Pasukan Selangor bakal dapat bas baru
PENANTIAN pemain Selangor bakal berakhir setelah Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim secara dasarnya bersetuju dengan cadangan membeli bas baru untuk kegunaan pemain ke gelanggang lawan.Khalid yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkata, pihaknya akan memulakan usaha pembelian bas yang bernilai sekitar RM500,000 itu setelah mengambil kira usia bas sedia ada yang sudah mencecah usia 14 tahun.
“Memandangkan bas tersebut sudah terlalu lama dan tiada lagi susut nilai selain kos baik pulih semakin meningkat, ada baiknya kita beli saja bas baru,” katanya pada majlis meraikan kejayaan skuad Selangor menjuarai Liga Super 2010 di Shah Alam semalam.
Pada majlis itu juga, Khalid mengumumkan bahawa hadiah wang kemenangan RM500,000 selaku juara Liga Super akan dibahagikan di kalangan pemain dan pegawai pasukan mengikut perkiraan yang telah ditetapkan.
“Saya anggarkan pemain-pemain utama akan menerima RM15,000 setiap seorang. Kerajaan negeri berpendapat wang kemenangan ini perlu diberi semula kepada pemain dan pegawai sebagai insentif kepada mereka.
“Jadi saya harap mereka (pemain) dapat memperkemaskan diri dan berlatih bersungguh-sungguh untuk merealisasikan sasaran menjuarai Piala Malaysia yang sudah empat musim gagal kita menangi,” jelasnya.
Sementara itu, pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan berkata, skuadnya akan mengadakan enam perlawanan persahabatan sepanjang bulan Ramadan ini sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia bermula 14 September depan.
“Kita akan bertemu juara Liga FAM, Sime Darby pada Sabtu ini, bertemu kelab Singapura, Sengkang Punggol pada 19 Ogos, bertemu Perak pada 21 Ogos dan bertemu Johor FC pada 4 September.
“Semua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Shah Alam bermula antara pukul 9.30 hingga 10 malam. Selain itu, dua lagi perlawanan iaitu menentang Pahang dan Kuala Lumpur belum ditetapkan lagi tarikhnya,” kata Devan.
Pada saingan Kumpulan D nanti, Selangor akan berdepan T-Team di Shah Alam (14 September), Felda United di Cheras (17 September), Perlis di Shah Alam (20 September), T-Team di Kuala Terengganu (3 Oktober), Felda United di Shah Alam (6 Oktober) dan Perlis di Kangar (9 Oktober).
0 comments:
Post a Comment