Malaysia 0 Oman 3
HAJAT skuad bola sepak kebangsaan untuk mencipta kejutan ke atas Oman tidak kesampaian.
Sebaliknya, skuad negara terpaksa akur dengan pasukan yang menghuni ranking ke-81 dunia itu apabila tewas 0-3 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Al-Wakra di Doha, Qatar awal pagi semalam.
Gawang skuad negara bolos seawal minit keenam apabila Hassan Rabia merembat masuk gol pertama Oman.
Amad Al Hosni menambah dua lagi gol Oman, masing-masing pada minit ke-36 dan ke-45.
Biarpun tewas, jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal tetap optimis dan berfikiran positif terhadap persembahan anak-anak buahnya yang majoriti berusia 23 tahun dan ke bawah.
"Secara keseluruhan, kita bermain bagus dan tidak jauh beza dengan Oman. Jika pemain tampil aksi seperti pada separuh masa kedua, kita mungkin boleh seri atau menang.
"Tetapi kita bermula dengan gugup. Apa yang buat saya marah, kita tak sepatutnya melepaskan gol awal pada minit keenam itu.
"Mungkin gerak balas Sharbinee Allawee Ramli (penjaga gol) agak lambat tetapi saya tidak salahkan dia kerana semua pemain buat kesilapan.
"Saya harap kita hanya ketinggalan 0-2 sebelum masa rehat tetapi Oman berjaya menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan," kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Doha semalam.
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat masuk menggantikan Sharbinee pada babak kedua dan tampil cemerlang mempertahankan gawang skuad negara daripada terus dibolosi.
Namun Rajagobal jelas merasai ketiadaan penyerang utama, Zaquan Adha Radzak yang tidak dapat diturunkan selepas cedera lutut ketika mereka tewas 1-2 kepada kelab Qatar, Al-Jaish pada Isnin lalu.
"Kita tiada penyudah luar biasa selepas ketiadaan Zaquan. Dia mampu melakukan larian deras selain memiliki mentaliti yang bagus. Itu kekurangan kita pada perlawanan ini," jelasnya.
Skuad negara berlepas pulang lewat malam tadi dan tiba di tanah air hari ini dengan kesemua pemain terus dilepaskan ke pasukan negeri masing-masing bagi menghadapi Piala Malaysia bermula 14 September depan.
0 comments:
Post a Comment