Thursday, September 16, 2010

Slovan Duslo Sala (2) Harimau Muda A (1)



IMPIAN skuad bola sepak bawah 21 tahun kebangsaan, Harimau Muda A untuk mencatat kemenangan sulung pada siri perlawanan persahabatan di Slovakia ketika berdepan Slovan Duslo Sala kelmarin tidak kesampaian.

Pada aksi yang berlangsung di tempat lawan itu, Harimau Muda A telah mencatat kekalahan tipis 1-2 kepada kelab tercorot Liga 1 Slovakia itu.

Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, kegagalan para pemain memberi fokus sehingga tamat permainan menyebabkan mereka gagal mencatat kemenangan atau keputusan seri.

"Sama seperti dua perlawanan sebelum ini, kami sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan pada minit ke-28 untuk mereka mendahului 1-0.

"Kita berjaya bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Gary Steven Robbat pada minit ke-44.

"Pada babak kedua pula, kita menguasai sepenuhnya permainan dan Sala hanya mendapat satu peluang pada minit ke-85 lalu menyudahkannya untuk gol kemenangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Jelas Kim Swee, para pemainnya perlu segera belajar untuk memastikan mereka lebih tersusun dan memanfaatkan segala peluang terhidang dengan menterjemahkannya sebagai gol.

"Berbanding dua lawan sebelum ini, saya rasa Sala ini pasukan yang lebih mudah untuk kita tewaskan.

"Sepanjang separuh masa kedua deretan peluang-peluang terbaik dipersiakan begitu saja oleh Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari Ibrahim, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan Shukur Jusoh.

"Tapi satu perkara positif, para pemain sedar mereka kini turun setiap perlawanan untuk memburu kemenangan dan kita dapat lihat setakat ini semua perlawanan kita berjaya menjaringkan gol," ujarnya.

Setelah tewas 1-3 kepada MFK Ruzomberok B, seri 2-2 dengan FC Petrzalka dan tewas 1-2 kepada Sala, Harimau Muda A akan bertemu Bodva Moldava di tempat lawan untuk perlawanan keempat pada Isnin depan.

0 comments: