Pengadil bantu kemenangan Iran
HO CHI MINH CITY - Peluang skuad bola sepak kebangsaan untuk muncul juara Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 musnah setelah tewas 0-2 kepada Iran pada perlawanan kedua di Stadium Thong Nhat di sini petang semalam.
Pengadil Vietnam, Phung Dinh Dung menjadi 'pemain' ke-12 Iran kerana dia bukan saja membantu gol pertama lawan dan menafikan dua jaringan Malaysia, malah turut melayangkan kad merah kepada Nasriq Baharom pada minit ke-58.
Skuad bimbingan K. Rajagobal itu bermula garang pada separuh masa pertama dengan tandukan Baddrol Bakhtiar pada minit kelima sedikit tersasar dan rembatan kencangnya dua minit kemudian sedikit melepasi palang.
Safee Sali pula terlewat untuk menyudahkan hantaran Safiq Rahim pada minit ke-16 yang sempat ditepis penjaga gol Iran, Bagher Sadeghi.
Iran turut memperoleh peluang terbaik tetapi percubaan Seyed Iman Mousavi pada minit ke-19 berjaya dihadang dengan baik penjaga gol Malaysia, Sharbinee Allawee Ramli.
Selepas itu, detik kecewa Malaysia bermula apabila dua gerakan menarik dicetuskan Norshahrul Idlan Talaha untuk disudahkan Safee pada minit ke-24 dan 30 dinafikan keputusan ofsaid pengadil.
Sebaliknya, Iran berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-41 menerusi rembatan kencang Seyed Iman setelah bola hantaran Safiq dihadang pengadil sebelum ia melantun ke arah pemain Iran.
"Kita banyak mencipta peluang pada babak pertama. Kita memperoleh dua gol tetapi pengadil mendapati pemain kita berada dalam kedudukan ofsaid.
"Kemudian hantaran Safiq dihalang pengadil dan menyebabkan pasukan lawan memperoleh gol pembukaan. Tetapi biarpun ketinggalan, pemain masih dapat meneruskan aksi agresif sebaik babak kedua bermula.
"Saya kecewa apabila pengadil boleh terpedaya dengan lakonan pemain Iran dan melayangkan kad kuning kedua kepada Nasriq. Memanglah sukar untuk bertahan selepas itu," kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan.
Iran yang dibarisi skuad Olimpik dengan barisan pemain majoritinya berusia 21 tahun memanfaatkan kelebihan beraksi menentang 10 pemain apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-75 menerusi rembatan Arash Afshin.
"Sebagai jurulatih, keputusan ini memang mengecewakan tetapi saya puas hati dengan komitmen, kesungguhan dan kerajinan pemain. Kita tiada pilihan kecuali menang ke atas Singapura (esok)," jelas Rajagobal.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal yang turut ditemui meminta penyokong Malaysia memahami situasi bahawa Malaysia masih dalam proses membentuk skuad kebangsaan yang mantap untuk tempoh empat tahun akan datang.
"Peminat perlu faham, kita masih dalam proses persiapan menjelang Sukan Asia 2010 dan Piala AFF Suzuki 2010. Jurulatih masih mencuba pemain dan memberi pendedahan kepada mereka.
"Peminat tidak perlu kecewa sangat. Kita kena bersabar untuk melihat sebuah pasukan yang kuat dan mantap. Saya yakin Rajagobal mampu membentuk gandingan mantap menerusi aksi di Vietnam ini," kata Subahan.
MALAYSIA: Sharbinee Allawee Ramli, Sabre Mat Abu (Mahali Jasuli), Aidil Zafuan Radzak (c), Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar (Fadhli Shas), Baddrol Bakhtiar (Faizal Abu Bakar), Safiq Rahim, Amar Rohidan (Muslim Ahmad), S. Kunanlan (Fandi Othman), Norshahrul Idlan Talaha (Gary Steven Robbat), Safee Sali.
IRAN: Bagher Sadeghi, Ali Zeynali (Milad Fakhreddini), Rasoul Kor, Reza Talabeh (c), Shayryar Shirvand, Hossein Ebrahimi (Mehdi Daghagheleh), Kamal Kamyabi Nia (Ali Marzban), Sina Ashouri, Hamidreza Ali Asgari (Masoud Ebrahimzadeh), Seyed Iman Mousavi (Arash Afshin), Mohsen Mosalman (Omid Abolhasani).
PENGADIL: Phung Dinh Dung (Vietnam).
0 comments:
Post a Comment