Sunday, October 3, 2010

Malaysia terlepas benam Singapura


HO CHI MINH CITY - Pertembungan maruah Malaysia dan Singapura pada hari terakhir Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 di Stadium Thong Nhat petang semalam berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Namun Malaysia mampu untuk menang jika tiga peluang terbaik sepanjang 20 minit terakhir menerusi penyerang Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan berjaya menembusi gawang Singapura.

Izzaq, 20, yang menggantikan Safee Sali pada minit ke-65 merembat sipi hantaran Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-70.

Ia disusuli percubaan satu lawan satu dengan penjaga gol Singapura, Lionel Lewis tiga minit kemudian yang terkena tiang sebelum tandukannya hasil sepakan percuma Baddrol Bakhtiar pada minit ke-82 sedikit melewati palang gol.

"Rasa gembira memang ada kerana saya dapat beri persembahan terbaik biarpun hanya diberi peluang beraksi 25 minit terakhir tetapi saya lebih kecewa kerana gagal menjaringkan gol.

"Harap jurulatih masih beri kepercayaan dan panggil saya lagi. Saya akan cuba pertingkatkan lagi prestasi apabila kembali ke Slovakia," kata Izzaq.



Babak pertama permainan menyaksikan pergerakan pemain kedua-dua pasukan agak terganggu kerana padang licin akibat hujan yang turun sejak pagi.

Singapura terlebih dahulu menguji gawang Malaysia pada minit ke-25 tetapi kuisan berbahaya Fadhil Noh berjaya diselamatkan dengan baik penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Peluang terbaik Malaysia pula menjelma pada minit ke-32 tetapi hantaran Norshahrul dari sebelah kanan gagal dikuis tepat S. Kunanlan biarpun dia hanya berdepan Lionel.

Pada minit ke-40, lorongan cantik Safee dari sebelah kiri hanya sedikit lewat disambar Norshahrul di hadapan pintu gol Singapura.

Malaysia terus kecewa apabila Lionel menepis dua rembatan dalam tempoh selang seminit menerusi Norshahrul dan Kunanlan pada penghujung babak pertama.

Bagi jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, dia tetap berpuas hati biarpun kekalahan dua perlawanan awal kepada Vietnam (1-2) dan Iran (0-2) meletakkan Malaysia sekadar di tangga keempat dengan satu mata.

"Sepatutnya kita boleh menang dua atau tiga gol ke atas Singapura tetapi kita kena ambil iktibar, tanpa gol kita tidak akan menang.

"Jadi pemain kena sedar bahawa kita perlu fokus dan bijak pada keadaan kritikal bagi mendapatkan gol. Kalau aspek ini dapat diperbaiki, kita pasti boleh capai keputusan yang lebih baik," jelas Rajagobal.

Sementara itu, Vietnam ditabalkan selaku juara Piala Eximbank Millenium Thang Long selepas menewaskan Iran 2-0.

Kejohanan ini disertai empat pasukan bawah 23 tahun (B-23) dan ia berlangsung secara liga satu pusingan.



MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat, Sabre Mat Abu (Mahali Jasuli), Aidil Zafuan Radzak (c), Muslim Ahmad, Asraruddin Putra Omar (Fadhli Shas), Faizal Abu Bakar (Baddrol Bakhtiar), Safiq Rahim (Gary Steven Robbat), Norshahrul Idlan Talaha, S. Kunanlan, Ahmad Fakri Saarani (Amar Rohidan), Safee Sali (Izzaq Faris Ramlan).

SINGAPURA: Lionel Lewis, Al-Qaasimy Abdul Rahman (Faritz Hameed), Eddie Affendy Chang, Afiq Yunos, Hidhir Hasbiallah (Zulfahmi Arifin), Eugene Luo Zhenlun, Firdaus Kasman (Nazrul Ahmad Nazari), Hariss Harun (c), Hafiz Abu Sujad, Khalili D'cruz (Erwan Gunawan), Fadhil Noh (Syafiq Zainal).

PENGADIL: Mahapab Chaiya Alee (Thailand)

1 comments:

meor-name-depan-ku said...

Walau apa yang terjadi, saya tetap percaya dengan bolasepak negara...

October 4, 2010 at 8:36 AM