Monday, October 18, 2010

Norhafiz antara tujuh dipanggil


TUJUH pemain dipanggil semula menyertai latihan skuad bola sepak kebangsaan yang sedang dalam persiapan menghadapi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, bulan depan.

Mereka antara 30 pemain yang akan memulalakan sesi latihan di bawah kendalian jurulatih, K. Rajagobal hari ini.

Pemain-pemain terbabit terdiri daripada Norhafiz Zamani Misbah (KL Plus), Amirulhadi Zainal (Selangor), Ashaari Shamsuddin (Terengganu), Farizal Marlias (Perlis), Khyril Muhymeen Zamri (Kedah), S. Chanturu (Kelantan) dan Faizal Muhammad (Harimau Muda A).

Namun hanya 20 daripada 30 pelatih yang disenarai oleh Rajagobal itu akan memulakan sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari ini.

Manakala baki 10 pelatih iaitu lima pemain Kedah, tiga pemain Kelantan dan dua pemain Negeri Sembilan hanya akan menyertai kem sejurus pasukan mereka tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

Skuad bola sepak kebangsaan akan berlepas ke Guangzhou pada 5 November depan untuk menghadapi tiga perlawanan peringkat Kumpulan A bertemu Kyrgyzstan pada 8 November, Jepun pada 10 November dan China pada 13 November.

Andai berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan A itu atau menjadi empat pasukan di tempat ketiga terbaik dari kalangan enam kumpulan, Malaysia akan layak ke pusingan kedua yang akan berlangsung pada 15 dan 16 November.

Aksi suku akhir dijadualkan pada 19 November, separuh akhir pada 23 November dan final pada 25 November.

Namun senarai akhir 20 pemain ke Guangzhou itu akan diumumkan Rajagobal beberapa hari sebelum mereka berlepas ke sana dengan hanya tiga pemain melebihi usia 23 tahun boleh diserapkan dalam pasukan.

Dalam senarai 30 pelatih ketika ini, terdapat sembilan pemain senior cuba merebut tiga slot tersebut iaitu Sharbinee Allawee Ramli, 24, Norshahrul Idlan Talaha, 24, S. Kunanlan, 24, Safee Sali, 26, Azmi Muslim, 24, Norhafiz, 29, Amirulhadi, 24, Ashaari, 25, dan Farizal, 24.

“Saya panggil 30 pemain ini untuk melihat prestasi mereka. Hanya tiga pemain lebih umur akan ke Sukan Asia tetapi bagi saingan Piala AFF Suzuki (bermula 1 Disember), saya masih belum buat keputusan.

“Mungkin saya akan senaraikan di kalangan 30 pemain ini atau mungkin juga saya akan panggil beberapa pemain lain yang difikirkan sesuai,” kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

INFO:
SENARAI 30 PELATIH SKUAD BOLA SEPAK KEBANGSAAN KE SUKAN ASIA 2010

PENJAGA GOL: Sharbinee Allawee Ramli (TER), Khairul Fahmi Che Mat (KEL), Zamir Selamat (HM), Farizal Marlias (PLS).

PERTAHANAN: Aidil Zafuan Radzak (NS), Asraruddin Putra Omar, Nasriq Baharom (SEL), Azmi Muslim, Sabre Mat Abu (KDH), Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, Faizal Muhammad (HM), Norhafiz Zamani Misbah (PLUS).

TENGAH: Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal (SEL), S. Kunanlan (NS), Amar Rohidan (PLS), Baddrol Bakhtiar, Faizal Abu Bakar, Khyril Muhymeen Zambri (KDH), K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman (HM), S. Chanturu (KEL).

PENYERANG: Norshahrul Idlan Talaha (KEL), Izzaq Faris Ramlan (HM), Safee Sali (SEL), Ahmad Fakri Saarani (PLS), Ashaari Shamsuddin (TER).

0 comments: