Thursday, September 9, 2010

Skuad Kim Swee 'lumpuh'


JURULATIH skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee berada dalam dilema.

Dia bakal kehilangan lapan pemain utamanya untuk dua perlawanan persahabatan di Slovakia iaitu menentang Bodva Moldava pada 21 September dan Liptovsky Mikulas pada 28 September depan.

Bukan kerana kecederaan namun lapan pemain tersebut telah disenaraikan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal untuk kem latihan menghadapi Piala Millenium Thang Long di Ho Chi Minh City, Vietnam dari 28 September hingga 3 Oktober depan.

Mereka ialah ketua pasukan, K. Gurusamy, Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan, Mahali Jasuli, Gary Steven Robbat, Fandi Othman, Fadhli Shas dan penjaga gol, Zamir Selamat.

“Setelah menurunkan para pemain ini pada dua perlawanan sebelum ini, saya hanya dapat menggunakan khidmat mereka pada perlawanan ketiga menentang Slovan Duslo Sala pada Selasa depan.

“Selepas itu mereka akan kembali ke Malaysia untuk mengikuti kem latihan pusat kebangsaan bermula 21 September depan,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Ini bermakna, skuad Harimau Muda A hanya akan memiliki 17 pemain untuk menghadapi Moldava dan Mikulas sebelum lapan pemain tersebut kembali semula ke Slovakia untuk aksi keenam bertemu Zemplin Michalovce pada 6 Oktober depan.

“Harap tidak berlaku sebarang kecederaan kepada baki 17 pemain yang berada di Slovakia ini supaya kita tidak berdepan masalah untuk mengharungi dua perlawanan tersebut,” kata Kim Swee.

Skuad Harimau Muda A setakat ini sudah mengharungi dua perlawanan di Slovakia dengan mereka tewas 1-3 kepada MFK Ruzomberok B pada perlawanan pertama Ahad lalu sebelum berjaya mengikat FC Petrzalka 2-2 kelmarin.

Mereka akan mengharungi sejumlah 16 perlawanan persahabatan sepanjang tiga bulan berada di Slovakia sebelum dijangka pulang ke tanah air pada 20 November depan.

0 comments: