Monday, September 6, 2010

Peluang terakhir pikat Rajagobal


JIKA mahu terus kekal dalam skuad kebangsaan, pemain perlu mengekalkan prestasi bermula pada saingan Piala Malaysia. Jika tidak, mereka berhadapan kemungkinan diketepikan daripada skuad kendalian K. Rajagobal itu.

Selepas menjalani latihan selama tiga minggu sepanjang bulan Ramadan ini, pemain negara kini kembali ke pangkuan skuad negeri masing-masing.

Apa yang pasti, mereka perlu mengekalkan prestasi cemerlang kerana selepas ini skuad negara ada tugas yang lebih mencabar untuk diharungi.

Sepanjang kem latihan mereka selama tiga minggu, secara keseluruhannya prestasi mereka boleh dianggap membanggakan.

Latihan itu merangkumi beberapa aksi persahabatan dengan kelab tempatan dan luar negara.

Mereka bermula dengan aksi pemanas pada 24 Ogos lalu yang menyaksikan skuad negara menang 3-1 ke atas KL Plus.

Selepas itu, skuad Rajagobal ini terbang ke Doha, Qatar untuk mengadakan dua aksi persahabatan di bumi Arab tersebut.

Pada aksi pertama (30 Ogos lalu), mereka tewas 1-2 kepada kelab Qatar, Al-Jaish dan selepas itu tewas 0-3 kepada skuad kebangsaan Oman pada Jumaat lalu.

Walaupun tewas tetapi ilmu yang mereka peroleh daripada latihan pendedahan itu sangat berharga yang dilihat boleh membantu meningkat keyakinan serta semangat pemain.

Kini 16 pelatih skuad kebangsaan itu kembali ke pasukan negeri masing-masing untuk menghadapi tiga perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 14, 17 dan 20 September depan.

Baki enam lagi pelatih pula terus terbang ke Slovakia dari Doha untuk menyertai skuad Harimau Muda yang kini berkelana selama tiga bulan di negara Eropah Timur itu.

Namun, kesemua mereka akan kembali ke kem lati- han pusat kebangsaan pada 21 September untuk persiapan menghadapi kejohanan jemputan Piala Ho Chi Minh City 2010 di bandar raya terbesar Vietnam itu dari 28 September ini hingga 2 Oktober depan.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, beliau mahu menjadikan kejohanan tersebut sebagai persiapan terbaik skuad negara bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China bermula 7 November depan.

“Saya mahu memanfaatkan tiga perlawanan pada kejohanan di Vietnam itu untuk saya betul-betul beri peluang kepada para pemain bagi merebut 20 tempat ke Sukan Asia.

“Saya tidak mahu pemain beri alasan bahawa saya tidak memberi peluang kepada mereka untuk memperagakan kemampuan masing-masing.

“Selepas itu, saya hanya akan dapat mengumpulkan kembali pemain selepas final Piala Malaysia (30 Oktober) dan kita akan adakan satu aksi persahabatan sebelum terbang ke Guangzhou pada 5 November,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Pada kejohanan jemputan membabitkan empat pasukan B-23 itu, skuad negara yang hanya dibarisi empat pemain berusia lebih 23 tahun akan bertemu Vietnam (28 September), Iran (30 September) dan Singapura (2 Oktober).

Buat masa ini, empat pemain yang dilihat berpeluang cerah untuk mengisi tiga slot pemain lebih umur ke Sukan Asia 2010 ialah penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, Azmi Muslim, S. Kunanlan dan Norshahrul Idlan Talaha

0 comments: