Pertembungan maruah Malaysia, Singapura
HO CHI MINH CITY - "Saya telah beritahu pemain, macam mana sekali pun kita kena cuba yang terbaik untuk menang. Tapi jangan pula kita kalah dengan Singapura kerana ia maruah bola sepak negara."
Demikian tegas jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menjelang perlawanan terakhir Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 menentang Singapura di Stadium Thong Nhat, di sini petang ini.
Malaysia kini di tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas tewas 1-2 kepada Vietnam Selasa lalu dan tewas 0-2 kepada Iran kelmarin.
Namun jika menang, Malaysia akan menduduki tempat ketiga kerana Singapura baru mengutip dua mata selepas seri dengan Iran (1-1) dan Vietnam (0-0).
"Ramai fikir saya hanya beri alasan apabila kita kalah. Tapi keseluruhannya kita main baik, cuma peluang yang kita dapat gagal dimanfaatkan.
"Banyak perkara positif sebenarnya diperolehi selepas dua perlawanan. Saya yakin pemain akan bangkit untuk menewaskan Singapura," katanya ketika ditemui di Hotel Oscar Saigon, di sini semalam.
Rajagobal dijangka terus meletakkan harapan kepada gandingan Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha untuk membolosi kubu Singapura yang ditunjangi dua pemain senior, Lionel Lewis dan Daniel Bennett.
Bagi Safee, 26, yang merupakan pemain paling senior dalam pasukan, dia masih belum berpuas hati dengan persembahannya biarpun telah mendapat pujian Rajagobal.
"Memang dua perlawanan sebelum ini saya banyak dapat peluang tetapi gagal diterjemahkan dengan gol. Jika tidak pasti boleh ubah keputusan perlawanan.
"Apa pun saya harap bertemu Singapura, gandingan bersama Norshahrul akan lebih menjadi dan nasib memihak kepada saya untuk menjaringkan gol," kata Safee.
Ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak pula yang akan bergandingan dengan Muslim Ahmad setelah Nasriq Baharom digantung akibat kad merah ketika bertemu Iran berkata, kesilapan mudah serta kurang fokus menjadi punca dua kekalahan sebelum ini.
"Demi maruah diri sendiri, pasukan dan negara, kita kena menang dengan Singapura. Kita cuba untuk meraih tempat ketiga kerana tak mahu pulang sebagai pasukan di tangga tercorot," kata Aidil.
INFO:
JADUAL
PIALA EXIMBANK 2010
(HARI INI)
MALAYSIA lwn SINGAPURA (5 ptg)
VIETNAM lwn IRAN (7.20 mlm)
* Perlawanan di Stadium Thong Nhat.
* Waktu Malaysia.
KEDUDUKAN:
P M S K J B M
IRAN 2 1 1 0 3 1 4
VIETNAM 2 1 1 0 2 1 4
SINGAPURA 2 0 2 0 1 1 2
MALAYSIA 2 0 0 2 1 4 0
0 comments:
Post a Comment