Wednesday, August 4, 2010

Figos RSA FC bawa cabaran Malaysia

JUARA Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM, Figos RSA FC bakal membawa nama Malaysia pada Kejohanan Futsal Jemputan Antarabangsa Piala City 2010 di Taipei City, Taiwan dari 7 hingga 9 Ogos ini.

Jurulatih Figos RSA FC, Chiew Chun Yong berkata, undangan yang diterima daripada Persatuan Futsal Taiwan (TPFA) itu bakal digunakan sepenuhnya oleh barisan 13 pemain yang akan berlepas ke Taiwan Jumaat ini.

“Pihak kami menerima secara terus undangan ini daripada TPFA. Mungkin mereka mengetahui bahawa kami merupakan kelab juara dalam saingan liga futsal di Malaysia tahun lalu.

“Sebanyak lima pasukan akan beraksi pada kejohanan ini yang diadakan secara liga satu pusingan. Tiada aksi final dan pasukan teratas akan muncul juara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain Figos RSA FC, empat pasukan lain yang akan bersaing ialah pasukan Taiwan, pasukan pemain import Taiwan, pasukan kelab dari Thailand dan kelab Yong An City dari China.

“Tidak banyak yang kami ketahui tentang pasukan yang bertanding ini. Cuma kelab dari China itu saya dapati merupakan juara domestik mereka. Begitu juga kelab Thailand, pasti mereka hantar yang terbaik.

“Jadi sasaran kita ialah untuk menampilkan persembahan sebaik mungkin dan saya mahu semua pemain gunakan kejohanan ini sebagai pendedahan terbaik di pentas antarabangsa,” jelas Chun Yong.

Skuad 13 pemain Figos RSA FC terdiri daripada lima pemain skuad futsal kebangsaan iaitu S. Devandran, Khairul Effendy Bahrin, Qaiser Heshaam Abdul Kadir, Muizzudin Harris dan Fadzil Ab. Karnim.

Turut disenaraikan bekas pemain kebangsaan, Fadhil Yusoff serta Ahmad Hanif Sarmin, Izuwan Hayat, Jasman Patmee Meera, Syafiq Hamzah, Awaluddin Hasan, Zulfadli Ali dan Ahmad Rizal Abdul Rahim.

“Sepatutnya bekas kapten skuad futsal kebangsaan iaitu Jamhuri Zainuddin turut disenaraikan tetapi dia mengalami kecederaan dan akan turut serta ke Taiwan dengan peranan sebagai penolong jurulatih,” kata Chun Yong yang juga jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan.

Figos RSA FC dijadualkan beraksi dua perlawanan pada 7 Ogos iaitu bertemu Yong An City dan sebuah kelab dari Thailand.

Pada 8 Ogos, mereka akan menentang pasukan pemain import Taiwan sebelum bertemu Taiwan pada keesokan harinya.

0 comments: