Thursday, September 30, 2010

Amaran Rajagobal


HO CHI MINH CITY – “Jangan ulangi kesilapan.” Demikian tegas jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal kepada barisan pemainnya menjelang aksi menentang Iran pada perlawanan kedua Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 di Stadium Thong Nhat petang ini.

Pada aksi pertama kelmarin, Malaysia tewas 1-2 kepada Vietnam dengan kedua-dua gol dilepaskan pada 25 minit pertama gara-gara kecuaian barisan pertahanan biarpun Norshahrul Idlan Talaha merapatkan kedudukan selepas itu.

Hanya kurang 12 jam selepas kekalahan itu, skuad negara turun menjalani latihan di Stadium Military Zone 7, pagi semalam dengan Rajagobal sempat 'membasuh' para pemainnya supaya segera bangkit.

“Secara keseluruhan, saya puas hati dengan persembahan ketika bertemu Vietnam. Cuma pada 20 minit pertama mungkin kita agak gugup dan mudah melakukan kesilapan.

“Memang apabila kalah, peminat hanya merujuk keputusan tanpa melihat keseluruhan rentak permainan di mana kita sebenarnya berjaya bangkit dan menguasai separuh masa kedua. Cuma kita gagal melakukan penyudah dengan baik.

“Tapi ada beberapa aspek yang telah saya beritahu kepada pemain pagi ini (semalam) supaya jangan ulangi kesilapan sama apabila bertemu Iran,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Ditanya pula tentang prestasi Iran yang seri 1-1 dengan Singapura kelmarin, Rajagobal berkata, pasukan dari Timur Tengah itu adalah lawan yang tidak boleh dipandang mudah kerana mereka memiliki kelebihan fizikal dan teknik.

“Apa yang lebih penting, saya mahu para pemain tampil dengan penuh keyakinan dan menanam tekad untuk mencipta kemenangan.

“Tapi jika gagal, saya sedar kita masih belum bersedia sepenuhnya untuk Sukan Asia 2010 dan di sinilah saya boleh menilai tahap pemain menghadapi tekanan,” jelasnya.

Rajagobal turut enggan menamakan kesebelasan menentang Iran lebih awal sebaliknya mahu berbincang dengan pembantunya, Tan Cheng Hoe dan jurulatih penjaga gol, Faozi Mukhlas selain menilai tahap kecergasan fizikal pemain.

Pada aksi menentang Vietnam kelmarin, Rajagobal memasukkan enam pemain gantian dengan hanya tiga pemain belum dicubanya iaitu Sharbinee Allawee Ramli, Faizal Abu Bakar dan Fadhli Shas daripada skuad 20 pemain yang dibawa.

0 comments: