Kuala Lumpur: Aku, rumah & stadium




INILAH kisah mengenai aku, rumah dan stadium. Sejak kecil lagi, aku begitu gilakan bola sepak bermula ketika aku berusia sembilan tahun (darjah 3) pada tahun 1991 sehinggalah ke hari ini apabila usiaku sudah mencecah 27 tahun.

Namun ketika itu, tiada siapa yang mahu membawa aku menonton perlawanan bola sepak di stadium. Jadi aku hanya mampu menonton perlawanan bola sepak jika ada siaran langsung di kaca televisyen.

Jika tiada siaran langsung, hanya radio menjadi peneman aku untuk mendapatkan keputusan perlawanan Liga Malaysia dengan rancangan Arena Sukan setiap pukul 10 malam di Radio 1 (kini dikenali sebagai Klasik Nasional) menjadi segmen yang pasti ditunggu aku pada setiap malam berlangsungnya perlawanan.

Hanya pada tahun 1997, ketika aku di tingkatan 4 barulah dapat merasai nikmat menonton perlawanan bola sepak di stadium dengan perlawanan sulungku itu melibatkan pasukan Selangor bertemu pasukan Olimpik 2000 di Stadium Shah Alam yang berkesudahan seri 3-3.

Selepas itu, barulah aku kerap pergi menonton aksi bola sepak di stadium dan kini hampir semua stadium di Semenanjung Malaysia sudah pun aku jejaki termasuklah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang terletak di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.


Mereka yang tidak meminati bola sepak pun pasti tahu lokasi Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ini jika mereka pernah menikmati hidangan ayam goreng di Restoran KFC ini.

Stadium ini juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Stadium Cheras, Stadium KLFA, Stadium PBKL dan Stadium KL. Hakikatnya, nama yang tertera di stadium itu sendiri menunjukkan nama rasminya ialah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Uniknya, stadium ini merupakan satu-satunya stadium di Malaysia yang mempunyai Restoran KFC di dalam bangunannya selain Stadium Darul Aman, Alor Setar yang turut mempunyai Restoran KFC tetapi di bangunan berlainan yang terletak berhampiran stadiumnya.

Jadi dengan lokasinya yang begitu strategik, terletak di tepi jalan utama ditambah pula kemudahan Restoran KFC dan berhadapan saja dengan Pusat Perubatan UKM, pastinya Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ini bolehlah disifatkan sebagai kompleks sukan yang mesra pengguna.

Pemain import MPPJ Selangor, Sasa Brenezac (kiri) sedang bersaing dengan kapten Norwich City pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 2004.

Bagi aku sendiri, aku tidak berkesempatan untuk menonton perlawanan bola sepak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur 'versi lama' kerana aku hanya pertama kali menjejakkan kaki ke stadium ini pada 14 Julai 2004 iaitu ketika perlawanan persahabatan antara MPPJ Selangor menentang kelab Liga Perdana England, Norwich City. MPPJ tewas tipis 2-3.

Ketika itu seingat aku, stadium ini baru saja selesai proses pengubahsuaian dan penambahbaikan. Kagum, itulah perkataan pertama yang dapat aku katakan selepas melihat fasiliti dan keadaan padang di stadium ini yang boleh disifatkan sebagai terbaik di Malaysia.


Struktur luaran bangunan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang kelihatan cukup kemas dan menarik.

Kini selepas lima tahun berlalu, aku masih berasakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai yang terbaik dari segi kemudahan, fasiliti, persekitaran dan paling utama keadaan padangnya.

Maka tidak mustahil stadium ini terus menjadi tumpuan untuk diadakan perlawanan-perlawanan antarabangsa.

Termasuklah bagi tahun ini yang menyaksikan perlawanan Malaysia bertemu UAE pada aksi kelayakan Piala Asia 2011 pada 21 Januari lalu (Malaysia dibelasah 5-0), skuad B-23 kebangsaan bertemu Indonesia B-23 pada 13 Jun lalu (Malaysia menang 1-0) dan skuad B-23 kebangsaan bertemu Zimbabwe (Malaysia menang 4-0) pada 12 Julai lalu. Aku hadir menyaksikan ketiga-tiga perlawanan tersebut.

Lihat di bahagian atas bumbung di penjuru kanan gambar di atas ini. Kelihatan sedikit struktur bangunan. Itulah rumah aku iaitu Lumayan Apartment yang terletak bersebelahan Wisma Zelan.

Lantas aku berasa sangat bertuah kerana unit rumah yang aku beli di Lumayan Apartment, Bandar Sri Permaisuri awal tahun ini betul-betul terletak di belakang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Semasa kecil, memang aku mengimpikan untuk membeli rumah di sebelah atau berdekatan stadium supaya senang aku pergi menonton perlawanan bola sepak di stadium. Nah, sekarang memang rumah aku terletak di belakang stadium pun.

Sejak berpindah ke Lumayan Apartment pada Januari lalu, aku tidak melepaskan peluang untuk pergi menonton perlawanan-perlawanan bola sepak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur terutama apabila berlangsungnya perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.

Musim 2009 ini, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menjadi gelanggang tuan rumah buat pasukan KL Plus bagi Liga Super serta dua pasukan Liga Perdana iaitu Kuala Lumpur dan Felda United.

Jadi setiap Isnin, Selasa, Jumaat dan Sabtu pasti nyalaan lampu limpah stadium akan jelas kelihatan dari tingkat rumah aku menandakan terdapat perlawanan Liga Malaysia berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Inilah padangan dari tingkat 15 (paling atas) di Lumayan Apartment yang jelas boleh melihat keseluruhan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Kawasan berpokok itu merupakan Taman Tasik Permaisuri.

Akhir sekali, yang membezakan stadium ini berbanding stadium-stadium lain di negara ini, jarak di antara tempat duduk penonton dengan padang yang cukup dekat. Ini kerana struktur binaan tempat duduk penontonnya dibina betul-betul pada penghujung trek. Jadi kepuasan menonton di stadium ini lebih jika dibandingkan dengan stadium-stadium lain.

Kedudukan tempat duduk penonton dan padangnya agak dekat membolehkan para penonton berasa selesa dan seronok ketika menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang berkapasiti 18,000 tempat duduk sebenarnya turut menjadi tumpuan pihak sekolah sekitar di ibu negara untuk mengadakan acara olahraga sukan sekolah mereka.

Difahamkan, kadar sewanya yang lebih murah berbanding stadium-stadium lain di ibu negara menjadikan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ini tumpuan kerana kadar sewa kepada pihak sekolah hanya RM500 selama lima jam pertama berbanding RM1,000 di stadium-stadium lain.

Pendek kata, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur walaupun nampak ringkas dan kecil, tapi ia tetap terbaik bukan saja di Wilayah Persekutuan, malah di Malaysia.

Read More

Kami berkongsi tarikh 23 Oktober


GAMBAR di atas merakamkan detik pertemuan penulis bersama Ali (kiri) yang merupakan penyanyi kumpulan Mpire dan pernah menjadi penyanyi bagi kumpulan XPDC dan Terra Rossa pada satu majlis makan malam media di Kuantan pada sekitar 2007.

Biarpun kami bukanlah saling mengenali, tapi kami sebenarnya berkongsi tarikh hari jadi yang sama iaitu 23 Oktober yang jatuh pada hari ini.

Saya sendiri kini sudah pun genap berusia 27 tahun tetapi tak pasti pula Ali ini berapa umur dia sebab pencarian dalam internet gagal menemui tahun kelahirannya.

Jadi, selain Ali, lihat beberapa lagi individu popular di bawah ini yang turut berkongsi tarikh lahir 23 Oktober.

Edison Arantes do Nascimento atau lebih dikenali sebagai Pele
23 Oktober 1940
Lagenda bola sepak dunia berasal dari Brazil








Dollah Salleh
23 Oktober 1963
Bekas penyerang bola sepak kebangsaan yang kini merupakan jurulatih Pahang








Wayne Rainey
23 Oktober 1960
Juara dunia motosikal 500cc pada 1990, 1991, 1992
Read More

Aksi bola pantai di Teluk Cempedak


KEJOHANAN Bola Sepak Pantai FAM 2009 bakal berlangsung bermula esok (16 Oktober) sehingga Ahad ini di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan.

Sebanyak 16 pasukan akan menyertai saingan kategori lelaki (14 pasukan negeri + PDRM dan ATM) manakala 15 pasukan menyertai kategori wanita (Terengganu hanya hantar pasukan lelaki).

Juara setiap kategori bakal menerima wang tunai RM10,000 berserta piala, naib juara RM5,000 manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing RM1,500.

Pada hari pertama (Jumaat), sebanyak 23 perlawanan peringkat kumpulan bakal berlangsung dari 9 pagi hingga 12.45 tengah hari dan bersambung semula dari pukul 3 petang hingga 6.45 petang.

Sebelah malam pula bakal berlangsung kejohanan jemputan melibatkan pasukan-pasukan media, pasukan jawatankuasa induk dan pasukan penganjur selain konsert nyanyian artis-artis tempatan.

Hari kedua (Sabtu), saingan peringkat kumpulan diteruskan dengan sebanyak 22 perlawanan lagi akan berlangsung dari 9 pagi hingga 4 petang, tanpa henti.

Sebelah malam, sekali lagi kejohanan jemputan disambung dan juga konsert oleh artis tempatan.

Hari ketiga (Ahad), tiba saingan suku akhir bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi diikuti saingan separuh akhir kategori wanita (12 tengah hari) dan separuh akhir kategori lelaki (2.30 petang).

Perlawanan akhir kategori wanita akan berlangsung pukul 4 petang disusuli perlawanan akhir kategori lelaki pada pukul 5 petang.

Konsert diraja dan majlis penyampaian hadiah yang akan dihadiri Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden FAM bakal berlangsung pada malam Ahad itu.


UNDIAN KUMPULAN:
KUMPULAN A: ATM, Kuala Lumpur, PDRM dan Sarawak
KUMPULAN B: Johor, Melaka, Sabah dan Perlis
KUMPULAN C: Selangor, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan
KUMPULAN D: Perak, Kedah, Pahang dan Pulau Pinang

JADUAL PERLAWANAN KEJOHANAN BOLA SEPAK PANTAI FAM 2009

Jumaat, 16 Oktober 2009:
9.00 am - Terengganu lwn Kelantan (Lelaki - Kump C)
9.00 am - Pulau Pinang lwn Perak (Lelaki - Kump D)
9.45 am - Pulau Pinang lwn Perak (Wanita - Kump D)
9.45 am - Sarawak lwn ATM (Lelaki - Kump A)
10.15 am - Perlis lwn Johor (Lelaki - Kump B)
10.30 am - Sarawak lwn ATM (Wanita - Kump A)
11.00 am - Perlis lwn Johor (Wanita - Kump B)
11.00 am - PDRM lwn Kuala Lumpur (Lelaki - Kump A)
11.30 am - Sabah lwn Melaka (Lelaki - Kump B)
11.45 am - PDRM lwn Kuala Lumpur (Wanita - Kump A)
12.15 pm - Sabah lwn Melaka (Wanita - Kump B)
12.45-3.00 pm - REHAT / SOLAT JUMAAT
3.00 pm - Selangor lwn Negeri Sembilan (Lelaki - Kump C)
3.00 pm - Pahang lwn Kedah (Lelaki -Kump D)
3.45 pm - Selangor lwn Negeri Sembilan (Wanita - Kump C)
3.45 pm - Pahang lwn Kedah (Wanita - Kump D)
4.15 pm - ATM lwn PDRM (Lelaki - Kump A)
4.15 pm - Johor lwn Sabah (Lelaki - Kump B)
5.00 pm - ATM lwn PDRM (Wanita - Kump A)
5.00 pm - Johor lwn Sabah (Wanita - Kump B)
5.30 pm - Kelantan lwn Selangor (Lelaki - Kump C)
5.30 pm - Perak lwn Pahang (Lelaki - Kump D)
6.15 pm - Kelantan lwn Selangor (Wanita - Kump C)
6.15 pm - Perak lwn Pahang (Wanita - Kump D)

Sabtu, 17 Oktober 2009:
9.00 am - Kuala Lumpur lwn Sarawak (Lelaki - Kump A)
9.00 am - Melaka lwn Perlis (Lelaki - Kump B)
9.45 am - Kuala Lumpur lwn Sarawak (Wanita - Kump A)
9.45 am - Melaka lwn Perlis (Wanita - Kump B)
10.15 am - Negeri Sembilan lwn Terengganu (Lelaki - Kump C)
10.15 am - Kedah lwn Pulau Pinang (Lelaki - Kump D)
11.00 am - Kedah lwn Pulau Pinang (Wanita- Kump D)
11.00 am - Kuala Lumpur lwn ATM (Lelaki - Kump A)
11.30 am - Melaka lwn Johor (Lelaki - Kump B)
11.45 am - Kuala Lumpur lwn ATM (Wanita - Kump A)
12.15 pm - Melaka lwn Johor (Wanita - Kump B)
12.15 pm - Negeri Sembilan lwn Kelantan (Lelaki - Kump C)
12.45 pm - Kedah lwn Perak (Lelaki - Kump D)
1.00 pm - Negeri Sembilan lwn Kelantan (Wanita - Kump C)
1.30 pm - Kedah lwn Perak (Wanita - Kump D)
1.30 pm - Sarawak lwn PDRM (Lelaki - Kump A)
2.00 pm - Perlis lwn Sabah (Lelaki - Kump B)
2.15 pm - Sarawak lwn PDRM (Wanita - Kump A)
2.45 pm - Perlis lwn Sabah (Wanita - Kump B)
2.45 pm - Terengganu lwn Selangor (Lelaki - Kump C)
3.15 pm - Pulau Pinang lwn Pahang (Lelaki - Kump D)
3.30 pm - Pulau Pinang lwn Pahang (Wanita - Kump D)

Ahad, 18 Oktober 2009:
SUKU AKHIR
9.00 am - Johan A lwn Naib B (Wanita), Johan B lwn Naib A (Wanita)
9.30 am - Johan C lwn Naib D (Wanita), Johan D lwn Naib C (Wanita)
10.00 am - Johan A lwn Naib B (Lelaki), Johan B lwn Naib A (Lelaki)
10.45 am - Johan C lwn Naib D (Lelaki), Johan D lwn Naib C (Lelaki)
SEPARUH AKHIR
12.00 pm - Johan A/Naib B lwn Johan C/Naib D (Wanita)
12.00 pm - Johan B/Naib A lwn Johan D/Naib C (Wanita)
2.30 pm - Johan A/Naib B lwn Johan C/Naib D (Lelaki)
2.30 pm - Johan B/Naib A lwn Johan D/Naib C (Lelaki)
FINAL
4.00 pm - Perlawanan akhir kategori Wanita
5.00 pm - Perlawanan akhir kategori Lelaki
Read More

Inilah 8 terbaik!


SAINGAN Piala Malaysia 2009 kini memasuki pusingan kalah mati setelah perlawanan peringkat kumpulan berakhir malam tadi.

Lapan pasukan yang berjaya melangkah ke suku akhir ialah Selangor, Perlis, Johor FC, Terengganu, Kelantan, KL Plus, Negeri Sembilan dan Kuala Muda Naza.

Jika diimbas kembali dalam saingan Liga Super musim ini, lapan pasukan ini jugalah yang menduduki sembilan tempat teratas daripada 14 pasukan bertanding.

Hanya juara bertahan Piala Malaysia dua musim berturut-turut, Kedah (tempat ketiga Liga Super) yang gagal berada dalam kelompok lapan pasukan ke suku akhir Piala Malaysia ini.

Ini kerana, format FAM bagi saingan Piala Malaysia musim ini menetapkan lima kumpulan dengan jumlah 20 pasukan.

Juara setiap kumpulan akan layak automatik (5 pasukan) manakala bagi naib juara kumpulan pula, hanya tiga pasukan terbaik daripada kalangan lima pasukan yang akan dipilih.

Lima pasukan yang berjaya layak selaku juara kumpulan ialah KL Plus (A), Negeri Sembilan (B), Johor FC (C), Selangor (D) dan Kelantan (E).

Tiga lagi pasukan layak menerusi tiket tiga naib juara kumpulan terbaik iaitu Perlis (13 mata), Terengganu (12 mata) dan KM Naza (12 mata) yang berjaya mengatasi dua lagi naib juara kumpulan yang tersingkir iaitu Perak (11 mata) dan Kedah (10 mata).

Berikut ialah jadual perlawanan suku akhir:

SELASA, 20 OKTOBER

KL Plus lwn Kelantan (Stadium KLFA, Cheras)
N. Sembilan lwn KM Naza (Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi)
Johor FC lwn Perlis (Stadium JCorp, Pasir Gudang)
Selangor lwn Terengganu (Stadium Shah Alam)

SABTU, 24 OKTOBER

Kelantan lwn KL Plus (Stadium Sultan Mohamad Ke-IV)
KM Naza lwn N. Sembilan (Stadium Darul Aman)
Perlis lwn Johor FC (Stadium Utama Negeri, Kangar)
Terengganu lwn Selangor (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah)

Seterusnya, separuh akhir bakal menyaksikan KL Plus/Kelantan bertemu Johor FC/Perlis manakala Negeri Sembilan/KM Naza bertemu Selangor/Terengganu pada aksi timbal balik 27 dan 31 Oktober.

Final Piala Malaysia bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 7 November 2009.
Read More

Selamat hari jadi Wan Adriana

HARI ini tanggal 13 Oktober merupakan hari jadi anak sulungku, Wan Adriana (tengah) yang genap berusia setahun.

Tahap kepandaian Adriana ketika ini ialah bangun dan berdiri sendiri (tapi belum pandai berjalan), merangkak dengan kelajuan memuaskan, pandai tepuk tangan, pandai buat wa wa wa wa tu bulan dan bersalam sambil mencium tangan.

Adriana dilahirkan pada 13 Oktober 2008 di Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bandar Baru Bangi, Selangor kira-kira pukul 11.18 malam. Dengan kaedah pembedahan caesarean, Adriana dikeluarkan dengan berat 2.81 kilogram.

Lahir pada tarikh 13 Oktober, Adriana berkongsi hari jadi dengan tiga wartawan Kosmo! iaitu Khadijah Mohamad Nor (26), Aqmar Alladad (25) dan Feride Hikmet (24). Selamat hari jadi juga kepada ketiga-tiga rakan sepejabatku ini.

Selain itu, dua pemain bola sepak terkemuka turut berkongsi hari jadi pada 13 Oktober iaitu pertahanan Manchester United, Wes Brown (30) dan pemain tengah Selangor, K. Nanthakumar (32).

Tidak ketinggalan, rakan kenalan di SelangorFC.Com, Osman Adnan (atau nama samarannya Angah) yang juga jurufoto NSTP turut menyambut hari jadi pada 13 Oktober dan genap berusia 29 tahun pada hari ini.

Insyaallah, kita akan bertemu lagi 10 hari dari sekarang untuk cerita hari jadi 'bapak' kepada Adriana pula...... Nantikan siapa pula yang berkongsi hari jadi dengan ayah Adriana.







Read More

Siapa ke suku akhir Piala Malaysia?


ADA yang kata enam pasukan sudah layak. Ada kata lima, ada kata empat dan ada kata baru dua pasukan yang telah sah layak ke suku akhir Piala Malaysia 2009.

Pada pandangan aku pula, baru empat pasukan sebenarnya yang sudah layak iaitu Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan KL Plus.

Kelantan sudah sah akan mengisi slot Juara Kumpulan E dan akan bertemu Juara Kumpulan A sama ada KL Plus atau Perlis.

Selangor pula sah mengisi slot Juara Kumpulan D dan akan berdepan sama ada Naib Juara Kumpulan A, E, B atau C pada suku akhir nanti.

Negeri Sembilan walaupun sudah layak tapi mereka masih belum pasti sama ada akan mengisi slot Juara Kumpulan B atau naib juara memandangkan Terengganu masih boleh memintas mereka andai berjaya menewaskan Negeri Sembilan biarpun 1-0 pada perlawanan terakhir kumpulan malam esok.

KL Plus juga sudah sah layak tetapi jika mereka mahu mengelak bertemu Kelantan pada suku akhir, mereka boleh memilih untuk tewas kepada Perlis pada perlawanan terakhir malam esok dan layak selaku Naib Juara Kumpulan A untuk bertemu sama ada Juara Kumpulan D (Selangor), Juara Kumpulan C (Johor FC/Perak) atau Juara Kumpulan B (Negeri Sembilan/Terengganu).

Itu cerita empat pasukan yang sudah layak. Maka empat lagi slot masih kosong yang menjadi rebutan tujuh pasukan iaitu Perlis, Terengganu, Johor FC, Perak, KM Naza, Kedah dan Pulau Pinang.

Melihat ramalan kasar, pemenang tempat kedua dari Kumpulan D dan E bakal tersingkir daripada menjadi tiga pasukan terbaik tempat kedua untuk layak ke suku akhir.

Bagi Kumpulan D, KM Naza kini berkedudukan tidak layak sebagai tiga pasukan terbaik tempat kedua kerana hanya mengumpul 9 mata. Jika mereka menang ke atas Selangor malam esok, KM Naza akan mengumpul 12 mata dan perlu mengharapkan Perlis (10 mata) tewas kepada KL Plus atau Perak (10 mata) tewas kepada Johor FC. Namun jika KM Naza sendiri tewas kepada Selangor, mereka sah tersingkir.

Kedah pula, selaku juara bertahan tiada pilihan lain kecuali menewaskan Pulau Pinang pada perlawanan terakhir malam esok untuk mengumpul 10 mata. Hanya jika KM Naza tewas kepada Selangor serta salah satu pasukan ini, Perlis atau Perak tewas malam esok, barulah Kedah akan layak ke suku akhir. Itupun jika perbezaan gol memihak kepada mereka. Satu misi mustahil buat Kedah.

Cara yang sama juga perlu dilakukan Pulau Pinang yang kini berkongsi 7 mata dengan Kedah dalam Kumpulan E jika mereka berhasrat ke suku akhir. Mereka perlu menang besar ke atas Kedah malam esok.

Berbanding laluan sukar buat KM Naza, Kedah dan Pulau Pinang itu, empat pasukan lain yang memburu baki empat slot itu dilihat lebih mudah laluan mereka iaitu Perlis, Terengganu, Johor FC dan Perak. Namun dalam bola sepak, apa pun boleh berlaku.

Sesungguhnya, kita tidak perlu terlalu pening untuk mencari tiga pasukan terbaik tempat kedua daripada lima kumpulan ini jika FAM bijak membuat format Piala Malaysia musim ini. Kenapa tidak gunakan saja format 16 pasukan dibahagi kepada empat kumpulan dan mengapa perlu diambil 20 pasukan yang dipecahkan kepada lima kumpulan, satu angka yang ganjil.

Tindakan menyenaraikan pasukan-pasukan lemah dalam saingan Liga Perdana sebelum ini seperti Melaka, Sarawak dan ATM serta pasukan bermasalah, UPB-MyTeam ke dalam saingan Piala Malaysia musim ini sekadar membuang masa kerana mereka ini gagal mencapai satu kemenangan pun.


KEDUDUKAN SELEPAS LIMA PERLAWANAN:

KUMPULAN A: KL Plus (13), Perlis (10), Pahang (3), Melaka (1).

KUMPULAN B: N.Sembilan (15), Terengganu (12), Johor (3), Sarawak (0).

KUMPULAN C: Johor FC (12), Perak (10), KL (5), MyTeam (1).

KUMPULAN D: Selangor (13), KM Naza (9), PDRM (4), Sabah (3).

KUMPULAN E: Kelantan (12), Kedah (7), P.Pinang (7), ATM (2).


JADUAL SUKU AKHIR (20 Okt & 24 Okt):

Juara A lwn Juara E
(KL Plus/Perlis) lwn (Kelantan)

Juara B lwn Naib C/D/A/E
(N.Sembilan/Terengganu) lwn (Perak/Johor FC)(KM Naza)(Perlis/KL Plus)(Kedah/P.Pinang)

Juara C lwn Naib D/A/E/B
(Johor FC/Perak) lwn (KM Naza)(Perlis/KL Plus)(Kedah/P.Pinang)(Terengganu/N.Sembilan)

Juara D lwn Naib A/E/B/C
(Selangor) lwn (Perlis/KL Plus)(Kedah/P.Pinang)(Terengganu/N.Sembilan)(Perak/Johor FC)

Read More

Syawal tinggal seminggu


RASANYA sudah tiga minggu aku tak update blog ni. Maklumlah, agak sibuk sedikit sepanjang bulan Syawal ini.

Hari ini, sudah masuk 23 Syawal, bermakna hanya tinggal seminggu untuk kita berada dalam bulan sambutan Hari Raya.

Tahun ini, seperti biasa aku bersembahyang Solat Sunat Aidilfitri di Surau As-Sobah, Bandar Baru Bangi disusuli ziarah ke pusara arwah ayah aku di Sungai Tangkas. Ini tahun ketiga kami sekeluarga menyambut Syawal tanpa arwah ayah yang meninggal pada 2 September 2007.

Tengah hari raya, aku bertolak pulang ke kampung isteri di Benut, Johor dan kembali ke Kuala Lumpur pada pagi Hari Raya Kedua kerana aku bertugas sehinggalah Hari Raya Kelima. Raya Keenam, barulah cuti rayaku bermula.

Bagaimanapun, pada Hari Raya Ketujuh (Sabtu, 26 September 2009), kami dikejutkan dengan panggilan yang menyatakan nenek sebelah arwah ayah telah meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang di Kuala Terengganu.

Kami bergegas pulang ke Kuala Terengganu malam itu juga dan tiba di Kuala Terengganu pada 2.30 pagi Ahad sebelum arwah nenek selamat dikebumikan kira-kira pukul 10 pagi Ahad itu.

Hujung minggu berikutnya, aku tak dapat beraya lagi kerana kali ini telah ke Singapura selama dua hari untuk membuat liputan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor 2009 antara Selangor menentang Singapura di Stadium Jalan Besar. Selangor tewas 0-3.

Akhirnya pada hujung minggu ini iaitu semalam, barulah aku dapat beraya. Minggu depan, hujung minggu terakhir Syawal aku tak dapatlah beraya di Kuala Lumpur kerana akan bercuti pula ke Kuantan sambil menyaksikan Kejohanan Bola Sepak Pantai Kebangsaan di Teluk Cempedak.

Sesungguhnya Syawal kali ini begitu sibuk buat diriku. Insyaallah, segalanya kini telah selesai dan kembali normal seperti biasa dan blog ini akan diupdate mengikut kekerapan biasa.
Read More