Selangor pilih laluan sukar

JUARA bertahan, Selangor memilih jalan sukar apabila tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi.

Negeri Sembilan berjaya menguasai 10 minit pertama permainan untuk menguji penjaga gol Selangor, Fairul Azwan Shahrullail yang menggantikan Hamsani Ahmad yang retak tulang kaki kirinya.

Namun, selepas itu Selangor pula kembali menemui rentak sebenar dan sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti setelah Amri Yahyah dijatuhkan Ching Hong Aik pada minit ke-23.

Kegagalan pengadil, Mohd. Nafeez Abdul Wahab mengawal permainan dengan baik telah mengakibatkan aksi semakin panas dengan terjahan-terjahan keras ditampilkan pemain kedua- dua pasukan.

Selangor mendapat dua peluang terbaik tetapi rembatan Safiq Rahim dari luar kotak penalti pada minit ke-40 berjaya ditepis Farizal Harun manakala tandukan Bunyamin Umar seminit kemudian dikeluarkan Hong Aik di atas garisan gol.

Gol pertama Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-44 setelah Safee Sali berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut Hardi Jaafar.

Baru 10 minit babak kedua berlangsung, Negeri Sembilan terpaksa membuat dua pertukaran setelah Farizal dan Shafik Abd. Rahman mengalami kecederaan. Sani Anuar Kamsani dan K. Thanaraj masuk sebagai pengganti.

Namun, kelekaan para pemain Selangor telah menyebabkan gawang mereka dibolosi sebanyak dua kali dalam tempoh hanya dua minit.

Negeri Sembilan memperoleh gol penyamaan pada minit ke-69 hasil kesilapan Fairul Azwan yang gagal menangkap kemas percubaan jauh Zaquan Adha Radzak dari sebelah kanan.

Selang dua minit kemudian, pemain pertahanan Selangor, Nasriq Baharom pula tertolak masuk bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hantaran S. Kunanlan untuk gol kedua Negeri Sembilan.

Perlawanan separuh akhir kedua bakal berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.
Read More

Gergasi Merah dapat suntikan semangat


JUARA bertahan, Selangor mendapat beberapa suntikan semangat menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam ini.

Pertamanya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan turun menyaksikan perlawanan tersebut manakala pemain-pemain Selangor pula bakal memakai jersi yang tertera logo penaja baru mereka.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, kehadiran Menteri Besar yang juga Presiden FAS itu diharap dapat mencetuskan semangat di kalangan para pemain skuad Gergasi Merah.

"Tan Sri (Khalid) telah menyatakan bahawa beliau akan hadir pada perlawanan itu. Beliau begitu berharap yang kita dapat mengulangi kejayaan layak ke final seperti pada musim lalu dan seterusnya mempertahankan kejuaraan.

"Jadi saya harap penyokong Selangor dapat turun beramai-ramai supaya kita mencatat kemenangan selesa di sini sebagai bekalan ke Paroi pada Sabtu ini," kata Hamidin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Hamidin turut mengesahkan Selangor kini telah mendapat penaja baru untuk musim ini iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI) bagi menggantikan penaja sebelum ini, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

"Dengan penajaan baru ini, logo MBI akan tertera di bahagian hadapan jersi pasukan Selangor menggantikan logo KDEB bermula pada perlawanan esok (malam ini)," ujarnya.

Satu lagi elemen menarik untuk pertemuan Selangor dan Negeri Sembilan malam ini ialah bola edisi khas berwarna merah, NIKE RED T90 Ascente bakal digunakan sebagai bola perlawanan.

"Pihak Nike memaklumkan kepada kami bahawa perlawanan ini telah dipilih untuk kempen ‘Nike (RED) - Lace Up, Save Lives’ bagi membendung penularan jangkitan HIV dan Aids di seluruh dunia," kata Hamidin.

Rekod pertemuan terakhir Selangor-Negeri Sembilan berpihak kepada skuad Gergasi Merah apabila mereka berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Paroi pada 9 Januari lalu.
Read More

Harimau Muda catat kemenangan sulung di Slovakia


SKUAD bawah 21 tahun (B-21) negara, Harimau Muda A akhirnya berjaya mencatat kemenangan pada perlawanan kelima mereka di Slovakia malam kelmarin.

Pada aksi di tempat lawan itu, Harimau Muda A berjaya menewaskan pasukan di tangga kelapan Liga 1 Slovakia, MFK Dolny Kubin 3-2.

Jurulatih Harimau Muda A, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, para pemainnya telah menampilkan peningkatan yang cukup membanggakan pada perlawanan tersebut dan berjuang sehingga wisel penamat.

“Kita mendahului pada minit ke-23 menerusi Izzaq Faris Ramlan tetapi lawan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-31.

“Mereka kemudian mendahului pula pada minit ke-72 sebelum kita berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-88 juga menerusi jaringan Izzaq Faris.

“Ketika perlawanan hampir menuju ke masa kecederaan, kita berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi S. Sivanesan.

“Alhamdulillah, kemenangan sulung ini memberi kelegaan kepada kami dan meningkatkan kembali keyakinan para pemain untuk menghadapi perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Jelas Azraai, pada malam sebelum perlawanan itu, dia telah mengadakan sesi motivasi bagi memastikan para pemain muda negara meningkatkan komunikasi mereka ketika di atas padang.

“Saya kata, peluang tiga bulan inilah tempoh terbaik untuk mereka meningkatkan komunikasi sesama mereka. Saya dapati, banyak peningkatan dari segi disiplin taktikal telah berjaya mereka lakukan selepas sebulan kita berada di Slovakia ini.

“Selepas perlawanan semalam (kelmarin) juga, presiden liga telah menghubungi ejen kami dan ucapkan tahniah di atas kemenangan sulung ini,” ujarnya.

Perlawanan keenam pada Ahad ini bakal menyaksikan Harimau Muda A bertemu FC Vion untuk aksi ‘derby’ di Zlate Moravce dan Azraai menganggap ia pertemuan yang cukup menarik kerana lawan merupakan pendahulu Liga 1 Slovakia ketika ini.
Read More

Selangor tampil barisan terbaik


SELANGOR bersedia untuk melupakan episod malang dalam saingan Piala AFC 2010 menjelang aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam malam esok.

Biarpun baru saja pulang daripada Maldives dengan kekalahan 1-2 kepada Victory SC pada Rabu lalu, Selangor tetap bersemangat mencari bekalan selesa untuk dibawa ke Paroi Sabtu ini bagi memastikan mereka layak beraksi di pentas final pada 10 April depan.

Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan berkata, kekalahan kepada Victory SC itu langsung tidak menjejaskan semangat dan tumpuan para pemainnya untuk menundukkan Negeri Sembilan malam esok.

“Selepas pulang Jumaat lalu, kami tidak berehat panjang dan terus turun menjalani latihan pada Sabtu dan juga pagi tadi (semalam) bagi mempersiapkan pemain menjelang aksi separuh akhir ini.

“Memang kita kalah kepada Victory SC tetapi sebenarnya prestasi kita pada perlawanan tersebut cukup baik. Cuma penyudah sedikit tumpul manakala mutu pengadilan yang buruk telah mengakibatkan tiga pemain kita dilayangkan kad merah.

“Jadi tiada apa yang perlu dirisaukan. Lagipun Piala FA ini pertandingan yang berbeza. Kita dapat turunkan semula Amri Yahyah dan kesebelasan utama yang terbaik.

“Saya rasa, dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan juga dibantu sokongan para penyokong setia Selangor, kami boleh menang biarpun Negeri Sembilan dibarisi pemain-pemain berpengalaman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelas Devan, hanya Farderin Kadir dan Liew Kit Kong masih tidak dapat diturunkan akibat kecederaan manakala baki pemain-pemain yang lain bersedia untuk diturunkan.

“Saya harap para pemain dapat memberi tumpuan dan fokus sepanjang perlawanan nanti dan berusaha meningkatkan prestasi masing-masing serta sentuhan penyudah.

“Negeri Sembilan juga saya kira berada pada prestasi terbaik ketika ini. Jadi sangat penting untuk kita mendapat bekalan gol yang selesa untuk perlawanan kedua di Paroi Sabtu ini,” ujarnya.

Musim lalu, Selangor berjaya menyingkirkan Perlis pada saingan separuh akhir dan muncul sebagai juara Piala FA setelah menewaskan Kelantan pada final menerusi penentuan sepakan penalti.
Read More

Harimau Muda benam PKNS


PKNS Selangor gagal merampas tangga teratas Liga Perdana daripada Felda United setelah tewas 2-4 kepada skuad Harimau Muda B di Stadium Hang Tuah, Melaka malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan PKNS kekal di tangga kedua dengan 22 mata, kurang tiga mata daripada Felda United yang tidak beraksi malam tadi manakala Harimau Muda B naik ke tangga keempat dengan 17 mata.

PKNS mendahului seawal minit kelima menerusi tandukan Tengku Adam Tengku Rosly sebelum Harimau Muda B menyamakan kedudukan hasil jaringan D. Saarvindran pada minit ke-16.

Harimau Muda memperoleh gol kedua pada minit ke-30 menerusi sepakan percuma Amer Saidin tetapi PKNS pula berjaya menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian hasil rembatan kencang Tengku Adam.

Pada separuh masa kedua, pemain berusia 17 tahun, Syahrul Azwari Ibrahim muncul wira apabila meledak gol ketiga dan keempat Harimau Muda pada minit ke-52 dan 82.
Read More

Harimau Muda enggan terluka


JIKA Harimau Muda A masih belum mencatat kemenangan selepas mengharungi empat perlawanan di bumi Slovakia, 'adik' mereka - Harimau Muda B juga mengalami nasib yang sama apabila tewas tiga aksi terakhir.

Lantas jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) negara itu, Ong Kim Swee bertekad memburu kemenangan ketika mereka menanti kunjungan PKNS Selangor pada aksi tunggal Liga Perdana di Stadium Hang Tuah, Melaka malam ini.

"Sewaktu tewas 1-3 kepada Felda United (15 Mac lalu), saya lihat pemain-pemain muda saya sudah menunjukkan peningkatan berbanding ketika mereka tewas kepada Pos Malaysia dan PDRM sebelum itu.

"Selepas itu, kita adakan perlawanan persahabatan dan menang kedua-duanya iaitu dengan MK Land 4-0 dan skuad Liga Super Kuala Lumpur 1-0.

"Keyakinan dan persefahaman pemain juga makin bertambah," kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Harimau Muda B masih gagal mencatat ke- menangan sejak mereka kehilangan lima tonggak utama yang diambil skuad B-21 negara (Harimau Muda A) untuk beraksi di Slova- kia.

"Penyerang utama, Haziq Zikri Elias masih cedera dan jika tidak sempat cergas, saya akan mempertaruhkan Ferris Danial Mat Nasir untuk merobek gawang PKNS sambil dibantu kapten, Irfan Fazail," jelas Kim Swee.

Selepas sembilan perlawanan, Harimau Muda B kini di tangga kelima Liga Perdana dengan 14 mata manakala PKNS di tangga kedua dengan 22 mata, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Felda United.

Pertemuan Harimau Muda A-PKNS malam ini diawalkan bagi tujuan siaran langsung menerusi saluran Astro Arena 801 manakala baki lima lagi perlawanan ke-10 saingan Liga Perdana hanya akan berlangsung 16 April depan.
Read More

Aksi Malaysia-BEC Tero dibatalkan

KENYATAAN MEDIA DARIPADA FAM

Perlawanan skuad kebangsaan Malaysia bertemu BEC Tero Sasana pada 27 Mac 2010 (Sabtu ini) di Stadium Rajamangala, Bangkok dibatalkan dan akan ditunda pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Pembatalan tersebut adalah atas arahan pihak berkuasa Thailand kepada Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) berdasarkan situasi semasa di negara tersebut.
Read More

Astro Arena (Saluran 801) ke udara Jumaat Ini


SIARAN MEDIA DARIPADA ASTRO

23 Mac 2010, Kuala Lumpur – Rakyat Malaysia akan menikmati lebih banyak program sukan tanahair dengan pelancaran Astro Arena (Saluran 801), saluran sukan tempatan yang akan ke udara pada Jumaat ini, 26 Mac 2010 pada pukul 12 tengahari.

Saluran sukan tempatan 24-jam ini bersiaran hampir keseluruhannya di dalam Bahasa Malaysia dan boleh diikuti oleh kesemua pelanggan-pelanggan ASTRO.

“ASTRO terus menawarkan kandungan mantap sukan antarabangsa serta tempatan yang terbaik kepada para peminat sukan di Malaysia.

"Kami berharap Astro Arena dapat memenuhi permintaan terhadap kandungan sukan tempatan dan memberi lebih banyak peluang kepada persatuan-persatuan sukan negara serta badan sukan yang lain mempromosikan sukan mereka melalui Astro Arena yang dapat menjangkau audiens yang lebih meluas melalui platform pelbagai ASTRO,” kata Lee Choong Khay, Ketua Bahagian Sukan, ASTRO.

“Sebagaimana hari Ahad merupakan hari aksi sukan di kebanyakan negara, kami ingin memulakan budaya sukan yang baru dengan pengenalan kandungan sukan yang akan menjadi tontonan wajib bagi semua peminat sukan tempatan seperti Arena Bola Selasa and Arena Bola Jumaat .

"Astro Arena akan membawa liputan secara langsung perlawanan-perlawanan Malaysian Super League (MSL) pada setiap hari Selasa dan Jumaat yang turut dimuatkan dengan komentari daripada para pengkritik sukan, jurulatih serta bekas pemain.”

Astro Arena akan menyajikan buletin berita sukan, liputan secara langsung program berbentuk majalah serta interaktiviti dan diketuai oleh bakat-bakat terkenal di dalam bidang penyiaran dan kewartawanan sukan tempatan, yang pastinya boleh memenuhi keperluan and citarasa peminat sukan tempatan.

Antara hos-hos Astro Arena termasuklah Edleen Ismail, Pietro Felix dan Jessy Chalal untuk segmen berita, Nadi Arena; Akbar Hj Sahari dan Rizal Hashim untuk segmen talkshow Kafe Sukan; Zainal Abidin Rawob untuk Formasi, satu rancangan berbentuk perbincangan tentang perkembangan sukan bolasepak; Burn dan Azura Zainal untuk Aktifpedia, satu program berbentuk informasi sukan.

Selain dari liputan acara sukan dalam negara, Astro Arena juga bakal membawa liputan secara langsung aksi-aksi atlit tempatan yang bertanding di luar negara.

Rakyat Malaysia akan dapat mendekati perkembangan para atlit negara dan melihat pencapaian mereka di sukan-sukan serantau di Astro Arena, terutamanya semasa acara-acara sukan penting tahun ini seperti Sukan Komonwel di Delhi, Sukan Asia di Guangzhou dan Sukan Olimpik Belia yang pertama di Singapura.

Pelancaran Astro Arena menyempurnakan Pakej Famili ASTRO dengan kandungan sukan selain daripada kandungan berbentuk hiburan, informasi serta pendidikan yang sedia ada.

Dengan Astro Arena, ASTRO kini mempunyai 29 saluran berjenama ASTRO serta saluran bersekutu yang lain. Terdapat 10 saluran sukan di platform ASTRO termasuklah 2 saluran berdefinisi tinggi HD dan 1 saluran sukan pay-per-view.

------------------------------------------------------------------------------------

Senarai Program Astro Arena (801) Minggu 26 Mac – 2 April

News and Magazine Shows

Fri, 26 Mar, 12.00pm – Pelancaran Saluran Astro Arena (Astro Arena Event Launch) (Tape)
Fri, 26 Mar, 7.40pm - Nadi Arena (Live)
Sat, 27 Mar, 9.00pm – Nadi Arena (Tape)
Sun, 28 Mar, 7.00pm – KL Open 2010: Nicol David
Sun, 28 Mar, 7.30pm – Nadi Arena (Live)
Mon, 29 Mar, 8.00pm – KAFE SUKAN: Episod 1 – Nadi Sukan Malaysia
Wed, 31 Mar, 8.00pm – Episode 1: Wawancara dengan Setiausha Kehormat FAM (Tape)
Thu, 1 Apr, 8.00pm – AKTIFPEDIA: Epi 1: Sukan Boling (Tape)

Badminton: Kejohanan Remaja ASIA 2010

Fri, 26 Mar, 1.00pm – Perlawanan Akhir Berpasukan (Tape)
Fri, 26 Mar, 4.00pm – Suku Akhir Individu/Pasangsan (Live)
Sat, 27 Mar, 3.00pm – Separuh Akhir Individu/Pasangan (Live)
Sun, 28 Mar, 3.00pm – Perlawanan Akhir Individu/Pasangan (Live)

ARENA BOLA JUMAAT

Liga Premier Malaysia
Fri, 26 Mar, 8.00pm – Harimau Muda vs Selangor PKNS (Live)

Piala FA 2010: Separuh Akhir – 2nd Leg
Fri, 2 Apr, 8.00pm – Separuh Akhir: Negeri Sembilan vs Selangor (Live)

Sepaktakraw: Piala Emas Khir Johari

Fri, 26 Mar, 11.00pm – Perlawanan Akhir (Tape)
Wed, 31 Mar, 9.00pm – Hari Pertama (Tape)
Thu, 1 Apr, 9.00pm – Hari Kedua (Tape)

TNBMHL 2009/2010

Liga Hoki Perdana
Sat, 27 Mar, 2.00am – Perlawanan Akhir Piala TNB (Tape)

SKUASY: CIMB Terbuka Kuala Lumpur 2010

Sat, 27 Mar, 11.00am – Separuh Akhir (Tape)
Sun, 28 Mar, 11.30am – Perlawanan Akhir (Tape)
Mon, 29 Mar, 8.30am – Suku Akhir Lelaki (Tape)
Mon, 29 Mar, 9.30am – Suku Akhir Wanita (Tape)
Mon, 29 Mar, 10.30pm – Perlawanan Akhir Lelaki & Wanita (Tape)

Imbasan Kembali

Sukan Komanwel 2002

Sat, 27 Mar, 2.00pm – Lawn Bowl Emas
Sat, 27 Mar, 10.30pm – Badminton Perseorangan Lelaki
Mon, 29 Mar, 9.00pm – Badminton Pasangan

Sukan Asia Doha 06

Sun, 28 Mar, 12.00am – Hilits Day 2A
Sun, 28 Mar, 1.00am – Hilits Day 2B
Mon, 29 Mar, 4.00pm – Hoki Wanita
Wed, 31 Mar, 6.00am – Hilits Day 3A (Tape)
Thu, 1 Apr, 6.00am – Hilits Day 3B (Tape)
Fri, 2 Apr, 6.00am – Hilits Day 4 (Tape)
Fri, 2 Apr, 3.00pm – Hoki Lelaki (Tape)

Bolasepak Antarabangsa

Sat, 27 Mar, 7.00pm – Thai Kelab vs Malaysia U23 (Live)

Hoki - Piala Tun Razak

Sun, 28 Mar, 2.00pm – Kuala Lumpur vs Melaka (Tape)
Sun, 28 Mar, 10.30pm – Brunei vs Pahang (Tape)
Mon, 29 Mar, 7.30am – ATM vs Johor (Tape)

Astro SuperSport Program

Kejohanan Antarabangsa Ping Pong

Mon, 29 Mar, 12.00am – Hari Pertama (Tape)
Tue, 30 Mar, 12.00am – Hari Kedua (Tape)
Wed, 31 Mar, 12.00am – Hari Ketiga (Tape)

Program Skuash

Thu, 1 Apr, 12.00am – Terbuka Hong Kong 2009 Hilits (Tape)
Thu, 1 Apr, 1.00am – Terbuka Wanita Seoul 2009 Hilits (Tape)
Thu, 1 Apr, 2.00am – Kejohanan Dunia Terbuka Forex Hilits (Tape)

Kejohanan Boling

Fri, 2 Apr, 12.00am – Canon Cup 2009 (Tape)
Fri, 2 Apr, 8.30am – Canon Terbuka Malaysia 2009 Separuh Akhir & Akhir (Tape)

ARENA BOLA SELASA

Piala FA 2010: Separuh Akhir – 1st Leg
Tue, 30 Mar, 8.30pm – Terengganu vs Kedah (Live)

*Schedule and participants subject to change. Some of the highlights are inclusive of pre-studio programmes.
Read More

Amir Omar Khata mahu buktikan


NAMA Amir Omar Khata mungkin terlalu asing bagi peminat bola sepak tempatan.

Namun, penjaga gol Pulau Pinang itu sudah mula mendapat perhatian apabila dipanggil menyertai latihan pusat skuad kebangsaan kendalian K. Rajagobal.

Dia adalah antara 27 pemain dalam skuad kebangsaan yang telah memulakan latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.

Latihan pusat itu akan berakhir pada 9 April depan.

Amir, 21, berkata, peluang menyertai latihan skuad kebangsaan itu akan digunakan sepenuhnya untuk mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih penjaga gol negara, Faozi Mukhlas.

"Saya masih baru dan banyak lagi benda yang perlu saya pelajari. Saya juga mahu mengutip pengalaman daripada dua penjaga gol sedia ada iaitu Shar- binee Allawee Ramli dan Farizal Marlias.

"Saya akan berusaha meningkatkan prestasi supaya terus dipanggil menyertai skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Biarpun Pulau Pinang kini menduduki tangga kedua tercorot Liga Super, pemilihan Amir dibuat memandangkan usianya di bawah 23 tahun, sekali gus layak beraksi pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November depan.

Manakala Sharbinee dan Farizal pula sudah pasti menjadi pilihan utama Rajagobal bagi Piala AFF 2010 Disember depan tetapi untuk Sukan Asia, mungkin salah seorang atau kedua-duanya akan mengisi kuota tiga pemain lebih umur.

Ditanya perasaannya setelah dipanggil menyertai latihan pusat kali ini, Amir berkata, pada mulanya dia agak terkejut tetapi berasa bangga setelah usaha keras selama ini berbaloi juga akhirnya.

"Kali terakhir saya dipanggil mewakili negara ialah ketika Piala Hassanal Bolkiah pada 2007, juga di bawah kendalian jurulatih Rajagobal.

"Sebelum itu saya pernah beraksi pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Asia," katanya yang berasal dari Bukit Mertajam.

Biarpun gawangnya sudah dibolosi 24 kali musim ini, Amir telah mempamerkan aksi cemerlang ketika Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Selangor pada 27 Februari lalu sehingga dia dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut.
Read More

Tiada jaminan buat senior - Rajagobal

TIADA seorang pun pemain senior sudah terjamin untuk mengisi kuota tiga pemain melebihi usia 23 tahun dalam skuad bola sepak kebangsaan ke temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November depan.

Demikian jelas jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal ketika ditanya tentang peluang tujuh pemain senior dalam senarai 27 pelatih skuad kebangsaan yang kini menjalani latihan pusat fasa kedua bermula semalam hingga 9 April depan.

Menurut Rajagobal, beliau hanya akan membuat pemilihan tiga pemain tersebut pada saat-saat akhir.

"Kita kena ingat, setiap pemain mempunyai turun naik prestasi. Ada ketika mereka pada prestasi cukup bagus dan sebaliknya.

"Jadi untuk Sukan Asia, saya akan buat cara yang sama ketika saya menamakan 20 pemain ke Sukan SEA 2009 sehari sebelum kita berlepas ke Laos," katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Tujuh pemain 'lebih umur' yang berada dalam skuad kebangsaan ketika ini ialah Farizal Marlias, Sharbinee Allawee Ramli, Norhafiz Zamani Misbah, Ashaari Shamsuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Azmi Muslim dan S. Kunanlan.

Dalam pada itu, Rajagobal memberi- tahu, hanya satu perlawanan dapat diatur pada latihan pusat kali ini meman- dangkan lebih separuh daripada pemainnya akan terlibat dalam perlawanan separuh akhir Piala FA pada 30 Mac dan 3 April depan.

"Kita menerima jemputan untuk bertemu kelab Thailand, BEC Tero Sasana pada Sabtu ini. Mereka lawan yang bagus buat kita kerana dibarisi beberapa pemain kebangsaan Thailand dan juga pemain import.

"Selepas itu, saya tidak dapat susun perlawanan kedua kerana kita kehilangan 15 pemain yang beraksi untuk separuh akhir Piala FA. Tak guna kita main jika kita tak cukup pemain.

"Lebih baik saya tumpu kepada sesi latihan kerana ia memberi peluang untuk saya melihat pemain-pemain baru yang dipanggil kali ini," jelas Rajagobal.

Hanya 21 daripada 27 pelatih yang dipanggil turun berlatih semalam.

Dua pemain mengalami kecederaan pangkal paha iaitu Yong Kuong Yong (Kuala Lumpur) dan Faizal Abu Bakar (Kedah).

Manakala empat pemain iaitu Safiq Rahim, Nasriq Baharom, Bunyamin Umar dan Asraruddin Putra Omar bersama skuad Selangor ke Maldives untuk bertemu Victory SC dalam saingan Piala AFC 2010 petang esok.
Read More

Aksi terbaik setakat ini - Azraai


SKUAD bawah 21 tahun (B-21) kebangsaan, Harimau Muda A tewas lagi di Slovakia.

Kali ini mereka tewas 1-3 kepada MFK Tatran Liptovsky Mikulas pada aksi yang berlangsung di gelanggang lawan kelmarin.

Namun jurulatihnya, Azraai Khor Abdullah menganggap ia merupakan aksi terbaik daripada anak-anak buahnya setelah mereka genap sebulan berada di bumi Slovakia semalam.

“Nampak banyak peningkatan dalam pasukan, terutamanya dari segi taktikal. Pasukan kita sudah mampu bersaing dengan pihak lawan.

“Kita banyak juga mencipta peluang di depan pintu gol, cuma pengalaman saja yang membezakan kita dengan kekuatan lawan.

“Secara keseluruhannya, inilah permainan terbaik kami setakat ini. Saya puas hati dengan komitmen dan semangat juang pemain,” kata Azraai kepada Kosmo! semalam.

Pada perlawanan tersebut, Harimau Muda A ketinggalan pada minit ke-44 sebelum Fandi Othman berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 setelah menyudahkan gerakan solo S. Sivanesan.

Namun pasukan lawan berjaya menambah dua lagi gol pada minit ke-57 dan 83.

Ditanya apakah kemajuan yang dilihatnya sepanjang tempoh sebulan berada di Slovakia, Azraai berkata, program pendedahan selama tiga bulan itu jelas bakal memberi banyak kesan positif kepada pasukan.

“Dengan suasana perlawanan di sini begitu kompetitif, pemain-pemain muda kita akan lebih cepat matang.

“Kita terima juga komen-komen dari masyarakat bola sepak di sini secara positif berkenaan bakat pemain-pemain kita seperti Muslim Ahmad, Gary Steven Robbat, Affize Faisal Mamat dan Shukur Jusoh,” jelasnya.

Harimau Muda A tewas ketiga-tiga perlawanan mereka sebelum ini kepada Slovan Duslo Sala (1-4), MFK Ruzomberok B (0-2) dan MFK Zemplin Michalovce (0-3).

Perlawanan kelima mereka pada Sabtu ini ialah menentang MFK Dolny Kubin, pasukan yang kini menduduki tangga kelapan Liga 1 Slovakia.
Read More

Kuong Yong digugur akibat kecederaan


SATU-SATUNYA pemain berbangsa Cina dalam skuad bola sepak kebangsaan, Yong Kuong Yong terpaksa melupakan kem latihan bermula hari ini sehingga 9 April depan setelah dia mengalami kecederaan pangkal paha.

Pemain sayap skuad Liga Super Kuala Lumpur itu berkata, dia mengalami kecederaan tersebut ketika membantu pasukannya menewaskan Perlis 2-0 di Kangar pada 13 Mac lalu.

“Pada mulanya memang saya berasa cukup gembira kerana jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal memanggil saya sekali lagi setelah kem latihan fasa pertama pada penghujung bulan lalu.

“Tapi semalam (kelmarin) saya telah menjalani satu ujian perubatan dan doktor mengesahkan yang saya terpaksa berehat antara empat hingga enam minggu sebelum kecederaan pangkal paha ini benar-benar pulih.

“Memang ia sesuatu yang mengecewakan kerana saya begitu bersemangat untuk menyertai latihan pusat skuad kebangsaan,” kata Kuong Yong ketika ditemui pada Majlis Pelancaran KL Hawks di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras petang semalam.

Pemain berusia 22 tahun yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu menambah, dia masih belum berpuas hati dengan prestasinya ketika mengikuti latihan skuad kebangsaan sebelum ini.

“Ketika bertemu Yemen, saya diberi peluang beraksi selama 30 minit. Sebelum masuk, memang saya begitu teruja dan bersemangat tetapi apabila berada di atas padang, saya jadi gemuruh dan permainan menjadi kelam kabut.

“Pada perlawanan kedua bertemu Albirex Niigata pula, saya hanya diberi aksi selama tujuh minit. Sudah tentu tidak puas.

“Jadi saya berhasrat untuk mempamerkan aksi lebih mantap dalam saingan Liga Super selepas pulih nanti supaya terus dipanggil pada kem latihan akan datang,” ujar Kuong Yong.

Bagi kem latihan kali ini, Rajagobal memanggil 27 orang pelatih termasuk enam muka baru iaitu Hafiszuan Salehuddin (Perak), Che Ku Ahmad Rusydi Amir Ku Azam (Terengganu), Saufi Sa’aidi (Perak), Abdul Halim Zainal (Negeri Sembilan), Amir Omar Khata (Pulau Pinang) dan S. Harivarman (PDRM).
Read More

Selangor-Negeri Sembilan, Terengganu-Kedah...


MALAM tadi selesai saingan suku akhir kedua TM Piala FA 2010.

Keputusannya, empat pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir ialah juara bertahan, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kedah.

Saya sendiri sempat menyaksikan perlawanan di antara Selangor dan Pos Malaysia di Stadium Shah Alam dan keputusannya Selangor menang 3-0 untuk mara dengan agregat 8-1.

Di Paroi, Negeri Sembilan menang 3-1 ke atas KL Plus untuk mara dengan agregat 3-2 setelah mereka tewas 0-1 pada aksi pertama di Kelana Jaya.

Selangor akan bertemu Negeri Sembilan pada separuh akhir nanti.

Dua lagi pasukan yang akan berentap di separuh akhir ialah Terengganu bertemu Kedah.

Terengganu yang tewas 1-3 kepada T-Team pada perlawanan pertama telah menyamakan agregat 4-4 setelah mendahului 3-1 pada 90 minit aksi kedua malam tadi.

Pada masa tambahan, Terengganu berjaya menambah satu lagi gol untuk kemenangan 4-1 dan mara ke separuh akhir dengan agregat 5-4.

Kedah pula yang terikat 1-1 dengan ATM pada aksi pertama di Alor Setar, bangkit dengan kemenangan besar 5-0 di Selayang malam tadi untuk mara dengan agregat 6-1.

Musim lalu, separuh akhir Piala FA menemukan Selangor dan Perlis, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Selangor dan Kelantan mara ke final dan akhirnya Selangor muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti.

JADUAL SEPARUH AKHIR PIALA FA 2010:

SELASA, 30 MAC 2010:

SELANGOR lwn NEGERI SEMBILAN (Std. Shah Alam)
TERENGGANU lwn KEDAH (Std. SINS, K.Tganu)

SABTU, 3 APRIL 2010:

NEGERI SEMBILAN lwn SELANGOR (Std. TAR, Paroi)
KEDAH lwn TERENGGANU (Std. Darul Aman, Alor Setar)



Read More

‘Jangan perlekeh Slovakia’


“KAMI tidak mahu bola sepak Slovakia dipandang rendah.

“Kami adalah antara pasukan yang layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010, pertama kali sejak kami menjadi sebuah negara yang merdeka pada 1993.”

Demikian penjelasan Pengarah Liga I, ULK Slovakia, Peter Dedik dalam satu kenyataan yang diedakan kepada media oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Kenyataan tersebut bertarikh 16 Mac 2010.

Dedik mengeluarkan kenyataan tersebut kerana mereka merasakan turut terkena tempias ekoran dakwaan pihak tertentu berhubung isu skuad Bawah 21 tahun (B-21 negara, Harimau Muda.

Menurutnya, mereka berasa kecewa dengan tindakan sesetengah pihak media di Malaysia yang mempersoalkan status penyertaan skuad B-21 negara dalam baki saingan Liga I bagi musim 2009/10.

“Biarpun secara dasarnya ia adalah isu dalaman antara FAM dan pihak media Malaysia, kami juga tidak terlepas dalam hal ini kerana ia melibatkan tahap Liga Slovakia yang turut dipersoalkan.”

Jelas Dedik, meskipun mereka tidak berhasrat untuk terseret sama dalam kontroversi yang berlaku, kenyataan ULK Slovakia itu adalah semata-mata untuk memberi penjelasan tentang isu tersebut.

“Kami mahu jelaskan bahawa semua kelab di bawah ULK Slovakia adalah bertanggungjawab sepenuhnya serta mengambil pendekatan profesional dalam setiap perlawanan menentang skuad B-21 Malaysia ini.

“Tidak kira sama ada ia dianggap sebagai perlawanan kompetitif atau perlawanan persahabatan.

“Kami tidak akan mengambil sikap mempersendakan perlawanan tersebut dan ia jelas dilihat dengan kelab yang telah menentang skuad B-21 Malaysia apabila mereka tampil dengan aksi terbaik dan bukannya sambil lewa,” kata Dedik.

Selepas mengharungi tiga perlawanan sejak 27 Februari lalu, Harimau Muda A masih mencari kemenangan sulung setelah tewas 1-4 kepada Slovan Duslo Sala, tewas 0-2 kepada MFK Ruzomberok B dan tewas 0-3 kepada MFK Zemplin Michalovce, Sabtu lalu.

Perlawanan keempat Sabtu ini bakal menyaksikan anak-anak buah Azraai Khor Abdullah itu menentang MFK Zemplin Michalovce di gelanggang lawan.

Kenyataan Dedik itu seharusnya dipandang serius oleh pihak tertentu.

Andai penjelasan FAM Isnin lalu masih belum memuaskan hati, kenyataan daripada Kesatuan Kelab-Kelab Liga (ULK) Slovakia diharpaan dapat membuka mata semua dan pengakuan ULK membuktikan bahawa misi skuad B-21 ke sana bukanlah ‘makan angin’ seperti yang didakwa.
Read More

Rajagobal serap tujuh muka baru


TUJUH muka baru termasuk Khyril Muhymeen Zamri yang baru pulih daripada kecederaan dipanggil semula oleh jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal untuk latihan pusat selama 19 hari bermula Isnin ini hingga 9 April depan.

Selain Khyril, 23, enam pemain baru yang disenaraikan termasuk Hafiszuan Salehuddin, 23, (Perak), Che Ku Ahmad Rusydi Amir Ku Azam, 23, (Terengganu), Saufi Sa’aidi, 22, (Perak), Abdul Halim Zainal, 22, (Negeri Sembilan), Amir Omar Khata, 21, (Pulau Pinang) dan S. Harivarman, 20, (PDRM).

Senarai 27 pelatih yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam hanya menampilkan tujuh pemain yang sudah melepasi usia 23 tahun.

Mereka ialah Farizal Marlias, Sharbinee Allawee Ramli, Norhafiz Zamani Misbah, Ashaari Shamsuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Azmi Muslim dan S. Kunanlan.

Ini kerana saingan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November depan hanya melibatkan pemain-pemain bawah 23 tahun manakala pemain senior terbabit diperlukan untuk saingan Piala AFF 2010 pada Disember depan.

Namun empat pemain muda yang dipanggil pada latihan pusat bulan lalu tidak disenaraikan semula kali ini iaitu Alif Samsudin (Negeri Sembilan), Khairul Helmi Johari (Kedah), Abdul Hadi Hamid (Kedah) dan S. Chanthuru (Kelantan).

Bagi latihan pusat kali ini, dua perlawanan persahabatan telah diatur iaitu bertemu pasukan pilihan kelab Thailand, BEC Tero Sasana di Bangkok pada 25 Mac depan serta satu lagi perlawanan persahabatan yang akan ditentukan kemudian.

Kesemua 27 pelatih yang disenaraikan itu dikehendaki melaporkan diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada pukul 3 petang Isnin ini.

INFO:

SENARAI 27 PELATIH SKUAD KEBANGSAAN:

PENJAGA GOL: Farizal Marlias (Perlis), Sharbinee Allawee Ramli (Terengganu), Amir Omar Khata (P.Pinang).

PERTAHANAN: Norhafiz Zamani Misbah (KL Plus), Nasriq Baharom (Selangor), Aidil Zafuan Radzak (N.Sembilan), Asraruddin Putra Omar (Selangor), Azmi Muslim (Kedah), Sabree Mat Abu (Kedah), Muhaimin Omar (Terengganu).

TENGAH: Hafiszuan Salehuddin (Perak), S. Harivarman (PDRM), Bunyamin Umar (Selangor), Abdul Halim Zainal (N.Sembilan), Safiq Rahim (Selangor), Yong Kuong Yong (K.Lumpur), S. Kunanlan (N.Sembilan), Che Ku Ahmad Rusydi Amir Ku Azam (Terengganu), Amar Rohidan (Perlis), Baddrol Bakhtiar (Kedah).

PENYERANG: Ashaari Shamsuddin (Terengganu), Zaquan Adha Radzak (N.Sembilan), Saufi Sa’aidi (Perak), Faizal Abu Bakar, Khyril Muhymeen Zambri (Kedah), Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Perlis).
Read More

Separuh akhir Piala FA ditunda

PERLAWANAN separuh akhir pertama Piala FA pada 27 Mac depan ditunda.

Demikian pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Ia adalah untuk memberi laluan kepada aksi persahabatan antara skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan yang akan menentang kelab Thailand, BEC Tero Sasana FC di Bangkok pada hari berkenaan.

Naib Presiden FAM, Datuk Che Mat Jusoh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan berkata, tarikh baru aksi separuh akhir pertama Piala FA itu ialah pada Selasa, 30 Mac.

“Aksi separuh akhir kedua kekal pada 3 April manakala perlawanan akhir Piala FA 2010 juga kekal pada 10 April depan.

“Bagi Piala Malaysia pula, tiga perlawanan terpaksa dipinda kerana skuad kebangsaan akan beraksi pada satu kejohanan jemputan di Vietnam dari 29 September hingga 2 Oktober depan.

“Tapi perlawanan akhir Piala Malaysia kekal pada tarikh asal iaitu 30 Oktober depan,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

FAM sebelum ini pernah menyatakan aksi pada 27 Mac depan itu merupakan perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus A kerana ia menemukan skuad kebangsaan Malaysia dan Thailand.

Sementara itu, Che Mat turut memberitahu, dua insiden berasingan membabitkan pegawai pasukan ‘menyerang’ pengadil pada aksi Liga Super Sabtu lalu akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam masa terdekat.

“Ia melibatkan pertemuan Kedah dan Negeri Sembilan di Alor Setar yang mana pegawai pasukan Kedah telah masuk ke padang dan menyerang pengadil selepas perlawanan.

“Satu lagi kes, Terengganu bertemu Pahang di Kuala Terengganu apabila jurulatih dan pegawai pasukan Pahang menuju ke arah pengadil sebaik tamat separuh masa pertama.

“Sepatutnya kes ini tak berlaku kerana pegawai yang mengawal tingkah laku pemain mereka. Tapi sebaliknya berlaku,” jelas Che Mat.
Read More

FAM beri penjelasan isu Slovakia


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung status skuad bawah 21 tahun (B-21) negara atau Harimau Muda A yang ketika ini di Slovakia.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata, pihaknya tidak berhasrat menyembunyikan fakta atau menipu, malah serius mengatur siri perlawanan kompetitif selama tiga bulan menentang kelab- kelab Liga 1 Slovakia itu.

"Apabila FAM tulis surat kepada Kesatuan Kelab-Kelab Liga (ULK) Slovakia, kita sudah memberitahu yang kita tak mahu perlawanan persahabatan.

"Kalau perlawanan persahabatan, kita tak perlu melalui proses permohonan seperti ini. Kita boleh saja pergi ke England, Brazil, Jepun atau negara-negara lain.

"Jadi apabila ULK Slovakia memberi perse- tujuan, mereka kata, skuad Harimau Muda A akan bermain dalam liga dan bukannya perla- wanan persahabatan.

"Kita tak pernah fikir pun nak buat perlawa- nan persahabatan. Jika tidak, tak perlulah kita ikut segala saluran ULK Slovakia ini," kata Redzuan pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Jelas Redzuan, beliau juga kecewa dengan laporan sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu yang seolah-olah sengaja membuat tudu- han negatif terhadap usaha FAM menghantar Harimau Muda A ke Slovakia itu.

"Mereka laporkan saya tidak tahu. Sedangkan saya beri penjelasan seperti yang saya beritahu hari ini (semalam). Tetapi mereka tulis tentang itu saja. Ia tidak adil dan memberi imej negatif terhadap diri saya.

"Tentang aksi di Slovakia ini, kita boleh andaikan pasukan Filipina beraksi dalam Liga Malaysia. Sudah tentu pasukan-pasukan kita tak mahu tewas kepada pasukan Filipina itu," ujarnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan, apa yang diberitahu Presiden ULK Slovakia, Charles Belanik kepadanya, itulah juga yang disam- paikannya kepada pihak media pada 19 Februari lalu.

"Kita dikenakan syarat asas sama seperti pasukan Liga 1 Slovakia lain seperti membayar yuran penganjuran perlawanan serta yuran menyertai liga. Apa dia buat dengan duit itu, ia di luar kawalan FAM.

"Dia beri jadual liga dan mata akan diberi kepada pasukan lawan. Selepas kita main dua perlawanan awal, saya tak ambil endah sangat tentang kiraan mata itu kerana tujuan asal kita adalah untuk pendedahan.

"Tetapi sama ada ULK Slovakia beri mata atau tidak, kita rasa kurang manis untuk kita semak atau pertikaikan semula kepada mereka kerana kutipan mata bukan menjadi isu utama," katanya.

Berhubung keseriusan pihak lawan bertemu Harimau Muda A pada aksi yang dianggap perlawanan persahabatan itu, Azzuddin menegaskan: "Selepas tiga perlawanan ini, tiada lagi pasukan lawan yang turun beraksi memakai skirt atau kain sarung."

"Lawan tetap menurunkan pemain berdaftar mereka dan senarai permulaan perlawa- nan turut dikeluarkan. Sama ada mereka ber- main 10 atau 20 peratus tahap sebenar, itu kita tak boleh ukur.

"Jika mereka main saja-saja, dah tentu kita boleh menang 6-0 atau 7-0. Tetapi kita tetap tewas ketiga-tiga perlawanan ini."

Azzuddin juga membidas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mempersendakan penghantaran dua tukang masak Majlis Sukan Negara (MSN) ke Slovakia bagi penye- diaan makanan halal buat pemain Harimau Muda A yang majoritinya beragama Islam.

"Walaupun penulis itu bukan Muslim tetapi dia patut tahu di Slovakia sukar mendapatkan makanan halal.

"Skuad hoki ke New Zealand dan kontinjen Sukan SEA ke Laos turut buat perkara sama tetapi tak pula jadi isu," jelasnya.
Read More

Futsal: Maizal panggil 18 pemain



SKUAD futsal kebangsaan kembali berkumpul hari ini bagi persiapan menghadapi Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 di Ho Chi Minh, Vietnam dari 5 hingga 11 April depan.

Jurulatih futsal kebangsaan, Maizal Hairi Marzuki berkata, memandangkan tempoh persiapan hanya dua minggu, dia memanggil 18 pelatih saja berbanding 20 pelatih seperti kebiasaannya.

"Saya hanya panggil 18 pemain kerana masa agak suntuk. Kita akan terus memberi tumpuan sepenuhnya terhadap latihan kerana tidak sempat membuat pemilihan pemain lagi.

"Pemain-pemain akan berkumpul esok (hari ini) dan turun menjalani latihan di Real Sports Arena, Klang bermula Ahad ini (esok)," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelas Maizal, 37, kesemua 14 pemain negara yang dibawa ke Jakarta, Indonesia bagi Kelayakan Futsal Asia 2010 pada bulan lalu dikekalkan.

Mereka ialah Firdaus Razali, S. Devandran, Hafis Awang, Mohd. Fairuz Mohd. Noor, Addie Azwan Zainal, Ruzaley Abd. Aziz, Qaiser Heshaam Abdul Kadir.

Muizzudin Haris, Safar Mohammad, Khairul Rizuan Harif Pagilah, Fadzil Ab. Karnim, Khairul Effendy Bahrin, Akhmall Abdullah dan Afandi Bonyamin.

"Baki empat lagi pemain yang dipanggil ialah dua bekas pelatih sebelum ini iaitu Samsul Abd. Latif dan Ahmad Ridzuan Abd. Halim serta dua pemain baru dari pasukan Selangor dan Felda United.

"Sepanjang tempoh latihan ini, kami akan memperbaiki semula segala kelemahan di Jakarta bulan lalu dan bertekad menebus semula kegagalan apabila beraksi di Vietnam nanti," jelas Maizal.

Menurut laporan akhbar Vietnam, Nhan Dan Online, Kejuaraan Futsal AFF 2010 akan disertai lima pasukan iaitu Vietnam, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Myanmar tanpa kehadiran juara bertahan, Thailand.

Lima pasukan itu akan bersaing secara liga satu pusingan dan dua pasukan teratas akan layak ke final.
Read More

Skuad Harimau Muda A ketepi isu di luar padang



JURULATIH skuad Bawah 21 (B-21) kebangsaan, Azraai Khor Abdullah meminta para pemainnya supaya kembali fokus menjelang pertemuan menentang MFK Zemplin Michalovce di Slovakia esok.

Dalam beberapa hari lalu, suasana harmoni dalam skuad Harimau Muda A itu dilaporkan sedikit terganggu ekoran laporan sebuah akhbar tempatan Selasa lalu.

Menurut Azraai, biar apa pun tanggapan pihak luar tentang status skuad bimbingannya itu, mereka tetap akan meneruskan misi selama tiga bulan di Slovakia.

"Kami tetap dengan misi kami. Kami mahu menimba sebanyak mungkin pengalaman apabila dapat bersaing dengan pasukan liga di sini (Slovakia) yang rata-rata dibarisi pemain-pemain senior.

"Matlamat kami pada akhir kunjungan selama tiga bulan ini nanti ialah untuk memastikan pemain-pemain muda kita telah berjaya mempelajari aspek kemajuan bola sepak dari segi fizikal dan mental," kata Azraai kepada Kosmo! semalam.

Sejak tiba di Zlate Moravce, Slovakia pada 21 Februari lalu, skuad Harimau Muda A telah menghadapi empat perlawanan tetapi masih belum mencipta kemenangan.

Dalam dua perlawanan awal menentang kelab Liga 1 Slovakia, mereka tewas 1-4 kepada pasukan tercorot, Slovan Duslo Sala sebelum tewas 0-2 kepada pasukan tangga kedua tercorot, MFK Ruzomberok B.

Selain itu, semasa tempoh senggang antara kedua-dua perlawanan tersebut, Harimau Muda A turut sempat mengadakan dua lagi aksi persahabatan menentang skuad simpanan kelab Liga Corgon Slovakia, MSK Zilina (seri 2-2) dan kelab Liga 2 Slovakia, FK Topolocany (tewas 0-1).

Menjelang pertemuan ketiga menentang Zemplin yang kini menduduki tangga keenam Liga 1 Slovakia, Azraai berkata, mereka akan diperkuat semula dengan kehadiran Ahmad Shakir Md. Ali dan K. Gurusamy yang telah pulih daripada kecederaan.

"Kami akan cuba untuk mempamerkan peningkatan berbanding perlawanan-perlawanan yang lalu dan tidak sesekali akan melupakan harapan peminat Malaysia," tambahnya.
Read More

Sultan Ahmad Shah murka


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah murka dengan dakwaan sebuah akhbar tabloid tempatan kelmarin yang mengatakan skuad bawah 21 tahun (B-21) negara di Slovakia telah 'kena main' majikan sendiri.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, baginda menganggap laporan yang bersifat 'sensasi' itu langsung tidak mendatangkan faedah kepada perkembangan bola sepak negara.

"Mengikut apa yang dititahkan Tuanku, baginda nampaknya murka dengan laporan berita tersebut kerana ia mungkin akan menjejaskan moral dan semangat pemain-pemain B-21 negara yang berada di Slovakia ketika ini.

"Apabila saya pulang ke tanah air nanti, saya akan memohon penjelasan daripada pihak akhbar terbabit dan jika ia tidak memuaskan, Tuanku mahu kita (FAM) mengambil tindakan undang-undang," kata Azzuddin yang kini berada di Slovakia.

Isu tersebut timbul apabila dua perlawanan awal skuad B-21 negara menentang pasukan Liga Divisyen Dua Slovakia, Liga I iaitu Slovan Duslo Sala dan MFK Ruzomberok sebenarnya hanyalah berstatus aksi persahabatan.

Ia jelas bertentangan dengan apa yang diberitahu pihak FAM sebelum ini yang menyatakan semua 14 perlawanan yang disediakan buat skuad B-21 negara itu dikira sebagai aksi kompetitif dalam liga tersebut.

Biarpun demikian, Azzuddin tetap menganggap akhbar tabloid tersebut tidak memahami tujuan asal FAM menghantar skuad pelapis negara itu ke Slovakia untuk tempoh tiga bulan sehingga penghujung Mei depan.

"Apa yang saya boleh komen dengan laporan seperti itu. Ia dengan sendirinya mendedahkan mutu atau tahap profesionalisme penulis itu sendiri.

"FAM tidak ada masa untuk melayan laporan-laporan seperti ini yang tidak memberi apa-apa faedah kepada pembangunan bola sepak negara.

"Tugas FAM ialah menyediakan pasukan bola sepak kebangsaan," kata Azzuddin menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo! semalam.

Azzuddin turut memohon pihak media tempatan supaya memberi sokongan kepada pasukan skuad B-21 negara itu dan bukan sebaliknya.

"Mereka (skuad B-21 negara) pergi ke Slovakia ini bukanlah untuk menjadi juara Liga Slovakia. Itulah yang pihak akhbar berkenaan tidak faham," tambah Azzuddin.

Sementara itu, laman sosial facebook Harimau Muda yang sebelum ini kerap mengemaskini status terbaru pasukan dari Slovakia setiap hari telah mengambil pendekatan 'tutup mulut' selepas laporan berita tersebut keluar.

"Pihak Harimau Muda mengambil pendekatan untuk tidak membuat sebarang komen berhubung status kami di Slovakia.

"Apa pun matlamatnya, kami di sini untuk mendapatkan pendedahan di peringkat yang kompetitif di samping memantapkan diri dan pasukan untuk cabaran yang akan datang.

"Hasil yang diperoleh dari sini akan kami gunakan sebaiknya demi memartabatkan sukan bola sepak negara," kata satu status di laman facebook berkenaan yang dikendalikan jurulatihnya, Azraai Khor Abdullah dan penolong jurulatih, Azman Eusoff.
Read More

'Posmen' kena belasah di Selayang


JUARA bertahan, Selangor berada 'sebelah kaki' ke separuh akhir Piala FA 2010 setelah mudah membelasah Pos Malaysia 5-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Selayang malam tadi.

Skuad bimbingan K. Devan itu yang tampil kali pertama dengan jersi ketiga mereka berwarna biru muda selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Kapten Selangor, Amri Yahyah membuka tirai jaringan pada minit ke-21.

Amri meledak gol kedua Red Giants lima minit kemudian selepas menyambung bola muntah hantaran Amirulhadi Zainal.

Gol ketiga Selangor menyusul pada minit ke-41 selepas hantaran Amri dari sebelah kiri berjaya disudahkan dengan kemas oleh Safee Sali.

Penyerang gantian, Rudie Ramli menambah gol keempat Selangor selepas menyudahkan hantaran Safiq Rahim pada minit ke-69.

Kelekaan benteng pertahanan Selangor bagaimanapun dihukum apabila Pos Malaysia berjaya memperoleh gol menerusi pemain gantian, Khairul Zal Azmi pada minit ke-77.

Namun, Selangor hanya memerlukan seminit untuk memperoleh gol kelima menerusi jaringan Rudie.
Read More

Marhaban2u.com - Rezeki Baru Anda


Ahlan wahsalan ya marhaban kepada semua, bersempena hari kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW dan majlis sambutan Maulidurasul yang gilang-gemilang, sebuah program kebajikan ummah dibawah naungan Marhaban2u.com - Rezeki Baru Anda dilancarkan.

Program yang berasaskan bantu-membantu dalam memberi khidmat kebajikan kepada ummah disamping memberi pulangan lumayan dan disertakan produk berupa bacaan Al-Quran dan dendangan nasyid terbaru dari kumpulan Rabbani 'Mahabbah'

Anda tidak akan rugi kerana modal yang diperlukan hanya RM20 saja. Tiada Risiko!
Kini anda mampu untuk memperolehi lebih dari itu dengan http://www.marhaban2u.com/?ref=1238

"Sekiranya kita lambat bertindak, esok kehidupan kita tetap sama"

Kunjungi Website saya : http://www.marhaban2u.com/?ref=1238

Sukses Selalu!
Read More