Monday, August 23, 2010

Presiden FAM umum pelantikan hari ini


TEKA-TEKI mengenai pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi 17 jawatankuasa tetap dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2010-2014 bakal terjawab hari ini.

Jawatankuasa Eksekutif FAM terdiri daripada 15 ahli yang berjaya memenangi pemilihan pada Kongres FAM ke-47, 31 Julai lalu akan bermesyuarat buat kali pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Mesyuarat itu akan dihadiri Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah; dua timbalannya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa serta empat naib presiden iaitu Datuk Subahan Kamal, Datuk Hamidin Mohd. Amin, Datuk Afandi Hamzah dan Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim.

Lapan anggota Exco pula dibarisi Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Astaman Abdul Aziz, Mejar Rani Abdul Rahim, S. Sivasundaram, Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Datuk Osman Salleh, Rosmadi Ismail dan Datuk Jeferey Low Han Chau.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, antara agenda utama mesyuarat tersebut ialah pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi setiap jawatankuasa tersebut yang akan diumum sendiri oleh Sultan Ahmad Shah.

"Tuanku Presiden akan membuat pengumuman mengenai pelantikan tersebut. Pengerusi dan timbalan pengerusi bagi jawatankuasa-jawatankuasa tetap ini mestilah dilantik dari kalangan 15 ahli jawatankuasa eksekutif.

"Bagaimanapun, Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan tidak termasuk dalam senarai jawatankuasa tetap ini kerana ia terletak di bawah Badan Kehakiman FAM," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengikut statut FAM, senarai 17 jawatankuasa tetap tersebut ialah Jawatankuasa Kewangan & Pengurusan, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Jawatankuasa Undang-Undang & Peraturan, Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa.

Jawatankuasa Pengadil, Jawatankuasa Odit Dalaman, Jawatankuasa Bola Sepak Wanita, Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia, Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai, Jawatankuasa Perubatan Sukan.

Jawatankuasa Status Pemain, Jawatankuasa Media & Perhubungan Awam, Jawatankuasa Tiket & Pintu, Jawatankuasa Keselamatan, Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan & Ketelusan serta Jawatankuasa Ad-Hoc.

Kerusi yang pasti kosong ialah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal yang sebelum ini diisi bekas timbalan presiden, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang diisi bekas naib presiden, Datuk Che Mat Jusoh.

Redzuan dan Che Mat tewas pada pemilihan 31 Julai lalu.

Hanya Sultan Ahmad Shah, Hamidin (Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai) dan Afandi (Jawatankuasa Undang-Undang & Peraturan) yang boleh mengekalkan jawatan mereka kerana masih berada dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Namun, terpulang kepada pengumuman Sultan Ahmad Shah hari ini sama ada mengekalkan mereka atau diberikan tugas baru mengetuai jawatankuasa yang lain untuk tempoh empat tahun akan datang.

0 comments: