Geng Selangorfc.com ke Vietnam

LEWAT petang semalam, saya bersama lapan rakan dari laman forum, SelangorFC.com tiba di Ho Chi Minh City, Vietnam dengan tujuan menonton perlawanan bola sepak Piala AFC menemukan Selangor dan Binh Duong FC yang bakal berlangsung malam ini.

Setibanya di Lien An Saigon Hotel di tengah-tengah HCMC, kami bersiar2 di bazar malam umpama Petaling Street dan kemudiannya makan di sebuah restoran halal sebelum masing-masing pulang ke hotel dan melayan aksi Liga Juara-Juara, Barcelona lwn Inter Milan di kaca TV.

Pagi tadi bermulalah pula sesi membeli barang2 utk orang rumah masing-masing. Pastinya Ben Thant Market menjadi tumpuan dan gambar di atas itu menunjukkan enam daripada sembilan ahli rombongan kami sempat bergambar dgn aweks yg jual kain tu sebaik selesai memborong kain di situ.

Ketika ini, jam menunjukkan 2 ptg waktu Vietnam, lagi sejam kami akan bertolak ke Binh Duong untuk menyaksikan perlawanan di stadium. Katanya jarak perjalanan 1 jam. Perlawanan bermula 6 ptg waktu Vietnam (7 mlm waktu Msia).

Doakan kami selamat sampai ke stadium dan semoga Selangor berjaya menewaskan Binh Duong FC. Insyaallah.
Read More

Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! 2010

KEJOHANAN Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! 2010 bakal berlangsung di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya pada 14 hingga 16 Mei depan. Jangan ketinggalan untuk menyertainya. Dapatkan borang penyertaan di dalam akhbar Kosmo! setiap hari. Baca saja di bawah ini.





Inilah gambar terkini Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya yang mempunyai 10 gelanggang terbuka dan 1 gelanggang berbumbung, kesemuanya mengikut saiz gelanggang futsal antarabangsa FIFA
Read More

Amri terpaksa lupakan aksi liga


SETELAH gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA, malang Selangor berterusan apabila mereka kini kehilangan pula kapten pasukan, Amri Yahyah yang terpaksa diketepikan selama sebulan.

Amri, 29, mengalami kecederaan di bahagian atas lutut kirinya setelah terkena serpihan pasu kristal yang pecah ketika menyelamatkan anaknya, Muhammad Adam Rayyan, setahun tujuh bulan, di rumahnya di Serdang pagi semalam.

“Saya baru pulang daripada sesi latihan pagi dan setibanya di rumah, saya bermain bola bersama anak saya. Tiba-tiba bola terkena pasu memaksa saya ‘terbang’ menyelamatkan anak.

“Selepas itu, saya lihat kulit paha berhampiran lutut saya terkoyak besar terkena serpihan pasu dan isteri terus bergegas membawa saya ke hospital,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) petang semalam.

Amri terpaksa menjalani pembedahan kecil beberapa jam selepas itu dan menerima 12 jahitan bagi menutup kesan koyak akibat kecederaan tersebut.

“Sedih dan kecewa jugalah kerana bakal terlepas perlawanan sepanjang bulan ini iaitu bertemu Perak Jumaat ini, Binh Duong FC Rabu depan, T-Team (24 April) dan Sriwijaya FC (28 April).

“Doktor kata saya kena rehat tiga hingga empat minggu. Harap kecederaan ini tidak teruk supaya saya dapat segera kembali membantu pasukan,” ujar Amri yang ditemani isterinya, Nurul Izza Satim, 28.

Sementara itu, penolong jurulatih Selangor, Rosedy Nadzir memberitahu, nama Amri yang sudah berada dalam senarai 18 pemain untuk ke Ho Chi Minh, Vietnam Isnin depan terpaksa diganti dengan Amirulhadi Zainal.

“Amri sepatutnya sudah boleh beraksi menentang Binh Duong setelah tamat penggantungan dua perlawanan akibat kad merah ketika bertemu Sriwijaya di Palembang.

“Tapi malang pula menimpanya dan kita akan membawa Amirulhadi yang sudah tamat penggantungan satu perlawanan. Nasriq Baharom dan Khairul Anuar Baharom pula masih digantung satu dan dua perlawanan lagi,” kata Rosedy.

Malang yang menimpa Amri dan skuad Selangor itu hadir ketika pengurus merangkap jurulatih, K. Devan menyambut hari lahir ke-49 semalam.
Read More

Enam aksi liga diawalkan


SETELAH sebulan berehat untuk memberi laluan kepada aksi Piala FA, saingan Liga Super dan Liga Perdana kembali bersambung pada Jumaat dan Sabtu ini.

Namun terdapat enam perlawanan Liga Super yang terpaksa dipinda tarikhnya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu ima perlawanan akan diawalkan sehari manakala satu lagi perlawanan diawalkan tiga hari.

Menurut laman web rasmi Liga Super Malaysia (MSL), www.malaysiansuperleague.com, lima perlawanan tersebut yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu telah diubah jadualnya sehari lebih awal iaitu pada Jumaat.

Ia bermula dengan perlawanan Selangor bertemu Perak di Stadium Shah Alam yang akan berlangsung pada Jumaat ini dan bukannya Sabtu seperti pada jadual asal.

Empat lagi perlawanan Sabtu yang dipinda ke Jumaat ialah Negeri Sembilan bertemu Pulau Pinang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi (23 April), Selangor bertemu Johor FC di Stadium Shah Alam (7 Mei).

Perak bertemu Pahang di Stadium Perak, Ipoh (14 Mei) dan Johor FC bertemu Kedah di Stadium JCorp, Pasir Gudang (21 Mei).

Satu lagi perlawanan yang dipinda ialah Kuala Lumpur bertemu Perlis di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang akan diawalkan tiga hari iaitu ke Sabtu, 10 Julai.

Kosmo! difahamkan pindaan perlawanan-perlawanan ini dibuat bagi membolehkan ia disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Arena.

Ini kerana pihak Astro tidak dibenarkan membuat siaran langsung serentak pada Sabtu memandangkan RTM turut menyiarkan satu perlawanan Liga Super secara langsung pada hari berkenaan.


JADUAL
LIGA SUPER

(JUMAAT)

SELANGOR lwn PERAK
Std. Shah Alam, 8.45 mlm

(SABTU)

N.SEMBILAN lwn KELANTAN
Std. Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 8.45 mlm

K.LUMPUR lwn KEDAH
Std. Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, 8.45 mlm

KL PLUS lwn PERLIS
Std. MBPJ, Kelana Jaya, 8.45 mlm

PAHANG lwn JOHOR
Std. Darul Makmur, Kuantan, 8.45 mlm

JOHOR FC lwn TERENGGANU
Std. JCorp, Pasir Gudang, 8.45 mlm

T-TEAM lwn P.PINANG
Std. Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 8.45 mlm

KEDUDUKAN
LIGA SUPER

SELANGOR 10 7 2 1 23 6 23
TERENGGANU 9 6 2 1 18 4 20
JOHOR FC 9 6 1 2 15 7 19
N.SEMBILAN 9 5 2 2 13 9 17
KELANTAN 9 4 4 1 11 3 16
KEDAH 9 4 1 4 11 9 13
K.LUMPUR 9 3 4 2 7 9 13
PAHANG 9 4 1 4 11 15 13
PERLIS 9 3 2 4 7 8 11
PERAK 9 2 3 4 9 11 9
T-TEAM 9 2 3 4 8 11 9
KL PLUS 9 1 2 6 5 9 5
P.PINANG 10 1 2 7 6 24 5
JOHOR 9 1 1 7 3 22 4


JADUAL
LIGA PERDANA

(JUMAAT)

ATM lwn FELDA UNITED
Std. Selayang, 8.45 mlm

SHAHZAN MUDA lwn USM FC
Std. Darul Makmur, Kuantan, 8.45 mlm

MP MUAR lwn PDRM
Std. Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 8.45 mlm

SABAH lwn POS MALAYSIA
Std. Likas, Kota Kinabalu, 8.15 mlm

SARAWAK lwn MELAKA
Std. Sarawak, Kuching, 8.15 mlm

KEDUDUKAN
LIGA PERDANA

FELDA UNITED 9 8 1 0 25 6 25
PKNS 10 7 1 2 23 7 22
ATM 9 5 3 1 22 6 18
HARIMAU MUDA 10 5 2 3 18 19 17
SABAH 9 5 1 3 16 7 16
POS MALAYSIA 9 4 0 5 17 15 12
PDRM 9 3 3 3 9 11 12
SARAWAK 9 3 3 3 9 11 12
MP MUAR 9 2 2 5 7 21 8
MELAKA 9 1 2 6 9 22 5
SHAHZAN MUDA 9 1 1 7 4 17 4
USM FC 9 1 1 7 4 21 4
Read More

Futsal AFF: Malaysia naib juara


“KITA perlu serius mencari jurulatih asing jika kita mahu meningkat ke tahap lebih tinggi. Liga tempatan kita juga perlu lebih mantap dan berlangsung lebih lama. Bermain hanya tiga bulan tidak mencukupi.”

Demikian jelas Pengerusi Jawatankuasa Futsal Kebangsaan, Datuk Hamidin Mohd. Amin setelah skuad negara tewas 0-5 kepada Indonesia pada final Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 di Ho Chi Minh, Vietnam semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Phu Tho itu, skuad negara bimbingan Maizal Hairi Marzuki ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Jaelani Ladjanibi pada minit ketujuh.

Kapten Indonesia, Vennard Hutabarat menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-23 sebelum mereka menambah tiga lagi gol menerusi Deny Handoyo (34), Socrates Matulessy (35) dan Ali Haidar (36).

“Kami perlu menunjukkan kestabilan pasukan untuk menghadapi perlawanan ini dan saya gembira dengan cara pemain melakukannya. Selain itu, gerakan serangan kita juga tampak menyakinkan.

“Cuma kita gagal menterjemahkan peluang yang diperoleh. Tapi saya perlu akui Indonesia pasukan yang lebih baik dan keputusan perlawanan menceritakan segalanya,” jelas Hamidin yang juga merupakan pengurus pasukan.

Malaysia berjaya melangkah ke final setelah menduduki tempat kedua dalam saingan liga sepusingan membabitkan lima pasukan yang berlangsung sejak Isnin lalu.

Indonesia menduduki tangga teratas dengan 12 mata maksimum diikuti Malaysia (9), Vietnam (6), Filipina (3) dan Myanmar (0).

Pada aksi sulung Isnin lalu, Malaysia menewaskan Filipina 5-3 sebelum tewas 0-6 kepada Indonesia tetapi bangkit semula menewaskan Myanmar 2-0 dan Vietnam 2-0.


Read More

Pemain negara tiada cita-cita


PEJAM celik, sudah 16 tahun sebenarnya pemain-pemain bola sepak di negara ini bergelar pemain profesional.

Sepatutnya dalam tempoh yang boleh dikatakan agak lama itu, peminat bola sepak tempatan kini sudah boleh mendengar nama-nama pemain bola sepak Malaysia beraksi di serata dunia atau paling tidak pun di peringkat Asia atau Asia Tenggara.

Bola sepak sebenarnya menawarkan gaji yang lumayan. tetapi sehingga ke hari ini, pemain negara masih tidak sedar dengan hakikat tersebut.

Di Eropah, semua pemain mempunyai cita-cita tinggi kerana ia akan menjanjikan mereka pendapatan lumayan.

Namun perkara seperti itu tidak berlaku sama sekali kepada pemain-pemain negara ini nampaknya begitu ‘sayang’ untuk meninggalkan tanah air.

Apakah sebenarnya yang menjadi batu penghalang kepada pemain profesional negara ini untuk mencapai cita-cita yang lebih tinggi.

Adakah mereka takut untuk menempuh cabaran luar atau tidak yakin dengan kemampuan diri?
Tidak mahu berjauhan dengan keluarga, tidak pandai berkomunikasi bahasa asing atau nak senang cerita tidak mempunyai cita-cita?

Bagi legenda bola sepak negara, Santokh Singh, dia berasakan bahawa pemain-pemain bola sepak profesional negara ketika ini tidak mempunyai impian untuk memajukan diri mereka.

“Saya tak tahu nak kata apa. Bagi saya, mereka ini tiada cita-cita untuk beraksi di luar negara. Sebab apa, itu saya tidak tahu. Mungkin kerana ‘homesick’, tak boleh tahan dengan budaya asing atau tak biasa dengan makanan luar.

“Lagi satu, mereka ini mempunyai mentaliti yang berasakan cukuplah sekadar dapat beraksi dalam Liga Malaysia dan meraih sebanyak mana kejuaraan tempatan,” kata Santokh kepada Kosmo! baru-baru ini.

Santokh, 58, yang beraksi untuk Selangor sebelum bersara pada tahun 1985 menambah, kualiti pemain-pemain tempatan dan liga tempatan tidak akan meningkat sekiranya semua pihak yang terlibat tidak mempunyai impian.

“Zaman saya dahulu biarpun ramai pemain kita yang bagus-bagus, mereka ini tidak mempunyai peluang. Saya sendiri, kalau ada peluang memang begitu teringin nak beraksi di England.

“Tapi hanya sesetengah pemain yang mendapat peluang beraksi contohnya Yip Chee Keong, Chow Chee Keong dan Lim Teong Kim yang beraksi di Liga Hong Kong dan Liga Jerman.

“Jadi benda ini mudah saja, kalau pemain sekarang hanya nak main dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, sampai situ sajalah tahap mereka,” jelas Santokh.

Hal yang sama turut disokong pengkritik sukan terkemuka negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang menganggap atlet tempatan sudah tidak mempunyai kegharaihan untuk mencapai mutu yang lebih tinggi termasuklah pemain bola sepak.

“Dahulu skuad bola sepak kita boleh kalahkan Korea Selatan untuk layak ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980. Tapi kini Korea Selatan sudah berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia 2010 dan di mana pula kedudukan kita?

“Memang jelas, pemain-pemain bola sepak sekarang tiada impian,” kata Kay Kim yang tidak mahu terlalu gembira dengan kejayaan skuad negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos.

Kay Kim turut berasakan generasi pemain bola sepak profesional negara ketika ini sudah tidak boleh diselamatkan lagi dan perubahan perlu dilakukan segera di peringkat sekolah bagi memastikan generasi pemain pada masa akan datang berjaya ditukar mentaliti mereka.

“Kalau betul-betul nak naikkan semula mutu bola sepak, kita kena kembali ke sekolah. Dahulu setiap sekolah ada satu atau dua padang, sekarang padang pun tiada. Lagi satu sistem persekolahan sekarang lebih tumpukan akademik,” ujarnya.

Bagi pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bola sepak di negara ini, mereka sebenarnya hanya boleh membantu pemain profesional ini menguruskan perpindahan selain menjadi ejen pemasaran bakat.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, semuanya terletak kepada pemain itu sendiri yang sepatutnya mempunyai inspirasi untuk meningkatkan karier mereka dengan beraksi di saingan liga luar negara.

“Pada peringkat awal mereka kena letak sasaran untuk main di liga sekitar Asia Tenggara seperti Singapura atau Indonesia.

“Kemudian mengorak langkah ke saingan yang lebih tinggi seperti liga di negara Timur Tengah, Jepun atau Korea Selatan dan seterusnya ke Eropah.

“Perkara ini kita kena mulakan sedikit demi sedikit. Mula-mula kena ada dua atau tiga pemain beraksi di luar, barulah rakan-rakan mereka akan ikut jejak tersebut.

“Saya pun tak tahu kenapa pemain kita susah sangat nak mencuba bakat mereka di liga luar. Itu kena tanya mereka sendiri. Kita boleh lihat, beberapa pemain Singapura kini sudah mencuba nasib beraksi di Liga Indonesia,” kata Azzuddin.

Azzuddin turut memberitahu, penghantaran skuad bawah 21 tahun (B-21) negara ke Slovakia selama tiga bulan bermula Februari lalu sudah menampakkan hasilnya.

“Salah sebuah kelab di sana yang menentang Harimau Muda telah memberi kita tawaran untuk menghantar dua atau tiga pemain bukan saja dari skuad B-21 untuk menjalani sesi pemilihan di kelab mereka.

“Perkara ini akan saya susul apabila berkunjung ke Slovakia sekali lagi selepas ini. Mungkin dari sini kita boleh lihat pemain kita menjadi pemain mana-mana kelab di Slovakia,” jelasnya.

Bagi jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal pula, pasukan negara akan tampil lebih kuat sekiranya ramai pemain-pemain kebangsaan kita mencuba untuk beraksi di saingan liga luar negara.

“Saya tak boleh nak paksa pemain, itu terpulang kepada individu itu sendiri. Tapi jika ditanya impian saya, saya mahu lihat pemain kita berani mengambil cabaran beraksi di luar negara.

“Buktikan yang anda mampu bersaing dengan pemain-pemain luar. Ini akan melahirkan satu generasi yang lebih bagus dengan pemain kita akan mendapat lebih keyakinan apabila beraksi di pentas antarabangsa,” kata Rajagobal.

Jelasnya, langkah menghantar pemain untuk berlatih dalam tempoh yang singkat di luar negara tidak mendatangkan manfaat sebaliknya seseorang pemain itu perlu beraksi sepanjang musim bersama kelab luar.

“Saya lihat di sini, pemain-pemain Harimau Muda yang sedang berada di Slovakia, mereka sepatutnya menggunakan pengalaman selama tiga bulan di sana untuk memikat mana-mana kelab.

“Jika ditawarkan peluang, terima saja kerana bagi saya ini salah satu cabaran untuk mereka bersaing di peringkat lebih tinggi dan apabila pulang mewakili negara, satu peningkatan dapat ditampilkan,” ujar Rajagobal.

Mungkin generasi Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Rudie Ramli, Fadzli Saari dan Juzaili Samion yang beraksi bersama Strasbourg (Perancis) dan SV Wehen (Jerman) kira-kira sedekad lalu merupakan individu terakhir yang beraksi di saingan liga luar.

Namun sebenarnya terdapat seorang pemain tempatan iaitu Stanley Bernard Stephen Samuel, bekas penyerang Kuala Lumpur dan UPB-MyTeam yang kini beraksi bersama Sporting Clube De Goa dalam saingan Liga India.

Stanley, 24, yang mula beraksi bersama kelab itu sejak Januari lalu berkata, keinginan untuk beraksi di peringkat lebih tinggi membuatkannya berani membawa diri ke India sebagai salah seorang pemain import kelab tersebut.

“Segalanya bermula apabila seorang jurulatih dari kelab Mohun Bagan kebetulan bercuti ke Kuala Lumpur dan menyaksikan kelibat saya beraksi dalam satu perlawanan bersama UPB-MyTeam.

“Kemudian dia mencadangkan nama saya kepada jurulatih kelab Sporting Clube De Goa dan saya dipanggil untuk menyertai sesi pemilihan pada November lalu dan setelah mereka puas hati, saya ditawarkan kontrak selama satu musim.

“Saya buat semua ini kerana cintakan bola sepak. Seminggu pertama saja ibu dan bapa saya datang menemani saya di sini dan selepas itu saya terus hidup berdikari hingga ke hari ini,” katanya ketika dihubungi di Goa baru-baru ini.

Bekas pemain skuad B-23 kebangsaan itu beraksi sepenuh masa ketika Sporting Clube De Goa bersaing di peringkat suku akhir dan separuh akhir Piala FA India sebelum dia mengalami kecederaan hamstring.

“Kini saya baru saja kembali beraksi sejak minggu lalu dan berazam membantu kelab menduduki tempat yang lebih baik dalam baki saingan liga yang akan berakhir Mei depan.

“Saya juga berpeluang meningkatkan mutu permainan kerana perlu bersaing dengan ramai pemain import yang berkualiti. Jadi saya berhajat untuk terus beraksi di sini pada musim depan,” katanya.

Stanley turut sempat mengajak mana-mana pemain bola sepak tempatan untuk mencuba nasib di Liga India kerana baginya, inilah peluang untuk mereka turut beraksi pada saingan Liga Juara-Juara Asia jika kelab yang diwakili layak beraksi di kejohanan tertinggi peringkat Asia itu.

“Setakat ini, yang saya tahu Syed Adney Syed Hussein (penjaga gol Kelantan) ada menyatakan hasrat untuk mencuba nasib di sini pada masa akan datang. Kita kena ada satu kelompok pemain yang berani untuk mencuba.

“Jika mereka mahu meningkatkan karier bola sepak, perlu ada keberanian cuba beraksi di liga luar. Gaji yang diterima juga agak tinggi dan berbaloi.

“Memang difikirkan saya sendiri rindu dengan suasana di Kuala Lumpur kerana saya membesar di kawasan bandar dan kini hanya berada di Goa yang kedai-kedainya sudah tutup seawal 9.30 malam.

“Tapi disebabkan bola sepak, saya korbankan semua itu demi mencapai cita-cita menjadi seorang pemain profesional yang berjaya,” kata Stanley.

- KOSMO! Ahad, 11 April 2010 (Page 56 & 57)
Read More

Tuah Paroi milik Gergasi Merah?



STADIUM Tuanku Abdul Rahman, Paroi dianggap gelanggang keramat bagi skuad Negeri Sembilan.

Namun, ia tidak semestinya menghadirkan tuah buat skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu pada aksi separuh akhir kedua Piala FA bertemu Selangor malam ini.

Ini kerana, dalam empat pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di stadium tersebut, Negeri Sembilan gagal mencatat sebarang kemenangan ke atas Selangor.

Untuk rekod, Selangor menang 2-1 pada aksi Liga Super 2007/08, menang 2-1 (Piala Malaysia 2007/08), seri 1-1 (Liga Super 2009) dan menang 2-1 (Piala Sumbangsih) pada 9 Januari lalu.

Kali terakhir Negeri Sembilan berjaya menewaskan Selangor di Paroi ialah dengan kemenangan 3-1 pada aksi Liga Super 2006/07.

Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan berkata, para pemainnya begitu bermotivasi dan bersemangat tinggi untuk mencatat kemenangan sekurang-kurangnya dengan dua gol untuk layak ke final Sabtu depan.

"Selangor akan beraksi secara menyerang pada perlawanan ini kerana kita mahu memburu gol awal untuk menyamakan agregat.

"Jika berjaya melakukannya, saya yakin peluang Selangor kembali terbuka untuk mencari pula gol kedua dan selepas itu Negeri Sembilan pasti akan mula tertekan," kata Devan.

Skuad Gergasi Merah menjalani latihan terakhir di Padang SUK, Shah Alam pagi semalam sebelum mereka bertolak ke Seremban pada sebelah tengah hari dan menjalani latihan ringan pada sebelah petang.

Ditanya tentang ketiadaan tiga tonggak pasukan lawan iaitu Rezal Zambery Yahya, Idris Karim dan Aidil Zafuan Radzak yang digantung, Devan berkata: "Saya tak fikir kelemahan lawan. Yang penting pemain-pemain Selangor sendiri perlu mempamerkan komitmen penuh."

Sementara itu kapten Selangor, Amri Yahyah berkata, mereka tidak boleh terlalu yakin untuk menewaskan Negeri Sembilan kerana hanya aksi di tengah padang yang bakal menentukan keputusan perlawanan.

"Kita perlu mencari dua gol untuk berkedudukan layak ke final tetapi perlu tenang. Jangan terlalu gopoh sangat kerana ia akan memakan diri.

"Saya juga berharap para penyokong Selangor turun beramai-ramai ke Paroi bagi menaikkan semangat pemain sepanjang perlawanan ini," kata Amri.
Read More