Final Piala Malaysia 2010: Kelantan 2 Negeri Sembilan 1
KELANTAN akhirnya berjaya mencipta sejarah baru apabila muncul selaku juara Piala Malaysia buat julung kalinya sejak 89 tahun lalu.
Kejayaan itu dicatat selepas menang tipis 2-1 ke atas juara bertahan, Negeri Sembilan pada aksi final edisi ke-84 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Disaksikan kira-kira 75,000 penonton kedua-dua pasukan, Kelantan menamatkan penantian untuk menjadi pasukan ke-14 berjaya menjuarai kejohanan berprestij yang mula diperkenalkan pada tahun 1921 itu.
Selepas tiga kali gagal di pentas final iaitu pada tahun 1955, 1970 dan 2009, kejayaan itu turut dianggap hadiah paling istimewa buat Sultan Muhammed Ke-V yang baru saja ditabalkan sebagai Sultan Kelantan yang baru pada 13 September lalu.
Bagi Negeri Sembilan pula, mereka kempunan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu, sekali gus gagal untuk muncul juara buat kali ketiga setelah kali pertama melakukannya pada tahun 1948.
Ternyata, tuah lebih memihak kepada skuad The Red Warriors yang dilihat tampil dengan semangat juang yang begitu tinggi biarpun suatu ketika ketinggalan 0-1 kepada Negeri Sembilan.
Pada aksi semalam, Negeri Sembilan yang di bawah kendalian Wan Jamak Wan Hassan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang, Shahurain Abu Samah pada minit ke-13 hasil daripada sepakan penalti yang diperoleh selepas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjatuhkan S. Kunanlan di dalam kotak penalti.
Tersentak dengan jaringan awal pihak lawan, Kelantan kembali memperkemaskan jentera serangan mereka bagi mencari gol penyamaan namun masih gagal memecah kebuntuan sehinggalah tamat babak pertama perlawanan.
Sebaik babak kedua, bersambung Kelantan yang dibimbing B. Sathianathan terus melancarkan serangan bertali arus ke arak kubu pertahanan Negeri Sembilan.
Kerja keras barisan kesebelasan utama Kelantan akhirnya membuahkan hasil apabila bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar berjaya meledak gol penyamaan buat skuad The Red Warriors selepas menanduk masuk hantaran lintang daripada Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-56.
Selang lapan minit kemudian, skuad The Red Warriors membuktikan betapa mereka berhak memenangi perlawanan tersebut selepas Mohd. Badri Mohd. Radzi muncul sebagai wira apabila meledak gol kemenangan buat pasukannya, sekali gus menambah derita buat Negeri Sembilan yang dikendalikan oleh Wan Jamak Wan Hassan.
Terdahulu, kapten Negeri Sembilan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dan digantikan dengan Mohd. Firdaus Azizul pada minit ke-57.
Beberapa pertukaran yang dilakukan Wan Jamak terhadap barisan pemainnya bagi mempertajamkan jentera serangan skuad kendaliannya itu masih belum mampu memecahkan keutuhan benteng pertahanan Kelantan yang diketuai Rizal Fahmi Abdul Rosid dan Mohd. Farisham Ismail.
Malam bersejarah buat skuad Kelantan akhirnya menjelma apabila pengadil perlawanan, Subkhiddin Mohd. Salleh meniup wisel penamat, sekali gus menyaksikan ribuan penyokong The Red Warriors.
Mereka yang hadir memberi sokongan dilihat berpesta meraikan kejayaan pertama pasukan kesayangan mereka itu menjulang trofi paling berprestij tanah air.
NEGERI SEMBILAN: 21. Sani Anuar Kamsani, 5. Alif Samsudin, 7. Aidil Zafuan Radzak (c) (19. Firdaus Azizul), 12. Shukor Adan, 3. Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, 6. S. Kunanlan, 16. Qhairul Anwar Roslani (10. Shaffik Abdul Rahman), 20. Abdul Halim Zainal, 15. Ching Hong Aik (28. Asyraf Al Japri), 17. Idris Karim, 9. Shahurain Abu Samah
KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat, 15. Daudsu Jamaludin (14. Akmal Rizal Rakhli), 6. Farisham Ismail, 17. Rizal Fahmi Rosid, 24. Zairul Fitree Ishak, 10. Nor Farhan Muhammad, 8. Shakir Shaari (5. Khairan Eroza Razali), 16. Badhri Radzi, 23. Indra Putra Mahayuddin (c), 9. Norshahrul Idlan Talaha (13. S. Chanturu), 20. Hairuddin Omar.
PENGADIL: Subkhiddin Mohd. Salleh.
Semangat pemain julang Kelantan
KESUNGGUHAN para pemain untuk muncul juara dianggap jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sebagai kunci utama kejayaan skuad Red Warriors itu menundukkan Negeri Sembilan 2-1 malam tadi.
Kata-kata Sathianathan di bilik persalinan ketika waktu rehat separuh masa pertama nyata membuatkan para pemain tidak patah semangat biarpun mereka ketinggalan 0-1 menerusi sepakan penalti Shahurain Abu Samah pada minit ke-13.
“Saya bangga dengan pemain kerana nak menang buat kali pertama bukan sesuatu yang mudah. Tapi semua pemain mahukan kemenangan pada perlawanan ini.
“Memang kami ketinggalan 0-1 tetapi gol Negeri Sembilan itu diperolehi terlalu awal dan masih ada masa untuk kami cari gol. Itu sebab kami tak berasa risau,” kata Sathianathan pada sidang media selepas perlawanan.
Biarpun berjaya membawa Kelantan muncul juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super musim ini, Sathianathan menyerahkan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sama ada mahu terus menggunakan khidmatnya bagi musim depan atau tidak.
Ini memandangkan dia masih berisiko untuk digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) andai rayuannya ditolak.
“Saya akan rehat dahulu dan bercuti. Terpulang kepada Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kafa) untuk buat keputusan. Apa pun boleh jadi. Saya tak pasti lagi. Kena tunggulah dahulu keputusan FAM,” jelas Sathianathan.
Pada perlawanan akhir edisi ke-84 malam tadi, Kelantan bangkit dengan menghasilkan dua gol pada babak kedua menerusi tandukan Hairuddin Omar pada minit ke-56 dan rembatan Badhri Radzi pada minit ke-64 untuk memastikan kemenangan mutlak 2-1.
Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Hassan pula menyifatkan ketiadaan kapten, Aidil Zafuan Radzak yang mengalami kecederaan pada awal babak kedua sebagai punca pertahanan mereka tiba-tiba rapuh.
“Memang apabila ketiadaan Aidil, nampak jurang cukup besar pada bahagian pertahanan kami kerana Alif Samsudin (yang terpaksa bergandingan dengan Shukor Adan) dan Qhairul Anwar Roslani (yang turun menjadi bek kanan) tiada pengalaman seperti Aidil.
“Kelantan berjaya ambil kesempatan itu dengan menjaringkan dua gol. Tentang Aidil, mengikut laporan awal dia mengalami kecederaan miniskus pada lututnya.
“Tapi secara keseluruhannya, saya tak malu dengan kekalahan ini jika dilihat senarai pemain kami berbanding dengan barisan pemain Kelantan," kata Wan Jamak yang terpaksa akur berpuas hati dengan satu gelaran iaitu juara Piala FA bagi musim ini.
Kelantan dapat cuti
KEJAYAAN menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi final kempen Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi ternyata memberikan 1001 kenangan manis buat seluruh rakyat negeri Cek Siti Wan Kembang itu.
Apa tidaknya, selain berjaya melakar sejarah menjulang trofi paling berprestij itu buat julung kalinya, kerajaan Kelantan menerusi Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob mengistiharkan hari ini sebagai cuti umum buat seluruh warga negeri tersebut.
Ternyata, perkara itu disambut baik seluruh rakyat Kelantan terutamanya kepada penyokong-penyokong setia The Red Warriors yang sanggup mengembara beratus kilometer bagi memberi sokongan kepada pasukan kesanyangan mereka itu.
Ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan turut berkongsi kegembiraan tersebut sambil menyifatkan langkah kerajaan negeri adalah suatu yang wajar bagi mengelak sebarang kecelakaan berlaku apabila penyokong-penyokong yang hadir ke stadium tidak perlu tergesa-gesa untuk kembali ke kampung halaman masing-masing.
"Ia merupakan hadiah pihak kerajaan negeri kepada penyokong-penyokong yang telah datang daripada jauh untuk memberikan sokongan kepada pasukan kerana mereka juga adalah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan malam ini (semalam).
"Kejayaan kami (Kelantan) muncul juara pada edisi kali ini juga adalah hadiah istimewa buat Sultan Muhammed Ke-V yang baru saja ditabalkan sebagai Sultan Kelantan yang baru," jelas Sathianathan yang baru dua musim membimbing Kelantan.
0 comments:
Post a Comment