Harimau Muda A mula mengaum di bumi Slovakia
SKUAD bola sepak bawah 21 tahun negara, Harimau Muda A akhirnya mencatat kemenangan sulung pada perlawanan kesembilan di Slovakia selepas menewaskan LAFC Lucenec 3-1 di Zlate Moravce malam kelmarin.
Pada lapan perlawanan terdahulu sejak 5 September lalu, Harimau Muda A telah tewas lima kali iaitu kepada Ruzomberok B (1-3), Slovan Duslo Sala (1-2), Zemplin Michalovce (0-2), Dolny Kubin (0-1) dan Senec (1-3).
Tiga lagi perlawanan menyaksikan mereka berjaya mencatat keputusan seri iaitu dengan FC Petrazalka (2-2), Bodva Moldava (1-1) dan Liptovsky Mikulas (1-1).
Pada aksi kelmarin, Lucenec yang kini menduduki tangga ketiga Liga 1 Slovakia mendahului pada minit ke-25 menerusi Lucac Milan.
Namun Harimau Muda A berjaya membalas tiga gol pada babak kedua menerusi Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria (67), Shukur Jusoh (70) dan Syahrul Azwari Ibrahim (76).
Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, kemenangan itu dicapai hasil peningkatan para pemain muda yang majoritinya dari kelompok usia 17, 18 dan 19 tahun setelah mereka kehilangan sembilan pemain utama yang kini bersama skuad kebangsaan.
“Walaupun skuad ini hanya memiliki 16 pemain ketika ini, kita masih berjaya mendapatkan juga kemenangan sulung di Slovakia. Jelas para pemain ini telah menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke perlawanan lain.
“Saya harap prestasi baik ini dapat dikekalkan untuk baki tiga perlawanan terakhir menentang Puchov (26 Oktober), Rimavska Sobota (2 November) dan Trencein (9 November),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.
Jelas Kim Swee, Harimau Muda A turut akan beraksi sekurang-kurangnya dua lagi perlawanan tambahan selepas itu iaitu menentang skuad B-21 Austria, Republik Czech atau Hungary sebelum mereka pulang ke tanah air pada 20 November depan.
Sementara itu, mengulas keputusan undian pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik 2012 semalam yang menyaksikan Malaysia akan berdepan Pakistan pada aksi timbal balik 23 Februari dan 9 Mac 2011, Kim Swee berkata, beliau yakin skuadnya mampu melangkah ke pusingan kedua.
“Kita tak pandang rendah Pakistan biarpun ranking mereka lebih bawah daripada Malaysia. Tapi dengan persiapan di Slovakia ini dan mungkin juga penyertaan ke Piala Obama (di Amerika Syarikat) pertengahan Februari depan, saya yakin kita mampu mempamerkan keputusan yang baik.
“Kita juga akan beraksi dalam Liga Super 2011 bermula Januari depan dan saya harap jadual perlawanan dapat disusun dengan baik agar persiapan kita untuk kelayakan Olimpik ini berjalan lancar.
“Jika berjaya melepasi Pakistan, saya harap kita tidak diundi bertemu lawan terlalu sukar pada pusingan kedua (19 dan 23 Jun 2011) supaya kita dapat melangkah ke saingan akhir peringkat kumpulan,” jelas Kim Swee.
Skuad Harimau Muda A bakal berperanan sebagai skuad Olimpik Malaysia bermula awal tahun depan.
INFO:
KEPUTUSAN UNDIAN
PUSINGAN PERTAMA KELAYAKAN OLIMPIK 2012
THAILAND lwn PALESTINE
JORDAN lwn TAIWAN
YEMEN lwn SINGAPURA
KUWAIT lwn BANGLADESH
MALAYSIA lwn PAKISTAN
UAE lwn SRI LANKA
INDIA lwn MYANMAR
OMAN lwn TAJIKISTAN
INDONESIA lwn TURKMENISTAN
IRAN lwn KYRGYZSTAN
HONG KONG lwn MALDIVES
* Perlawanan timbal balik pada 23 Februari 2011 dan 9 Mac 2011.
0 comments:
Post a Comment