Kejutan Rajagobal hadapi Taiwan




JURULATIH kebangsaan, Datuk K. Rajagobal terus merahsiakan kesebelasan utamanya bagi menghadapi Taiwan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Read More

Norshahrul, Hadi sudah kembali


NAMA Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya berada dalam senarai terakhir 23 pemain untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan malam esok seperti diumum jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal semalam.

Read More

Hadi bawa khabar gembira


KEBIMBANGAN berhubung kecederaan yang menimpa penyerang skuad kebangsaan, Abdul Hadi Yahaya sedikit terlerai apabila pemain skuad Liga Super Terengganu itu mengesahkan ia tidak serius.

Read More

Rajagobal sudah ada bayangan


JURULATIH kebangsaan, Datuk K. Rajagobal sudah mempunyai bayangan kesebelasan utamanya untuk aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu ini.
Read More

Kelayakan Olimpik: Lawan Malaysia diketahui 7 Julai

MALAYSIA sudah menempah tempat dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia bersama-sama Australia, Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Iraq, Oman, Qatar, Syria dan Uzbekistan bagi saingan bola sepak Kelayakan Olimpik 2012.

Read More

Kelayakan Olimpik: Malaysia 2 Lebanon 1


MALAYSIA melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012 selepas menewaskan Lebanon 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi meskipun terpaksa beraksi 10 pemain pada 40 minit terakhir.

Jaringan Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor pada separuh masa pertama sudah cukup untuk mengesahkan laluan Malaysia ke pusingan seterusnya meskipun Chadi Atie berjaya mengubah kedudukan kepada 2-1 pada separuh masa kedua.

Aksi skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mendapat sokongan padu daripada 10,000 peminat tempatan.

Malaysia mara dengan agregat 2-1 setelah mencatat keputusan seri 0-0 pada aksi pertama di Beirut pada Ahad lalu.

Dengan kejayaan itu, Malaysia kini berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia yang akan dipecahkan kepada tiga kumpulan bagi merebut tiga slot automatik dan satu slot playoff ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Pada aksi malam tadi, Kim Swee melakukan dua perubahan dengan Affize Faisal Mamat menggantikan Mahali Jasuli yang digantung satu perlawanan manakala Syahrul Azwari Ibrahim menggantikan tempat Izzaq Faris Ramlan.

Jurulatih Lebanon, Samir Saad pula hanya menukar seorang pemain iaitu Jad Noureddine yang diturunkan untuk mengambil alih posisi Hassan Chaito.

Malaysia tidak menunggu lama apabila memperoleh gol pertama seawal minit kelapan menerusi rembatan Irfan dari dalam kotak penalti selepas berlaku keadaan kelam-kabut berpunca daripada sepakan sudut Wan Zack Haikal.

Di sebalik penguasaan penuh Malaysia, Lebanon hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-36 tetapi rembatan kaki kiri pemain sayap, Mohamad Haidar sekadar menggegar palang gol.

Malaysia terus selesa apabila berjaya menambah gol kedua pada minit ke-40 hasil penyudah kemas Wan Zack selepas menerima lorongan baik Gary Steven Robbat dari bahagian tengah.

Namun malang menimpa Gary Steven apabila dia dibuang padang pada minit ke-50 selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari pemain Lebanon.

Akibatnya, Lebanon berjaya menghasilkan gol pertama pada minit ke-63 menerusi Chadi untuk menjadikan kedudukan 2-1 tetapi Malaysia kental bertahan sehingga wisel penamat.

"Ini membuktikan walaupun kita beraksi 10 pemain pada 40 minit terakhir, pemain telah menunjukkan kesungguhan tinggi. Tapi ini baru permulaan, banyak lagi rintangan perlu diharungi pada peringkat kumpulan nanti," kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan.

Samir pula berkata: "Kami cuba cari gol penyamaan tetapi pemain Malaysia beraksi dengan semangat yang cukup tinggi disebabkan mereka mendapat sokongan padu penyokong."
Read More

Kelayakan Olimpik: Lebanon 0 Malaysia 0


MALAYSIA berjaya mendapat bekalan terbaik apabila mengikat Lebanon 0-0 pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Sports City, Beirut semalam.

Ia keputusan yang mampu memberikan kelebihan kepada anak-anak buah Ong Kim Swee itu untuk menanti kunjungan Lebanon pada aksi kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.

Pada aksi yang berlangsung pada sebelah petang waktu Lebanon dengan cuaca panas terik itu semalam, Malaysia tampil dengan berhati-hati dan lebih bertahan pada separuh masa pertama.

Namun pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor sempat melakukan percubaan yang ditepis penjaga gol Lebanon pada minit ke-11 manakala tandukan Izzaq Faris Ramlan 10 minit kemudian sedikit tinggi.

Biarpun lebih banyak mengasak, Lebanon tidak banyak dapat melakukan percubaan berbahaya untuk menguji penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Bersambung babak kedua, tempo permainan berubah sama sekali apabila Malaysia dilihat mula menguasai perlawanan.

Pada minit ke-51, Izzaq terlepas peluang terbaik apabila gagal menampan kemas bola hantaran leret Irfan Fazail di dalam kotak penalti.

Wan Zack selepas itu berjaya melepaskan dua rembatan kencang pada minit ke-54 dan ke-61 tetapi berjaya ditepis penjaga gol Lebanon.

Pada masa kecederaan, penyerang gantian, Syahrul Azwari Ibrahim hampir memberikan gol kemenangan tetapi percubaannya dihadang keluar pemain pertahanan Lebanon.

MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat (c), Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Zubir Azmi, Wan Zack Haikal Wan Nor (Wan Zaharulnizam Wan Zakaria), K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman (Faizal Abu Bakar), Irfan Fazail, Izzaq Faris Ramlan (Syahrul Azwari Ibrahim).
Read More

Piala FA 2011 milik Terengganu


TERENGGANU muncul juara Piala FA 2011 setelah menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi final penuh dramatik di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang berlarutan hingga ke masa tambahan.

Ketika Kelantan di ambang kemenangan hasil jaringan Nurul Azwan Roya pada minit ke-78, Terengganu berjaya menyamakan kedudukan ketika masa kecederaan berbaki lima saat menerusi gol sendiri Daudsu Jamaludin.

Dengan perlawanan dijangka sekali lagi akan berlarutan ke penentuan sepakan penalti buat tahun ketiga berturut-turut, pemain gantian, Ahmad Nordin Alias muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan Terengganu pada minit ke-108.

Kejayaan tersebut membolehkan Terengganu yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim merangkul kejuaraan kedua Piala FA setelah melakukannya kali pertama pada tahun 2000.

Manakala Kelantan yang dibimbing Datuk M. Karathu sekali lagi kempunan untuk menjulang Piala FA setelah percubaan kali pertama mereka pada 2009 dikecewakan oleh Selangor.

Di hadapan 85,000 penonton, permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan pada separuh masa pertama tetapi tiada banyak percubaan berbahaya terhasil.

Terengganu mendapat peluang terbaik pada minit ke-20 menerusi rembatan Abdul Hadi Yahaya dari dalam kotak penalti yang berjaya ditampan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Peluang terbaik Kelantan pula hanya hadir pada minit ke-40 tetapi percubaan Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kiri ditepis keluar penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli.

Bersambung babak kedua, kerancakan aksi pada enam minit awal terganggu apabila lontaran mercun oleh penyokong Kelantan hampir terkena Sharbinee pada minit ke-51 dan permainan terpaksa dihentikan selama empat minit.

Hanya seminit selepas aksi disambung semula iaitu pada minit ke-56, Joseph Kalang Tie melepaskan rembatan kencang kaki kiri dari luar kotak penalti tetapi Khairul Fahmi tangkas menepis bola keluar.

Pada minit ke-67, kesilapan Sharbinee menangkap kemas bola hampir dihukum penyerang gantian Kelantan, Ramzul Zahini Adenan tetapi sepakannya sempat dihadang keluar oleh Ismail Faruqi Ashari.

Akhirnya gol yang dicari Kelantan menjelma pada minit ke-78 apabila lorongan cantik pemain tengah, Shakir Shaari berjaya disudahkan dengan kuisan lambung menarik oleh Nurul Azwan.

Sikap tidak berputus asa para pemain Terengganu berbaloi apabila mereka berjaya mendapatkan gol penyamaan ketika masa kecederaan lapan minit yang diberi hanya berbaki lima saat.

Rembatan penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat cuba dikeluarkan Daudsu di depan pintu gol tetapi pemain pertahanan Kelantan itu sekadar tertanduk bola masuk ke gawang sendiri.

Ia sekali gus memaksa permainan berlarutan ke masa tambahan selama 30 minit.

Pada minit ke-108, Ahmad Nordin muncul wira Terengganu apabila merembat masuk gol kedua pasukannya untuk memastikan kemenangan 2-1.

Dengan kejayaan itu, Terengganu berjaya mendapatkan slot untuk beraksi pada saingan Piala AFC 2012.

Kapten Terengganu, Mazuki Yusof dinobatkan sebagai pemain terbaik final malam tadi.

TERENGGANU: Sharbinee Allawee Ramli, Helmi Remeli, Mazuki Yusof (c), Mazlizam Mohamad, Zubir Azmi, Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Ismail Faruqi Ashari (Ahmad Nordin Alias), Ashari Samsudin, Abdul Manaf Mamat, Abdul Hadi Yahaya (Zharif Hasna).

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Daudsu Jamaludin, S. Subramaniam (Rizal Fahmi Rosid), Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, S. Chanthuru, Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Badhri Radzi (c), Nurul Azwan Roya, Izuan Solahuddin (Ramzul Zahini Adenan), Norshahrul Idlan Talaha.

Pengadil: Nafeez Abdul Wahab.

TERENGGANU 2
Daudsu Jamaludin m-90+7 (gol sendiri)
Ahmad Nordin Alias m-108

KELANTAN 1
Nurul Azwan Roya m-78
Read More

Milik siapa Piala FA 2011?


FINAL Piala FA 2011 antara Kelantan dengan Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini bakal mencatat sejarah tersendiri.

Mana-mana pasukan yang muncul juara bakal dikenang sebagai pasukan terakhir menjulang trofi yang mula diperkenal pada final edisi 2005 itu.

Ini kerana, satu trofi baharu akan diperkenalkan bermula pada Piala FA musim depan menggantikan trofi sedia ada itu yang hanya sempat digunakan untuk tujuh edisi final.

Sebelum itu, trofi pertama Piala FA digunakan pada 15 edisi terdahulu iaitu dari 1990 hingga 2004 dan pasukan Perak selaku juara pada final pertama dan terakhir diberi penghormatan menyimpan terus trofi tersebut.

"Kelantan tak pernah menang Piala FA setelah percubaan pertama pada 2009 gagal. Jadi ini kali kedua Kelantan melangkah ke final dan inilah peluang kita untuk bergelar juara.

"Harap Kelantan jadi penerima terakhir trofi ini dan dipertimbangkan untuk simpan terus trofi ini," kata pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim pada sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil petang semalam.

Namun tidak semudah itu buat Kelantan bergelar juara Piala FA buat pertama kali dalam sejarah kerana Terengganu berhasrat menjulang Piala FA buat kali kedua selepas muncul juara pada tahun 2000.

Pengurus pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh berkata, kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi Liga Super pada Isnin lalu telah dilupakan bagi memastikan mereka tampil lebih mantap pada aksi final malam ini.

"Pertandingan Liga Super dan Piala FA kami anggap dua perkara yang berbeza. Saya harap para pemain Terengganu dapat mempamerkan aksi terbaik mereka bagi mengatasi kekuatan pasukan lawan," ujar Che Mat.

Dalam pada itu, pihak polis akan menempatkan seramai 2,600 anggota keselamatan di dalam dan luar stadium bagi mengawal kehadiran kira-kira 85,000 penonton kedua-dua pasukan malam ini.
Read More

Irfan berang, Karathu tetap bertenang


JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim meluahkan rasa marah dan kecewa apabila sesi latihan terakhir pasukannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam ‘diintai’ lawan mereka, Kelantan.

Kehadiran para pemain Kelantan lebih awal daripada waktu ditetapkan bagi Irfan telah mengganggu sesi latihan pasukan Terengganu, terutamanya untuk mereka membuat latihan sepakan penalti.

"Sepatutnya mereka (pasukan Kelantan) tiba di stadium pada pukul 5.30 petang kerana sesi latihan kami patut berakhir pada pukul 5.45 petang. Tetapi mereka sudah tiba ketika kami baru saja mula latihan.

"Saya cukup kecewa. Bukan sebab kami nak buat taktikal saat akhir pun tetapi ia menyebabkan perasaan tidak selesa. Ia sesuatu yang tidak beretika, melihat pasukan lawan berlatih.

"Sebab itulah juga saya terpaksa membatalkan latihan sepakan penalti kerana nanti Kelantan akan tahu pemain mana akan sepak ke kiri atau kanan," kata Irfan ketika ditemui selepas sesi latihan itu.

Biarpun ia mungkin dianggap perkara remeh, namun harus diingat bahawa lima final terakhir Piala FA (2006- 2010) menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti kecuali pada final 2008.

Namun Irfan tetap melaungkan keyakinan bahawa Terengganu akan bergelar juara Piala FA musim ini seterusnya menempah tiket beraksi di Piala AFC 2012.

"Insya-Allah kami akan menang. Saya cukup yakin dan optimis ditambah kehadiran semula Ashari Samsudin dan Zubir Azmi yang tidak beraksi pada Isnin lalu.

"Lagipun kami sudah melupakan kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi Liga Super itu.

Ketika itu, lima pemain kami keletihan kerana baru pulang dari Hong Kong beraksi untuk skuad kebangsaan," jelas Irfan.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu tampak lebih tenang dari raut wajahnya tetapi tidak mahu para pemainnya terlalu yakin dengan kemenangan pada aksi Liga Super itu.

"Perlawanan itu sudah berlalu dan ini final, satu perlawanan yang berbeza. Memang kami akan turun dengan pendekatan berbeza untuk menghadapi 90 minit yang cukup penting ini.

"Tetapi dari segi permainan dan taktikal, kita tidak akan melakukan perbezaan. Cuma saya harap para pemain dapat beraksi pada tahap sebenar," ujar Karathu.
Read More

Senarai skuad negara diumum


SENARAI 21 pemain terakhir bagi menggalas tugas Malaysia pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 menentang Lebanon di Beirut pada 19 Jun ini diumumkan semalam.

Enam pemain terpaksa dicicirkan jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee iaitu Ahmad Fakri Saarani, Ahmad Shakir Md. Ali, A. Thamil Arasu, D. Saarvindran, S. Sivanesan dan Fandi Ahmad akibat kecederaan dan masalah prestasi.

Bagi menghadapi Lebanon, Kim Swee menyenaraikan tiga penjaga gol iaitu ketua pasukan, Khairul Fahmi Che Mat, Zamir Selamat dan Izham Tarmizi Roslan.

Di barisan pertahanan, tujuh pemain menjadi sandaran mengekang asakan Lebanon iaitu Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Amer Saidin, Mahali Jasuli, Affizie Faizal Mamat, Nazirul Naim Che Hashim dan Zubir Azmi.

Empat pemain, Irfan Fazail, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat dan Shukur Jusoh bakal menjana jentera tengah sambil bahagian sayap digerakkan Fandi Othman, Wan Zack Haikal Wan Nor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Faizal Abu Bakar.

Tiga pemain lagi menggalas tugas selaku penyerang iaitu Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari Ibrahim dan Ferris Danial Mat Nasir.

Daripada 21 pemain itu, 19 akan berlepas ke Doha, Qatar hari ini untuk sesi latihan seminggu di sana sebelum terus ke Beirut.

Satu perlawanan persahabatan diatur iaitu bertemu skuad Olimpik Qatar pada Isnin ini setelah mereka tewas 0-1 kepada Kemboja pada aksi persahabatan di Phnom Penh, Selasa lalu.

Namun Khairul Fahmi (Kelantan) dan Zubir (Terengganu) hanya akan berlepas esok setelah ke- dua-dua pemain itu mewakili negeri masing-masing pada final Piala FA malam ini.

Sementara itu, senarai 28 pelatih skuad senior kebangsaan yang dikeluarkan pula menyaksikan lima pemain yang dipanggil untuk aksi persahabatan menentang Hong Kong pada 3 Jun lalu digugurkan.

Mereka ialah Nasril Nourdin, Nasriq Baharom, Shahrom Kalam, Azidan Sarudin dan Ismail Faruqi Ashari.

Sebagai ganti, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal menyenaraikan tiga nama baru iaitu Yong Kuong Yong (Kuala Lumpur), Shakir Shaari dan Rizal Fahmi Rosid dari Kelantan.

Turut tersenarai bagi persiapan menghadapi aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun itu ialah enam pemain skuad Olimpik negara.

Mereka ialah Khairul Fahmi, Muslim, Fadhli, Mahali dan Gurusamy serta Ahmad Fakri yang tidak ke Beirut.

Baki 19 pemain lain yang dikekalkan ialah Sharbinee Allawee Ramli, Syed Adney Syed Hussein, Helmi Remeli, Aidil Zafuan Radzak, Hisyamudin Shaari, Farisham Ismail, Asraruddin Putra Omar, Azmi Muslim.

Amirulhadi Zainal, S. Chanthuru, Safiq Rahim, Amar Rohidan, S. Kunanlan, Ashari Samsudin, Baddrol Bakhtiar, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali, Abdul Hadi Yahaya dan Shahrizal Saad.

Skuad senior kebangsaan bakal bertemu Myanmar pada aksi persahabatan antarabangsa di Kota Bharu, Sabtu depan.
Read More

MUPC: Malaysia perlu lebih bersedia


SRIRACHA, Thailand - Pusingan akhir Asia Tenggara selama dua hari di Stadium Suzuki, Sriracha, Chon Buri yang berakhir kelmarin telah menyaksikan wakil Thailand, Bangkok Christian College (BCC) muncul juara.

BCC seterusnya layak ke pusingan akhir Piala Premier Manchester United (MUPC) 2011 di Manchester, England pada Ogos depan sebagai wakil tunggal Asia Tenggara.

Ternyata BCC memang layak untuk bersaing dengan pasukan-pasukan bawah 15 tahun handalan lain dari seluruh dunia pada pusingan akhir di Manchester nanti.

Kehebatan BCC terserlah apabila mereka kekal tanpa dibolosi sebarang gol pada pusingan akhir Thailand dan juga sepanjang enam perlawanan pada pusingan akhir Asia Tenggara.

BCC menang kesemua empat perlawanan liga sepusingan pada Selasa lalu dengan menewaskan wakil Malaysia, SMK Anderson, Ipoh 1-0, Salgaocar Sports Club (India) 5-0, SSB Kabupaten Bogor (Indonesia) 2-0 dan Singapore Sports School (Singapura) 3-0.

Pada separuh akhir pagi kelmarin, BCC mudah membelasah Salgaocar Sports Club 5-0 sebelum menang mudah 3-0 ke atas Singapore Sports School pada aksi final sebelah malamnya.

"Saya rasa pada kejohanan kali ini, sebuah pasukan terbaik telah muncul juara dan mereka sememangnya layak untuk menang.

"Tapi buat empat pasukan lain, pengalaman beraksi tahun ini yang lebih penting supaya mereka pulang dengan inspirasi baru," kata Pengurus Pemasaran Nike Asia Tenggara, Siva Shanker Jayaraj ketika ditemui selepas tamat kejohanan.

Namun satu usaha atau perubahan perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia memiliki wakil yang mampu memberikan cabaran lebih hebat pada edisi tahun depan yang akan berlangsung di Indonesia.

Menurut Siva, sistem pemilihan dan format pertandingan di peringkat kebangsaan akan cuba diperbaiki pada masa akan datang bagi mendapatkan sebuah pasukan yang lebih kuat bagi mewakili Malaysia.

"Dari segi pertandingan peringkat zon dan kebangsaan, kita harap lebih banyak pasukan yang masuk bertanding supaya Malaysia dapat menghantar wakil yang lebih kuat," ujarnya.

Wakil Malaysia kali ini, SMK Anderson dilihat mampu bersaing dari segi kawalan permainan yang baik tetapi kekurangan ketara mereka dalah di barisan serangan apabila banyak gerakan yang terhasil gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Buktinya, biarpun SMK Anderson menduduki tangga tercorot daripada lima pasukan bertanding dan gagal layak ke separuh akhir, mereka bukanlah menjadi pasukan belasahan.

SMK Anderson hanya tewas tipis 0-1 kepada wakil Thailand dan Indonesia pada dua perlawanan awal sebelum tewas 1-2 kepada Singapura dan seri 0-0 dengan India.

Jika dibandingkan dengan tiga pasukan lain, SMK Anderson tewas kepada BCC menerusi jaringan paling sedikit iaitu 0-1 manakala wakil India tewas 0-5 sebanyak dua kali, Singapura tewas 0-3 sebanyak dua kali dan Indonesia tewas 0-2.

Diharap wakil Malaysia tampil lebih mantap di Indonesia tahun depan untuk mengulangi kejayaan MSS Kedah yang muncul juara Asia Tenggara dan beraksi di Manchester pada tahun lalu.

Kejohanan melibatkan pasukan-pasukan bawah 15 tahun ini ditaja oleh pengeluar barangan sukan terkemuka, Nike.
Read More

TICKET SALES FOR ARSENAL AND CHELSEA MATCH AT NATIONAL STADIUM ON SATURDAY


FOR the convenience of football fans, tickets for the Arsenal and Chelsea matches against the Malaysia XI in July will be on sale at the FA Cup final between Terengganu and Kelantan at the National Stadium in Bukit Jalil this Saturday, 11th June.

Those who buy tickets at the National Stadium will get a special limited edition commemorative car sticker (while stocks last).

Julian Kam, Chief Executive Officer of ProEvents Group, the promoter of the tours for Arsenal and Chelsea said the FA of Malaysia (FAM) have given them the nod to set up a booth for the sale of tickets at the stadium for the convenience of all football fans.

"Whether they are from Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor, Selangor or anywhere will be able to buy the tickets for Arsenal and Chelsea match. This is for the convenience of football fans," said Kam, who is also a FIFA match agent.

Arsenal’s match against Malaysia XI is on July 13 at the National Stadium in Bukit Jalil while Chelsea will face a Malaysia XI at the same venue on July 21. (Both matches will kickoff at 8.45pm)

Meanwhile, the sale of tickets to the general public for the Liverpool versus Malaysia XI, also at the National Stadium on July 16 (Kickoff at 5.45pm) will go on sale on Friday, 10th June.

Due to popular demand, the organiser has made available more commemorative training passes and these complimentary training passes will be offered to those who purchase a ticket at selected adidas stores and Ticketpro (while stocks last).
Read More

MUPC: Wakil Thailand ke Manchester‬‪


SRIRACHA, Thailand - Wakil tuan rumah, Bangkok Christian College berjaya menempah tiket ke pusingan akhir Piala Premier Manchester United (MUPC) 2011 yang akan berlangsung di Manchester, England pada Ogos depan.‬‪

Bangkok Christian College muncul juara pusingan akhir Asia Tenggara selepas mudah menewaskan wakil Singapura, Singapore Sports School 3-0 pada aksi final di Stadium Suzuki, Sriracha, Chon Buri malam tadi.‬‪

Pada separuh masa pertama, wakil Thailand itu mendahului 2-0 menerusi rembatan Veerapong Khorayok seawal minit pertama disusuli tandukan Danudet Treemongkonchok pada minit ke-15.

Bangkok Christian College menambah satu lagi gol pada babak kedua hasil jaringan Danaisab Naksomboon pada minit ke-25 dalam perlawanan yang berlangsung selama 40 minit itu.

Terdahulu pada separuh akhir yang berlangsung pagi semalam, Thailand mudah membelasah wakil India, Salgaocar Sports Club 5-0 manakala Singapore Sports School menang 6-5 menerusi sepakan penalti setelah terikat 1-1 dengan wakil Indonesia, SSB Kabupaten Bogor.‬‪

Sementara wakil Malaysia, SMK Anderson, Ipoh, Perak pula gagal layak ke separuh akhir setelah menduduki tangga tercorot pada saingan liga sepusingan membabitkan lima pasukan terbabit yang berlangsung kelmarin.‬‪

Bangkok Christian College ternyata berada pada kelas tersendiri untuk mengungguli kejohanan bawah 15 tahun ini yang ditaja pengeluar barangan sukan terkemuka, Nike.‬‪

Buktinya pada saingan liga sepusingan kelmarin, Bangkok Christian College mengutip 12 mata maksimum apabila menang kesemua empat perlawanan tanpa dibolosi sebarang gol dengan menumpaskan wakil Malaysia (1-0), India (5-0), Indonesia (2-0) dan Singapura (3-0).‬‪

Nasib malang pula dialami SMK Anderson yang terpaksa akur dengan tiga kekalahan tipis kepada wakil Thailand (0-1), Indonesia (0-1) dan Singapura (1-2) sebelum sekadar seri 0-0 dengan India pada perlawanan terakhir.‬‪

Tahun lalu, wakil Malaysia, MSS Kedah muncul juara Asia Tenggara yang berlangsung di Pulau Pinang dan mereka seterusnya layak beraksi pada pusingan akhir di Manchester.‬‪
Read More

SMK Anderson tiada rezeki beraksi di Manchester


SRIRACHA, Thailand - Impian wakil Malaysia, SMK Anderson, Ipoh, Perak beraksi di pusingan akhir Piala Premier Manchester United (MUPC) 2011 di Manchester, England pada Ogos depan musnah.

Ini kerana pada aksi pusingan akhir Asia Tenggara di Stadium Suzuki, Sriracha, Chon Buri semalam, SMK Anderson gagal ke separuh akhir setelah menduduki tangga tercorot saingan liga sepusingan membabitkan lima pasukan.

Bangkok Christian College (Thailand), Singapore Sports School (Singapura), SSB Kabupaten Bogor (Indonesia) dan Salgaocar Sports Club (India) mara ke separuh akhir pada pagi ini setelah berjaya menduduki empat kedudukan teratas.

SMK Anderson memulakan saingan pada sebelah pagi semalam dengan dua kekalahan tipis 0-1 kepada Thailand dan Indonesia.

Pada sebelah petang, hajat SMK Anderson untuk bangkit tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Singapura dan sekadar seri 0-0 dengan India pada perlawanan terakhir.

Jurulatih SMK Anderson, Ma'amal Hajri Abd. Wahab berkata, punca utama kegagalan disebabkan para pemainnya tidak beraksi seperti apa yang dirancang di Malaysia selain beberapa faktor sampingan.

"Kami hanya tewas 0-1 kepada Thailand berbanding pasukan lain yang tewas lebih besar. Kemudian, kami menguasai permainan ketika bertemu Indonesia, Singapura dan India tetapi penyudah tumpul.

"Ketika bertemu Singapura, kami sudah mendahului 1-0 tetapi dua kesilapan mudah menyebabkan kami dibolosi pada awal babak kedua dan penghujung perlawanan.

"Terdapat juga faktor lain seperti gemuruh, kurang keyakinan diri, fizikal lebih kecil berbanding pasukan lawan dan jadual perlawanan yang tidak memihak," kata Ma'amal ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan petang semalam.

Hanya juara pusingan akhir Asia Tenggara yang akan ditentukan pada aksi final malam ini bakal beraksi di pusingan akhir MUPC 2011 di Manchester.

Kejohanan melibatkan pasukan-pasukan bawah 15 tahun ini ditaja oleh pengeluar barangan sukan terkemuka, Nike.
Read More

MUPC: Lima pasukan rebut tempat ke pusingan akhir


SRIRACHA, Thailand - Lima pasukan memulakan cabaran hari ini bagi merebut satu slot ke pusingan akhir Piala Premier Manchester United (MUPC) 2011 di Manchester, England pada Ogos depan.

Pusingan akhir Asia Tenggara berlangsung selama dua hari di Stadium Suzuki, Sriracha, Chon Buri menampilkan barisan juara kebangsaan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, India dan tuan rumah, Thailand.

Malaysia yang diwakili SMK Anderson, Ipoh, Perak bersaing dengan SSB Kabupaten Bogor (Indonesia), Singapore Sports School (Singapura), Salgaocar Sports Club (India) dan Bangkok Christian College (Thailand).

Jurulatih SMK Anderson, Ma'amal Hajri Abd. Wahab berkata, semua lima pasukan sama-sama memiliki satu tujuan untuk muncul juara Asia Tenggara bagi melayakkan diri ke pusingan akhir di Manchester.

"Semua pasukan mahu jadi juara. Kami pun mahukan perkara yang sama. Saya yakin, jika para pemain mengikut arahan dan strategi yang telah dibuat, kami mampu melakukannya.

"Lagipun pasukan ini sudah kami bentuk sejak tiga tahun lalu," katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis perasmian kejohanan itu malam tadi.

Pada majlis perasmian yang berlangsung di Stadium Suzuki, Sriracha itu, kelima-lima ketua pasukan diberi penghormatan mencabut undi termasuk kapten SMK Anderson, Fariszuan Majid.

SMK Anderson bakal membuka tirai saingan pada pagi ini bertemu wakil tuan rumah, Bangkok Christian College.

Pusingan awal berlangsung sepanjang hari ini manakala separuh akhir dijadual pada pagi esok dan final akan berlangsung malam esok.

Kejohanan melibatkan pasukan-pasukan bawah 15 tahun ini ditaja oleh pengeluar barangan sukan terkemuka, Nike.











Read More

SMK Anderson mahu jejak Manchester

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh, Perak menyimpan hajat besar untuk beraksi pada pusingan akhir Piala Premier Manchester United (MUPC) 2011 yang akan berlangsung di Manchester, England, Ogos depan.

Namun juara MUPC peringkat kebangsaan itu terlebih dahulu perlu mengungguli saingan pusingan akhir Asia Tenggara membabitkan lima pasukan yang akan berlangsung di Sriracha, Chonburi, Thailand bermula esok.

Pengurus pasukan SMK Anderson, Chuah Chong Leng berkata, barisan pemainnya yang berlepas ke Thailand hari ini akan berusaha mempamerkan persembahan terbaik bagi merealisasikan hajat besar itu.

“Kita tidak mengetahui sejauh mana kekuatan lawan untuk pusingan akhir Asia Tenggara ini. Apa pun kami akan cuba mengikut jejak pasukan MSS Kedah yang layak ke Manchester tahun lalu.

“Apabila mendengar tentang peluang beraksi di Manchester, para pemain begitu teruja. Jadi saya harap mereka terus kekal bersemangat sepanjang beraksi di Thailand nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

SMK Anderson muncul juara MUPC peringkat kebangsaan setelah menewaskan SMK Pusat Bandar Puchong 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Padang MSN, Bukit Jalil pada 28 Mei lalu.

Lima pasukan bakal bersaing secara liga satu pusingan membabitkan wakil dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura dan India dengan empat pasukan teratas akan layak ke separuh akhir seterusnya final pada Rabu.

Hanya juara pusingan akhir Asia Tenggara itu akan layak ke pusingan akhir di Manchester yang akan menemukan pasukan-pasukan bawah 15 tahun (B-15) terbaik seluruh dunia.

“Memang orang lebih mengenali SMK Anderson dengan sukan hoki. Sebenarnya kami turut cemerlang dalam sukan bola sepak dengan muncul juara kejohanan B-18 kebangsaan sebanyak dua kali (2004 dan 2008).

“Selain itu, kami juga empat kali menjuarai kejohanan sekolah-sekolah premier kebangsaan. Cuma hoki telah membayangi kami selama ini,” jelas Chong Leng.



INFO:
SKUAD SMK ANDERSON IPOH

CHUAH CHONG LENG - Pengurus
MA'AMAL HAJRI ABD WAHAB - Jurulatih 1
BADRUL ABD MAJID - Jurulatih 2
SYED NASIR SYED HASSAN - Fisioterapis

PEMAIN-PEMAIN:
(1) SHARIZ SHAHARUDDIN (14 tahun)
(2) NAJIB SHARUDIN (14 tahun)
(3) SYUKRI SALLEH (15 tahun)
(4) FARISZUAN MAJID (15 tahun)
(6) IZZAT RAMLEE (14 tahun)
(7) NUR ASRI RADY (15 tahun)
(8) KAMALJIT SINGH (15 tahun)
(9) FIRDAUS SAIYADI (15 tahun)
(10) IKMAL ABD RAHIM (15 tahun)
(11) SYAMIN BAHARUDDIN (15 tahun)
(13) HAFIZ ZULKIFLI (14 tahun)
(14) AMIRUL WAIE YAACOB (15 tahun)
(15) AZROL KHAIRUL ANUAR (15 tahun)
(16) MOHAMAD NOR ABID REDZUAN (14 tahun)
(17) SAIFUL RIZAL TERMIZE (15 tahun)
(20) ZAHIER ABU SAHIT (15 tahun)

* Nombor jersi dalam kurungan.
Read More

Persahabatan: Hong Kong 1 Malaysia 1


HASRAT Hong Kong untuk membalas dendam kekalahan terhadap Malaysia tidak kesampaian apabila kedua-dua pasukan seri 1-1 pada aksi persahabatan di Stadium Siu Sai Wan, Hong Kong malam tadi.

Pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam pada 9 Februari lalu, skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal berjaya menewaskan Hong Kong 2-0 hasil jaringan Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal.

Namun pada aksi malam tadi, Hong Kong terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-60 menerusi penyudah Chan Siu Ki.

Malaysia hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya yang masuk sebagai pemain gantian pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Hanya lima pemain ketika Malaysia menundukkan Hong Kong di Shah Alam kekal dalam kesebelasan utama malam tadi.

Mereka ialah ketua pasukan, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Radzak, Asraruddin Putra Omar, S. Kunanlan dan Safee Sali.

Baki enam pemain dalam kesebelasan Malaysia malam tadi ialah penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, Hisyamudin Shaari, Helmi Remeli, Amar Rohidan, Amirulhadi Zainal dan Norshahrul Idlan Talaha.

Manakala Hong Kong tampil dengan skuad berbeza apabila hanya tiga pemain dalam kesebelasan ketika aksi di Shah Alam iaitu Wong Chin Hung, Lo Kwan Yee dan Lam Ka Wai berada dalam kesebelasan kali ini.

Lima tonggak utama skuad kebangsaan iaitu penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, K. Gurusamy dan Ahmad Fakri Saarani tidak ke Hong Kong kerana sedang menjalani latihan pusat bersama skuad Olimpik negara.

Pada aksi persahabatan seterusnya, Malaysia akan bertemu Myanmar pada 18 Jun ini di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.
Read More

Intipan Kim Swee berhasil


"BUKAN lawan yang mudah."

Demikian rumusan dibuat jurulatih skuad bola sepak Olimpik negara, Ong Kim Swee setelah ‘mengintai’ corak permainan pasukan Lebanon ketika aksi persahabatan menentang skuad Olimpik Turki di Istanbul, Turki pada Rabu lalu.

Biarpun Lebanon tewas 0-3 kepada Turki pada perlawanan tersebut, Kim Swee tetap menganggap pasukan itu memiliki aspek teknikal yang lebih baik daripada skuad bimbingannya.

Namun ia bukan bermakna Kim Swee sudah pun mengaku kalah sebelum Malaysia turun bertemu Lebanon pada pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 di Beirut (19 Jun) dan di Kuala Lumpur pada 23 Jun ini.

"Kita tak boleh banding Lebanon dengan Turki. Tetapi bagi saya, Lebanon sebuah pasukan yang cukup baik, terutamanya di jentera tengah dan serangan. Mereka menggunakan formasi 3-4-3.

"Walaupun tewas kepada Turki, saya lihat pemain Lebanon berani melakukan larian pantas dan menggelecek lawan, manakala pemain pertahanan mereka memiliki fizikal yang cukup besar.

"Satu gol mereka dibolosi menerusi sepakan sudut dan dua lagi gol menerusi hantaran lintang. Jadi saya dapati kelemahan mereka adalah di bahagian sayap," kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pengendali berusia 41 tahun itu tiba di tanah air malam kelmarin setelah sempat ‘mengintip’ sesi latihan skuad Lebanon dari dalam kereta sehari sebelum perlawanan disusuli aksi penuh pasukan itu ketika menentang Turki.

"Apa yang penting, saya dapat lihat sendiri di depan mata corak permainan Lebanon. Jadi dari situ saya kini sudah boleh mengatur strategi terbaik untuk menghadapi mereka, terutamanya di Beirut nanti.

"Mungkin jika saya tak lakukan intipan ini, kita akan turun dengan sikap memandang mudah dan jika pada separuh masa pertama baru kita nak sedar, segalanya sudah terlambat.

"Jadi untuk mengatasi Lebanon, saya memerlukan pemain yang boleh bekerja dan berdisiplin tinggi ketika perlawanan. Lebanon boleh menjaringkan gol dan mereka juga boleh dibolosi," tegas Kim Swee.

Skuad Olimpik kebangsaan akan terbang ke Phnom Penh esok untuk aksi persahabatan menentang Kemboja (Selasa ini) dan bertemu Qatar di Doha pada 13 Jun, disusuli latihan di sana sebelum ke Beirut.

"Bertemu Kemboja, kita akan main seolah-olah bertemu Lebanon di laman sendiri, manakala bertemu Qatar, kita akan guna corak seperti bertemu Lebanon di tempat lawan," jelas Kim Swee.

Kapten skuad Olimpik yang juga penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat serta bek kiri Terengganu, Zubir Azmi tidak dilepaskan untuk aksi Liga Super, Isnin ini tetapi mereka akan diberi pelepasan beraksi pada final Piala FA, Sabtu depan.
Read More