Harimau Muda beraya di Slovakia
SKUAD bawah 21 tahun (B-21) negara, Harimau Muda A akan berlepas ke Slovakia pada Rabu atau Khamis depan untuk mengharungi 12 perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab Liga 1 Slovakia sepanjang tempoh tiga bulan.
Ini bermakna, barisan pemain negara yang akan beraksi pada Kelayakan Olimpik 2012 dan Sukan SEA 2011 itu terpaksa menyambut Aidilfitri pada 10 September depan di negara Eropah Timur itu.
Bagi 10 pemain Harimau Muda A yang kini berlatih bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian K. Rajagobal pula, mereka akan terus terbang dari Doha, Qatar ke Slovakia selepas menentang Oman pada 3 September depan.
Jurulatih baru Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang menggantikan Azraai Khor Abdullah telah menyenaraikan sembilan muka baru dari skuad B-19 negara, Harimau Muda B bagi melengkapkan barisan 25 pemain ke Zlate Moravce, pangkalan kelab Vion FC.
Mereka ialah Irfan Fazail, Amer Saidin, D. Saarvindran, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Ferris Danial Mat Nasir, Nicholas Wee Shen Ming, Izham Tarmizi Roslan serta dua pemain berusia 17 tahun, Syahrul Azwari Ibrahim dan Farhan Abu Bakar.
“Saya terpaksa tinggalkan beberapa pemain lain termasuklah Haziq Zikir Elias yang baru menjalani pembedahan kerana hanya 25 pemain yang boleh dibawa.
“Sembilan pemain lama yang digugurkan pula termasuk dua yang cedera iaitu K. Sasikumar dan Bashahrul Abu Bakar manakala Ahmad Shakir Md. Ali kini bersama Kedah,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sepanjang tempoh tiga bulan di Slovakia sehingga penghujung November depan, Harimau Muda A akan beraksi menentang 12 pasukan dalam Liga 1 Slovakia.
Mereka ialah Trencin, Liberec, Liptovsky Mikulas, Petrzalka, Michalovce, Bodva Moldava, Senec, Ruzomberok B, Dolny Kubin, Slovan Duslo Sala, Puchov dan Rimavska Saturday.
“Selain itu, kami juga mungkin akan beraksi tiga atau empat perlawanan tambahan menentang skuad B-21 Republik Czech, Hungary, Austria dan Poland.
“Jadi semua pemain harus tahu, kali ini kita bukan pergi untuk belajar atau pendedahan lagi, tapi untuk menanam mentaliti kemenangan dalam diri masing-masing.
“Jika sebelum ini mereka hanya menang tiga perlawanan, kali ini perlu dapatkan lebih kemenangan. Jika tidak, kami dianggap gagal. Ia cabaran untuk saya juga sebagai jurulatih,” tegas Kim Swee.
Pada kunjungan ke Slovakia sepanjang Februari hingga Mei lalu, Harimau Muda A menang tiga daripada 13 perlawanan iaitu menewaskan Dolny Kubin 3-2 pada aksi kelima, Lucenec 1-0 pada aksi kesembilan dan Michalovce 1-0 pada aksi terakhir.
SENARAI 25 PEMAIN HARIMAU MUDA KE SLOVAKIA (SEPTEMBER-NOVEMBER 2010)
PEMAIN LAMA DIKEKALKAN (16 orang):
Zamir Selamat, Muslim Ahmad, Faizal Muhamad, Fadhli Shas, Fandi Othman, Mahali Jasuli, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Noor, Izzaq Faris Ramlan, A. Thamil Arasu, S. Sivanesan, Affize Faisal Mamat, Shukur Jusoh, Rafiuddin Roddin dan Nazri Ahmad.
PEMAIN BARU DISENARAIKAN (9 orang):
Irfan Fazail, Amer Saidin, D. Saarvindran, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Ferris Danial Mat Nasir, Nicholas Wee Shen Ming, Izham Tarmizi Roslan, Syahrul Azwari Ibrahim, Farhan Abu Bakar.
PEMAIN LAMA DIGUGURKAN (9 orang):
K. Sasikumar, Shamim Othman, Syahid Zaidon, V. Kavichelvan, K. Ravindran, K. Shathiya, Bashahrul Abu Bakar, Muszaki Abu Bakar dan Ahmad Shakir Mohd Ali.
0 comments:
Post a Comment