Tuesday, August 24, 2010

Hamidin bos baru JKPT FAM

NAIB Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) bagi menggantikan Datuk Che Mat Jusoh.

Pengumuman senarai pengerusi bagi 19 jawatankuasa tetap FAM itu telah dibuat sendiri oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM 2010-2014 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

JKPT dianggap sebagai jawatankuasa paling popular dan sibuk di FAM kerana peranannya dalam menguruskan perjalanan saingan liga bola sepak tempatan yang merangkumi Liga Super, Liga Perdana, Liga FAM dan Piala Presiden.

Che Mat tidak dapat mempertahankan jawatan tersebut setelah tewas pada pemilihan 31 Julai lalu dan pemilihan Hamidin dianggap tepat berdasarkan pengalamannya sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Dengan pelantikan tersebut, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai yang dipegang Hamidin, 45, sebelum ini kini diberikan kepada seorang lagi Naib Presiden FAM, Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim.

Dua lagi Naib Presiden FAM iaitu Datuk Subahan Kamal dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Media & Perhubungan Awam manakala Datuk Afandi Hamzah mengekalkan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang & Peraturan.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah sendiri memegang dua portfolio iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan & Pengurusan.

Anakandanya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang merupakan Timbalan Presiden FAM dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa.

Seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pula diberi peranan selaku Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita dan Pengerusi Jawatankuasa Liga Super Malaysia (MSL).

Bagi lapan anggota Exco FAM pula, hanya empat daripada mereka dipilih untuk menjadi pengerusi jawatankuasa iaitu Datuk Astaman Abdul Aziz (Jawatankuasa Pengadil), Datuk Takiyuddin Hassan (Jawatankuasa Status Pemain), S. Sivasundaram (Jawatankuasa Tiket & Pintu) dan Dr. Hamdan Mohamed Khalib (Jawatankuasa Perubatan Sukan).

Baki empat lagi Exco iaitu Mejar Rani Abdul Rahim, Rosmadi Ismail, Datuk Jeferey Low Han Cha dan Datuk Osman Salleh hanya dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan mungkin juga menjadi timbalan pengerusi jawatankuasa lain yang akan ditentukan kemudian.

Tengku Abdullah pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut berkata, semua pihak diminta bersabar untuk melihat berlakunya perubahan positif dalam semua jawatankuasa tetap FAM itu.

"Beri kami masa. Ini baru hari pertama semua ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM ini diberikan tugas masing-masing. Selepas mesyuarat pertama ini, kami akan mengadakan mesyuarat kedua pada minggu pertama Oktober depan," katanya.

0 comments: