Pendedahan berguna di Vietnam
HO CHI MINH CITY - Andai dinilai keputusan dicatat skuad bola sepak kebangsaan sepanjang Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 yang berakhir kelmarin, ramai yang mungkin kecewa dan menganggap prestasi mereka semakin merosot.Namun keputusan yang diraih bukanlah penanda aras bagi kejohanan bertaraf jemputan atau sekadar perlawanan persahabatan ini kerana ia lebih dianggap sebagai medan membina pasukan mantap.
Biarpun Malaysia menamatkan saingan di tangga tercorot daripada empat pasukan bertanding di belakang Vietnam, Iran dan Singapura menerusi pencapaian sekali seri dan dua kali tewas, persembahan skuad bimbingan K. Rajagobal ini terutama dari segi penguasaan perlawanan wajar dipuji.
Pada aksi sulung di Stadium Thong Nhat, Selasa lalu, Malaysia tewas 1-2 kepada tuan rumah, Vietnam.
Jika tidak kerana kesilapan barisan pertahanan melepaskan dua gol awal pada 25 minit pertama, keputusan perlawanan pasti berubah.
Ini kerana, bermula minit ke-30 hingga minit ke-90, skuad negara telah mendominasi perlawanan tetapi hanya satu gol berjaya dijaringkan menerusi Norshahrul Idlan Talaha.
Pada aksi kedua Khamis lalu pula, Malaysia tewas 0-2 kepada Iran.
Kekalahan kepada Iran tidak boleh dijadikan ukuran kerana skuad negara meneruskan baki 32 minit permainan dengan 10 pemain selepas Nasriq Baharom dilayangkan kad merah.
Jika tidak kerana 'bantuan' pengadil tuan rumah, Phung Dinh Dung yang mendakwa jaringan Safee Sali pada minit ke-30 ofsaid dan hadangannya terhadap sepakan Safiq Rahim yang menghasilkan gol pertama Iran pada minit ke-41, anak-anak buah Rajagobal boleh menang berdasarkan deretan peluang terutama pada babak pertama.
Pada aksi terakhir kelmarin, bukan keputusan seri 0-0 dengan Singapura sepatutnya dicatat skuad kebangsaan kerana mereka bukan saja menguasai sepenuhnya perlawanan, malah dihidangkan deretan peluang sama ada sipi atau digagalkan oleh kecekapan penjaga gol lawan, Lionel Lewis.
Bagi Rajagobal, peluang untuk mencuba semua 20 pemain yang dibawa serta memberi pendedahan kepada mereka menghadapi tekanan pada perlawanan kompetitif adalah lebih penting.
Menurutnya, tempoh persiapan semakin singkat kerana saingan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China hanya berbaki sebulan lagi manakala saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia akan menyusul pada 1 Disember depan.
"Memang kita datang ke Vietnam ini bukan dengan sasaran untuk muncul juara. Apa yang lebih penting adlaah untuk menilai, memberi peluang dan memilih pemain. Saya cuma mahu lihat mereka mempamerkan permainan baik.
"Ketika bertemu Vietnam dan Iran, biarpun ketinggalan kita boleh nampak pemain mampu bangkit semula. Cuma pada kejohanan ini kita kurang bernasib baik untuk menjaringkan gol biarpun banyak peluang dicipta.
"Bahagian serangan kita ada menunjukkan peningkatan, cuma kita kurang kemas dengan tindakan penyudah. Kita boleh bersaing dengan pasukan lain.
"Saya juga memang kesuntukan masa untuk menilai pemain sebelum memilih skuad 20 pemain ke Sukan Asia nanti.
"Jadi di Vietnam inilah menjadi landasan terbaik untuk saya menilai watak dan kemampuan setiap pemain dalam menghadapi tekanan perlawanan," kata Rajagobal ketika ditemui sebelum berlepas pulang ke tanah air pagi semalam.
Daripada 20 pemain yang dibawa Rajagobal ke Vietnam, empat pemain senior sedang merebut tiga slot pemain lebih usia 23 tahun untuk ke Sukan Asia iaitu penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.
Berdasarkan susunan pemain dan prestasi mereka sepanjang tiga perlawanan menentang Vietnam, Iran dan Singapura, bayangan pemain yang bakal dibawa Rajagobal ke Guangzhou sudah boleh diramal.
Posisi penjaga gol telah menampakkan keyakinan apabila kedua-dua penjaga gol sama ada Sharbinee, 24, atau penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, 21, beraksi cemerlang.
Posisi pertahanan tengah menampilkan gandingan kukuh ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak dan Nasriq Baharom. Namun gandingan Aidil dan Muslim Ahmad pada aksi bertemu Singapura selepas Nasriq digantung perlawanan juga nampak mantap.
Sabre Mat Abu dan Mahali Jasuli pula bergilir-gilir mengemudi posisi pertahanan kanan manakala Asraruddin Putra Omar perlu berasa bimbang kerana Fadhli Shas turut beraksi cemerlang ketika diletakkan di posisi pertahanan kiri.
Jentera tengah hampir pasti menjadi milik Safiq Rahim dan Amar Rohidan.
Gary Steven Robbat yang dimasukkan pada 10 minit terakhir belum menampakkan kredibilitinya. Mungkin kehadiran semula K. Gurusamy yang tidak dibawa kerana cedera mampu memantapkan posisi ini.
Bagi posisi sayap kiri atau kanan, Rajagobal memiliki banyak pilihan kerana pemain yang ada seperti Kunanlan, Baddrol Bakhtiar, Fandi Othman, Faizal Abu Bakar dan Ahmad Fakri Saarani mampu memikul tugas yang diberikan dengan berkesan.
Jentera serangan pula yang diketuai Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha perlu memperkemaskan sentuhan penyudah sambil penyerang berusia 20 tahun, Izzaq Faris Ramlan perlu diberi lebih peluang berdasarkan prestasi baik ditunjukkannya pada aksi bertemu Singapura.
Kata Rajagobal: "Saya kini cuma boleh berharap dan berdoa supaya tiada lagi kecederaan menimpa para pemain. Cukuplah saya sudah kehilangan Farizal Marlias, Zaquan Adha Radzak dan Bunyamin Umar akibat kecederaan panjang.
"Selain itu, saya juga mahu melihat Khyril Muhymeen Zambri menampilkan semula aksi sebenarnya pada baki saingan Piala Malaysia untuk membolehkan saya memanggilnya kembali."
Majlis undian acara bola sepak bagi saingan Sukan Asia dijangka akan berlangsung pada Khamis ini bagi menentukan kedudukan kumpulan pasukan.
"Situasi bukan senang. Pemain kini kembali bersama negeri masing-masing untuk Piala Malaysia dan final akan berlangsung pada 30 Oktober. Saya hanya dapat kumpul semula pemain pada 31 Oktober dan kita akan berlepas ke Guangzhou pada 5 November," jelas Rajagobal.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal berharap para peminat bola sepak tempatan menerima kekalahan atau kegagalan skuad negara untuk mencatat keputusan baik pada Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 dengan realistik.
"Tujuan kita datang ke Vietnam ini adalah untuk pendedahan dan persiapan ke Sukan Asia. Jadi soal menang atau kalah di sini tidak terlalu penting.
"Apa yang lebih penting, kita mendapat satu proses persiapan yang cukup memuaskan di sini dan berusaha untuk mencapai keputusan terbaik apabila beraksi pada Sukan Asia nanti.
"Kita akan baiki segala kelemahan dan kekurangan yang dapat dilihat sepanjang tiga perlawanan di sini.
"Saya juga berkeyakinan bahawa Rajagobal mampu menghasilkan satu gandingan pemain yang terbaik," kata Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
INFO:
JUMLAH MINIT PERLAWANAN SETIAP PEMAIN:
Pemain / Lawan Vietnam Iran Singapura Jumlah (minit)
Penjaga gol:
1. Khairul Fahmi Che Mat 90 0 90 180
2. Sharbinee Allawee Ramli 0 90 0 90
Pertahanan:
3. Aidil Zafuan Radzak 90 90 90 270
4. Nasriq Baharom 80 58 0 138
5. Muslim Ahmad 10 32 90 132
6. Sabre Mat Abu 51 64 68 183
7. Mahali Jasuli 39 26 22 87
8. Asraruddin Putra Omar 90 55 32 177
9. Fadhli Shas 0 35 58 93
Tengah
10. Safiq Rahim 90 90 79 259
11. Amar Rohidan 79 58 31 168
12. Gary Steven Robbat 11 10 11 32
Sayap:
13. S. Kunanlan 90 74 90 254
14. Baddrol Bakhtiar 25 67 25 117
15. Faizal Abu Bakar 0 23 65 88
16. Fandi Othman 65 16 0 81
17. Ahmad Fakri Saarani 19 0 59 78
Penyerang
18. Safee Sali 71 90 65 226
19. Norshahrul Idlan Talaha 82 80 90 252
20. Izzaq Faris Ramlan 8 0 25 33
1 comments:
The results in Vietnam is dissapointing. With the great names in Malaysian football today, Rajagopal men should at least record a win there. The absence of Aidil Zaquan cannot be a major reason why we only score once there. Safee and Shaharul Idlan has a great reputation in club and they should do something at international level.
October 6, 2010 at 12:31 PMOur center back is awesome. Only that Rajagopal need someone in midfield to generate the machine. Safiq Rahim is good player and great kick. In my opinion, our midfield need to be train shoot outside the 12 yard more to threaten the opponent. And I would say, the present of Amri Yahyah to likely useful in that situation.
Rajagopal squad today is tremendous. But in my opinion, the present of Amri Yahyah will be a huge boost in midfield alongside Safiq. Our left back is also questionable. Asraruddin is not a regular 1st team player in Selangor. At international competition, match fitting is crucial. You need to play more. Why dont Rajagopal call Titus James. He play in left side at his club right now.
Rajagopal need to use his maximum capability and ability of his players. Go and scout more players. Dont satisfied with what we have now. It will kill us. There a lot of talented players out there regardless their age.
Post a Comment