Tuesday, March 16, 2010

Separuh akhir Piala FA ditunda

PERLAWANAN separuh akhir pertama Piala FA pada 27 Mac depan ditunda.

Demikian pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Ia adalah untuk memberi laluan kepada aksi persahabatan antara skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan yang akan menentang kelab Thailand, BEC Tero Sasana FC di Bangkok pada hari berkenaan.

Naib Presiden FAM, Datuk Che Mat Jusoh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan berkata, tarikh baru aksi separuh akhir pertama Piala FA itu ialah pada Selasa, 30 Mac.

“Aksi separuh akhir kedua kekal pada 3 April manakala perlawanan akhir Piala FA 2010 juga kekal pada 10 April depan.

“Bagi Piala Malaysia pula, tiga perlawanan terpaksa dipinda kerana skuad kebangsaan akan beraksi pada satu kejohanan jemputan di Vietnam dari 29 September hingga 2 Oktober depan.

“Tapi perlawanan akhir Piala Malaysia kekal pada tarikh asal iaitu 30 Oktober depan,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

FAM sebelum ini pernah menyatakan aksi pada 27 Mac depan itu merupakan perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus A kerana ia menemukan skuad kebangsaan Malaysia dan Thailand.

Sementara itu, Che Mat turut memberitahu, dua insiden berasingan membabitkan pegawai pasukan ‘menyerang’ pengadil pada aksi Liga Super Sabtu lalu akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam masa terdekat.

“Ia melibatkan pertemuan Kedah dan Negeri Sembilan di Alor Setar yang mana pegawai pasukan Kedah telah masuk ke padang dan menyerang pengadil selepas perlawanan.

“Satu lagi kes, Terengganu bertemu Pahang di Kuala Terengganu apabila jurulatih dan pegawai pasukan Pahang menuju ke arah pengadil sebaik tamat separuh masa pertama.

“Sepatutnya kes ini tak berlaku kerana pegawai yang mengawal tingkah laku pemain mereka. Tapi sebaliknya berlaku,” jelas Che Mat.

0 comments: