Tuesday, August 31, 2010

'Manfaat peluang di Slovakia'


SKUAD bawah 21 tahun (B-21) kebangsaan, Harimau Muda A yang bakal berlepas ke Slovakia malam esok harus memanfaatkan sepenuhnya latihan selama tiga bulan di negara Eropah Timur itu.

Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, beliau mahu menggunakan sepenuhnya 16 perlawanan persahabatan sepanjang tempoh tersebut sebagai persiapan terbaik menjelang saingan kelayakan Sukan Olimpik 2012 awal tahun depan.

"Sepanjang tiga bulan di Slovakia, saya mahu semua pemain mempamerkan prestasi terbaik mereka. Mana tahu ada kelab di sana yang berhasrat mengambil mereka.

"Pengisian program juga akan kita susun dengan baik supaya peluang sebegini tidak dipersiakan begitu saja," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Menurut Kim Swee, mereka akan pulang semula ke tanah air pada 20 November depan sebelum menyambung persiapan terakhir menjelang aksi pusingan pertama kelayakan Olimpik 2012 secara timbal balik pada 23 Februari dan 9 Mac tahun depan.

"Kita akan beraksi dalam 12 perlawa- nan persahabatan menentang kelab-kelab Liga 1 Slovakia dan empat perlawanan menentang skuad B-21 Slovakia, Republik Czech, Austria dan Hungary.

"Buat masa ini jadual penuh masih disusun tetapi untuk perlawanan pertama, kita akan menentang pasukan Ruzomberok B pada Ahad ini," ujarnya.

Namun, Kim Swee hanya memiliki 19 pemain untuk menghadapi perlawanan pertama itu kerana enam tonggak utama, K. Gurusamy, Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Gary Steven Robbat, Izzaq Faris Ramlan dan Fadhli Shas ada tugas penting bersama skuad kebangsaan ketika ini.

"Enam pemain ini akan terus terbang dari Doha, Qatar ke Slovakia selepas mereka selesai mengharungi aksi persahabatan bersama skuad kebangsaan menentang Oman pada Jumaat ini.

"Tetapi selepas itu kami akan sekali lagi kehilangan khidmat enam pemain ini apabila mereka menyertai skuad kebangsaan ke Piala Millenium Thang Long di Vietnam pada penghujung September.

"Jadi untuk aksi persahabatan menentang skuad B-21 Slovakia, Republik Czech, Austria dan Hungary, kami akan aturkan ketika semua 25 pemain Harimau Muda A ini berada di Slovakia," jelas Kim Swee.

0 comments: