Sunday, August 15, 2010

Piala Malaysia 2010: Saingan pasti sengit

KEMPEN Piala Malaysia yang memasuki edisi ke-84 pada tahun ini menjanjikan satu saingan yang lebih sengit daripada 16 pasukan yang telah berjaya melayakkan diri.

Tidak seperti edisi 2007, 2008 dan 2009 yang menyaksikan pasukan bertanding layak secara automatik menerusi tiket pasukan negeri, kelab terbaik serta penampilan PDRM dan ATM, saingan musim 2010 kembali menggunakan sistem merit.

Hanya 12 pasukan teratas Liga Super dan empat pasukan teratas Liga Perdana berjaya melayakkan diri, sekali gus menyebabkan tiada kelibat pasukan Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Melaka dan PDRM pada saingan kali ini.

Situasi itu bakal menjanjikan saingan sengit seawal aksi peringkat kumpulan kerana kesemua 16 pasukan yang bertanding memiliki kekuatan seimbang.

Hanya sebulan sebelum sepak mula perlawanan pertama pada 14 September depan yang jatuh pada hari kelima Aidilfitri, kesemua pasukan mula melakukan persiapan sepanjang bulan Ramadan ini.

Bukan itu sahaja, saingan peringkat kumpulan turut bakal menguji tahap ketahanan fizikal dan mental para pemain kerana mereka perlu beraksi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu untuk pusingan pertama.

Selepas itu, saingan terpaksa berhenti rehat selama 12 hari kerana skuad kebangsaan menyertai kejohanan jemputan antarabangsa, Piala Ho Chi Minh 2010 di Vietnam dari 28 September hingga 2 Oktober.

Bersambung pusingan kedua, baki tiga perlawanan turut berlangsung selang tiga hari bagi mencari lapan pasukan terbaik yang bakal meneruskan saingan ke suku akhir.

Musim lalu, lapan pasukan yang mara ke suku akhir ialah KL Plus, Negeri Sembilan, Johor FC, Selangor, Kelantan, Kuala Muda Naza, Perlis dan Terengganu.

Pada separuh akhir, Negeri Sembilan menyingkirkan Terengganu manakala Kelantan mengetepikan Perlis tetapi pada aksi final, Negeri Sembilan tampil lebih hebat untuk muncul juara setelah menewaskan Kelantan 3-1.

Siapa pula yang bakal menjulang trofi Piala Malaysia edisi ke-84 pada tahun ini hanya akan terjawab di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 Oktober depan.



Kumpulan A
----------

KELANTAN

KELANTAN tampil mantap musim ini apabila mereka hanya tewas sekali iaitu 0-1 kepada Kedah pada perlawanan keempat Liga Super pada 19 Januari lalu.

Pada saingan Piala FA, skuad kendalian B. Sathianathan ini terikat agregat 1-1 dengan Kedah pada pusingan kedua tetapi tersingkir berdasarkan peraturan gol tempat lawan.

Kini untuk saingan Piala Malaysia, Kelantan dilihat tidak menghadapi masalah melangkah jauh lebih-lebih lagi dengan semangat untuk menebus kekecewaan final musim lalu serta menamatkan kemarau kejuaraan setelah tiga kali bergelar naib juara.


NEGERI SEMBILAN

SELAKU juara bertahan, beban pastinya terpikul di bahu anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan ini dalam misi mempertahankan kejuaraan kali kedua yang dimenangi mereka musim lalu.

Setelah meneruskan kecemerlangan dengan muncul juara Piala FA musim ini dengan menewaskan Kedah menerusi sepakan penalti pada aksi final 10 April lalu, prestasi Negeri Sembilan tiba-tiba merudum pada baki saingan Liga Super.

Biarpun sekadar menamatkan saingan di tangga keenam, barisan pemain berpengalaman yang dimiliki Negeri Sembilan tidak boleh dinafikan keupayaan mental mereka setiap kali beraksi pada saingan berbentuk kalah mati.


KL PLUS

TIADA apa yang boleh dibanggakan dengan prestasi KL Plus musim ini yang sekadar menghuni tangga ke-10 dalam saingan Liga Super.

Namun skuad kendalian Mat Zan Mat Aris ini bolehlah dilabel sebagai pasukan pengacau kepada mana-mana pencabar mereka dalam Kumpulan A.

Sandaran pastinya terus diletakkan ke bahu kapten skuad kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadzli Idrus, Nizaruddin Yusof dan Fadzli Saari untuk mencipta kejutan biarpun mereka tidak dianggap sebagai pasukan pilihan kali ini.


PKNS FC

KEKECEWAAN tewas pada aksi terakhir Liga Perdana kepada Harimau Muda sekali gus menyebabkan mereka gagal layak ke Liga Super pasti mahu ditebus PKNS FC pada saingan Piala Malaysia.

Biarpun bakal berdepan pesaing dari kalangan pasukan Liga Super, anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim ini juga tidak kurang hebatnya kerana ditunjangi tonggak berpengalaman seperti Saiful Amar Sudar, Fadhil Hashim, Khairi Zainudin dan Fairuz Montana Zainal Abidin.

Selain itu, PKNS FC turut mengharapkan pemenang kasut emas Liga Perdana musim ini, Zamri Hassan mampu meneruskan ketajaman setelah meledak 20 gol setakat tamat saingan liga.


Kumpulan B
----------

TERENGGANU

MEREKA tumbang di tangan Negeri Sembilan pada separuh akhir musim lalu ketika dibawa jurulatih berpengalaman, Ken Worden.

Kali ini kewibawaan Irfan Bakti Abu Salim bakal teruji setelah berjaya membawa Terengganu muncul pemenang tempat ketiga dalam saingan Liga Super.

Dengan kubu terakhir mereka begitu kebal dikawal penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee Ramli dan jentera serangan begitu tajam diketuai pemenang kasut emas Liga Super, Ashaari Shamsuddin, Terengganu dilihat sebagai pencabar utama pada saingan kali ini.


PAHANG

PRESTASI ala yo-yo Pahang sepanjang saingan Liga Super musim ini menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh ini hanya mampu menamatkan saingan di tangga kelapan.

Namun jika dilihat secara keseluruhan, barisan pemain-pemain muda Pahang ini masih memiliki kemampuan untuk bersaing ketika berdepan pasukan-pasukan handalan seperti Selangor, Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan.

Sudah terlalu lama sebenarnya Pahang tidak menjulang Piala Malaysia dengan kali terakhir mereka melakukannya pada 1992 ketika menewaskan Kedah 1-0 hasil jaringan tunggal Zulhamizan Zakaria.


KUALA LUMPUR

SKUAD warga kota ini sebenarnya cukup disegani pada penghujung era 1980-an apabila mereka muncul juara tiga kali berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1999.

Namun selepas itu, cengkaman Sang Helang ini semakin lemah kerana bintang-bintang yang dilahirkan mereka dipancing pasukan lain sehingga memaksa mereka bergantung kepada tenaga muda sehinggalah ke musim ini.

Dengan menamatkan saingan Liga Super di tangga kesembilan, anak-anak buah Razip Ismail ini memerlukan satu lonjakan semangat baru jika mahu mara lebih jauh pada saingan Piala Malaysia kali ini.


SABAH

AWAL musim ini, Sabah tidak dilihat sebagai pencabar utama tetapi peningkatan sedikit demi sedikit dilakukan mereka sehingga berjaya muncul naib juara Liga Perdana dan layak ke Liga Super musim depan.

Dengan bimbingan jurulatih dari Australia, Gary Phillip, Sabah sebenarnya ditunjangi beberapa tonggak berpengalaman seperti bekas penjaga gol kebangsaan, Azizon Kadir, Zainizam Marjan dan juga bekas penyerang Johor, Farid Ideris.

Tiga kali final sebelum ini iaitu 1996, 2002 dan 2003, Sabah telah tumbang di tangan Selangor dan MPPJ FC, mereka pasti bertekad untuk mencipta kejutan mara sekali lagi ke final bagi memburu kejuaraan buat kali pertama.


Kumpulan C
----------

JOHOR FC

MUNCUL pemenang tempat keempat Liga Super masih dianggap satu kegagalan oleh pengurusan pasukan Johor FC yang memecat jurulatihnya, Ramlan Rashid untuk digantikan oleh Azuan Zain bagi mengharungi kempen Piala Malaysia.

Johor FC musim ini dibarisi Eddy Helmi Manan, Wan Rohaimi Ismail, Nurul Azwan Roya, Azizan Baba, Khairi Kiman dan Sumardi Hajalan tetapi di mana silapnya mereka gagal tampil dengan prestasi menyakinkan.

Sesuatu perlu dilakukan oleh Azuan bagi membentuk acuan baru supaya Johor FC tampil lebih garang untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian mara ke suku akhir musim lalu.


KEDAH

PADA awal musim, ramai penyokong Kedah yang ragu-ragu dengan kemampuan Ahmad Yusoff mengemudi pasukan yang sudah begitu sinonim dengan sentuhan Azraai Khor Abdullah.

Namun Ahmad telah menutup kritikan tersebut dengan berjaya membawa Kedah mara ke final Piala FA sebelum tewas kepada Negeri Sembilan serta berjaya menduduki tangga kelima dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun persiapan Kedah untuk mengulangi kejuaraan musim 2007 dan 2008 sedikit terjejas apabila lima pemain iaitu Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Azmi Muslim, Khyril Muhymeen Zambri dan Faizal Abu Bakar bakal menyertai kem latihan skuad kebangsaan bermula esok.


PERAK

BIARPUN hanya dibarisi pemain-pemain muda, skuad bimbingan Raja Azlan Shah Raja Soib ini telah menampilkan prestasi yang semakin meningkat pada penghujung saingan Liga Super.

Pada enam perlawanan terakhir, Perak berjaya menewaskan Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, mengikat T-Team dan Negeri Sembilan serta hanya tewas sekali kepada Kuala Lumpur untuk menamatkan saingan di tangga ke-11 dan terselamat daripada tersingkir ke Liga Perdana.

Tidak mustahil jika prestasi baik itu mampu diteruskan pada saingan Piala Malaysia nanti, Perak mampu untuk kembali dihormati seperti ketika mereka muncul juara pada edisi 1998 dan 2000.


ATM

JIKA sebelum ini ATM hanyalah dilabel sebagai skuad tempelan atau pelengkap jadual untuk Piala Malaysia, kali ini mereka tampil dengan skuad yang terdiri daripada bekas-bekas pemain berpengalaman seluruh negara.

Dibimbing bekas pemain Pahang, Zulhamizan Zakaria, kegagalan ATM untuk muncul dua pasukan teratas Liga Perdana bagi melayakkan diri ke Liga Super musim depan sesuatu yang mengejutkan jika dilihat daripada pelaburan besar dibuat mereka musim ini.

Namun Ahmad Tharmini Saiban, V. Saravanan, Chan Wing Hong, Nafuzi Zain, Danial Fadzly Abdullah dan Nasril Nourdin masih memiliki pentas Piala Malaysia untuk mereka membuktikan kehebatan sebenar ATM.


Kumpulan D
----------

SELANGOR

DUA daripada tiga piala yang dimenangi Selangor musim lalu iaitu Liga Super dan Piala Sumbangsih berjaya dipertahankan mereka biarpun trofi Piala FA terlepas ke tangan Negeri Sembilan.

Biarpun tewas tiga kali musim ini kepada Terengganu, Perak dan Kedah, Selangor sebenarnya memiliki skuad yang dibarisi pemain-pemain cukup mantap dan dianggap tidak memiliki masalah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan ini.

Namun apa yang perlu diambil iktibar anak-anak buah K. Devan ini ialah jangan memandang mudah sesuatu perlawanan itu dan jika tidak, kekalahan menerusi sepakan penalti pada suku akhir musim lalu pasti berulang.


T-TEAM

PASUKAN yang menduduki tangga ketujuh Liga Super ini boleh dianggap sebagai Terengganu B kerana mereka dibarisi bekas-bekas pemain Terengganu seperti Syamsuri Mustafa, Rosdi Talib, Subri Sulong, Norfazly Alias dan Norhisham Hassan.

Jurulatih Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor pasti terus meletakkan sandaran di bahu dua peledak utama iaitu Haris Safwan Kamal dan Abdul Hadi Yahya untuk terus menggegar gawang lawan pada saingan Piala Malaysia kali ini.

Format musim lalu menyebabkan mereka gagal ke Piala Malaysia sekali gus hanya pemain-pemain mereka mendapat peluang beraksi apabila dipinjamkan ke pasukan lain dan musim ini giliran mereka membantu pasukan sendiri untuk mara lebih jauh.


PERLIS

DARIPADA sebuah pasukan yang cukup konsisten dalam saingan Liga Super mahu pun Piala Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Perlis musim ini tampak mempamerkan aksi yang cukup suram.

Yunus Alif tampil mengambil alih pasukan daripada Nidzam Adzha Yusoff di tengah-tengah saingan Liga Super hingga menyebabkan mereka hanya menamatkan saingan di tangga ke-12, hanya satu anak tangga terselamat daripada tersingkir ke Liga Perdana.

Ketiadaan penjaga gol utama, Farizal Marlias yang terpaksa berehat tiga bulan akibat patah tulang pipi, Perlis terpaksa menyandarkan harapan kepada dua pemain kebangsaan, Amar Rohidan dan Ahmad Fakri Saarani serta bekas penyerang Harimau Muda, Ahmad Aminuddin Shaharuddin.


FELDA UNITED

JUARA Liga Perdana ini akhirnya berjaya juga tampil dalam saingan Piala Malaysia musim ini dan pastinya E. Elavarasan selaku jurulatih mahu mencipta sesuatu kejayaan pada penampilan sulung pasukan ini.

Felda United dijangka mampu memberi saingan hebat pada pencabar kumpulan ini kerana mereka diperkuat beberapa pemain berpengalaman seperti Nazrulerwan Makmor, Kaironnisam Sahabuddin Hussain, Fatrurazi Rozi, Juzaili Samion, Chow Chee Weng, Rashid Mamud, Hasmawi Hassan dan Zainal Rabin.

Sudah tentu mereka menyimpan hasrat untuk menjadi kelab kedua yang berjaya menjulang trofi Piala Malaysia seperti dilakukan MPPJ FC pada tahun 2003.

JADUAL PERLAWANAN
PIALA MALAYSIA 2010

SELASA, 14 SEPTEMBER 2010

KELANTAN lwn N.SEMBILAN
KL PLUS lwn PKNS FC
TERENGGANU lwn PAHANG
KUALA LUMPUR lwn SABAH
JOHOR FC lwn KEDAH
PERAK lwn ATM
SELANGOR lwn T-TEAM
PERLIS lwn FELDA UNITED

JUMAAT, 17 SEPTEMBER 2010

N.SEMBILAN lwn KL PLUS
PKNS FC lwn KELANTAN
PAHANG lwn KUALA LUMPUR
SABAH lwn TERENGGANU
KEDAH lwn PERAK
ATM lwn JOHOR FC
T-TEAM lwn PERLIS
FELDA UNITED lwn SELANGOR

ISNIN, 20 SEPTEMBER 2010

PKNS FC lwn N.SEMBILAN
KELANTAN lwn KL PLUS
SABAH lwn PAHANG
TERENGGANU lwn KUALA LUMPUR
ATM lwn KEDAH
JOHOR FC lwn PERAK
FELDA UNITED lwn T-TEAM
SELANGOR lwn PERLIS

AHAD, 3 OKTOBER 2010

N.SEMBILAN lwn KELANTAN
PKNS FC lwn KL PLUS
PAHANG lwn TERENGGANU
SABAH lwn KUALA LUMPUR
KEDAH lwn JOHOR FC
ATM lwn PERAK
T-TEAM lwn SELANGOR
FELDA UNITED lwn PERLIS

RABU, 6 OKTOBER 2010

KL PLUS lwn N.SEMBILAN
KELANTAN lwn PKNS FC
KUALA LUMPUR lwn PAHANG
TERENGGANU lwn SABAH
PERAK lwn KEDAH
JOHOR FC lwn ATM
PERLIS lwn T-TEAM
SELANGOR lwn FELDA UNITED

SABTU, 9 OKTOBER 2010

N.SEMBILAN lwn PKNS FC
KL PLUS lwn KELANTAN
PAHANG lwn SABAH
KUALA LUMPUR lwn TERENGGANU
KEDAH lwn ATM
PERAK lwn JOHOR FC
T-TEAM lwn FELDA UNITED
PERLIS lwn SELANGOR

SUKU AKHIR PERTAMA
SELASA, 12 OKTOBER 2010

Juara Kump. A lwn Naib Kump. D (1)
Juara Kump. B lwn Naib Kump. C (2)
Juara Kump. C lwn Naib Kump. B (3)
Juara Kump. D lwn Naib Kump. A (4)

SUKU AKHIR KEDUA
SABTU, 16 OKTOBER 2010

Naib Kump. D lwn Juara Kump. A (5)
Naib Kump. C lwn Juara Kump. B (6)
Naib Kump. B lwn Juara Kump. C (7)
Naib Kump. A lwn Juara Kump. D (8)

SEPARUH AKHIR PERTAMA
RABU, 20 OKTOBER 2010

Pemenang 1/5 lwn Pemenang 3/7 (9)
Pemenang 2/6 lwn Pemenang 4/8 (10)

SEPARUH AKHIR KEDUA
SABTU, 23 OKTOBER 2010

Pemenang 3/7 lwn Pemenang 1/5 (11)
Pemenang 4/8 lwn Pemenang 2/6 (12)

FINAL
SABTU, 30 OKTOBER 2010

Pemenang 9/11 lwn Pemenang 10/12

------------------

PENCAPAIAN PASUKAN:

PASUKAN JUARA NAIB JUARA

1 Selangor 32 15
2 Singapura 24 19
3 Perak 7 11
4 Pulau Pinang 4 9
5 Kedah 4 6
6 Kuala Lumpur 3 1
7 Pahang 2 4
8 Negeri Sembilan 2 2
9 Johor 2 1
10 Perlis 2 1
11 Terengganu 1 3
12 Brunei 1 -
13 MPPJ FC 1 -
14 Sabah - 3
15 Kelantan - 3
16 Tentera - 2
17 Sarawak - 1

0 comments: