Futsal: Lalai di saat genting punca gagal


MALAYSIA menamatkan Pusingan Kelayakan ASEAN Kejuaraan Futsal Asia 2010 di Jakarta, Indonesia dengan kegagalan.

Kekalahan 3-6 kepada Vietnam selepas masa tambahan pada aksi penentuan tempat ketiga kelmarin menutup terus peluang Malay- sia untuk beraksi pada pusingan akhir di Uz- bekistan, Mei depan.

Segalanya bermula dengan baik apabila skuad negara mudah menewaskan Filipina 4-1 pada perlawanan sulung Kumpulan B, Sabtu lalu.

Pada aksi kedua, Malaysia mudah membelasah Kemboja 13-1 biarpun sebelum perlawanan mereka telah dihina penyokong Indonesia yang enggan berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang.

Begitu juga pada aksi terakhir kumpulan di mana Malaysia bangkit daripada ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama untuk mengi- kat Vietnam 2-2, sekali gus muncul juara kum- pulan berdasarkan kelebihan jaringan.

Pada aksi bertemu Vietnam itu juga, penyo- kong Indonesia sekali lagi bertindak biadap mempersendakan lagu Negaraku dengan menyanyikan lagu Indonesia Raya ketika lagu ke- bangsaan Malaysia itu didendangkan sebelum perlawanan.

Selepas itu, rezeki tampak seakan tidak mahu menyebelahi skuad negara bermula pada aksi separuh akhir menentang tuan rumah, Indonesia, Rabu lalu.

Biarpun berjaya mendahului 1-0 sehingga permainan hanya berbaki sembilan minit, skuad negara akhirnya tunduk 3-5 kepada Indonesia dengan empat daripada gol tersebut terhasil dalam tempoh lima minit.

Peluang kedua untuk merebut satu lagi slot bagi mengiringi Australia dan Indonesia hadir dengan pertemuan tempat ketiga menentang Vietnam kelmarin.

Nampak seperti sebelah kaki Malaysia akan melangkah ke Uzbekistan setelah berjaya mendahului 3-2 sebelum Vietnam akhirnya menyamakan kedudukan ketika permainan hanya berbaki 32 saat.

Selepas masa tambahan selama 10 minit hampir berakhir pula, Vietnam berjaya memperoleh tambahan tiga gol ketika perlawanan hanya tinggal 46 saat untuk ditamatkan bagi penentuan sepakan penalti.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang juga pengurus pasukan, kegagalan tersebut sama sekali bukan menandakan prestasi dan mutu futsal negara telah menurun.

"Saya tak setuju sama sekali. Saya rasa ga- bungan pemain ketika ini jauh lebih baik daripada sebelum ini. Cuma mereka perlukan masa.

"Kita mempunyai banyak peluang menjaringkan gol ketika bertemu Indonesia pada separuh akhir dan Vietnam pada penentuan tempat ketiga. Cuma kita gagal terjemahnya dengan baik.

"Bukan nak kata kita tak mantap atau In- donesia serta Vietnam lebih bagus. Cuma di Jakarta kali ini, rezeki tidak memihak kepada pasukan Malaysia," kata Hamidin ketika ditemui semalam.

Skuad futsal negara yang terdiri daripada 14 pemain tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang petang semalam.

Ditanya pula tentang kegagalan Malaysia layak ke pusingan akhir Kejuaraan Futsal Asia buat pertama kalinya sejak 10 tahun lalu, Hamidin menjelaskan, terdapat tiga faktor yang menjadi penyumbang.

"Pertamanya, ini pertama kali Australia turut terselit dalam saingan kelayakan Zon ASEAN. Keduanya sebelum ini kita sering layak kerana 10 pasukan terbaik Asia akan layak automatik.

"Ketiga, ini pertandingan antarabangsa pertama yang kita gandingkan muka baru dengan beberapa pemain lama. Ada yang baru pertama kali tampil di pentas antarabangsa," jelasnya.

Enggan terus meratapi kegagalan tersebut, Hamidin bingkas menyatakan, skuad negara perlu mara ke perlawanan akhir Kejohanan Futsal ASEAN (AFF) 2010 yang akan berlang- sung di Vietnam, April depan.

"Kita akan kumpul semula pemain pada 7 atau 10 Mac depan untuk kem latihan ke kejo- hanan tersebut. Mungkin ada beberapa pemain baru akan dipanggil.

"Ini merupakan medan terbaik untuk kita membuktikan bahawa pasukan kita ini sebenarnya adalah yang terbaik berbanding mereka," tegas Hamidin.

Sementara itu, jurulatih negara, Maizal Hairi Marzuki menyifatkan para pemainnya sudah memberikan yang terbaik pada saingan di Jakarta itu tetapi faktor kelalaian di saat-saat genting akhirnya menyebabkan mereka gagal ke Uzbekistan.

"Banyak yang boleh dipelajari pemain yang rata-ratanya kurang pengalaman di pentas antarabangsa. Selepas ini kita akan tumpu untuk pertingkatkan sentuhan penyudah.

"Kita banyak menyerang tetapi gagal untuk lakukan penyudah berkesan. Tentang set piece, kita memang buat dalam latihan tetapi ia tidak cukup sempurna.

"Apa pun pemain telah lakukan yang terbaik, cuma tuah di Jakarta ini kurang baik buat pasukan kita biarpun mereka telah berjaya menyerap tekanan beraksi di hadapan penyokong Indonesia," kata Maizal.
Read More

Futsal: Juara sasaran Malaysia


BIARPUN dibarisi ramai pemain baru, Malaysia tetap meletakkan sasaran untuk menjuarai Pusingan Kelayakan ASEAN Kejuaraan Futsal Asia 2010 di Jakarta, Indonesia yang bermula Sabtu ini hingga 25 Februari.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, jika mampu muncul tiga pasukan terbaik pada pusingan kelayakan ini, Malaysia akan melangkah ke pusingan akhir di Uzbekistan pada Mei depan.

“Pihak pengurusan mahu pasukan ini mengekalkan rekod bersih kerana sejak 10 tahun terakhir ini, kita tidak pernah gagal layak ke pusingan akhir. Jadi kita harap dapat menjadi juara pusingan kelayakan kali ini.

“Jika pemain tampil dengan komitmen 100 peratus, saya rasa tiada alasan untuk kita gagal muncul sebagai tiga pasukan terbaik dan seterusnya layak ke Uzbekistan,” kata Hamidin pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hamidin yang juga merupakan pengurus pasukan mengumumkan senarai 14 pemain yang bakal terbang ke Jakarta pada Khamis ini dengan mengetepikan enam pelatih iaitu Hishamuddin Manjur Ahmad, Farid Yusof, R. Deventhiran, Samsul Abd. Latif dan Ahmad Ridzuan Abd. Halim.

Sementara itu, jurulatih negara, Maizal Hairi Marzuki menjelaskan, ketiga-tiga penjaga gol iaitu S. Devandran, Firdaus Razali dan Hafis Awang disenaraikan dalam skuad ke Jakarta bagi memastikan sejarah hitam pada Kejohanan Futsal ASEAN 2009 di Vietnam Jun lalu tidak berulang.

“Ketika di Vietnam, kami hanya bawa dua penjaga gol dan kedua-dua mereka telah dilayangkan kad merah ketika perlawanan pertama menentang Indonesia. Kemudian kami tidak mempunyai penjaga gol pada aksi kedua yang cukup penting ketika bertemu Thailand.

“Jadi kita tak mahu ambil risiko insiden seperti itu berulang kali ini. Tentang saingan peringkat kumpulan di Jakarta nanti, saya rasa Vietnam pasukan paling mencabar manakala pertemuan dengan Filipina dan Kemboja, kita yakin boleh menang,” ujar Maizal.

Sementara itu, ketua pasukan negara, Addie Azwan Zainal, 30, menganggap Indonesia lawan lebih mudah untuk ditumpaskan berbanding Australia apabila kedua-dua pasukan itu bakal menjadi lawan jika mereka layak ke separuh akhir.

“Biarpun Indonesia beraksi di hadapan penyokong sendiri, mereka masih sama taraf dengan kita. Tapi Australia jelas memiliki kelebihan fizikal. Apa pun, kami perlu bersedia menghadapi sesiapa saja untuk mara ke final,” kata Addie yang mahu bersara selepas Sukan SEA 2011.




INFO:

SKUAD FUTSAL MALAYSIA

PENGURUS: Datuk Hamidin Mohd. Amin
KETUA JURULATIH: Maizal Hairi Marzuki
JURULATIH PENJAGA GOL: Zaidi Ramli

PEMAIN:
S. Devandran, Firdaus Razali, Hafis Awang (penjaga gol); Akhmall Abdullah, Fairuz Mohd. Noor, Afandi Bonyamin, Addie Azwan Zainal (kapten), Ruzaley Abd. Aziz, Qaiser Heshaam Abdul Kadir, Safar Mohamad, Muizzudin Haris, Khairul Rizuan Harif Pagilah, Fadzil Ab. Karnim, Khairul Effendy Bahrin.

JADUAL PERLAWANAN:

20 Februari - MALAYSIA lwn Filipina
21 Februari - MALAYSIA lwn Kemboja
22 Februari - MALAYSIA lwn Vietnam
24 Februari: Separuh Akhir
25 Februari: Final & Penentuan Tempat Ketiga

* Semua perlawanan berlangsung di Stadium Tenis Tertutup Senayan, Jakarta.
Read More

Anugerah SAM-100PLUS kembali


SIAPA yang menjadi pilihan ahli-ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) sebagai atlet terbaik tahunan untuk mengungguli Anugerah SAM-100PLUS 2009 bakal terjawab pada 20 Februari ini.

Majlis anugerah tersebut yang akan berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya bakal turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Enam calon atlet yang telah disenarai pendek untuk anugerah tersebut telah diumumkan Presiden SAM, Ahmad Khawawi Isa pada satu sidang media di hotel berkenaan semalam.

Mereka ialah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David (skuasy), Azizulhasni Awang (basikal), Daniel Bego (renang), Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee (terjun) serta skuad badminton wanita negara.

“Pemilihan senarai pendek enam calon ini dilakukan oleh SAM dengan bantuan Bahagian Elit Majlis Sukan Negara (MSN) berdasarkan pencapaian atlet negara sepanjang 2009.

“Ini merupakan julung kalinya ahli SAM sendiri mengundi siapa pilihan mereka kerana sebelum ini kita menggunakan panel pemilihan. Ia menjadikan anugerah ini benar-benar pilihan ahli SAM sendiri,” kata Khawari.

Pemenang bagi anugerah tersebut bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Ditanya mengapa skuad bola sepak negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 tidak disenaraikan, Khawari berkata: “Skuad bola sepak ada dalam senarai dipertimbangkan tetapi mereka tiada dalam senarai akhir. Cuma tunggulah hari anugerah itu nanti, akan ada kejutan.”

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Datuk Kamal Harun berkata, satu anugerah khas iaitu ‘Outdo Yourself’ turut akan diumumkan pada majlis tersebut.

“Ia akan diberikan kepada atlet yang menyerlah dan berjaya mencapai lebih daripada prestasi semasa mereka. Terdapat dua atau tiga calon yang kita senarai pendek, tunggulah pengumumannya 20 Februari depan,” katanya.

Dalam pada itu, ahli-ahli SAM turut bersaing dalam Anugerah Media SAM-KBS 2009 meliputi enam kategori iaitu Berita Terbaik (cetak), Ulasan Terbaik (cetak), Berita Terbaik (elektronik), Ulasan Terbaik (elektronik), Laporan Khas (cetak & elektronik) serta Gambar Terbaik.

Lima calon terakhir bagi setiap kategori bakal menerima RM500, pemenang setiap kategori menerima RM3,000 dan trofi manakala pemenang utama keseluruhan akan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan trofi.
Read More