Friday, October 8, 2010

Sukan Asia: Bukan kumpulan maut

MALAYSIA diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, China, Jepun dan Kyrgyzstan pada majlis undian acara bola sepak Sukan Asia 2010 yang berlangsung di The Garden Hotel, Guangzhou, China semalam.

Namun pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal tidak menganggap ia sebagai 'kumpulan maut', sebaliknya berasakan ada hikmahnya Malaysia diletakkan satu kumpulan bersama gergasi Asia, Jepun dan China.

"Bagi saya, undian ini memberi hikmah kepada kita kerana dapat peluang untuk menguji kehandalan dengan Jepun.

"Kita tahu mereka bukan lagi taraf Asia ketika ini tetapi inilah peluang pemain kita membuktikan bahawa jurang kita dengan Jepun tidaklah terlalu besar.

"Perlawanan dengan China pula pasti memberi suasana yang menarik kerana kita berdepan pasukan tuan rumah," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah, sasaran Malaysia ialah untuk mencipta kejutan layak ke pusingan kalah mati setelah kali terakhir berjaya melakukannya pada Sukan Asia 1978 di Bangkok, Thailand.

"Kita bertekad untuk mempamerkan satu persembahan terbaik dan berkualiti di Guangzhou nanti. Jika berjaya mara ke pusingan kedua, ia sudah boleh dianggap kemenangan besar buat bola sepak Malaysia.

"Kalau nak kata tiada harapan kerana kita diundi bersama Jepun dan China, bola itu bulat.
"Yang penting kita main dengan penuh kesungguhan dan saya yakin jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal dapat menyediakan sebuah pasukan yang mantap," jelasnya.

Skuad negara bakal berlepas ke Guangzhou pada 5 November depan kerana acara bola sepak akan bermula 7 November biarpun upacara pembukaan temasya Sukan Asia 2010 hanya akan berlangsung 12 November.

Acara bola sepak bakal berlangsung di tujuh venue sekitar Guangzhou iaitu Stadium Ying Dong, Stadium Huadu, Stadium Huangpu, Stadium Yuexiu, Stadium Rakyat Guangdong, Stadium Huagdong dan Stadium Tianhe.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan dan empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan kedua.

Untuk rekod, Malaysia memenangi pingat gangsa acara bola sepak pada Sukan Asia sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1962 dan 1974.

1 comments:

Unknown said...

Please prove to Malaysian fans that this is the time, this is the moment for the development of the Malaysian football. There is no use if we only proud with top class facilities but still not able to prove the same level of it..

Good luck Malaysia.

Malaysia Boleh!

October 8, 2010 at 11:15 PM