Kelayakan Olimpik: Pakistan 0 Malaysia 0 (Agregat 0-2)

HALANGAN pusingan pertama berjaya dilepasi skuad bola sepak Olimpik kebangsaan setelah mereka mengikat Pakistan 0-0 pada aksi kedua di Stadium Punjab, Lahore malam kelmarin.

Malaysia mara ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 hasil kemenangan 2-0 pada aksi pertama di Shah Alam, 23 Februari lalu.

Kini semua mata tertumpu kepada majlis undian pusingan kedua yang akan berlangsung di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil pada 30 Mac depan.

Untuk aksi pusingan kedua secara timbal balik pada 19 dan 23 Jun depan, Malaysia bersama 10 lagi pemenang pusingan pertama bakal diundi bertemu 13 pasukan yang mendapat bye pada pusingan pertama.

Kemungkinan lawan Malaysia pada pusingan kedua itu ialah Australia, Bahrain, China, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, Iraq, Lebanon, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan atau Vietnam.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, dia tidak gentar siapa yang bakal ditentang pada pusingan kedua nanti sambil menyuarakan keyakinan Malaysia mampu mencipta kejutan.

“Tiada mana-mana pasukan saya harapkan untuk diundi bertemu nanti. Ini kerana, jika telah mendapat bye, sudah tentu mereka semua pasukan yang bagus.

“Tapi kita tidak akan menyerah kalah sebelum turun beraksi dan akan memberi saingan. Dengan persiapan rapi, tak mustahil untuk kita mencipta kejutan,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Lahore semalam.



Andai berjaya melepasi pusingan kedua, Malaysia berpeluang menjadi 12 pasukan terbaik Asia yang akan dipecahkan tiga kumpulan untuk bersaing enam perlawanan sepanjang 21 September 2011 hingga 14 Mac 2012.

Hanya juara setiap kumpulan akan layak ke Sukan Olimpik 2012 di London manakala tiga naib juara bakal bertarung merebut satu slot pertemuan playoff dengan pasukan di tangga keempat saingan kelayakan zon Afrika.

Diminta mengulas aksi para pemainnya pada perlawanan di Lahore kelmarin, Kim Swee berkata, sasaran untuk tidak melepaskan sebarang gol berjaya dicapai biarpun mereka gagal meraih kemenangan.

“Seperti dijangka, Pakistan mengasak dari awal. Tapi pemain kita telah menjalankan tugas dengan baik. Cuma keadaan padang yang teruk tidak membenarkan kita bermain mengikut rentak sebenar.

“Babak kedua, kita mula menguasai permainan dengan mendapat tiga percubaan terbaik tetapi gagal disempurnakan oleh Syahrul Azwari Ibrahim, Gary Steven Robbat dan Ahmad Fakri Saarani,” ujarnya.

Skuad negara dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi ini tetapi para pemain Harimau Muda A akan terus ke Kota Kinabalu tengah hari ini untuk bertemu Sabah pada aksi Liga Super malam esok.


Read More

Kelayakan Olimpik: Skuad negara dikawal ketat

SKUAD Olimpik kebangsaan lega kerana dapat memberi tumpuan penuh menjelang aksi kedua pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 bertemu Pakistan di Stadium Punjab, Lahore malam ini.

Ini kerana, sebaik tiba di Lahore awal pagi semalam, barisan 18 pemain negara berserta 10 pegawai telah diberi kawalan ketat.

Ia termasuklah kawalan oleh anggota keselamatan yang lengkap dengan senapang Ak-47 di sekeliling hotel penginapan mereka, Hotel Park Plaza.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, semua pemain tidak dibenarkan keluar dari hotel terbabit oleh pihak keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Tiada masalah sangat sepanjang perjalanan ke sini (Lahore). Semuanya berjalan lancar. Cuma kawalan keselamatan agak ketat dengan pemain tidak dibenarkan berada di luar kawasan hotel.

“Selain itu, seramai 10 hingga 15 anggota keselamatan dilihat berkawal sepanjang masa sambil memegang AK-47 di sekeliling kawasan hotel,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Lahore petang semalam.

Setelah menjalani latihan ringan berhampiran kolam renang di hotel pada sebelah pagi semalam, skuad negara mengadakan latihan bagi menguji padang di Stadium Punjab malam tadi.

“Semua pemain nampaknya mendapat cukup yang rehat sepanjang hari ini (semalam). Saya percaya para pemain sudah bersedia untuk turun menghadapi Pakistan esok (malam ini) tanpa sebarang masalah,” jelas Kim Swee.

Malaysia menang 2-0 ke atas Pakistan pada aksi pertama di Stadium Shah Alam pada 23 Februari lalu menerusi jaringan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Irfan Fazail.

Bagi mengukuhkan kedudukan, Malaysia perlu mencari gol awal malam ini dan jika berjaya mendahului 1-0, Pakistan pasti lebih tertekan kerana mereka perlu membalas empat gol berdasarkan peraturan kelebihan gol di tempat lawan.

KESEBELASAN KEMUNGKINAN MALAYSIA:
Khairul Fahmi Che Mat (kapten), Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Affize Faisal Mamat, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman, Irfan Fazail, Ahmad Fakri Saarani.


Fakri mahu akhiri kemarau gol di Lahore

PENYERANG utama skuad Olimpik kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani mahu menjadikan aksi bertemu Pakistan di Stadium Punjab, Lahore malam ini sebagai penamat kemarau gol berpanjangan yang dialaminya di peringkat antarabangsa.

Pemain kelahiran Kelantan berusia 22 tahun itu turut gagal menjaringkan sebarang gol sepanjang menyarung jersi Negeri Sembilan musim ini.

Jaringan terakhirnya di pentas antarabangsa ialah ketika skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada kelab Qatar, Al-Jaish di Doha pada 30 Ogos 2010.

Selepas itu, Fakri hanya sempat beraksi beberapa minit pada aksi pertama Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China November lalu sebelum mengalami kecederaan lutut yang memaksanya turut melupakan Piala Suzuki AFF 2010.

“Saya memang nak sangat menjaringkan gol pada aksi kedua di Lahore ini. Mungkin rezeki untuk mendapatkan gol itu belum ada.

“Rentak permainan sudah ada tetapi gol belum ditemui. Mungkin rezeki saya menamatkan kemarau gol di Lahore,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kelmarin.

Namun, Fakri mungkin akan diletakkan sebagai penyerang tunggal pada aksi malam ini kerana jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee dijangka memadatkan bahagian tengahnya.

“Bermain sebagai penyerang tunggal tidak menjadi masalah kerana saya sudah biasa memainkan peranan itu. Malah apabila diletakkan sebagai penyerang kedua atau pun di bahagian sayap, saya tiada masalah.

“Saya rasa semua pemain sudah pun bersedia untuk bertemu Pakistan tetapi pada masa sama kami tetap menghormati pasukan lawan,” jelasnya.

Pada aksi pertama di Stadium Shah Alam pada 23 Februari lalu, Fakri memiliki tiga peluang keemasan pada babak kedua tetapi dinafikan kecekapan penjaga gol gantian Pakistan, Muhammad Umar.

INFO:

JADUAL
PUSINGAN PERTAMA
KELAYAKAN OLIMPIK 2012

(HARI INI)

PAKISTAN (0) lwn MALAYSIA (2)
Stadium Punjab, Lahore, 11 malam
(Siaran langsung TV1 dan Astro Arena 801)

* Keputusan perlawanan pertama dalam kurungan.
Read More

Sukan SEA 2011: Kim Swee, bukan Rajagobal


JURULATIH skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee semalam sah dilantik sebagai jurulatih skuad bola sepak negara untuk saingan Sukan SEA 2011 di Indonesia, November depan.

Ia sekali gus menamatkan desas desus bahawa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal akan dipilih untuk membimbing skuad B-23 kebangsaan dalam usaha mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos pada 2009.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pendedahan perlu diberikan kepada jurulatih baru memandangkan Rajagobal turut mempunyai tugasan hakikinya sebagai jurulatih kebangsaan.

“Bukan khidmat Rajagobal tidak diperlukan untuk Sukan SEA 2011 tetapi beliau mempunyai misi lain iaitu Kelayakan Piala Dunia 2014, Kelayakan Piala Asia 2015 dan misi mempertahankan kejuaraan pada Piala Suzuki AFF 2012.

“Apa pun kita tetap perlu mempertahankan kejuaraan Sukan SEA. Ia tanggungjawab besar buat Kim Swee dan beliau masih boleh merujuk kepada Rajagobal sebagai penasihat tidak rasmi,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pada Sukan SEA 2009 di Laos, skuad B-23 kebangsaan bimbingan Rajagobal berjaya menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas setelah menundukkan Vietnam 1-0 pada aksi final.

Sementara itu, Kim Swee yang juga jurulatih skuad Harimau Muda A berkata, dia mahu menumpukan terlebih dahulu misi skuad Olimpik kebangsaan layak ke pusingan kedua apabila berdepan Pakistan malam ini.

“Ini merupakan satu kepercayaan yang amat tinggi daripada pengurusan tertinggi FAM terhadap barisan kejurulatihan saya.

“Tapi biarlah saya selesai dahulu tugas bertemu Pakistan ini sebelum mengulas lebih lanjut,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Lahore semalam.

Dalam perkembangan lain, lawan skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan antarabangsa pada 25 Mac depan masih belum disahkan dengan skuad Rajagobal itu kemungkinan akan bertemu Iran, Oman atau Sri Lanka.

“Jordan sudah menolak kerana mereka mahu bertemu Kuwait. Manakala India dan Taiwan juga menolak kerana mereka beraksi pada kelayakan Piala Cabaran AFC 2012.

“Iran akan beri jawapan minggu ini. Oman masih belum beri jawapan manakala Sri Lanka baru menghubungi saya pagi tadi (semalam) untuk menyatakan hasrat,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad semalam.
Read More

FAM tumpu peringkat akar umbi


MASA depan bola sepak negara tampak semakin cerah andai dilihat kepada perancangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menumpukan pembangunan bakat bermula dari peringkat akar umbi.

Beberapa cadangan dan perancangan menarik telah dinyatakan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sidang media selepas baginda mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM semalam.

Menurut Tengku Abdullah, FAM telah mendapat undangan daripada Persatuan Bola Sepak Slovakia (SFZ) untuk menghantar skuad bawah 15 tahun (B-15) dan skuad B-16 beraksi pada saingan liga kebangsaan B-15 dan B-16 negara itu tahun depan.

“Pihak SFZ telah memberi peluang untuk pasukan remaja kita beraksi liga remaja di sana (Slovakia) selama dua musim iaitu 2012 dan 2013. Ia akan bermula pada awal tahun depan.

“Jadi dengan penghantaran pemain lebih muda berbanding ketika kita menghantar skuad Harimau Muda sebelum ini, harap program ini turut akan mencapai kejayaan,” kata baginda pada sidang media tersebut.

Selain itu, Tengku Abdullah memberitahu, Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia semalam turut mengemukakan cadangan kepada FAM untuk menubuhkan satu unit khas bagi pencarian bakat di peringkat akar umbi.

“Sudah sampai masanya kita mengikut jejak seperti Jepun yang mempunyai kelompok 200,000 pemain muda. Untuk memperbesarkan kelompok pemain muda, maka kita perlukan tubuhkan segera unit ini.

“Pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Bandar Penawar tidak mencukupi. Kita perlu ramai lagi pemain dari luar bandar yang boleh dicungkil bakal mereka.

“Jadi atas alasan itulah kita pernuh memperluaskan jaringan pencarian bakat dengan menggunakan khidmat bekas pemain-pemain kebangsaan dan jurulatih di peringkat daerah,” jelas baginda.

Tengku Abdullah turut menyatakan bahawa Akademi Bola Sepak Negara akan dimulakan pembinaannya di atas tanah seluas 32 hektar di Gambang, Kuantan, Pahang pertengahan tahun ini dan dijangka siap sebelum Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Kuantan.

“Tanah sudah dikenalpasti dan pelan projek pun sudah dilukis. Akademi tersebut akan memiliki 11 padang dan sebuah stadium mini yang kesemuanya menggunakan rumput jenis Bermuda,” ujarnya.

Akademi tersebut menggunakan peruntukan RM20 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober lalu.
Read More

FAP bohong!

KENYATAAN Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim bahawa tiada isu gaji tertunggak melibatkan pemain-pemain skuad Liga Premier Pulau Pinang merupakan satu pembohongan.

Ini kerana, para pemain Pulau Pinang sebenarnya ketika ini sedang menanggung sengsara akibat gaji mereka bagi bulan Januari dan Februari masih belum diterima sehingga semalam.

“Saya sedih dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden FAP dalam akhbar hari ini (semalam). Ia sama sekali tidak benar kerana dia kata tidak timbul isu gaji tertunggak. Ia bohong.

“Malah pemain sebenarnya turut dianiaya oleh FAP. Pada awal musim, mereka dijanjikan gaji sekitar RM3,500 hingga RM4,000 sebulan.

“Tapi sehari sebelum tarikh tutup pendaftaran, nilai gaji dalam kontrak hanyalah RM2,000 sebulan bagi setiap pemain,” kata sumber rapat FAP kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan Zahrain yang mahu menyiasat kemungkinan pemain-pemain Pulau Pinang menjual perlawanan sehingga menyebabkan pasukan itu kini menduduki tangga tercorot Liga Premier.

Pulau Pinang tewas kesemua lima perlawanan Liga Premeir setakat ini iaitu kepada Sarawak (0-4), Pos Malaysia (0-4), Sime Darby (2-3), MP Muar (2-3) dan USM FC (0-3) selain tewas 1-5 kepada Johor pada pusingan pertama Piala FA.

Tambah sumber itu lagi, apabila gaji sudah dua bulan tidak dibayar, skuad bimbingan Robert Scully yang sedang dalam proses mencari keserasian kerana dibarisi 90 peratus pemain baru musim ini gagal memberikan perkembangan positif.

“Apabila gaji tiada, pemain hanya dapat beraksi ala kadar dan tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya. Anggapan Zahrain bahawa para pemain menjual perlawanan juga tidak benar dan keterlaluan.

“Apabila ia keluar dalam akhbar, apa perasaan keluarga, isteri dan anak-anak para pemain yang membacanya. Ia menjatuhkan maruah para pemain dan negeri Pulau Pinang sendiri.

“Sebagai rakyat Pulau Pinang, saya sedih dan malu. Zahrain sepatutnya turun padang, bukannya mencari alasan lain untuk melepaskan tanggungjawabnya selaku Presiden FAP,” jelas sumber itu.


===========================

JADUAL
LIGA PREMIER

(JUMAAT)

SARAWAK lwn SIME DARBY
Stadium Negeri, Kuching, 4.15 ptg

PULAU PINANG lwn PDRM
Stadium Negeri, Batu Kawan, 4.45 ptg

POS MALAYSIA lwn SDM NAVY
Stadium Selayang, 4.45 ptg

PKNS FC lwn ATM
Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 8.45 mlm

JOHOR lwn USM FC
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 8.45 mlm

(SABTU)

HARIMAU MUDA B lwn MP MUAR
Stadium Selayang, 4.45 ptg


KEDUDUKAN
LIGA PREMIER

PKNS FC 5 5 0 0 10 1 15
ATM 5 3 2 0 8 3 11
SARAWAK 5 3 1 1 15 6 10
USM FC 5 3 0 2 8 5 9
HARIMAU MUDA B 5 2 2 1 8 7 8
PDRM 5 2 1 2 8 7 7
JOHOR 5 2 1 2 8 8 7
MP MUAR 5 2 0 3 5 9 6
POS MALAYSIA 5 1 2 2 7 8 5
SIME DARBY 5 1 2 2 3 4 5
SDM NAVY 5 0 1 4 4 13 1
PULAU PINANG 5 0 0 5 4 17 0
Read More

Kelayakan Olimpik: Mental perlu kuat


KEKUATAN mental menjadi elemen penting buat skuad negara apabila turun berdepan Pakistan pada aksi kedua pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Punjab, Lahore malam esok.

Perlawanan tersebut dijadualkan bermula pukul 8 malam waktu Pakistan (pukul 11 malam waktu Malaysia) dengan skuad negara mendahului 2-0 hasil kemenangan pada aksi pertama di Stadium Shah Alam, 23 Februari lalu.


Skuad negara yang dibarisi 18 pemain telah berlepas ke Lahore menerusi Karachi dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines tengah hari semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, dia dan anak-anak buahnya sudah bersedia untuk berdepan segala taktik kotor yang mungkin dilakukan Pakistan.

“Kita perlu bersedia menghadapi psikologi pasukan lawan. Tiba saja di Lahore, saya jangka macam-macam perkara tak diingini pasti berlaku dan itu sememangnya cuba kami atasi.

“Kita lihat Pakistan boleh melengah-lengahkan masa pada aksi pertama di Shah Alam. Mungkin mereka yakin boleh menang lebih 2-0 di Lahore.

“Jadi kita harus berwaspada dan saya yakin para pemain mampu untuk menangani segala ujian dari segi mental dan strategi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di KLIA, Sepang pagi semalam.

Skuad 18 pemain bagaimanapun hanya menampilkan dua bek tengah iaitu Muslim Ahmad dan Fadhli Shas setelah Faizal Muhamad terpaksa ditinggalkan akibat mengalami kecederaan pada sesi latihan terakhir petang kelmarin.

“Saya harap tiada apa yang berlaku kepada Muslim dan Fadhli sepanjang perlawanan nanti. Tapi jika itu berlaku juga, saya masih boleh meletakkan Mahali Jasuli (bek kanan).

“Affize Faisal Mamat (bek kiri) boleh beraksi di bek kanan manakala Fandi Othman (sayap kiri) atau Nazirul Naim Che Hashim boleh mengisi tempat Affize.

“Bagi saya, kesemua 18 pemain yang dibawa ini boleh beraksi dua atau tiga posisi. Ia satu kelebihan,” jelas Kim Swee.

Pengendali berusia 41 tahun itu membayangkan untuk meletakkan penyerang tunggal, Ahmad Fakri Saarani manakala di posisi tengah, Irfan Fazail akan berada di hadapan K. Gurusamy dan Gary Steven Robbat.



'Apek' tenang hadapi Pakistan

NADA tenang disuarakan kapten skuad Olimpik kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat membuktikan keyakinan skuad negara untuk menyingkirkan Pakistan, sekali gus layak ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012.

Khairul Fahmi, 22, atau lebih popular dipanggil ‘Apek’ berkata, apa yang lebih penting difikirkan mereka ialah untuk memberikan fokus seratus peratus sepanjang 90 minit aksi kedua bertemu Pakistan di Stadium Punjab, Lahore malam esok.

“Tiada masalah apa-apa. Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini. Jurulatih (Ong Kim Swee) pun sudah pesan supaya kami beri fokus lebih kerana Pakistan pasti akan tampil secara menyerang kali ini.

“Selain itu, kami juga perlu bersedia dengan apa saya perkara yang berlaku di dalam atau luar padang. Insyaallah saya akan buat yang terbaik kerana kami mahukan kemenangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi semalam.

Penjaga gol Kelantan itu akan berusaha memainkan peranan selaku ketua pasukan dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan motivasi rakan-rakannya sepanjang perlawanan malam esok.

“Saya akan gunakan segala pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan sebelum ini untuk dikongsi dengan pemain lain khususnya apabila kami beraksi di tempat lawan,” jelas Khairul Fahmi.

Sementara itu, tonggak pertahanan, Muslim Ahmad, 22, mengingatkan rakan-rakan sepasukannya supaya tidak leka dan memandang rendah pasukan lawan biarpun skuad negara menang 2-0 di Shah Alam.

“Perlawanan kali ini kami perlu beri lebih perhatian dan tumpuan lebih kerana Pakistan akan menyerang untuk memburu gol bagi mengatasi kelebihan dua gol yang kita miliki.

“Saya janji akan beraksi dengan bermati-matian bagi memastikan Malaysia berjaya layak ke pusingan kedua,” kata Muslim yang membentuk gandingan mantap di posisi bek tengah bersama Fadhli Shas ketika membawa Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Andai melepasi Pakistan, skuad negara akan ke pusingan kedua pada 19 dan 23 Jun depan dengan kemungkinan diundi bertemu sama ada Australia, Bahrain, China, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, Iraq, Lebanon, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan atau Vietnam.

13 pasukan terbabit mendapat bye pusingan pertama.

INFO:

JADUAL
PUSINGAN PERTAMA
KELAYAKAN OLIMPIK 2012

(ESOK)

PAKISTAN (0) lwn MALAYSIA (2)
Stadium Punjab, Lahore, 11 malam
(Siaran langsung TV1 dan Astro Arena 801)

* Keputusan perlawanan pertama dalam kurungan.
Read More

Pandelela menang anugerah SAM-100Plus



ATLET terjun kebangsaan, Pandelela Rinong Pamg dipilih sebagai pemenang Anugerah Atlet Terbaik Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus.

Pandelela mengenepikan cabaran Datuk Nicol Ann David (skuasy), Datuk Lee Chong Wei (badminton), Mohd. Azizulhasni Awang (lumba basikal) dan Nur Suryani Taibi (menembak) yang turut disenaraikan bagi memenangi anugerah itu.

Selaku pemenang, dia membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Saya tidak sangka nama saya diumumkan sebagai penerima anugerah ini kerana saingan untuk anugerah ini semuanya atlet yang hebat-hebat belaka.

“Kemenangan ini akan saya jadikan motivasi untuk meningkatkan prestasi saya,” kata penerjun dari Kuching, Sarawak yang baru menyambut ulang tahun ke-18, Rabu lepas.

Pandelela menyerlah sepanjang 2010 dengan meraih dua pingat perak pada temasya sulung Sukan Olimpik Remaja di Singapura.

Dia kemudian mencipta sejarah buat Malaysia apabila meraih pingat emas dalam acara terjun 10m platform serta memenangi pingat perak dalam acara 10m platform serentak wanita di Sukan Komanwel, New Delhi, India tahun lepas.

Pada Sukan Asia di Guangzhou, China, dia meraih pingat perak dalam acara 10m platform serentak dan pingat gangsa dalam acara 10m platfrom individu.

Sementara itu, atlet wushu negara Yeap Wai Kin dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Harapan 2010 manakala Datuk Lee Chong Wei menerima Anugerah Khas daripada Persatuan Sukan Kebangsaan.

Pasukan bola sepak kebangsaan yang memenangi Piala Suzuki AFF 2010 telah menerima Anugerah ”Out Do Yourself 100Plus”.

Sementara itu, wartawan sukan Kosmo!, Wan Fakhrul Wan Bakar berjaya memenangi Anugerah Laporan Terbaik kategori media cetak menerusi laporan bertajuk ‘Misi menebus aib Doha 2006’ keluaran 19 Ogos 2010.

Anugerah Laporan Terbaik kategori media elektonik pula dimenangi Ku Mohd Lufti Ku Yahya dari Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Anugerah Ulasan Sukan kategori media cetak dimenangi oleh Rajes Paul (The Star) manakala kategori media elektronik menjadi milik Rozihan Mohd Raji (RTM).

Anugerah Laporan Khas dimenangi wartawan penyiaran Astro Awani, Mohd Zulhelmi Zainal Azam manakala Anugerah Jurugambar Sukan Terbaik dimenangi Mazlan Samion dari Bernama.

Juara setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi manakala lima calon terbaik bagi setiap kategori turut membawa pulang wang tunai RM500.

Dua lagi wartawan sukan Kosmo!, Shahril Nizam Abdullah dan Helmi Talkah masing-masing turut tersenarai dalam lima calon terbaik bagi kategori Anugerah Ulasan Sukan kategori media cetak dan Anugerah Laporan Khas.

Secara keseluruhannya, Anugerah Wartawan Terbaik berjaya dimenangi Mohd Zulhelmi yang menerima hadiah wang tunai RM7,000 dan trofi.




Read More

Safee lonjak Pelita Jaya

JAWA BARAT - Langkah kanan berjaya dilakar penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali pada aksi sulungnya bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya di Stadium Singaperbangsa, Karawang, di sini petang semalam.

Pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super Indonesia (ISL) menentang Sriwijaya FC itu, gol tunggal Safee pada minit ke-62 menghadiahkan kemenangan tipis 1-0 buat Pelita Jaya.

Ia merupakan gol ke-110 peribadi Safee untuk saingan peringkat kelab sejak tahun 2003 termasuk ketika dia menyarung jersi Kuala Lumpur, Sarawak dan Selangor.

Malah lebih manis lagi, pemain kelahiran Kajang, Selangor berusia 27 tahun itu turut diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan semalam.

Pada aksi di hadapan 6,000 penonton itu, Safee bermula dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Misha Radovic sebelum dikeluarkan pada minit ke-84.

Agak mengejutkan apabila Safee turun dengan memakai jersi No. 55, bukannya No.10 yang lazimnya begitu sinonim dengan dirinya.

"No. 10 sudah didaftarkan kepada Andesi Prabowo bagi saingan ISL musim ini. Jadi saya perlu memilih nombor baru.

"Saya pilih sendiri No.55 kerana lima campur lima jumlahnya 10. Selain itu, No. 55 seakan-akan nama singkatan saya iaitu SS (Safee Sali)," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan.

Ditanya perasaannya setelah meledak gol kemenangan menerusi rembatan dari dalam kotak penalti itu, Safee berkata, ia membuatkan dirinya semakin yakin bagi mengharungi saingan ISL.

"Ketika berlari meraikan jaringan tersebut ke arah penyokong, rasa gembira kerana berjaya menghadiahkan sesuatu buat mereka.

"Tapi apa yang lebih penting, tiga mata berjaya dicatat oleh Pelita Jaya dan ia permulaan baik untuk kami memperbaiki kedudukan pada saingan pusingan kedua ini," jelasnya.

Sebelum perlawanan, Pelita Jaya berada di kedudukan tercorot (ke-15) manakala Sriwijaya FC tempat keenam.

Perlawanan seterusnya buat Safee dan Pelita Jaya ialah bertemu Persib Bandung di Stadium Singaperbangsa pada Sabtu depan.



Read More