0,S0,K3)
1962 - Pingat gangsa
1958 - Peringkat kumpulan (M0,S0,K3)
1954 - Tidak menyertai
1951 - Tidak menyertai

M: Menang, S: Seri, K: Kalah
Read More

Rajagobal tarik nafas lega

SKUAD kebangsaan memulakan kem latihan bulan Ramadan di Wisma FAM, Kelana Jaya malam kelmarin yang bakal diakhiri dengan kemungkinan menentang skuad kebangsaan Oman di Doha, Qatar pada 3 September depan.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajago- bal pasti lega apabila semua 26 pemain yang dipanggil kali ini kecuali penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat telah turun menjalani latihan pertama itu tanpa sebarang masalah kecederaan.

Khairul Fahmi akan menyertai kem tersebut sejurus dia bersama skuad Kelantan pulang ke tanah air hari ini selepas mengerjakan umrah.

“Memang hari pertama latihan ini saya tidak boleh lihat apa-apa lagi. Saya hanya mahu tengok keadaan para pemain dan saya dapati tiada kecederaan melanda mereka.

“Kita akan terus berlatih sepanjang bulan puasa ini sebagai salah satu persiapan menghadapi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November depan.

“Tentang perlawanan persahaba- tan yang diatur, kita masih belum dapat pengesahan. Dalam dua hari lagi baru ia boleh diketahui sepe- nuhnya,” kata Rajagobal ketika ditemui Kosmo! pada sesi latihan tersebut malam kelmarin.

Pengendali berusia 54 tahun itu memberitahu, hanya perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Oman itu hampir pasti manakala aksi bertemu skuad kebangsaan Thailand dan kelab Singapura masih belum dimuktamad- kan.

“Ketika pertengahan saingan Piala Malaysia pula, kita akan beraksi pada kejohanan jemputan Piala Ho Chi Minh di Vietnam dari 26 September hingga 3 Oktober depan yang turut disertai skuad B-23 Vietnam, Singapura dan Iran,” jelasnya.

Bagi kem kali ini, Rajagobal telah memanggil 10 pemain skuad Harimau Muda iaitu K. Gurusamy, Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Faizal Muhamad, Fadhli Shas, Fandi Othman, Gary Steven Robbat, Izzat Faris Ramlan, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Zamir Selamat.

Hanya empat pemain lebih usia 23 tahun disenaraikan iaitu Sharbi- nee Allawee Ramli, Norshahrul Id- lan Talaha, S. Kunanlan dan Azmi Muslim.

“Peluang tetap terbuka kepada pemain lain yang tidak dipanggil kali ini. Saya akan pantau prestasi mereka pada Piala Malaysia. Saya tidak mahu pemain sedia ada ini merasa selesa tempat mereka sudah terjamin,” tegas Rajagobal.
Read More

Piala Malaysia 2010: Saingan pasti sengit

KEMPEN Piala Malaysia yang memasuki edisi ke-84 pada tahun ini menjanjikan satu saingan yang lebih sengit daripada 16 pasukan yang telah berjaya melayakkan diri.

Tidak seperti edisi 2007, 2008 dan 2009 yang menyaksikan pasukan bertanding layak secara automatik menerusi tiket pasukan negeri, kelab terbaik serta penampilan PDRM dan ATM, saingan musim 2010 kembali menggunakan sistem merit.

Hanya 12 pasukan teratas Liga Super dan empat pasukan teratas Liga Perdana berjaya melayakkan diri, sekali gus menyebabkan tiada kelibat pasukan Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Melaka dan PDRM pada saingan kali ini.

Situasi itu bakal menjanjikan saingan sengit seawal aksi peringkat kumpulan kerana kesemua 16 pasukan yang bertanding memiliki kekuatan seimbang.

Hanya sebulan sebelum sepak mula perlawanan pertama pada 14 September depan yang jatuh pada hari kelima Aidilfitri, kesemua pasukan mula melakukan persiapan sepanjang bulan Ramadan ini.

Bukan itu sahaja, saingan peringkat kumpulan turut bakal menguji tahap ketahanan fizikal dan mental para pemain kerana mereka perlu beraksi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu untuk pusingan pertama.

Selepas itu, saingan terpaksa berhenti rehat selama 12 hari kerana skuad kebangsaan menyertai kejohanan jemputan antarabangsa, Piala Ho Chi Minh 2010 di Vietnam dari 28 September hingga 2 Oktober.

Bersambung pusingan kedua, baki tiga perlawanan turut berlangsung selang tiga hari bagi mencari lapan pasukan terbaik yang bakal meneruskan saingan ke suku akhir.

Musim lalu, lapan pasukan yang mara ke suku akhir ialah KL Plus, Negeri Sembilan, Johor FC, Selangor, Kelantan, Kuala Muda Naza, Perlis dan Terengganu.

Pada separuh akhir, Negeri Sembilan menyingkirkan Terengganu manakala Kelantan mengetepikan Perlis tetapi pada aksi final, Negeri Sembilan tampil lebih hebat untuk muncul juara setelah menewaskan Kelantan 3-1.

Siapa pula yang bakal menjulang trofi Piala Malaysia edisi ke-84 pada tahun ini hanya akan terjawab di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 Oktober depan.



Kumpulan A
----------

KELANTAN

KELANTAN tampil mantap musim ini apabila mereka hanya tewas sekali iaitu 0-1 kepada Kedah pada perlawanan keempat Liga Super pada 19 Januari lalu.

Pada saingan Piala FA, skuad kendalian B. Sathianathan ini terikat agregat 1-1 dengan Kedah pada pusingan kedua tetapi tersingkir berdasarkan peraturan gol tempat lawan.

Kini untuk saingan Piala Malaysia, Kelantan dilihat tidak menghadapi masalah melangkah jauh lebih-lebih lagi dengan semangat untuk menebus kekecewaan final musim lalu serta menamatkan kemarau kejuaraan setelah tiga kali bergelar naib juara.


NEGERI SEMBILAN

SELAKU juara bertahan, beban pastinya terpikul di bahu anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan ini dalam misi mempertahankan kejuaraan kali kedua yang dimenangi mereka musim lalu.

Setelah meneruskan kecemerlangan dengan muncul juara Piala FA musim ini dengan menewaskan Kedah menerusi sepakan penalti pada aksi final 10 April lalu, prestasi Negeri Sembilan tiba-tiba merudum pada baki saingan Liga Super.

Biarpun sekadar menamatkan saingan di tangga keenam, barisan pemain berpengalaman yang dimiliki Negeri Sembilan tidak boleh dinafikan keupayaan mental mereka setiap kali beraksi pada saingan berbentuk kalah mati.


KL PLUS

TIADA apa yang boleh dibanggakan dengan prestasi KL Plus musim ini yang sekadar menghuni tangga ke-10 dalam saingan Liga Super.

Namun skuad kendalian Mat Zan Mat Aris ini bolehlah dilabel sebagai pasukan pengacau kepada mana-mana pencabar mereka dalam Kumpulan A.

Sandaran pastinya terus diletakkan ke bahu kapten skuad kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadzli Idrus, Nizaruddin Yusof dan Fadzli Saari untuk mencipta kejutan biarpun mereka tidak dianggap sebagai pasukan pilihan kali ini.


PKNS FC

KEKECEWAAN tewas pada aksi terakhir Liga Perdana kepada Harimau Muda sekali gus menyebabkan mereka gagal layak ke Liga Super pasti mahu ditebus PKNS FC pada saingan Piala Malaysia.

Biarpun bakal berdepan pesaing dari kalangan pasukan Liga Super, anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim ini juga tidak kurang hebatnya kerana ditunjangi tonggak berpengalaman seperti Saiful Amar Sudar, Fadhil Hashim, Khairi Zainudin dan Fairuz Montana Zainal Abidin.

Selain itu, PKNS FC turut mengharapkan pemenang kasut emas Liga Perdana musim ini, Zamri Hassan mampu meneruskan ketajaman setelah meledak 20 gol setakat tamat saingan liga.


Kumpulan B
----------

TERENGGANU

MEREKA tumbang di tangan Negeri Sembilan pada separuh akhir musim lalu ketika dibawa jurulatih berpengalaman, Ken Worden.

Kali ini kewibawaan Irfan Bakti Abu Salim bakal teruji setelah berjaya membawa Terengganu muncul pemenang tempat ketiga dalam saingan Liga Super.

Dengan kubu terakhir mereka begitu kebal dikawal penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee Ramli dan jentera serangan begitu tajam diketuai pemenang kasut emas Liga Super, Ashaari Shamsuddin, Terengganu dilihat sebagai pencabar utama pada saingan kali ini.


PAHANG

PRESTASI ala yo-yo Pahang sepanjang saingan Liga Super musim ini menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh ini hanya mampu menamatkan saingan di tangga kelapan.

Namun jika dilihat secara keseluruhan, barisan pemain-pemain muda Pahang ini masih memiliki kemampuan untuk bersaing ketika berdepan pasukan-pasukan handalan seperti Selangor, Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan.

Sudah terlalu lama sebenarnya Pahang tidak menjulang Piala Malaysia dengan kali terakhir mereka melakukannya pada 1992 ketika menewaskan Kedah 1-0 hasil jaringan tunggal Zulhamizan Zakaria.


KUALA LUMPUR

SKUAD warga kota ini sebenarnya cukup disegani pada penghujung era 1980-an apabila mereka muncul juara tiga kali berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1999.

Namun selepas itu, cengkaman Sang Helang ini semakin lemah kerana bintang-bintang yang dilahirkan mereka dipancing pasukan lain sehingga memaksa mereka bergantung kepada tenaga muda sehinggalah ke musim ini.

Dengan menamatkan saingan Liga Super di tangga kesembilan, anak-anak buah Razip Ismail ini memerlukan satu lonjakan semangat baru jika mahu mara lebih jauh pada saingan Piala Malaysia kali ini.


SABAH

AWAL musim ini, Sabah tidak dilihat sebagai pencabar utama tetapi peningkatan sedikit demi sedikit dilakukan mereka sehingga berjaya muncul naib juara Liga Perdana dan layak ke Liga Super musim depan.

Dengan bimbingan jurulatih dari Australia, Gary Phillip, Sabah sebenarnya ditunjangi beberapa tonggak berpengalaman seperti bekas penjaga gol kebangsaan, Azizon Kadir, Zainizam Marjan dan juga bekas penyerang Johor, Farid Ideris.

Tiga kali final sebelum ini iaitu 1996, 2002 dan 2003, Sabah telah tumbang di tangan Selangor dan MPPJ FC, mereka pasti bertekad untuk mencipta kejutan mara sekali lagi ke final bagi memburu kejuaraan buat kali pertama.


Kumpulan C
----------

JOHOR FC

MUNCUL pemenang tempat keempat Liga Super masih dianggap satu kegagalan oleh pengurusan pasukan Johor FC yang memecat jurulatihnya, Ramlan Rashid untuk digantikan oleh Azuan Zain bagi mengharungi kempen Piala Malaysia.

Johor FC musim ini dibarisi Eddy Helmi Manan, Wan Rohaimi Ismail, Nurul Azwan Roya, Azizan Baba, Khairi Kiman dan Sumardi Hajalan tetapi di mana silapnya mereka gagal tampil dengan prestasi menyakinkan.

Sesuatu perlu dilakukan oleh Azuan bagi membentuk acuan baru supaya Johor FC tampil lebih garang untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian mara ke suku akhir musim lalu.


KEDAH

PADA awal musim, ramai penyokong Kedah yang ragu-ragu dengan kemampuan Ahmad Yusoff mengemudi pasukan yang sudah begitu sinonim dengan sentuhan Azraai Khor Abdullah.

Namun Ahmad telah menutup kritikan tersebut dengan berjaya membawa Kedah mara ke final Piala FA sebelum tewas kepada Negeri Sembilan serta berjaya menduduki tangga kelima dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun persiapan Kedah untuk mengulangi kejuaraan musim 2007 dan 2008 sedikit terjejas apabila lima pemain iaitu Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Azmi Muslim, Khyril Muhymeen Zambri dan Faizal Abu Bakar bakal menyertai kem latihan skuad kebangsaan bermula esok.


PERAK

BIARPUN hanya dibarisi pemain-pemain muda, skuad bimbingan Raja Azlan Shah Raja Soib ini telah menampilkan prestasi yang semakin meningkat pada penghujung saingan Liga Super.

Pada enam perlawanan terakhir, Perak berjaya menewaskan Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, mengikat T-Team dan Negeri Sembilan serta hanya tewas sekali kepada Kuala Lumpur untuk menamatkan saingan di tangga ke-11 dan terselamat daripada tersingkir ke Liga Perdana.

Tidak mustahil jika prestasi baik itu mampu diteruskan pada saingan Piala Malaysia nanti, Perak mampu untuk kembali dihormati seperti ketika mereka muncul juara pada edisi 1998 dan 2000.


ATM

JIKA sebelum ini ATM hanyalah dilabel sebagai skuad tempelan atau pelengkap jadual untuk Piala Malaysia, kali ini mereka tampil dengan skuad yang terdiri daripada bekas-bekas pemain berpengalaman seluruh negara.

Dibimbing bekas pemain Pahang, Zulhamizan Zakaria, kegagalan ATM untuk muncul dua pasukan teratas Liga Perdana bagi melayakkan diri ke Liga Super musim depan sesuatu yang mengejutkan jika dilihat daripada pelaburan besar dibuat mereka musim ini.

Namun Ahmad Tharmini Saiban, V. Saravanan, Chan Wing Hong, Nafuzi Zain, Danial Fadzly Abdullah dan Nasril Nourdin masih memiliki pentas Piala Malaysia untuk mereka membuktikan kehebatan sebenar ATM.


Kumpulan D
----------

SELANGOR

DUA daripada tiga piala yang dimenangi Selangor musim lalu iaitu Liga Super dan Piala Sumbangsih berjaya dipertahankan mereka biarpun trofi Piala FA terlepas ke tangan Negeri Sembilan.

Biarpun tewas tiga kali musim ini kepada Terengganu, Perak dan Kedah, Selangor sebenarnya memiliki skuad yang dibarisi pemain-pemain cukup mantap dan dianggap tidak memiliki masalah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan ini.

Namun apa yang perlu diambil iktibar anak-anak buah K. Devan ini ialah jangan memandang mudah sesuatu perlawanan itu dan jika tidak, kekalahan menerusi sepakan penalti pada suku akhir musim lalu pasti berulang.


T-TEAM

PASUKAN yang menduduki tangga ketujuh Liga Super ini boleh dianggap sebagai Terengganu B kerana mereka dibarisi bekas-bekas pemain Terengganu seperti Syamsuri Mustafa, Rosdi Talib, Subri Sulong, Norfazly Alias dan Norhisham Hassan.

Jurulatih Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor pasti terus meletakkan sandaran di bahu dua peledak utama iaitu Haris Safwan Kamal dan Abdul Hadi Yahya untuk terus menggegar gawang lawan pada saingan Piala Malaysia kali ini.

Format musim lalu menyebabkan mereka gagal ke Piala Malaysia sekali gus hanya pemain-pemain mereka mendapat peluang beraksi apabila dipinjamkan ke pasukan lain dan musim ini giliran mereka membantu pasukan sendiri untuk mara lebih jauh.


PERLIS

DARIPADA sebuah pasukan yang cukup konsisten dalam saingan Liga Super mahu pun Piala Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Perlis musim ini tampak mempamerkan aksi yang cukup suram.

Yunus Alif tampil mengambil alih pasukan daripada Nidzam Adzha Yusoff di tengah-tengah saingan Liga Super hingga menyebabkan mereka hanya menamatkan saingan di tangga ke-12, hanya satu anak tangga terselamat daripada tersingkir ke Liga Perdana.

Ketiadaan penjaga gol utama, Farizal Marlias yang terpaksa berehat tiga bulan akibat patah tulang pipi, Perlis terpaksa menyandarkan harapan kepada dua pemain kebangsaan, Amar Rohidan dan Ahmad Fakri Saarani serta bekas penyerang Harimau Muda, Ahmad Aminuddin Shaharuddin.


FELDA UNITED

JUARA Liga Perdana ini akhirnya berjaya juga tampil dalam saingan Piala Malaysia musim ini dan pastinya E. Elavarasan selaku jurulatih mahu mencipta sesuatu kejayaan pada penampilan sulung pasukan ini.

Felda United dijangka mampu memberi saingan hebat pada pencabar kumpulan ini kerana mereka diperkuat beberapa pemain berpengalaman seperti Nazrulerwan Makmor, Kaironnisam Sahabuddin Hussain, Fatrurazi Rozi, Juzaili Samion, Chow Chee Weng, Rashid Mamud, Hasmawi Hassan dan Zainal Rabin.

Sudah tentu mereka menyimpan hasrat untuk menjadi kelab kedua yang berjaya menjulang trofi Piala Malaysia seperti dilakukan MPPJ FC pada tahun 2003.

JADUAL PERLAWANAN
PIALA MALAYSIA 2010

SELASA, 14 SEPTEMBER 2010

KELANTAN lwn N.SEMBILAN
KL PLUS lwn PKNS FC
TERENGGANU lwn PAHANG
KUALA LUMPUR lwn SABAH
JOHOR FC lwn KEDAH
PERAK lwn ATM
SELANGOR lwn T-TEAM
PERLIS lwn FELDA UNITED

JUMAAT, 17 SEPTEMBER 2010

N.SEMBILAN lwn KL PLUS
PKNS FC lwn KELANTAN
PAHANG lwn KUALA LUMPUR
SABAH lwn TERENGGANU
KEDAH lwn PERAK
ATM lwn JOHOR FC
T-TEAM lwn PERLIS
FELDA UNITED lwn SELANGOR

ISNIN, 20 SEPTEMBER 2010

PKNS FC lwn N.SEMBILAN
KELANTAN lwn KL PLUS
SABAH lwn PAHANG
TERENGGANU lwn KUALA LUMPUR
ATM lwn KEDAH
JOHOR FC lwn PERAK
FELDA UNITED lwn T-TEAM
SELANGOR lwn PERLIS

AHAD, 3 OKTOBER 2010

N.SEMBILAN lwn KELANTAN
PKNS FC lwn KL PLUS
PAHANG lwn TERENGGANU
SABAH lwn KUALA LUMPUR
KEDAH lwn JOHOR FC
ATM lwn PERAK
T-TEAM lwn SELANGOR
FELDA UNITED lwn PERLIS

RABU, 6 OKTOBER 2010

KL PLUS lwn N.SEMBILAN
KELANTAN lwn PKNS FC
KUALA LUMPUR lwn PAHANG
TERENGGANU lwn SABAH
PERAK lwn KEDAH
JOHOR FC lwn ATM
PERLIS lwn T-TEAM
SELANGOR lwn FELDA UNITED

SABTU, 9 OKTOBER 2010

N.SEMBILAN lwn PKNS FC
KL PLUS lwn KELANTAN
PAHANG lwn SABAH
KUALA LUMPUR lwn TERENGGANU
KEDAH lwn ATM
PERAK lwn JOHOR FC
T-TEAM lwn FELDA UNITED
PERLIS lwn SELANGOR

SUKU AKHIR PERTAMA
SELASA, 12 OKTOBER 2010

Juara Kump. A lwn Naib Kump. D (1)
Juara Kump. B lwn Naib Kump. C (2)
Juara Kump. C lwn Naib Kump. B (3)
Juara Kump. D lwn Naib Kump. A (4)

SUKU AKHIR KEDUA
SABTU, 16 OKTOBER 2010

Naib Kump. D lwn Juara Kump. A (5)
Naib Kump. C lwn Juara Kump. B (6)
Naib Kump. B lwn Juara Kump. C (7)
Naib Kump. A lwn Juara Kump. D (8)

SEPARUH AKHIR PERTAMA
RABU, 20 OKTOBER 2010

Pemenang 1/5 lwn Pemenang 3/7 (9)
Pemenang 2/6 lwn Pemenang 4/8 (10)

SEPARUH AKHIR KEDUA
SABTU, 23 OKTOBER 2010

Pemenang 3/7 lwn Pemenang 1/5 (11)
Pemenang 4/8 lwn Pemenang 2/6 (12)

FINAL
SABTU, 30 OKTOBER 2010

Pemenang 9/11 lwn Pemenang 10/12

------------------

PENCAPAIAN PASUKAN:

PASUKAN JUARA NAIB JUARA

1 Selangor 32 15
2 Singapura 24 19
3 Perak 7 11
4 Pulau Pinang 4 9
5 Kedah 4 6
6 Kuala Lumpur 3 1
7 Pahang 2 4
8 Negeri Sembilan 2 2
9 Johor 2 1
10 Perlis 2 1
11 Terengganu 1 3
12 Brunei 1 -
13 MPPJ FC 1 -
14 Sabah - 3
15 Kelantan - 3
16 Tentera - 2
17 Sarawak - 1
Read More

Malaysia No. 139 dunia


SKUAD bola sepak kebangsaan kini berada di ranking ke-139 dunia dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.

Ia merupakan kedudukan terbaik buat Malaysia selepas kali terakhir berada pada kedudukan lebih baik iaitu di tangga ke-127 dunia pada Jun 2006, kira-kira empat tahun yang lalu.

Kedudukan ke-139 itu juga adalah yang terbaik sepanjang 2010 selepas Malaysia menduduki tangga ke-159 pada Januari, ke-146 pada Februari, ke-147 pada Mac dan April, ke-146 pada Mei, ke-142 pada Jun dan Julai lalu.

Di peringkat Asia, Malaysia kini menduduki tangga ke-25 tetapi di kalangan negara-negara Asia Tenggara pula, Malaysia masih berada di ranking kelima di belakang Thailand (ke-104 dunia), Singapura (ke-120 dunia), Vietnam (ke-127 dunia) dan Indonesia (ke-135 dunia).

Namun Malaysia tidak mungkin akan terus berjaya melonjak secara drastik bagi memintas Indonesia, Vietnam dan Singapura andai jumlah perlawanan kelas A yang dihadapi skuad kebangsaan masih kurang.

Jika tahun lalu Malaysia mengharungi lapan perlawanan kelas A bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kenya, China, Arab Saudi, Jordan, Lesotho dan Uzbekistan (dua kali), namun tahun ini baru dua perlawanan dilalui selepas lapan bulan berlalu.

Dua aksi tersebut ialah bertemu UAE (tewas 0-1) di Dubai pada 6 Januari dan bertemu Yemen (menang 1-0) di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 27 Februari lalu.

Andai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mengatur aksi-aksi persahabatan kelas A berdepan pasukan yang lebih tinggi ranking seperti India, Indonesia, Hong Kong, Vietnam dan Singapura, pasti kedudukan Malaysia akan lebih baik selepas ini.

Jika tidak, peluang Malaysia untuk mengumpul sebanyak mungkin mata hanyalah pada Piala AFF Suzuki 2010 Disember depan memandangkan saingan Sukan Asia 2010 November depan tidak dikira untuk pungutan mata ranking FIFA.

Sementara itu, kedudukan 10 pasukan teratas dalam senarai ranking terbaru FIFA semalam langsung tidak berubah dengan juara Piala Dunia 2010, Sepanyol masih menduduki tangga teratas.
Ia diikuti Belanda, Brazil, Jerman, Argentina, Uruguay, England, Portugal, Mesir dan Chile.
Read More

Pasukan Selangor bakal dapat bas baru

PENANTIAN pemain Selangor bakal berakhir setelah Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim secara dasarnya bersetuju dengan cadangan membeli bas baru untuk kegunaan pemain ke gelanggang lawan.

Khalid yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkata, pihaknya akan memulakan usaha pembelian bas yang bernilai sekitar RM500,000 itu setelah mengambil kira usia bas sedia ada yang sudah mencecah usia 14 tahun.

“Memandangkan bas tersebut sudah terlalu lama dan tiada lagi susut nilai selain kos baik pulih semakin meningkat, ada baiknya kita beli saja bas baru,” katanya pada majlis meraikan kejayaan skuad Selangor menjuarai Liga Super 2010 di Shah Alam semalam.

Pada majlis itu juga, Khalid mengumumkan bahawa hadiah wang kemenangan RM500,000 selaku juara Liga Super akan dibahagikan di kalangan pemain dan pegawai pasukan mengikut perkiraan yang telah ditetapkan.

“Saya anggarkan pemain-pemain utama akan menerima RM15,000 setiap seorang. Kerajaan negeri berpendapat wang kemenangan ini perlu diberi semula kepada pemain dan pegawai sebagai insentif kepada mereka.

“Jadi saya harap mereka (pemain) dapat memperkemaskan diri dan berlatih bersungguh-sungguh untuk merealisasikan sasaran menjuarai Piala Malaysia yang sudah empat musim gagal kita menangi,” jelasnya.

Sementara itu, pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan berkata, skuadnya akan mengadakan enam perlawanan persahabatan sepanjang bulan Ramadan ini sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia bermula 14 September depan.

“Kita akan bertemu juara Liga FAM, Sime Darby pada Sabtu ini, bertemu kelab Singapura, Sengkang Punggol pada 19 Ogos, bertemu Perak pada 21 Ogos dan bertemu Johor FC pada 4 September.

“Semua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Shah Alam bermula antara pukul 9.30 hingga 10 malam. Selain itu, dua lagi perlawanan iaitu menentang Pahang dan Kuala Lumpur belum ditetapkan lagi tarikhnya,” kata Devan.

Pada saingan Kumpulan D nanti, Selangor akan berdepan T-Team di Shah Alam (14 September), Felda United di Cheras (17 September), Perlis di Shah Alam (20 September), T-Team di Kuala Terengganu (3 Oktober), Felda United di Shah Alam (6 Oktober) dan Perlis di Kangar (9 Oktober).
Read More

Selangor idam gelaran Piala Sultan Selangor 2010


TARIKH 15 Oktober dan 16 Oktober depan bakal menjadi dua hari yang cukup penting dan sibuk buat skuad bola sepak Selangor.

Mereka akan menghadapi Singapura pada perlawanan Piala Sultan Selangor 2010 di Stadium Shah Alam pada 16 Oktober depan, hanya sehari selepas beraksi perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2010.

Jurulatih Selangor, K. Devan bagaimanapun tidak mahu ia dijadikan masalah sambil meletakkan sasaran anak-anak buahnya beraksi cemerlang pada kedua-dua perlawanan tersebut.

"Jika Selangor mara ke suku akhir Piala Malaysia, saya akan pastikan kami dapat mencatat kemenangan selesa pada aksi pertama (12 Oktober).

"Ia supaya kita tidak perlu bersusah payah pada aksi kedua (15 Oktober), sekali gus dapat memberi tumpuan untuk aksi Piala Sultan Selangor (16 Oktober).

"Kami mahu tampil cemerlang dalam kedua-dua piala ini dan tidak akan ambil mudah perlawanan ini," katanya ketika di- temui pada Majlis Penyerahan Cek Penajaan Piala Sultan Selangor 2010 di Shah Alam petang semalam.

Tahun lalu, Selangor tewas 0-3 kepada Singapura pada saingan edisi kelapan di Stadium Jalan Besar, Singapura tetapi kali ini Devan yakin kelebihan aksi di laman sendiri mampu dimanfaatkan Selangor.

"Saya yakin skuad kali ini lebih baik daripada tahun lalu dan peluang untuk kita menang tampak cerah. Biarpun lawan memiliki pemain asing, jurang tidak terlalu jauh jika kita dapat tampil semangat tinggi," kata Devan.

Devan, 49, turut memberitahu, Selangor tidak akan meminjam pemain untuk Piala Malaysia tetapi akan menyenaraikan pemain Piala Presiden, K. Reuben Thayaparan, 20, bagi menggantikan Bunyamin Umar yang terpaksa berehat lima bulan akibat kecederaan lutut.

Pada majlis semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima replika cek bernilai RM500,000 daripada Benalec Sdn. Bhd. selaku penaja utama serta penaja-penaja lain iaitu Syabas, PNSB, Taliworks Corporation, Splash dan Sunway Group.

"Dengan hanya membeli tiket RM5, para penonton bukan saja dapat menyaksikan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura (8 malam) dan skuad utama Selangor bertemu Singapura pada pukul 9 malam.

"Malah mereka turut berpeluang menikmati persembahan nyanyian daripada David Arumugam, Jamal Abdillah dan Francesca Peters," kata pengerusi penganjur, Datuk Abd. Karim Munisar.
Read More

Piala Malaysia 2010: Ketahanan pemain bakal diuji


SAINGAN Piala Malaysia 2010 bakal menguji ketahanan fizikal dan mental 16 pasukan bertanding apabila mereka perlu mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu bagi aksi peringkat kumpulan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa membuat jadual perlawanan yang agak padat itu memandangkan skuad kebangsaan mempunyai tugasan antarabangsa pada penghujung September depan.

Mengikut jadual yang dikeluarkan FAM ketika majlis undian kelmarin, tiga perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia akan dilangsungkan selang tiga hari iaitu pada 14 September (Selasa), 17 September (Jumaat) dan 20 September (Isnin).

Ini kerana sehari selepas itu skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal akan berkumpul menjalani latihan selama seminggu untuk persiapan menghadapi Piala Ho Chi Minh 2010 di Vietnam dari 28 September hingga 2 Oktober.

Selain Malaysia yang akan dibarisi skuad B-23 sebagai persiapan ke Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, November depan, kejohanan jemputan itu turut akan disertai skuad B-23 dari Vietnam, Singapura dan Iran.

Selepas itu, saingan pusingan kedua Piala Malaysia akan kembali bersambung dengan baki tiga perlawanan berlangsung selang tiga hari iaitu pada 3 Oktober (Ahad), 6 Oktober (Rabu) dan 9 Oktober (Sabtu).

Kumpulan A dibarisi Kelantan, Negeri Sembilan, KL Plus dan PKNS, Kumpulan B dibarisi Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan Sabah, Kumpulan C dibarisi Johor FC, Kedah, Perak dan ATM manakala Kumpulan D dibarisi Selangor, T-Team, Perlis dan Felda United.

Saingan suku akhir pada 12 dan 16 Oktober bakal menyaksikan juara Kumpulan A bertemu naib juara Kumpulan D, juara Kumpulan B bertemu naib juara Kumpulan C, juara Kumpulan C bertemu naib juara Kumpulan B manakala juara Kumpulan D bertemu naib juara Kumpulan A.

Aksi separuh akhir pula dijadualkan berlangsung pada 20 dan 23 Oktober, sementara aksi final akan diadakan pada 30 Oktober depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Read More

Keputusan undian Piala Malaysia 2010

MAJLIS Undian Piala Malaysia 2010 telah berlangsung dengan lancarnya di Wisma FAM, Kelana Jaya tengah hari tadi. Saya baru saja pulang dari majlis tersebut dan tak sangka ramalan saya dalam Kosmo! hari ini tepat belaka.

Finalis musim lalu, Negeri Sembilan selaku juara dan Kelantan naib juara diundi dalam Kumpulan A bersama-sama KL Plus dan PKNS.

Satu lagi ramalan saya yang tepat ialah juara Liga Super, Selangor dan Felda United diundi dalam Kumpulan D bersama-sama T-Team dan Perlis.

Dua lagi kumpulan menyaksikan Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan Sabah dalam Kumpulan B manakala Johor FC, Kedah, Perak dan ATM dalam Kumpulan C.

Berikut ialah kedudukan kumpulan dan tarikh-tarikh perlawanan Piala Malaysia 2010.

KUMPULAN A: Kelantan, Negeri Sembilan, KL Plus dan PKNS.
KUMPULAN B: Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan Sabah.
KUMPULAN C: Johor FC, Kedah, Perak dan ATM.
KUMPULAN D: Selangor, T-Team, Perlis dan Felda United.

JADUAL PERLAWANAN

PERINGKAT KUMPULAN:

PUSINGAN 1: 14 Sept, 17 Sept, 20 Sept.
PUSINGAN 2: 3 Okt, 6 Okt, 9 Okt.

SUKU AKHIR:
Juara A lwn Naib D,
Juara B lwn Naib C,
Juara C lwn Naib B,
Juara D lwn Naib A.
(12 Okt dan 16 Okt)
* Jika Selangor layak, perlawanan 16 Okt melibatkan Selangor diawal ke 15 Okt kerana Selangor perlu beraksi Piala Sultan Selangor 2010 pada 16 Okt.

SEPARUH AKHIR:
Juara A/Naib D lwn Juara C/Naib B
Juara B/Naib C lwn Juara D/Naib A
(20 Okt dan 23 Okt)

FINAL:
30 Okt di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Read More

Piala Malaysia: Finalis 2009 diundi satu kumpulan?


JUARA Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan dan naib juara, Kelantan mempunyai kebarangkalian diundi dalam satu kumpulan pada majlis undian di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya tengah hari ini.

Ini kerana, Negeri Sembilan dan Kelantan bakal diletakkan dalam dua balang berbeza berdasarkan kedudukan kedua-dua pasukan itu pada saingan Liga Super 2010 yang berakhir Selasa lalu.

Pada majlis undian yang turut akan dihadiri Timbalan Presiden FAM yang baru, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu nanti, 16 pasukan yang telah layak akan diasingkan ke dalam empat balang berbeza.

Balang 1 akan diisi empat pasukan teratas Liga Super musim ini iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor FC untuk diundi berada pada kedudukan A1, B1, C1 atau D1.

Balang 2 pula diisi pasukan di tangga kelima hingga kelapan Liga Super iaitu Kedah, Negeri Sembilan, T-Team dan Pahang untuk kedudukan sama ada A2, B2, C2 atau D2.

Balang 3 akan diisi pasukan di tangga kesembilan hingga ke-12 iaitu Kuala Lumpur, KL Plus, Perak dan Perlis untuk mengisi kedudukan A3, B3, C3 atau D3.

Manakala Balang 4 pula diisi empat pasukan teratas Liga Perdana musim ini iaitu Felda United, Sabah, PKNS FC dan ATM untuk diundi kedudukan A4, B4, C4 atau D4.

Maka terdapat kemungkinan untuk dua finalis musim lalu, Negeri Sembilan dan Kelantan bertembung lebih awal dalam saingan peringkat kumpulan.

Begitu juga dengan juara Liga Super, Selangor dan juara Liga Perdana, Felda United yang turut boleh diletakkan dalam satu kumpulan yang sama.

Apa pun semuanya terletak kepada keputusan undian tersebut sebelum 16 pasukan ini memulakan saingan pada 14 September depan bagi merebut dua slot ke final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 Oktober depan.
Read More

Skuad negara terus diuji


KELAB Perancis, Etoile FC serta tiga kelab China menjadi pilihan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal bagi menguji barisan pemainnya dalam persiapan menghadapi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, November depan.

Menurut Rajagobal, biarpun hanya bertemu dengan pasukan kelab, ia tetap dianggap sesuatu yang terbaik kerana skuad negara memerlukan siri perlawanan ujian bagi mempertingkatkan prestasi mereka.

"Etoile FC yang beraksi dalam Liga Singapura kini menduduki tangga kedua dan saya dengar mereka juga pernah menewaskan skuad kebangsaan Singapura dalam aksi persahabatan.

"Kunjungan ke China pula, kita sedang cuba mendapatkan pasukan terbaik di sana. Sesuatu yang baik juga apabila kita dapat bertemu kelab yang dibarisi lima hingga enam pemain import ini.

"Bagi saya, empat atau lima perlawanan sepanjang kem latihan ketika bulan puasa ini memadai sebagai sebahagian persiapan kita menjelang Sukan Asia," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Seramai 26 pelatih yang dipanggil Rajagobal akan mula berkumpul di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 16 Ogos ini sebelum mereka ke Singapura antara 21 hingga 24 Ogos untuk bertemu Etoile FC.

Selepas itu, anak-anak buah Rajagobal akan kembali ke Kelana Jaya untuk menyambung latihan sebelum ke China selama 10 hari bermula 28 Ogos untuk tiga aksi persahabatan.

Rajagobal turut menegaskan, beliau lebih mengutamakan peningkatan prestasi skuad kendaliannya yang dibarisi pemain antara usia 20 hingga 24 tahun.

"Jangan terlalu harap kemenangan segera. Kita mahu perkuatkan pasukan kebangsaan ini dari semua aspek. Pada masa sama kita mahukan peningkatan secara berterusan," tegasnya.

Ditanya kenapa beliau tidak menyenaraikan penjaring terbanyak Liga Super, Ashaari Shamsuddin, 25, dalam senarai pelatih kali ini, Rajagobal berkata, beliau mahu mengutamakan persiapan menghadapi Sukan Asia terlebih dahulu.

"Bukan dia (Ashaari) tidak bagus, saya pernah panggil dia untuk latihan. Namanya juga tetap ada dalam senarai awal 50 pemain yang telah dihantar untuk Sukan Asia.

"Piala AFF pada Disember depan peluang lebih terbuka buat pemain senior," jelas Rajagobal.
Read More

Skuad kebangsaan ‘asah kuku’ di China

MENJELANG tiga bulan sebelum menghadapi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China November depan, skuad bola sepak kebangsaan akan mengadakan latihan dan siri aksi persahabatan di negara tersebut dari 28 Ogos hingga 6 September depan.

Skuad bimbingan K. Rajagobal itu bagaimanapun terlebih dahulu akan berkumpul menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 16 Ogos ini iaitu enam hari selepas umat Islam memulakan ibadat puasa Ramadan.

Selepas menjalani latihan awal selama lima hari, skuad kebangsaan seterusnya akan ke Singapura dari 21 hingga 24 Ogos untuk perlawanan persahabatan.

Mereka akan kembali berlatih di Wisma FAM selepas itu sehinggalah berlepas pula ke China pada 28 Ogos sebelum pulang ke tanah air lima hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mengikut senarai yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, seramai 26 pemain dipanggil bagi kem latihan skuad kebangsaan selama 22 hari itu.

Majoriti pemain yang dipanggil untuk kem latihan bulan lalu bagi menghadapi aksi persahabatan bertemu skuad Olimpik Korea Selatan yang dimenangi skuad negara 1-0 pada 25 Julai lalu dikekalkan dalam senarai kali ini.

Hanya beberapa pemain seperti penyerang Kedah, Ahmad Shakir Md. Ali, penjaga gol Perlis, Farizal Marlias dan penjaga gol Harimau Muda A, K. Sasikumar tidak dipanggil.

Farizal terpaksa berehat tiga bulan selepas mengalami patah tulang pipi manakala Sasikumar pula terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Sebagai ganti, Rajagobal memanggil penyerang Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan dan seorang lagi penjaga gol skuad B-21 negara itu, Zamir Selamat.

Daripada 26 pemain yang dipanggil kali ini, hanya empat pemain lebih umur 23 tahun disenaraikan iaitu Sharbinee Allawee Ramli, Norshahrul Idlan Talaha, S. Kunanlan dan Azmi Muslim.

INFO:

SENARAI 26 PELATIH SKUAD KEBANGSAAN

PENJAGA GOL: Sharbinee Allawee Ramli (TER), Khairul Fahmi Che Mat (KEL), Zamir Selamat (HM).

PERTAHANAN: Aidil Zafuan Radzak (NS), Asraruddin Putra Omar, Nasriq Baharom (SEL), Azmi Muslim, Sabre Mat Abu (KDH), Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Faizal Muhammad, Fadhli Shas (HM).

TENGAH: Safiq Rahim (SEL), S. Kunanlan (NS), Amar Rohidan (PLS), Faizal Abu Bakar, Khyril Muhymeen Zambri (KDH), K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman, Wan Zack Haikal Wan Nor (HM).

PENYERANG: Ahmad Fakri Saarani (PLS), Baddrol Bakhtiar (KDH), Zaquan Adha Radzak (NS), Norshahrul Idlan Talaha (KEL), Izzaq Faris Ramlan (HM).
Read More

Figos RSA FC bawa cabaran Malaysia

JUARA Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM, Figos RSA FC bakal membawa nama Malaysia pada Kejohanan Futsal Jemputan Antarabangsa Piala City 2010 di Taipei City, Taiwan dari 7 hingga 9 Ogos ini.

Jurulatih Figos RSA FC, Chiew Chun Yong berkata, undangan yang diterima daripada Persatuan Futsal Taiwan (TPFA) itu bakal digunakan sepenuhnya oleh barisan 13 pemain yang akan berlepas ke Taiwan Jumaat ini.

“Pihak kami menerima secara terus undangan ini daripada TPFA. Mungkin mereka mengetahui bahawa kami merupakan kelab juara dalam saingan liga futsal di Malaysia tahun lalu.

“Sebanyak lima pasukan akan beraksi pada kejohanan ini yang diadakan secara liga satu pusingan. Tiada aksi final dan pasukan teratas akan muncul juara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain Figos RSA FC, empat pasukan lain yang akan bersaing ialah pasukan Taiwan, pasukan pemain import Taiwan, pasukan kelab dari Thailand dan kelab Yong An City dari China.

“Tidak banyak yang kami ketahui tentang pasukan yang bertanding ini. Cuma kelab dari China itu saya dapati merupakan juara domestik mereka. Begitu juga kelab Thailand, pasti mereka hantar yang terbaik.

“Jadi sasaran kita ialah untuk menampilkan persembahan sebaik mungkin dan saya mahu semua pemain gunakan kejohanan ini sebagai pendedahan terbaik di pentas antarabangsa,” jelas Chun Yong.

Skuad 13 pemain Figos RSA FC terdiri daripada lima pemain skuad futsal kebangsaan iaitu S. Devandran, Khairul Effendy Bahrin, Qaiser Heshaam Abdul Kadir, Muizzudin Harris dan Fadzil Ab. Karnim.

Turut disenaraikan bekas pemain kebangsaan, Fadhil Yusoff serta Ahmad Hanif Sarmin, Izuwan Hayat, Jasman Patmee Meera, Syafiq Hamzah, Awaluddin Hasan, Zulfadli Ali dan Ahmad Rizal Abdul Rahim.

“Sepatutnya bekas kapten skuad futsal kebangsaan iaitu Jamhuri Zainuddin turut disenaraikan tetapi dia mengalami kecederaan dan akan turut serta ke Taiwan dengan peranan sebagai penolong jurulatih,” kata Chun Yong yang juga jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan.

Figos RSA FC dijadualkan beraksi dua perlawanan pada 7 Ogos iaitu bertemu Yong An City dan sebuah kelab dari Thailand.

Pada 8 Ogos, mereka akan menentang pasukan pemain import Taiwan sebelum bertemu Taiwan pada keesokan harinya.
Read More

Selangor sah juara Liga Super 2010


SELANGOR sah bergelar juara Liga Super 2010 setelah berjaya menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Biarpun masih berbaki satu perlawanan menentang Kedah Selasa ini, barisan Selangor tetap menjulang trofi Liga Super sejurus tamat perlawanan.

Trofi telah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad di hadapan kira-kira 20,000 penyokong setia skuad Merah Kuning.

Selepas mengharungi 25 perlawanan, Selangor mengumpul 63 mata, lima mata di hadapan pencabar terdekat mereka, Kelantan yang menang 3-1 ke atas Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Pada aksi malam tadi, permainan seimbang dipertontonkan kedua-dua pasukan yang saling bertukar serangan sepanjang aksi separuh masa pertama tetapi tiada jaringan berjaya dihasilkan.

Sebaik bermula babak kedua, Selangor mula melakukan serangan bertali arus ke kubu pihak lawan.

Sepakan Hardi Jaafar pada minit ke-48 ditepis keluar penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli manakala percubaan Amirulhadi Zainal pada minit ke-59 pula diselamatkan di atas garisan gol oleh Zubir Azmi.

Sharbinee terus cemerlang apabila sempat menepis percubaan satu lawan satu dengan Safee Sali yang menerima bola sepakan percuma pantas Amri Yahyah pada minit ke-63.

Namun kekebalan gawang Terengganu akhirnya bocor pada minit ke-66 setelah Amirulhadi berjaya menanduk masuk gol pertama Selangor selepas dia menerima lambungan cantik Safiq Rahim dari sebelah kiri.

Selangor terus selesa apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-74 setelah Amri dijatuhkan oleh Zubir dan Safiq yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah menewaskan Sharbinee.

Dengan kejayaan mempertahankan trofi Liga Super, status juara itu telah melayakkan Selangor untuk sekali lagi beraksi pada saingan Piala AFC musim depan.
Read More