Wednesday, September 22, 2010

Rajagobal nilai prestasi pemain di Vietnam


TIGA perlawanan sepanjang Kejohanan Undangan Piala Millenium Thang Long di Ho Chi Minh City, Vietnam dari 28 September ini hingga 2 Oktober depan akan dijadikan medan penilaian prestasi skuad bola sepak negara.

Kejohanan yang disertai empat pasukan bawah 23 tahun (B-23) itu akan berlangsung secara liga satu pusingan dengan Malaysia dijadual bertemu Vietnam (28 September), Iran (30 September) dan Singapura pada 2 Oktober.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, peluang dan kesempatan tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya para pemain negara bagi merebut tempat membarisi skuad ke Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November depan.

"Kita kena memanfaatkan peluang aksi di Vietnam ini. Bagi saya, ia bagus untuk kita menilai semula para pemain terutama dari aspek fizikal, mental dan persefahaman sama ada ia konsisten atau tidak.

"Selain itu, ia peluang terbaik untuk saya menilai setiap pemain sebelum saya memilih skuad akhir ke Sukan Asia," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Bagi kem latihan kali ini, Rajagobal memanggil seramai 24 pemain tetapi hanya 16 dilihat hadir pada sesi latihan pertama itu memandangkan baki lapan pelatih dari skuad Harimau Muda A hanya akan tiba dari Slovakia hari ini.

Menurut Rajagobal, beliau mungkin akan mengadakan satu perlawanan persahabatan dengan sebuah pasukan tempatan pada Jumaat ini sebagai ujian terakhir sebelum mereka berlepas ke Vietnam, Ahad ini.

"Saya hanya akan bawa 20 pemain ke Vietnam kerana ia merupakan peraturan kejohanan.

"Jadi sepanjang lima hari latihan ini saya mahu lihat sama ada setiap pemain itu berada dalam keadaan bersedia atau tidak," jelasnya.

Hanya lima pemain lebih umur 23 tahun dipanggil Rajagobal kali ini iaitu Sharbinee Allawee Ramli, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali, S. Kunanlan dan Azmi Muslim bagi merebut tiga slot pemain senior ke Sukan Asia.

Dalam pada itu, penyerang Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Radzak yang terpaksa diketepikan Rajagobal akibat kecederaan telah selamat menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di bahagian lutut kirinya di Hospital Pantai, Ampang petang semalam.

0 comments: